Monday, November 9, 2015

KOPI - IMPOT DAN EKSPOT

KOPI (Coffea spp) merupakan tanaman penting di usahakan oleh beberapa negara di ketuai oleh Brazil dan diikuti negara Vietnam, Colombia, Indonesia dan India. Pengeluaran kopi Brazil hampir menguasai 40% pengeluaran kopi dunia dengan jenis Kopi Jenis Arabica dan Jenis Robusta yang diminati pengguna dan ia berkualiti. Pengambilan minuman kopi yang mengandungi 'caffien' telah menjadi kegemaran penduduk diseluruh dunia sebagai minuman berjenama dengan cara promosi tersendiri oleh syarikat berasaskan biji kopi. Pengambilan minuman kopi adalah kedua terpenting selepas pengambilan minuman air mineral. Di negara kita Malaysia, sekarang ini setiap hari dihidangkan dengan iklan oleh Nescafe, LA Coffee dan sebagainya yang menjadikan lebih ramai peminat kopi membelinya kerana kukuhnya pengaruh iklan di media elektronik. Kopi juga telah diangkat sebagai minuman eksclusif dengan ujudnya banyak premis seperti 'Star Buck', Doi Chaang, Kopitiam dan banyak jenama lain. Kalau dulu kita minum kopi atau Kopi-O cuma RM1.00 - RM2.00 sahaja tetapi kini dengan promosi dan 'gaya hebat' yang ditonjolkan harga minuman kopi dijual 10 kali ganda daripada minuman kopi biasa. Walau pun harga secawan kopi mahal harganya, pengunjung kedai kopi mahal tersebut semakin ramai setiap tahun dan bilangan premis juga semakin bertambah. Premis tersebut kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti TV, Wifi, pelbagai makanan lain dan kemudahan Air-Condition serta kedudukan lokasi yang amat strategik. Rakyat Malaysia memang tidak pernah ketinggalan dengan gaya hidup yang melibatkan minuman kopi ini. Produk Kopi keluaran Tradisional juga tidak kurang hebatnya terutama dikalangan masyarakat luarbandar dan juga bandar. Beberapa jenama tempatan kopi seperti Kopi 434, Kopi Cap Tupai, Kopi Cap Anggerik, Kopi Cap Murid dan sebagainya menjadi kegemaran. Ini belum lagi jenis Kopi 3-in-One yang mana Malaysia adalah pengeluar produk seperti ini yang terkenal didunia. Pasaran kopi 3-in-One ini memang meluas dan amat mudah digunakan kerana ia adalah ready-made yang mudah dibawa, eanak rasanya dan harga berpatutan. Daripada manakah bahan asas kopi yang diproses di Malaysia?. Adalah kita mempunyai sumber bekalan kopi mencukupi?. Apakah jenis koli yang baik dan berkualiti untuk pasaran?. Adakah Malaysia mengimpot kopi?. Dari manakan kopi ini diimpot?. Berapakah jumlah impot kopi ke Malaysia dalam setahun?. Artikel petang ini dari Aras 7 Hotel Pine Tree yang menghadap Gunung Banang, Batu Pahat saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai impot dan ekspot kopi serta beberapa isu mengenai industri kopi sekadar mengaktifkan minda kita.

Tanaman Kopi telah diperkenalkan di Malaysia semenjak kurun ke 17 oleh penjajah sebagai tanaman baru yang berpotensi dijalankan secara estet mahu pun oleh pekebun kecil. Keluasan tanaman kopi di Malaysia telah menurun daripada 9,740 hektar (1996) kepada 8,557 hektar (2005) dan seluas hanya 3,160 hektar pada tahun 2010. Sebanyak 20,952 metrik tan biji kopi jambu dihasilkan pada 2010 dengan jumlah nilai pengeluaran sebanyak RM 12.355 juta. Kawasan tanaman kopi utama di Malaysia adalah di Sabah (60%) diikuti dengan Johor (30%) dan ada beberapa negeri lain seperti Selangor, Perak dan Sarawak yang menanam kopi tetapi keluasan sangat kecil. Kebanyakan kawasn penanaman kopi di Johor adalah merupakan kopi dari jenis Liberica. Penanaman kopi di Sabah 75% adalah kopi jenis Robusta terutama di kawasan Tenom. Kopi Jenis Catimor ada ditanam di tanah tinggi Ranau dan Kundasang. Pada masa ini penanam kopi di Malaysia 95% adalah pekebun kecil dan tidak ada ladang kopi ditanam secara estet. Antara beberapa varieti kopi yang ditanam sekarang bagi menggantikan kopi lama adalah jenis Liberika seperti MKL2, MKL3, MKL4, MKL 5, MKL6 dan MKL7 serta yang terbaru adalah MKL8. Sementara bagi jenis Robusta adalah MKR2, MKR3, MKR4 dan MKR5. Penulis dapait ada varieti Polyhibrid yang ditanam oleh beberapa petani di Johor sebagai tanaman selingan atau tanaman intergrasi dengan tanaman kelapa. Dalam lawatan penulis di Kg Tampok Laut, Pontian dan Senggarang juga mendapati prestasi projek tanaman kopi MKL dengan Kelapa Matag amat sesuai dan memberikan pendapatan yang baik kepada petani. Kelapa Matang mampu memberikan hasil antara 15,000 - 18,000 biji sehektar setahun dan hasil kopi MKL sekitar 8-12 kg/ha kopi jambu. Purata pendapatan bersih petani berdasarkan harga semasa untuk projek ini diantara RM 1,800 - RM2,100 sehektar sebulan.  


Sumber: Nota Ceramah, Status Industri Kopi di Malaysia, Mohd Anim
Penulis mendapati permintaan kopi di Malaysia adalah sebanyak 95,000 - 110,000 metrik tan setahun berbanding dengan pengeluaran kopi tempatan hanya sekitar 3,000 metrik tan setahun (Sila rujuk Jadual diatas). Ini bermakna Malaysia hanya mampu mengeluarkan 2.8 - 3.2% untuk kegunaan domestik biji kopi mentah. Malaysia mengimpot sebanyak 197% biji kopi mentah untuk di proses dikilang kopi. Antara beberapa pengimport yang banyak dan besar di malaysia seperti Nestle Sdn Bhd, Haco Sdn Bhd, Dan Kaffe dan sebagainya. Syarikat Nestle merupakan antara syarikat yang popular menghasilkan produk berasaskan kopi iaitu jenama NESCAFE. Produk Nescafe adalah produk kopi kebanyakannya dalam bentuk mudah larut atau pun lebih popular dengan Instant Coffee. Biji Kopi Mentah (green beans) ini diimpot daripada beberapa negara jiran seperti Indonesia, Vietnam dan juga beberapa negara lain. Semasa artikel ditulis menunjukkan ada 96 syarikat yang mengimport biji kopi mentah dimana 90% daripadanya dalam bentuk biji kopi mentah, 9% roasted coffee beans dan hanya 1% adalah grounded coffee beans (Sumber: Laporan ststistik, MOA). Sebanyak 47% biji kopi mentah diimport dari negara Indonesia, 33% diimport daripada Vietnam dan 5% diimport daripada Brazil. Bakinya sebanyak 15% diimport daripada negara seperti Costa Rica dan Colombia.  


Penanaman kopi di negara kita perlu dimajukan semula dalam masa akan datang untuk menjamin pengeluaran kopi terjamin dan mengurangkan kebergantungan iport. Dalam cadangan Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11) dan pembentangan bajet 2016 oleh Perdana Menteri dimaklumkan bahawa ada insentif untuk membangunkan semula industri kopi negara dengan Program Penanaman Baru dan Pemulihan Semula Kebun Kopi Sedia ada. Program tanaman kopi ini dijangka akan mampu meningkatkan keluasan penanaman kopi dan seterusnya meningkatkan penghasilan biji kpi mentah. Walau pun pada peringkat awal perlaksanaan mungkin tidak ramai petani yang mahu menanam kopi, dengan pendekatan sistem intergrasi bersama tanaman kelapa mungkin ia boleh dilaksanakan. Pemilik kebun kelapa yang ada ruang kosong diantaranya sesuai ditanam dengan kopi. Ini akan dapat meningkatkan pendapatan petani selain daripada hanya bergantung kepada hasil kelapa sahaja. Dijangka dengan insentif bantuan input pertanian dan benih kopi yang diberikan akan menjadi galakan program penanaman kopi. Teknologi penanaman, amalan agronomi dan pemprosesan kopi jambu kepada green beans perlu diberikan kepada pengusaha untuk mendapatkan harga jualan premium. Semuga tanaman kopi akan muncul semula di Malaysia untuk mengurangkan kebergantungan import. Wasallam!.
BIJI KOPI MENTAH... DARI MANA...
INDONESIA VIETNAM..SUMBERNYA...
KOPI DIIMPORT... LOKAL MACAMANA...
RMK11 DIKAJI... PENANAMAN DIMULA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(28 muharam 1437)
Bersamaan 7 November 2015  

   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.