Monday, February 23, 2015

PADI - SEMAKAN TANAMAN PADI (Part 1)



SEMAKAN TANAMAN PADI (Rice Check) adalah satu
panduan untuk menguruskan tanaman padi (Oryza sativa) mengikut sasaran yang ditetapkan. Terdapat 10 peringkat yang ada dimana setiap peringkat Rice Check Utama mesti ditepati untuk pertumbuhan tanaman padi yang baik ke arah penghasilan yang lebih tinggi. Aktiviti pemantauan dan pemerhatian pokok padi dan status sawah/ ladang dari segi pertumbuhan, pengurusan air, pembajaan, serangan rumpai dan perosak dan tuaian adalah faktor yang penting untuk mengenalpasti masalah dan perlu untuk mengambil tindakan penyelesaian masalah. Pertumbuhan tanaman padi perlu diperhati, diukur dan disimpan data untuk panduan pengurusan musim selanjutnya. Kita perlu belajar dari pengalaman dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mempertingkatkan pengurusan ladang setiap musim. Pengamalan semakan tanaman padi merupakan satu dari Amalan MyGAP yang perlu diamalkan oleh pesawah diseluruh Malaysia sama ada dikawasan jelapang padi mahu pun dikawasan luar jelapang padi. Jadual 1 dibawah menunjukkan purata pengeluaran padii negara sekitar 4,476 kg sehektar (4.4 mt/ha) yang melibatkan seluas 194,356 hektar kawasan utama jelapang padi di Malaysia. Kawasan MADA merupakan kawasan pengeluaran utama padi negara dengan keluasan 96,558 hektar dan purata pengeluaran 5,038 kg/ha dengan jumlah pengeluaran padi sebanyak 963,189 mt pada tahun 2010. Pengamalan semakan tanaman padi oleh pesawah dikawasan jelapang padi amat penting bagi meningkatkan prodiktiviti padi negara. Artikel subuh Ahad ini saya berkarya lagi dalam "Anim Agro Technology" pemahaman penulis mengenai 'Rice Check' untuk dikongsi bersama anda semua.

Jadual 1: Maklumat Pengeluaran Padi diKawasan Jelapang Padi 2010


RICE-CHECK UTAMA 1

PENENTUAN STATUS KEASIDAN TANAH


Sawah Padi di Malaysia lazimnya mempunyai 3 jenis tanah yang berasaskan kepada bahan induk iaitu Tanah Lanar Laut (Kawasan Pantai Barat Semenanjung - Kawasan MADA), Tanah lanar Sungai (Kawasan Pantau Timur KETARA dan KADA) dan Jenis Tanah Lanar Organik (Seperti di Rompin, Barat Laut Selangor dan Sarawak). Paras keasidan tanah dalam sawah menentukan kadar pembajaan, pengurusan dan juga penghasilan. Pastikan tanah sawah tidak berasid merupakan satu faktur penting dalam tanaman padi. Oleh itu pesawah perlu mendapatkan bantuan Pegawai-Pegawai Pengembangan PPK MADA dan Jabatan Pertanian untuk menentukan keasidan tanah. Kajian menunjukkan pH tanah yang paling sesuai untuk tanaman padi ialah 5.5 - 6.5. Jika bacaan pH tanah kurang dari pH 5.5 tabur kapur jenis debu atau sembur kapur jenis cecair. Penggunaan jenis kapor dan ketepatan amat penting. Kadar kapur debu yang perlu digunakan ialah jikakada bacaan pH 5.0 – 5.5 maka ditabur sebanyak 1.4 tan/hektar kapor atau pun kadar 16 beg/ relong @ 25 kg/beg. Seterusnya jika bacaan pH 4.5 - 5.0 maka perlu ditabur sebanyak 2.8 tan/hektar kapor (32 beg/relong @ 25 kg/beg), Jika bacaan pH 4.5 dan kurang maka perlu ditabur sebanyak 5.0 tan/hektar (57 beg/relong @ 25 kg/beg). Jika jenis kapur cecair digunakan maka kadar yang disyorkan ialah pada bacaan pH 4.5 – 5.0 maka perlu disembur sebanyak 17.5 liter/hektar (5 liter/relong). Jika bacaan pH 3.5 - 4.5 maka perlu disembur 35 liter/hektar kapor cecair (10 liter/relong). Jika bacaan pada pH 3.5 dan kurang maka perlu disembur sebanyak 52.5 liter/hektar kapor cecair (15 liter/relong). Analisa tanah yang lengkap berkaitan status kemasaman atau kesuburan tanah akan dilakukan oleh MADA dan Jabatan Pertanian secara berperingkat-peringkat. Syor pembaikan akan dikeluarkan berdasarkan kepada keputusan yang didapati.


RICE-CHECK UTAMA 2

KEADAAN PETAK SAWAH


Konsep untuk Rice-check kedua adalah "Petak sawah mestilah rata dan dijaga dengan baik". Ini bermakna pada permukaan sawah mestilah rata. Perbezaan antara tempat paling rendah dan paling tinggi lebih kurang 5 cm (2 inci). Lakukan perataan tanah pada musim kering jika tanah sawah tidak rata. Batas mesti dijaga dengan sempurna untuk mengawal air di dalam petak. Jangan guna racun rumpai jenis menyerap contohnya glifosat dengan kerap untuk mengawal rumpai di atas batas kerana ia boleh menyebabkan struktur tanah batas runtuh. Sebaiknya guna mesin rumput jenis galas untuk kawalan rumpai di batas. Pastikan adanya tempat air masuk dan keluar bagi setiap petak sawah. Anda boleh membaca teknologi merata sawah padi dengan membaca artikel saya sebelum ini mengenai merata sawah (Sila klik disini). Merata sawah banyak membantu dalam peningkatan hasil padi.


RICE-CHECK UTAMA 3

KAWALAN PADI ANGIN


Konsep ketiga adalah "Padi angin boleh mengurangkan hasil padi sehingga 90%". Kenalpasti petak yang mengalami infestasi padi angin musim lepas bagi memudahkan kawalan dijalankan pada musim ini. Kaedah paling berkesan mengawal padi angin ialah menanam (mencedung). Sekiranya kaedah tabur terus hendak diamalkan pastikan langkah-langkah berikut diikuti. Pertaman potong tunggul padi rapat dengan tanah antara 0 hingga 5 hari lepas menuai.Serakkan dengan sekata di dalam petak. Kemudian bakar jerami yang kering. Ini bertujuan bagi memusnahkan benih padi (termasuk benih padi angin) yang terdapat di atas permukaan tanah. Buat putaran kering 7-14 hari selepas membakar jerami. Ini bertujuan memusnahkan benih padi yang tumbuh selepas pembakaran. Sembur racun glifosat jika masih lagi terdapat padi batat yang tumbuh selepas 7-10 hari putaran kering dijalankan. Buat putaran kedua dalam keadaan basah (air bertakung). Selepas putaran ini sembur racun pretilachlor pada kadar 500 ml/relong ke atas permukaan air. Ini bertujuan bagi membunuh benih padi yang terdapat di dalam air bagi petak tersebut. Takung air sekurang-kurangnya 7 hari sebelum disalir keluar. Buat putaran ketiga diikuti dengan membadai dan pembinaan lorong kerja pada jarak 10 kaki antara lorong. Tabur benih bermutu (didapati dari sumber yang sah) yang direndam dengan bahan penggalak percambahan benih bagi membantu pertapakan anak benih yang baik. Buat penakaian (potong) padi meninjau sebelum tangkai padi masuk isi. Jika hendak membaca artikel saya mengenai padi angin (Sila klik disini). Sekiranya kaedah menanam dan kaedah di atas tidak dapat diikuti, kaedah tabur benih dalam air disyorkan. Sila baca artikel selanjutnya dalam Semakan tanaman Padi Part 2 dan Part 3. Wasallam!.



SEMAKAN TANAMAN PADI.... ADA...
10 PERKARA... MUDAH SAHAJA...
AMALAN MYGAP... SYARATNYA...
HASIL TINGGI... HATI GEMBIRA....


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 212, Hotel Tandop, Jalan Langgar,
Alor Setar, Kedah,
Malaysia.
(13 Rabiulawal 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.