Tuesday, December 1, 2015

KUIH LAPIS

KUIH LAPIS atau dipanggil KUIH PELANGI merupakan sejenis kuih yang popular dan disediakan setiap hari untuk hidangan terutama untuk minum petang. Kuih Lapis yang paling popular adalah dari warna putih dan merah yang merupakan identiti bendera Malaysia dan boleh dibeli di kantin, pasar malam, pasar tani, pasar tamu, hotel-hotel dan juga gerai kuih ditepi jalan. 'Kuih Lapis Putih-Merah' ini boleh dikatakan sebagai kuih lapis rakyat Malaysia (Sila lihat foto diatas). Walau pun ada mereka yang menukarkan kepada warna-warna lain seperti kuning-putih, kuning-hijau dan lain-lain kombinasi tetapi warna merah-putih juga yang paling diminati orang ramai. Rasanya yang lemak dan manis serta teksturnya yang lembut dan halus menjadikan kuih ini bukan sahaja disukai oleh kanak-kanak malahan orang dewasa sama ada lelaki dan perempuan tanpa mengira kaum. Harga jualan kuih lapis juga diantara paling murah dikalangan beberapa jenis kuih tradisional yang iaitu semurah RM0.40 sekeping bergantung kepada lokasi jualan, saiz potongan kuih dan kuantiti jualan. Ia paling enak dimakan ketika baru siap dimasak iaitu suam-suam panas dengan minuman panas kopi-O atau minuman lain yang sesuai. Asal usul nama kuih lapis ini amat jelas dimana ia memang dibuat 'berlapis-lapis' yang boleh disiat atau diasingkan mengikut warna lapisan. Pembuatan kuih lapis memang mengikut kesukaan pembuatnya diantara 4 - 6 lapisan tetapi yang paling standard ada 5 lapis sahaja. Ketebalan setiap lapisan juga akan menentukan kecantikan dan kehalusan kualiti kuih ini. Ia lazimnya menggunakan bahan adunan tepung berkualiti yang kemudian dikukus sehingga selesai. Kuih yang berkhasiat ini boleh disesuaikan kadar kemanisan dan lemak bergantung kepada kadar adunan yang disediakan. Pada penulis membuat kuih ini amat mudah dan boleh dipelajari oleh semua orang. Kuih lapis yang dibuat sendiri adalah lebih sesuai dengan citarasa sendiri. Kuih Lapis kini telah dikomersilkan dimana telah ramai usahawan tani yang menyediakan kuih lapis sejuk beku untuk pasaran dihotel-hotel dan beberapa premis lain. Artikel petang Sabtu ini sambil menonton TV3 cerita hindustan saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kuih lapis dan resepi mudah membuat kuih lapis untuk bacaan dan rujukan semua.


Kuih Lapis memang boleh dipelahari dengan mudah oleh mereka yang berminat dalam dunia masakan. Ia amat asas sehingga mereka yang baru belajar juga boleh membuatnya asalkan ada minat dan kemahuan. Ini kerana untuk membuat kuih lapis berwarna warna hanya perlukan bahan pewarna sahaja untuk banduhan adunan cecair tepung. Resepi Kuih Lapis Warna Warni perlukan beberapa bahan asas yang mudah dibeli terdiri dari bahan asas iaitu ½ cawan tepung ubi yang sebaiknya mesti diayak dulu untuk buang ketulan tepung dan sebanyak 1 ¾ cawan tepung gandum juga ia perlu diayak dulu. Bahan lain yang diperlukan adalah 3 ½ cawan santan pekat yang boleh gunakan kelapa segar yang diambil santannya atau gunakan santan paket yang dijual dipasaran. Santan ini yang akan memberikan rasa lemak kepada kuih lapis dan kuih yang sedikit berkilat. Bahan pemanis adalah sebanyak 1 cawan gula pasir dan bahan pewarna standard adalah 1 sudu teh esen ros serta sedikit atau secubit garam. Jika anda ingin membuat perubahan gunakan pewarna yang ada dijual dipasaran. Tentunya jika dikatakan kuih lapis pelangi ia mempunyai 7 asas warna pelangi untuk mencantikkan lagi kuih tersebut cuma kerja agak lebih sedikit membancuh banyak warna. Lazimnya pemilihan warna terpulang pada citarasa sendiri. Bagaimana pun adunan yang betul akan menghasilkan kuih lapis yang enak, tahan lama dan menarik (Sila lihat foto disebelah). Peralatan yang digunakan iaitu pengukus yang baik juga berperanan dalam menentukan kualiti kuih lapis.


Cara membuat Kuih Lapis dimulakan dengan memutar gula dan santan kelapa sehingga hancur. Pada masa ini cara paling mudah dan cekap adalah mengisar menggunakan blender.  Ia kemudian ditambahkan dengan esen ros untuk menimbulkan warna dan aroma harum. Seterusnya adalah dengan memasukan tepung ubi dan tepung gandum yang telah diayak dengan cara sedikit demi sedikit. Adunan ini perlu terus dikacau sehingga rata dan kemudian untuk menambah enak boleh ditambahkan sedikit garam. Seteusnya adalah penting dilakukan iaitu menapis jika adunan bergentel. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan letakkan warna yang berlainan untuk setiap bahagian. Tuangkan satu senduk adunan kedalam loyang yang telah disapu dengan sedikit minyak dan letakkan loyang dalam pengukus yang telah panas airnya. Lazimnya kerja mengukus untuk beberapa minit sekitar antara 3-4 minit. Keluarkan loyang dan tuangkan sesenduk lagi adunan dengan warna adunan yang berbeza. Ulangi proses di atas sehingga habis kesemua adunan berlapis-lapis. Selalunya untuk lapisan terakhir ia perlu dikukus selama 20 minit. Selepas proses memasak selesai maka keluarkan loyang dari pengukus dan sejukkan terlebih dahulu sebelum menghidangkannya. Cara memotong kuih lapis ada seni tersendiri sama ada potongan standard untuk jualan, potongan serong, potongan bergelombang dan sebagainya. Kuih lapis sesuai dihidangkan dengan satu lapisan daun pisang untuk mencantikan hidangan. Lazimnya kuih lapis komersil akan menggunakan lapisan plastik jernih untuk pemisah dan tidak melekit. Semuga tulisan blog Anim Agro Technology ini membangkitkan selera anda untuk membuat sendiri kuih lapis atau membelinya sahaja. Wasallam!.
KUIH LAPIS... CANTIK WARNANYA...
MERAH PUTIH... PALING DITANYA...
WARNA PELANGI... LAMA BUATNYA...
KUIH TRADISIONAL...ADUH ENAKNYA...

By,
M Anem,
Senior Agroomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Putrajaya.
(16 Safar 1437H)
Posted from Room 238,
Serena Hotel, Faisalabad,
Pakistan. (1 week workshop on Climate Change 2015)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.