Monday, February 8, 2016

TIP MENANAM 'SUNFLOWER'

BUNGA MATAHARI (Helianthus annuus) atau 'Sunflower' merupakan sejenis tumbuhan popular dari keluarga Asteraceae yang merupakan tanaman industri penting bagi beberapa negara. Penanaman pokok Bunga Matahari dikawasan beriklim temperate seperti di Eropah adalah untuk menghasilkan minyak sayuran dan pelbagai produk lain. Pengeluaran minyak dari biji bunga matahari telah dilaporkan menyumbangkan sebanyak 8% daripada jumlah pengeluaran minyak sayuran dunia dan merupakan pengeluaran minyak yang ke 4 terpenting didalam peggunaan minyak sayur selepas minyak dari kacang soya dan kelapa sawit. Terdapat 45 varieti atau kultivar tanaman sunflower diseluruh dunia didaftarkan dengan Royal Horticulture yang dikomersilkan. Antara beberapa varieti popular seperti Autumn beauty, Mammoth Russian, Kong hybrid, Large grey stripe dan sebagainya. Penanaman sunflower di Malaysia adalah untuk tanaman hiasan di kawasan taman bunga atau didalam pot dikeliling rumah. Bunga Matahari boleh tumbuh dengan baik di dataran tanah rendah sampai tanah tinggi dengan keadaan dimana sinaran matahari yang penuh serta tidak terlalu berangin. Tumbuhan yan tumbuh menegak ini unik kerana kedudukan bunga matahari akan sentiasa terus menghadap cahaya matahari dari timur dipebelah padi dan barat disebelah petang.  Artikel petang Jumaat kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penanaman sunflower berdasarkan daripada rujukkan beberapa buku dan pemerhatian penulis semasa melawat negara jiran untuk pengetahuan pembaca.


Bunga Matahari boleh tumbuh dengan baik di kawasan tanah subur dengan saliran baik dan mendapat sinaran matahari yang banyak. Bunga matahari mempunyai banyak biji dimana didalam biji bunga matahari tersedia vitamin E serta C yang digunakan sebagai minyak sayuran yang kaya dengan bahan antioksidan. Bunga matahari yang besar dengan warna kekuningan dan coklat ditengahnya unik kerana ia sentiasa bergerak menghadap matahari pada siang hari (Sila lihat foto disebelah).  Kandungan antioksidan dalam minyak bunga matahari didakwa amat baik mengatasi masaalah sakit jantung serta bertindak sebagai bahan anti kanser serta lain-lain penyakit degeneratif lainnya. Walau pun harga minyak bunga matahari antara yang mahal dijual dipasaran tetapi disebabkan oleh khasiatnya ia masih ditanam, diproses dan dipasarkan diseluruh dunia. Minyak bunga matahari rendah sedikit daripada minyak zaitun (Olive oil). Keluasan penanaman bunga matahari ini berubah-ubah mengikut musim dan keadaan cuaca. Minyak ini selain daripada digunakan sebagai minyak masak juga diproses untuk dijadikan margerine dan biodiesel di Eropah terutama di Jerman.


Menanam bunga matahari adalah dikirakan mudah berdasarkan kepada manual menanam bunga matahari yang baik serta benar. Faktor asas adalah dengan memilih biji bunga matahari yang ingin dijadikan sebagai benih. Ia boleh dibeli daripada pasaran terbuka tetapi sebaiknya jik atelah ada kawan menanam kita ambil daripada mereka. Pastikan varieti bunga matahari yang hendak ditanaman sesuai dengan cuaca tropika kita dimana ada lebih daripada 70 varieti yang kebanyakannya hanya sesuai untuk cuaca temperate. Kaedah menanam dikebun secara meluas berbeza dengan cara menanam bunga matahari didalam pasu atau pollibeg (pot). Jika menanam dalam pot sediakan pasu atau polibeg dan isikan dengan media tanaman sama ada tanah campuran, cocopeat atau media lain yang sesuai. Dikawasan kebun sebaiknya disediakan batas tanaman kerana bunga matahari mudah rosak jika kebun digenangi air. Semaikan benih diatas batas secara berderet dalam barisan dan dalam pot serta disiram dan dibaja. Oleh kerana biji benih bunga matahari bersaiz besar maka ia amat mudah dikenali. Bentuk dan saiznya sama dengan makanan ringan iaitu KUACI yang banyak dijual dipasaran. Antara varieti yang sesuai ditanam seperti Mammoth Grey yang mana ketinggiannya dapat mencapai 2 m lebih. Kelihatan dari benihnya yang berwarna putih dengan garis garis coklat kehitaman dan ukurannya besar. Varieti Velvet Queen pula berwarna Merah Darah yang tingginya kelak kurang lebih 1 meter lebih telah siap bunga. Bentuk benihnya lebih ramping dan lebih singkat dibanding benih Mammoth Grey. Varieti Evening Sun adalah campuran dari bermacam warna dan biji benihnya juga beragam. 


Bunga Matahari sesuai tumbuh di banyak jenis tanah asalkan mempunyai cukup sinaran matahari dan mempunyai saliran baik. Bagi tujuan penyemaian pilih jenis tanah yang gembur dan subur dimana ia mampu mengikat air dengan baik. Ada juga amalan dimana kita terus menanam di dalam pot atau diatas batas. Penanaman benih dilakukan dengan meletakkan bijibenih diatas tanah dengan arah hujung bawah ke media tanah yang telah dibasahi. Tekan hingga kelihatan hujung atasnya sedikit. Siram 2 kali sehari dengan menggunakan sprayer air dan selalunya selepas 3-4 haricia akan tumbuh. Jika ditanam didalam pot memang mudah dijaga dan dialih-alihkan kelokasi lain dengan mengangkat pot tersebut untuk mendapatkan sinaran matahari yang baik (Sila lihat foto disebelah). Ia perlu disiram dan dibaja sehingga mengeluarkan bunga matahari yang berwarna kuning disekelilingnya dan warna coklat ditengahnya. Pokok bunga matahari yang berbunga ini amat cantik dipandang jika diletakkan dikawasan strategik dikawasan rumah. Jika ia ditanam diatas batas dikebun, bunga yang keluar pastinya menarik ramai orang untuk melihatnya. Saya melawat beberapa taman yang ada menanam bunga matahari di Bangkok dimana ia menjadi satu tarikan kepada ramai pelancong. Anda boleh baca tu;isan saya mengenai penanaman bunga matahari sebelum ini (Sila klik disini), (Sila Klik disini) dan (Sila klik disini). Semuga tip ini menjadi bahan bacaan anda. Wasallam!.
BUNGA MATAHARI... MUDAH TANAMNYA....
TANAH DISEDIA... BENIH DISEMAINYA...
CANTIK SEKALI... APBILA BERBUNGA...
BACA ARTIKEL... MACAM NAK CUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Aras 13, Desaminium Flora,
Seri Kembangan, 
Selangor, Malaysia.
(28 RabiulAwal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.