Saturday, January 16, 2016

BURUNG TERKUKUR (Part 2)

BURUNG TERKUKUR (Streptopelia chinensis) atau 'Spotted Dove' ialah sejenis burung merpati yang amat diminati oleh penghobi menternak burung di negara kita dan merupakan burung yang disukai kerana bunyinya. Burung cantik ini tergolong dalam famili Columbidae. Bagaimana dalam cara pengelasan terbaru kini burung terkukur telah dimasukkan ke dalam genus Stigmatopelia oleh sebilangan saintis dunia. Penulis juga kenal akan burung terkukur ini yang sering didapati liar dikawasan belukar atau kampong dan dijadikan burung diletakkan dalam sangkar dirumah jiran. Burung Tekukur merupakan burung yang membiak secara semulajadi tetapi ia juga telah melalui program biakbaka. Burung terkukur tempatan terdapat di kawasan yang natif dari India sehingga ke Sri Lanka di Asia Selatan Tropika lain sehingga ke China selatan dan Asia Tenggara. Burung ini juga merupakan spesis burung yang sebahagian besar taburannya terdiri daripada kawasan hutan tropika dimana tumbuhan agak jarang atau terbuka dan dikawasan tanah ladang. Dari segi penyebarannya, ia telah dilaporkan bahawa saintis dan penggemar burung terkukur telah dibawa masuk ke USA iaitu dikawasan Los Angeles, California di Amerika Syarikat serta juga ke Indonesia utara, Australia dan New Zealand. Dilaporkan bahawa di Australia burung ini dibawa masuk ke Melbourne pada dekad 1860-an dan sejak dari masa itu maka burung ini telah tersebar luas bagi tujuan menggantikan burung-burung merpati asli dinegara tersebut. Kini di benua tersebut, burung ini boleh didapati di jalan raya, taman, kebun bunga, kawasan pertanian serta tanah semak samun dari Hobart, Tasmania ke Cooktown, Queensland sehingga Pelabuhan Lincoln, Australia Selatan. Burung Tekukur juga dapat dilihat di Perth, Pemberton, Kalgoorlie, dan Esperance di Australia Barat dengan taburan spesies ini semakin berkembang. Artikel subuh Ahad ini saya teruskan menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai burung terkukur untuk dijadikan bahan bacaan.

Terdapat beberapa tip serta kaedah bagi penjagaan burung tekukur peliharaan samada yang untuk dijadikan burung pikat atau yang dipelihara di dalam sangkar atau reban. Jika kita tidak mengambil berat terhadap penjagaan kesihatan serta juga kebersihan burung peliharaan lazimnya ia memberi kesan dimana ia akan mudah dijangkiti kuman seterusnya akan diserang penyakit. Burung Terkukur perlu diletakkan dalam sangkar tertutup atau pun sangkar terbuka (Sila lihat foto disebelah). Sering juga berlaku dimana haiwan peliharaan akan mati dikemudian hari akibat kurang penjagaan sempurna dimana ini dikaitkan juga dengan peraniayaan haiwan. Sekiranya kita tidak menjaga kebajikan haiwan ternakan maka sememangnya haiwan tersebut akan murung, berpenyakit dan juga mungkin boleh membahayakan kepada manusia jika ada patogen yang boleh menyerang manusia. Ini pernah dilaporkan bagaimana virus 'Avian Flu' telah menyerang banyak jenis burung yang perlu sentiasa diperhatikan keujudannya. Wabak Avian Flu ini telah menggemparkan penduduk dunia sehinggakan ada kawalan ketat dijalankan di semua lokasi strategik seperti dilapangan terbang. Lapangan Terbang diantara yang telah disasarkan dalam memantau penyakit ini dan juga reban ayam komersil yang menternak ayam daging dan ayam telur untuk kegunaan domestik.

Makanan Burung Tekukur dari jenis biji-bijian dan beberapa jenis tumbuhan segar sebagai makanan tambahan (Sila lihat foto disebelah). Sebaiknya makanan bijirin (cereal) yang dibeli daripada kedai runcit hendaklah dibersihkan dari habuk serta benda asing dengan cara membasuhnya kemudian dijemur sehingga betul-betul kering. Kadang-kadang terdapat kekotoran atau benda asing dalam bijirin seperti batu kelikir, logam, besi, kayu dan sampah sarap. Setelah itu maka bijirin makanan burung tersebut perlu disimpan dalam bekas yang tertutup dan kedap udara. Sekiranya makanan itu untuk burung yang didalam sangkar besar sebaiknya cara memberi makan adalah dengan menggantung pada tempat tinggi agar tidak basah dan bertaburan dilantai yang kotor. Lazimnya jika burung terkukur hendak digunakan untuk dijadikan pikat maka sarangnya perlu betul-betul dibersihkan untuk menjaga suaranya. Bekalan makan dan air sebaiknya sentiasa ada dan mencukupi untuk dimakan oleh burung. Jika ada mereka yang memelihara burung dalam sangkar atau reban ingin bercuti panjang sebaiknya meminta rakan atau jiran atau kenalan baik untuk memberikan makanan dan air mengikut keperluan. Mungkin ramai peminat burung yang terlupa memberi makanan kepada haiwan peliharaannya dan ini boleh menyebabkan kematian. Makanan burung terkukur berkualiti akan membolehkan burung sihat dan boleh menghasilkan suara yang baik. 

Antara makanan burung terkukur yang mudah dan sering digunakan adalah Biji Padi. Biji padi (Oryza sativa) agak mudah diperolehi kerana ia luas ditanam di Malaysia. Lazimya kita boleh memproses biji padi sebagai makanan burung berkualiti dengan menambah madu dan telur sebagai zat tambahan tetapi harus juga diingatkan makanan tersebut hendaklah betul-betul kering. Alternatifnya anda boleh membelinya dipasaran yang sudah sedia bersih dan dicampurkan dengan madu serta telur atau membuatnya sendiri. Cara dan proses menggoreng padi yang telah sedia dicampurkan dengan madu dan telur mudah sahaja untuk dilakukan (Sila lihat foto disebelah). Langkah pertama dimana biji padi boleh digoreng (tanpa minyak) bertujuan untuk mengeringkan madu. Ini disebabkan madu tidak akan kering jika hanya dengan menjemurnya dibawah sinaran matahari. Minuman Air untuk burung terkukur hendaklah dipastikan sentiasa bersih dan selalu dibersihkan bekas air minuman. Sekiranya air minum burung terdedah pada cahaya matahari sebaiknya ia perlu menukarnya dengan kekerapan 2 hari sekali. Walau pun dikatakan air minuman yang dimasak tidak sesuai untuk burung tetapi ada orang yang memberinya. Sebaiknya air tidak dimasak digunakan kerana burung tidak pernah minum air masak di habitat asal mereka. Jika menggunakkan air paip terawat sebaiknya perlu biarkan air paip itu dalam bekas lain untuk tempoh 1-2 hari supaya kandungan klorinnya akan mendap dibawah terlebih dahulu. Kemudian boleh diambil dengan menceduknya iaitu dibahagian atas sahaja. Air yang sesuai ialah air semulajadi dari anak-anak sungai atau air hujan dan air yang ditapis. Tambahkan dalam air pil vitamin dengan kekerapan sebulan sekali untuk menjaga kesihatan burung. Artikel ini bersambung dalam Part 1 dan Part 3. Wasallam!.
TERKUKUR... BURUNG CANTIKNYA...
DALAM SANGKAR..BERBAGAI CARA...
MAKAN BIJIRIN... TUMBUHAN JUGA...
ADA PERTANDINGAN... SUARANYA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekuruan,
Malaysia.
(7 RabiulAwal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.