Wednesday, July 8, 2015

KELOR - AGRONOMI TANAMAN

KELOR (Moringa oleifera) atau Merunggai adalah sejenis tumbuhan tropika dari keluarga Moringaceae yang natif dikawasan Asia seperti India. Tumbuhan ini akan tumbuh menegak dengan mempunyai banyak cabang dan ia mampu tumbuh sehingga ketinggian batang 7 -11 meter. Daun kelor berbentuk bulat telur dengan ukuran kecil-kecil bersusun majmuk dalam satu tangkai yang merupakan bahagian penting untuk dimakan sebagai sayur dan dijadikan sebagai bahan untuk ubat. Bunganya berwarna putih kekuning-kuningan dengan tudung pelepah bunganya berwarna hijau. Bunga Kelor di Malaysia lazimnya keluar sepanjang tahun dengan aroma bau semerbak pada kadar sederhana (Lihat foto dibawah). Buah kelor berbentuk segitiga memanjang yang disebut 'kelentang' dimana ia juga dapat dimakan sebagai sayuran. Keluasan penanaman kelor di Malaysia tidak dapat dipastikan kerana tidak ada data rasmi dari Jabatan Pertanian mengenai keluasan tanaman ini. Bagaimana pun penulis menganggarkan sekitar 15 hektar CHE (Crop hectarage equivalent).  Kini penulis belum ada maklumat rasmi mengenai penanaman kelor yang ditanam secara monokrop komersil yang luas dilaporkan di negara kita dimana kebanyakan pokok kelor ditanam dikawasan keliling rumah sahaja. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi dan amalan agronomi penanaman kelor berdasarkan lawatan persendirian ke Indonesia dan beberapa lokasi di Malaysia dan juga membuat rujukkan dari beberapa buah buku.


Beberapa buku melaporkan yang Kelor ini juga dipanggil sebagai Kelor, Limaran (Indonesia), Moringa, Ben-oil tree, clarifier tree, drumstick tree (Inggeris), Kalor, merunggai (Melayu), Chùm ngây (Vietnam), Ma-rum (Thailand) dan Malunggay (Filipina). Ia mempunyai batang berkayu (lignosus), yang tumbuh menegak dengan kulit berwarna putih kotor yang mana ia adalah kulit nipis serta ada permukaan kasar. Bentuk cabang pokok adalah simpodial dimana arah cabang tegak atau senget yang sering juga tumbuh lurus dan memanjang. Apa yang saya perhatikan, bahagian daun jenis majmuk yang juga mempunyai tangkai yang panjang dimana daunya bersusun bersilang (Alternate). Warna daun muda adalah hijau muda dan menjadi hijau gelap apabila matang. Buah Kelor adalah berbentuk panjang bersegi tiga dengan ukuran panjang sekitar 20 - 60 cm. Buah muda berwarna hijau kemudian bertukar kepada coklat setelah tua. Bentuk bijinya adalah bulat yang berwarna coklat kehitaman dimana pokok kelor yang telah berumur 12 - 18 bulan akan berbuah. Akar pokok jenis tunjang yang berwarna putih dan ia lazimnya akanmembesar seperti lobak.


Pokok Kelor selalunya akan sentiasa menghasilkan dahan panjang yang tumbuh secara tegak (vertical) dimana ia mengeluarkan daun dan buah kelor hanya pada bahagian hujungnya. Perlu diketahui jika pokok dibiarkan tumbuh secara semulajadi, ianya akan tumbuh tinggi lebih 10 -12 meter dan sukar untuk kita menuai hasilnya.  Aktiviti memangkas tunas pada batang utama pokok diperlukan bila pohon mencapai ketinggian 50 cm sampai 1.0 meter (Lihat foto sebelah). Aktiviti ini akan membolehkan pertumbuhan cabang lateral yang banyak dimana ini akan meningkatkan hasil serta  mengurangkan ketinggian pokok. Selain itu, dengan pemangkasan akan mengurangkan risiko kerosakan pokok tumbang akibat angin kencang. Aktiviti memungut hasil dari pokok kelor akan lebih mudah apabila pokok tidak terlalu tinggi. Pada peringkat awal cantasan kita boleh patahkan pucuk dengan kuku jari kerana batang pucuk pokok masih lembut. Bagaimana pun jika batang atau dahan sudah keran perlu gunakan parang atau gergaji yang ssuai. Sapu dengan racun kulat dikawasan dipotong agar elakkan serangan penyakit kulat.


Penanaman kelor secara komersil dan monokrop boleh dijalankan diatas tanah subur dengan sistem saliran yang baik.
Bijibenih Kelor dapat bercambah dengan mudah walau pun tanpa sistem pengairan sempurna asalkan ada hujan mencukupi. Akar anak benih yang tumbuh akan terus naik berkembang dalam dua puluh hari dan amat kritkal dibekalkan air melalui sistem pengairan untuk terus sihat. Sebaiknya 3 bulan pertama penanaman air diberikan sehingga akarnya mampu hidup stabil didalam tanah. Sistem pengairan titis atau renjis boleh dipasang (Lihat foto sebelah) untuk mempastikan hasil yang tinggi dan keperluan dimusim kemarau. Kekurangan air dimusim kemarau akan menyebabkan daun pokok kelor mengugurkan daun walau pun sebenarnya pokok tidak mati. Aktiviti membuat cantasan dahan sebaiknya dibuat pada awal musim hujan setelah kita menambahkan baja organik. 


Kawasan penanaman kelor sering tumbuh rumpai yang perlu dihapuskan. Ini kerana rumpai yang tumbuh akan terus bersaing dengan pokok kelor untuk makanan, air, cahaya matahari selain daripada perumah kepada perosak. Kerja merumput boleh dijalankan secara manual dengan cara menggunakan cangkul disamping dapat menggemburkan tanah dan menamban baja kompos dari pereputan rumpai (Lihat foto sebelah). Rumpai yang tebal akan menyebabkan daun kelor kekuningan kerana kurang baja Nitrojan (N) yang diambil oleh rumpai. Aktiviti untuk membuang rumpai lebih kerap ketika pokok kelor masih muda dimana cahaya matahari sampai kepada tanah tetapi akan berkurangan apabila pokok menjadi dewasa. Lazimnya kerja mengawal rumpai dijalankan 4 kali setahun apabila pokok dewasa dan kekerapan mungkin lebih dimusim hujan. Rumput yang dipotong sebaiknya diletakkan dibawah pokok untuk mengawal kelembapan selain daripada meningkatkan baja apabila ia mereput. Penggunaan penutup bumi plastik silvershine kini  lebih praktikal untuk mengawal rumpai. 


Pembajaan pokook kelor memerlukan adalah penting untuk mendapatkan hasil tinggi. Pokok Kelor dapat menghasilkan daun dalam jumlah besar, apabila ia mendapat cukup zat penting atau pun baja organik. Kandungan daun Kelor kaya protein dan mineral bermakna yang tanah dikawasan penanaman mesti menyediakan nitrogen dan mineral yang cukup bagi tanaman. Berbanding dengan baja kimia, baja organik seperti tahi kambing atau baja kompos dapat memberikan zat baja yang diperlukan serta ia mampu memperbaiki struktur tanah. Pemberian bokashi yang merupakan campuran tahi kambing, kompos dan jerami padi kering yang diproses dengan mikrob (organisma berfaedah) amat digalakan penggunaannya. Program pembajaan perlu dijalankan dari peringkat awal penanaman sehingga pokok dewasa. Setelah dibuan cantasan awal pembentukkan selesai, maka cantasan penyelenggaraan perlu dilakukan. Aktiviti ini dapat dilakukan pada setiap kali aktiviti menuai hasil dilakukan iaitu dengan cara memotong semua batang di atas ketinggian tertentu. Sebaiknya ia dapat dijalankan pada awal musim hujan untuk membuat cantasan dan elakkan musim kemarau. Amalan agronomi yang baik untuk tanaman pokok kelor mampu memberikan pendapatan tambahan kepada petani. Wasallam!...


POKOK KELOR...TANAM DIMANA...
MUDAH TUMBUH...DARI BIJINYA...
PERLU DICANTAS... AWALNYA...
DIBERI BAJA... ADA HASILNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Tanah Pemuda 
Senai, Johor Bahru,
Johor, Malaysia.
(2 Rejab 1434H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.