Wednesday, December 9, 2015

AARI - FAISALABAD

AARI atau Ayub Agriculture Research Institute yang terletak di Faisalabad, Pakistan adalah merupakan sebuah pusat penyelidikkan pertanian yang terkenal di Pakistan. Penulis yang berpeluang melawat institut tersebut pada 3 Disember 2015 dapat mendengar taklimat daripada Ketua Pengarah AARI dan membuat lawatan mengenai aktiviti yang dijalankan oleh institusi unggul ini dalam beberapa bidang penyelidikkan. Ayub Agricultural Research Institute (AARI) adalah badan kerajaan tersohor yang telah menjalankan penyelidikkan dalam menghasilkan teknologi pertanian terletak di Negeri Punjab iaitu kawasan yang mempunyai tanah pertanian yang subur. Terdapat juga Universiti Pertanian Faisalabad (UAF) yang berhampiran dengan institusi ini yang merupakan sebuah universiti yang berasaskan pertanian unggul di Pakistan. Pertanian adalah sektor penyumbang utama kepada ekonomi Pakistan dengan sumbangan melebihi 20.3% kepada Keluar Dalam Negara Kasar (GDP) bagi negara tersebut. AARI telah ditubuhkan pada tahun 1962 selepas institusi dipisahkan antara aktiviti penyelidikan dengan pendidikan tinggi dari UAF. Pada masa itu dilakukan pengabungan melibatkan dua institusi iaitu Punjab Agricultural College dan Research Institute Lyallpur (ditubuhkan pada 1906). Kini AARI ujud sebagai institusi berprestij dalam menghasilkan teknologi baru dalam bidang pertanian terutama untuk tanaman bijirin seperti Padi, Gandum, Kapas, Jagung, Tebu dan beberapa tanaman makanan yang lain. Objektif utama AARI adalah untuk mereka membangunkan teknologi pertanian untuk tujuan keselamatan makanan negara (food safety) serta lahirkan generasi pertanian yang lebih lestari (sustainable generation) bagi kecukupan makanan dalam negara dan pasaran eksport. Institut ini terlibat secara langsung dalam aktiviti pembangunan pertanian dibawah konsep "Green Revolution" di Pakistan dalam tahun 1960'an. Aktiviti penyelidikan kini berterusan sehingga menjadi sebagai sumber teknologi dalam sektor pertanian. Institut yang luas ini mempunyai seramai 5,200 kakitangan daripada saintis sehingga kepada lapisan pekerja dibahagian operasi. Artikel subuh ini dari bilik 268, Serena Hotel Faisalabad, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu lagi pusat penyelidikan pertanian yang unggul di Pakistan yang sebenarnya berjaya menghasilkan pelbagai teknologi dan varieti tanaman untuk bacaan dan rujukkan anda.



Ayub Agricultural Research Institute (AARI), Faisalabad, Pakistan ini mempunyai kawasan tanah rata yang subur dilembangan Tanah Indus dan disekelilingnya merupakan kawasan utama pengeluaran tanaman padi, gandum, jagung dan tebu. Logo AARI menunjukkan aliran air dan gandum serta bulan dan bintang (Sila lihat foto disebelah).  Pakistan adalah negara dengan seramai 198.7 juta orang penduduk (2015) dengan kadar pertumbuhan GDP 3.8% setahun. Ia adalah sebuah negara pertanian dengan tanaman makanan sebagai tanaman yang penting. Ia mempunyai kawasan tanah pertanian seluas 22.73 juta hektar dimana seluas 19.4 juta hektar mempunyai sistem pengairan yang amat baik. Seramai 43% (82.4 juta orang - Hampir 3 kali ganda dari penduduk Malaysia) terlibat dengan pekerjaan dalam sektor pertanian. Jumlah pemilikan tanah pertanian bertambah daripada 3.7 juta kebun kepada 8.26 juta kebun menjadikan kadar keluasan pemilikkan tanah menurun dengan keluasan 64% dibawah 5 hektar seorang. Pakistan kini salah satu pengeluar utama dalam komoditi Padi, Kapas Gandum, Jagung serta gula tebu. Tanaman ini diusahakan oleh petani dikawasan tanah subur menjadi bahan eksport yang penting. Prestasi empat jenis tanaman ini sangat penting (crucial) kepada ekonomi Pakistan dan keselamatan makanan negara tersebut. Kadar pertumbuhan pertanian dengan kapasiti 5% setahun pada tanaman kapas, padi, gandum dan jagung membolehkan peranan AARI dalam pembangunan pertanian semakin ketara. Banyak kajian dijalankan di AARI yang telah memberi kesan positif dan signifikan kepada penghasilan dan produktiviti komoditi pertanian dinegara tersebut. Beberapa varieti padi, gandum, kapas dan jagung kini dihasilkan oleh AARI menjadi pilihan petani untuk ditanam sebagai tanaman komersil. Kepakaran pakar penyelidik tempatan dan kerjasama dengan beberapa negara lain membolehkan AARI unggul dalam menghasilkan teknologi pertanian disebarkan kepada petani melalui agen-agen pengembangan di Jabatan Pertanian.


Dalam taklimat khas yang diberikan oleh Ketua Pengarah AARI, institusi ini memang banyak menjalankan penyelidikan dalam beberapa komoditi utama dengan tumpuan kepada peningkatan produktiviti untuk jangka masa pendek dan jangkamasa panjang. Program biakbaka untuk mencari varieti baru melalui penambahbaikan genetik beberapa jenis tanaman bijirin terpilih dilakukan. Pembangunan teknologi untuk peningkatan produktiviti tanaman di AARI dilakukan mengikut tahap komersil untuk pengeluaran makanan. Salah satu yang saya lawati adalah Pusat Penyelidikan Gandum yang menjadi nadi utama komoditi penanaman gandum di Pakistan (Sila lihat foto disebelah). Gandum yang ditanam menggunakan varieti yang dihasilkan oleh AARI dengan beberapa pilihan varieti mengikut lokaliti dan kesesuaian iklim. Tumpuan juga dijalankan dalam penyelidikan mengenai serangga perosak dan penyakit tanaman utama serta kajian mengenai kesan rumpai terhadap prestasi tanaman utama. Apa pun kajian mengenai keberkesanan penggunaan dan kawalan air untuk pertanian amat diberikan penekanan yang luas. Ini kerana sumber air untuk pertanian semakin kritikal dengan jumlah keperluan untuk domestik dan penghasilan tenaga eletrik. Penyelidik juga terlibat dengan keperluan penggunaan baja, kajian mengenai penentuan kesuburan tanah dan bagaimana kolerasinya dengan tumbuhan. Terdapat makmal khusus yang mengkaji tanah dan sistem pembajaan dari beberapa lokasi yang diujudkan di Pakistan. Kajian dan penyelidikan mengenai aktiviti lepas tuai, Bahan GMO, Kultur Tisu Benih Tanaman dan penggunaan (introduction) benih varieti baru dilakukan mengikut kesesuaian iklim. Apa yang penting adalah dimana semua maklumat hasil penyelidikan dari AARI dapat disebarkan kepada petani melalui beberapa kaedah termasuk melibatkan agen-agen pengembangan. Kepada mereka yang ingin menghubungi AARI boleh melakukan konteks kepada Ayub Agricultural Research Institute (AARI), Faisalabad, Pakistan pada talian iaitu LL : +92-41-9201671-72 atau No Fax : +92-41-9201673 atau melalui diberikan. AARI merupakan sebuah pusat penyelidikan kebangsaan di Pakistan yang mampu memberikan sumbangan kepada pembangunan sektor pertanian dinegara tersebut. Coretan ini diharap memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!...




AARI di FAISALABAD...ADA DIPAKISTAN...
KAWASAN LUAS... BUAT PENYELIDIKAN...
TANAMAN BIJIRIN... IA DI UTAMAKAN...
AMAT BERJAYA... MAJUKAN PERTANIAN..

By,
M Anem,
senior Agronomist,
Room 268, Serena Hotel Faisalabad,
Club Road, Faisalabad, 
Punjab, Pakistan.
(5 Disember 2015) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.