Sunday, March 29, 2015

UBI KEMILI - TESTIMONI

UBI KEMILI (Coleus tuberosus) merupakan sejenis tanaman jenis umbisi dari keluarga Roxburghiaceae juga dikenali dengan Ubi Keling tetapi dikalangan kaum Jawa di Muar, Johor dikenali dengan nama "Kentang Jembut". Tanaman ini adalah sama famili dengan pokok bunga 'Ati-ati' yang banyak ditanam dikawasan rumah atau pokok bunga coleus. Pokok ini dipercayai natif dan tumbuh secar liar dikawasan hutan dan kebun terutama dikawasan tanah yang baru dibuka khasnya kawasan tanah gambut. Tiada maklumat rasmi mengenai jumlah keluasan tanaman ubi kemili di catitkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Ini kerana tanaman ini merupakan tanaman kurang penting yang hanya terdapat di Johor, Perak, Selangor dan Sarawak terutama jika terdapat masyarakat Jawa. Saya membuat anggaran terdapat sekitar 8 - 10 hektar tanaman ini secara CHE dengan mengambilkira penanaman secara kecil-kecilan yang dibuat. Daripada pemantauan saya dibeberapa negeri, tidak ada petani yang menanam tanaman ubi kemilii secara monokrop dengan kawasan luas sebaliknya ditanam secara poket atau diatas batas sahaja. Penulis menganggarkan mungkin terdapat kira-kira 15 - 25 Hektar tanaman ubi kemili iaitu keluasan CHE. Tanaman ubi kemili adalah sejenis pokok menjalar diatas tanah serta mempunyai akar rambut. Daunnya berwarna hujau muda dan berkerinting serta permukaan daun yang agak berbulu. Batangnya berwarna hijau muda dan lembut. Buah ubi kemili berada di bahagian akar pokok yang terbentuk dari akar yang membengkak. Saiz buah berbeza-beza dari ukurlilit 3 - 6 cm dan mempunyai kulit yang lembut berwarna hitam. Isinya berwarna putih jernih dan apabila dimasak akan menjadi putih. Ubi kemili mengeluarkan bau yang harum dan enak apabila di masak atau direbus . Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman kontan iaitu ubi kemili berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan juga pembacaan dari beberapa sumber.


TESTIMONI 1:
Ubi jembut laris di Ayer Hitam
Oleh SAHBULAH DARWI


Ubi jembut yang dijual  di Ayer Hitam, Johor.

BATU PAHAT 19 Sept. - Ubi kemili yang popular di kalangan masyarakat setempat dengan nama 'ubi jembut' kini menjadi tarikan baru di Pekan Ayer Hitam, di sini apabila makanan itu laris dijual setiap hari pada bulan Ramadan. Ubi berkulit hitam dengan saiz seperti buah langsat itu terkenal dengan keenakannya apabila direbus sebagai juadah berbuka puasa dan ia kebanyakannya ditemui dijual di gerai-gerai Ayer Hitam dekat sini. Seorang peniaga, Johan Sudin, 44 berkata, pelanggannya yang datang dari seluruh negeri rata-rata membeli ubi itu kerana di kawasan lain sukar ditemui. "Bekalan ubi jembut ini dihantar oleh pembekal yang memungut hasil kampung di sekitar daerah ini dan saya tidak menyangka sambutannya amat menggalakkan berbanding tahun-tahun sebelum ini," katanya ketika ditemuiUtusan Malaysia di sini baru-baru ini. Johan berkata, ubi yang juga dikenali dengan nama ubi tikus itu dijual dengan harga RM5 sekilogram dan dia mampu menjual antara lima hingga enam kilogram setiap hari sepanjang Ramadan ini.

Peniaga lain, Fauziah Johan, 37, berkata, ubi jembut di gerainya juga laris dijual terutama pada cuti umum atau hujung minggu kerana jumlah pelanggan biasanya bertambah dua kali ganda pada hari berkenaan. Katanya, dia bernasib baik kerana gerainya yang menjual ubi, keledek, pisang dan pelbagai jenis kerepek setakat ini tidak terputus bekalan kerana stok disediakan dengan baik daripada pembekal termasuk Jabatan Pertanian daerah. "Ubi ini memang terkenal di kalangan masyarakat setempat dan pada waktu ini orang luar daerah ini pun menggemarinya untuk dimakan dengan kelapa parut, gula atau garam selepas direbus," jelasnya. Sementara itu, katanya, rata-rata peniaga di kawasan itu menantikan jualan pada 10 hari terakhir sebelum Aidilfitri yang dijangka bakal mencatatkan jualan berlipat kali ganda. Peniaga kerepek, Nurina Kasmuri, 35, pula berkata, kedatangan Syawal memang dinanti-nantikan oleh peniaga di kawasan tersebut kerana barangan di gerainya biasanya habis dijual. "Inilah masanya pengunjung akan membeli dalam kuantiti yang banyak sebagai persediaan menyambut hari lebaran," katanya. Seorang penjual kerepek, Nur Azizah Kaliman, 37, pula berkata, dia berharap jualan pada sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini seperti tahun lalu yang berlipat kali ganda. "Pada tahun-tahun sebelum ini, pendapatan yang diperoleh sekali ganda, harapan saya, biarlah tahun ini begitu juga," katanya yang mengakui kini perniagaan kurang menggalakkan kerana kesan daripada kenaikan harga minyak.





TESTIMONI 2:
Ayer Hitam 'syurga' beli-belah
Oleh SAHBULAH DARWI


Bunga tiiruan yang dijual di Pekan Air Hitam, Johor.

BATU PAHAT 18 Sept. - Sebut sahaja Pekan Ayer Hitam di sini, apa yang terbayang dalam fikiran ialah deretan gerai-gerai menjual pelbagai barangan terutama pasu bunga dan barangan hiasan kepada para pelanggan dari seluruh negara. Lebih mudah untuk difahami, jika Perlis terkenal dengan Padang Besar dan Wang Kelian manakala Kelantan mempunyai Pekan Golok maka Ayer Hitam pula sinonim sebagai lokasi tumpuan menjual barangan hiasan dengan harga berpatutan di Johor. Suasananya meriah, bahkan menjadi cukup gamat pada hujung minggu atau cuti umum dengan kehadiran pelanggan berduyun-duyun bertali arus seawal 9 pagi kedai dibuka hingga ke 12 tengah malam operasi ditutup. Selain pasu bunga dan barangan hiasan, barangan lain yang dijual ialah kerepek, buah-buahan, barangan tembikar, permainan kanak-kanak, bantal, cenderamata dan barangan majlis perkahwinan turut dijual di pekan itu. Beberapa peniaga gerai di pekan itu ketika ditemui baru-baru ini berkata, kedatangan Syawal merancakkan lagi perniagaan kerana pekan itu biasanya menjadi tumpuan orang ramai membeli barangan persiapan menyambut Aidilfitri.

Johan Sudin, 44, yang berniaga hampir 30 tahun di kawasan itu berkata, tempoh itu adalah waktu yang ditunggu-tunggu bagi mengubati masalah kekurangan jualan barangan sejak kenaikan harga minyak, baru-baru ini. "Berdasarkan pengalaman lalu, jualan 10 hari sebelum Syawal meningkat dua kali ganda kerana orang ramai hendak buat persiapan menyambut perayaan," katanya. Menurutnya, antara barangan yang laris di gerainya ialah beraneka jenis kerepek, produk kampung, buah-buahan dan makanan setempat. "Sekarang pelanggan beli barang berhati-hati dan bersikap terlalu memilih kerana ingin berjimat disebabkan harga minyak mahal," katanya. Menurutnya, sikap pelanggan juga berubah selepas kenaikan harga minyak dan sebahagian pelanggan hanya 'mencuci mata' melihat barangan tanpa membeli barang.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana gerainya dikunjungi ramai pelanggan tetap dan pelanggan dari seluruh pelosok negara pada hujung minggu dan cuti umum. Peniaga kerepek, Nurina Kasmuri, 35, berkata, kedatangan Syawal memang dinanti-nantikan oleh peniaga di kawasan tersebut kerana barangan di gerainya biasanya habis dijual. "Inilah masanya pengunjung akan membeli dalam kuantiti yang banyak sebagai persediaan menyambut hari lebaran," katanya sambil memberi contoh kerepek pisang masin dan pedas biasanya laris pada waktu itu. Peniaga lain, Fauziah Johan, 37, berkata, buah-buahan dan tanaman kampung juga laris dijual seperti keledek, ubi kemili, ubi kayu dan keladi juga laris dijual. Menurutnya, bahan mentah itu dikehendaki pelanggan untuk dimasak dijadikan kerepek atau juadah berbuka puasa atau kuih-muih semasa menyambut Aidilfitri nanti. Seorang lagi penjual kerepek, Nur Azizah Kaliman, 37, pula berkata, dia berharap jualan pada sempena Aidilfitri kali ini seperti tahun lalu yang berlipat kali ganda. "Pada tahun-tahun sebelum ini, pendapatan yang diperoleh sekali ganda, harapan saya, biarlah tahun ini begitu juga," katanya yang mengakui pada waktu ini perniagaan kurang menggalakkan kerana kesan daripada kenaikan harga minyak.  Menurutnya, antara barang yang laris ialah hiasan dalaman seperti langsir, produk tembikar, pasu hiasan, permaidani dan bunga plastik atau tiruan.



TESTIMONI 3:
Khasiat dan kegunaan ubi kemili.

UBI KEMILI adalah sejenis herba saka berumpun, setinggi 60 - 90 cm dan ditanam sebagai tanaman semusim. Herba ini berubi dan rupanya seakan-akan ubi kentang. Ubinya berukuran 2-4 cm panjang, 0.5-2 cm lebar, berwarna hitam keperangan dan isinya berwarna putih susu.  Negara asal: Madagaskar atau Afrika Tropika dan tersebar hingga ke Sri Lanka, Thailand, Malaysia dan Indonesia. 

Kegunaan dan Khasiat
Ubi kemili direbus atau dimasak seperti juga ubi-ubi lain. Ubi ini juga menjadi ramuan dalam masakan daging, ikan, sup atau sayuran lain sebagai penyedap rasa dan memaniskan masakan itu.  Daun mudanya juga dibuat sayur dan menjadi ramuan penyedap rasa dalam masakan sayuran.  Khasiat ubi ini dalam tiap-tiap 100 g, bahagian yang boleh dimakan mengandungi nutrien iaitu air 75 g, protein 1.6 g, lemak 0.1 g, karbohidrat 21.7 g, serat 0.7 g, kalsium 51 mg, fosforus 27 mg, ferum 1.1 mg, natrium 7 mg, kalium 338 mg, vitamin A 0.0 mg, vitamin B1 0.16 mg, vitamin B2 0.07 mg, niasin 2.0 mg, vitamin C 8.1 mg.  Dalam tiap-tiap 100 g, bahagian yang boleh dimakan daunnya mengandungi: air 93.8 g, protein 0.9 g, lemak 0.3 g, karbohidrat 3.5 g, serat 0.6 g, kalsium 164 mg, fosforus 86 mg, ferum 3.9 mg, natrium 3 mg, kalium 119 mg, karotena 1231 mg, vitamin A 205 mg, vitamin B1 0.02 mg, vitamin B2 0.81 mg, niasin 0.8 mg niasin 0.8 mg dan vitamin C 2.1 mg. Demikianlah 3 testimoni mengenai ubi kemili untuk artikel kali ini yang dapat disediakan. Wasallam.

BULAT LONJONG.... UBU KEMILI...
KENTANG JEMBUT...NAMA DIBERI...
TANAH GAMBUT... AMAT DIGEMARI...
ORANG JAWA... AMAT SUKA SEKALI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pekan Air Hitam,
Batu Pahat, Johor,
Malaysia.
(15 Muharam 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.