Saturday, January 31, 2015

SETOR MYGAP MODEN


SETOR MyGAP merupakan satu keperluan dalam proses untuk persijilan MyGAP. MyGAP (Malaysian Good Agricultural Practices) telah dilancarkan oleh YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 28 Ogos 2013. MyGAP adalah penjenamaan semula Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM), Skim Amalan Ladang Ternakan (SALT) dan Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM). MyGAP adalah skim pensijilan yang komprehensif untuk sektor tanaman, akuakultur dan ternakan. MyGAP dilaksanakan berdasarkan piawaian Malaysian Standard (MS). MS 1784:2005 Crop Commodities – Good Agricultural Practice digunakan untuk modul sektor tanaman dan MS 1998:2007 Good Aquaculture Practice (GaqP) – Aquaculture Farm – General Guidelines serta MS 2467:2012 – Code of Practice for Seaweed Cultivation untuk modul sektor akuakultur. Manakala MS 2027:2006 Good Animal Husbandry Practice untuk sektor ternakan. Good Agricultural Practice (GAP) atau Amalan Pertanian Baik adalah amalan pertanian yang menekankan aspek alam sekitar, ekonomi dan sosial untuk memastikan produk yang dihasilkan selamat dan berkualiti. MyGAP adalah inisiatif Economic Transformation Program (ETP) di bawah Strategic Reform Intiatives – Competition, Standard and Liberalisation (SRI-CSL) yang merupakan enabler kepada National Key Economic Area – Agriculture (NKEA - Pertanian). Bagi mendapatkan sijil MyGAP petani perlu membuat permohonan kepada Jabatan Pertanian sama ada secara manual atau pun 'on-line'. Semua permohonan akan didaftarkan sebelum dilakukan pemeriksaan ladang oleh JuruAudit MyGAP.




MyGAP adalah satu skim pensijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2002 untuk memberi pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan APB berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja bagi menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan. Skim ini dibangun berpandukan Malaysian Standard MS 1784:2005 Crop Commodities – Good Agriculture Practices (GAP). Logo MyGAP merupakan satu logo baru menggantikan Persijilan SALM (Sila lihat foto disebelah). MyGAP adalah bertujuan untuk menghasilkan produk-produk pertanian yang berkualiti dan selamat dimakan kerana kandungan residu racun makhluk perosak adalah di paras yang dibenarkan. Ia juga mengurangkan pencemaran alam sekitar dan sentiasa mengutamakan kaedah kawalan perosak bersepadu. MyGAP akan mengurangkan penggunaan racun makhluk perosak dan juga ini akan menjamin keselamatan serta kebajikan pekerja ladang. Meningkatkan hasil pengeluaran yang lebih berkualiti. Hasil pertanian mudah dikenali dan dapat bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa. Jabatan Pertanian Malaysia 0sentiasa akan membantu membangunkan industri pertanian negara secara mesra alam dan lestari. Logo MyGAP pada label produk dapat meyakinkan pengguna terhadap keselamatan produk tersebut kerana ia melambangkan jaminan kualiti yang telah melalui beberapa proses pengauditan profesional.


Antara syarat yang pihak audit akan lihat semasa pemeriksaan adalah adanya setor untuk penyimpanan bahan kimia seperti baja, racun serangga, racun kulat, racun rumpai serta bahan kimia lain dengan selamat dan betul. Daripada tinjauan penulis mendapati antara beberapa syarat yang sering petani tidak dapat patuhi syarat adalah ketiadaan Rekod Ladang dan Ketiadaan Setor Ladang. Setor ladang yang standard untuk ladang besar biasanya memerlukan kos yang tinggi berpuloh ribu untuk penyimpanan jumlah bahan input yang banyak dan bersistem (Sila lihat foto disebelah). Susunan dan faktor keselamat setor ladang menentukan penggunaan dan juga penyelenggaraan setor tersebut agar berfungis dengan baik dengan adanya sistem pengudaraan sempurna (ventilation), rak-rak berasingan untuk menempatkan bahan kimia berbeza, sentiasa berkunci untuk menentukan keselamatan dan juga mudah untuk diakses. Bagaimana pun untuk ramai petani yang mempunyai kebun kecil, membina setor ladang adalah suatu yang kurang praktikal. Ada beberapa projek sayuran dan padii berkelompok membina setor ladang secara berkongsi. Bagaimana pun ada juga  berlaku tidak senang hati dilakangan petani jika menggunakan setor ladang berkongsi ini. 


Kini satu inovasi telah dihasilkan oleh Pegawai Pertanian di Pusat Pertanian Parit Botak yang diketuai oleh Hj Zahit Hassan (Sila lihat foto diatas dan disebelah). Setor yang murah, ringan, selamat digunakan dan tahan lasak ini telah dicipta apabila mereka mendapat laporan hampir 70% pemohon sijil MyGAP gagal kerana ketiadaan setor. Model ini menggunakan Kotak Plastik (Jenama Toyogo yang tahan lasak), Besi Rak, Kunci, Engsel, Getah Lantai dan juga skru. Getah lantai dibawah kotak membolehkan pengumpulan sisa kimia jika tumpah masuk dalam pasir yang disimpan dibawahnya dalam tray. Ia mampu menyimpan beberapa botol racun kimia dalam dua kotak berasingan dengan ruang sesuai dan berkunci. Ia dibina dengan kos sekitar RM250 satu set dan sesuai dipasang dipondok petani atau pada dinding rumah petani yang selamat. Setor MyGAP mini ini adalah ringan sekitar 8 kg sahaja dan tahan lama. Petani dan pekebun kecil sayuran, buah-buahan, padi dan sebagainya sesuai menggunakan setor ini untuk mempastikan juruaudit dapat memeriksanya dan ia dipatuhi. Kepada mereka yang berminat dengan model Setor MyGAP Mini ini boleh berhubung dengan Tn Hj Zahit di Pusat Pertanian Parit Botak, Johor untuk menempah atau mendapatkan maklumat mengenainya. Wasallam@!...



SETOR MYGAP MINI... COMELNYA...
KOS MURAH.. TETAPI TAHAN LAMA...
MUDAH DIPASANG... DIALIH JUGA...
IA BERKUNCI... SIJIL MYGAP ADA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Parit Botak,
Batu Pahat, Johor,
Malaysia.
(29 Januari 2015)

Friday, January 30, 2015

KANTAN - USAHAWAN BERJAYA

CIKGU HAMDAN adalah pengusha KANTAN (Phaeomeria speciosa) yang berpengalaman semenjak lebih 24 tahun dahulu dan merupakan salah seorang usahawan kantan terbesar di Malaysia. Penulis berpeluang melawat sebuah perusahaan menanam, mengumpul dan memproses serta menjual bunga kantan di Batu Pahat, Johor bertujuan untuk memdapatkan info ekslusif mengenai penanaman kantan. Kantan merupakan sejenis tanaman yang tumbuh dengan baik terutama di kawasan lembab dan digunakan untuk masakan Melayu dan Cina dari keluarga Zingiberaceae. Laporan Jabatan Pertanian mendapati terdapat seluas 120 shektar tanaman kantan di Malaysia yang banyak ditanam di Perak, Johor, Selangor dan Pahang. Sebut sahaja kantan tentu kita teringat akan Laksa Penang, Asam Pedas, Ulam nasi Kerabu dan sebagainya. Selain daripada digunakan sebagai perasa masakan, bahagian batang kantan boleh mengubati masaalah bengkak-bengkak, buahnya membantu meningkatkan selera makan dan bijinya mampu mengubati penyakit telinga. Terdapat dua jenis bunga kantan yang dikenalpasti ada di kawasan tanaman Cikgu Hamdan iaitu Jenis Bunga Pink, Jenis Bunga Hijau dan Jenis Bunga Merah. Kini Cikgu Hamdan mempunyai seramai 15 orang petani yang menanam pokok kantan seluas 10 hektar (25 ekar) dan menghantar kepada pusat pengumpulan dirumahnya. Tanaman kantan tidak tahan dengan kawasan yang mudah ditenggelami air dimana hampir 90% tanaman dikebunnya dan petani dibawahnya musnah pada banjir besar 2006 dan Januari 2007. Cigu Hamdan dan rakan-rakannya mengambik masa hampir 2 tahun untuk memulihan kesan banjir waktu itu. Kini beliau mampu menggumpul dan menjual sekitar 20,000 kuntum bunga kantan sebulan. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai seorang usahawan bunga kantan terbesar di Selatan Semenanjung Malaysia untuk dijadikan satucoretan kejayaan yang boleh dicontohi oleh usahawan lain.

Pada masa ini bunga kantan dijual dengan dua gred iaitu Gred AA dan Gred Biasa dimana ia ditentukan dengan saiz bunga (Sila lihat foto disebelah). Harga belian dipusat pengumpulan adalah RM1.00 bagi gred AA dan RM0.50 bagi gred Biasa. Sebanyak purata 20,000 kuntum bunga dikumpulkan sebelum dihantar kepasar Batu Pahat untuk dihantar ke Pasar Borong Selayang, Pasar Borong Melaka dan Pasar Borong Toa Payoh, Singapura. Menurut Cikgu Hamdam, Pasar Borong Melala merupakan antara lokasi jualan bunga kantan yang terbanyak dikalangan semua outlet sedia ada. Ini bermakna orang Melaka rupanya golongan yang banyak menggunakan bunga kantan kerana mereka masak 'Asam Pedas Melaka' dan jenis makaan yang lain. Permintaan pada musim perayaan Tahun Baru China merupakan masa paling tinggi pada setiap tahun. Oleh itu lazimnya penanam bunga kantan dinasihatkan untuk emmpastikan taian bunga kantan meningkat pada masa tersebut. Penggunaan bunga kantan paling popular dikalangan kaum Cina sebagai 'Sos Nyonya' yang sering digunakan dalam makanan seafood.  Pengeluaran bunga kantan lazimnya memuncak pada bulan Mei setiap tahun dimana pengeluaran bunga berganda pada bulan tersebut. Lebihan pada bulan Mei menyebabkan harga akan jatuh dan Cikgu Handan akan memprosesnya menjadi produk 'Pes Bunga Kantan'.  

Penuaian yang berlebihan pada bulan Mei setiap tahun menyebabkan Cikgu Hamdan memproses bunga kantan menjadi 'pes kantan' yang boleh didimpan lama dalam peti sejuk (Sila lihat foto disebelah). Menurutnya 30 kuntum bunga kantan segar memberikan sebanyak 4 kg pes bunga kantan yang berkualiti tanpa apa-apa bahan campuran tambahan mahupun air. Bunga kantan segar yang telah dibersihkan akan dikisar beberapa kali sehinga menjadi pes yang halis dan dijual dengan harga borong RM9.00 - RM12.00 sekilogram. Pes ini tahan lama dan dua syarikat yang menjadi pembeli tetap produk pes bunga kantan adalah Dewina dan Sos Nyonya berpengkalan di Kuala Lumpur dan Melala. Kini beliau bercadang untuk menghasilkan pes bunga kantan dalam pek kecil-kecil untuk dibekalkan kepada pasar basah dan juga kedai runcit. Saya fikir produk pes bunga kantan ini mempunyai potensi yang sangat besar pada masa akan datang kerana ia merupakan produk yang perlu digunakan oleh ramai surirumah. 

Tanaman pokok kantan memerlukan kawasan yang sebaiknya rata dan banyak bahan organik serta sistem saliran yang baik. Cikgu Hamdan hanya menanam bunga kantan jenis pink sahaja kerana ia dikatakan mempunyai kualiti terbaik dipasaran. Bunag Kantan Merah hanya sedikit ditanam untuk digunakan sebagai bunga hiasan dan sembahyang kaum cina sementara bunga kantan jenis hijau kurang permintaannya. Bagaimana pun pemasangan sistem pengairan mesti diadakan kerana pokok kantan memerlukan pengairan konsistent untuk menghasilkan bunga. Sistem mikro-jet atau pengeiran renjis (sprinkler) sesuai dipasasang dikawasan kebun (Sila lihat foto disebelah). Program kawalan rumpai dan kawalan penyakit sebaiknya diamalkan Amalan MyGAP kerana penggunaan sebarang racun kimia perlu dielakkan. Kenun Cikgu Hamdan dibelakang rumahnya perlu memohon Skim Persijilan MyGAP kerana ia telah memenuhi sebahagian besar syarat-syarat MyGAp seperti yang ada dalam checklist MyGAP. Pegawai Pertanian Batu Pahat akan membantu Cikgu Hamdan untuk mendapatkan sijil MyGAP bagi kebun bunga kantan.

Pokok kantan sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah dan elakkan kawasan yang bertakung air. Di Malaysia belum ada kultivar yang di kenalpasti tetapi kebanyakkannya Kultivar Tempatan jenis Pink. Penanaman pokok kantan Cikgu Hamdan akan menggunakan benih dari Rizom atau boleh juga dari biji benih. Penggunaan benih rizom lebih popular kerana mudah serta menjadi pilihan petani. Kaedah ini lebih cepat berhasil sedangkan biji benih lama untuk berhasil ( 2 tahun). Rizom kantan di cangkul dari perdu pokok induk. Pastikan ada 2-3 mata tunas dan akar serabut untuk pertumbuhan. Jarak penanaman disyorkan ialah 2 m x 1 m dalam lubang penanaman. Letakkan rizom bersusun dan pada peringkat awal tutup dengan sungkupan dari rumput/ daun untuk melindungi tunas baru. Sistem tanaman disesuaikan dengan tanaman selingan atau tanaman tunggal. Bagi kaedah tanaman selingan dengan getah ditanam dalam jarak getah 6m x 3m (555 pokok/ha) dan jarak kantan ( 2m x 1 m sebanyak 333 pokok/ha). Jika selingan di kawasan dusun buah2an sebanyak 3,333 pokok/ha dan jika di tanam secara tunggal sebanyak 4,200 pokok/ ha. Pangkas daun kantan yang tua untuk elakkan penyakit dan glakkan pengeluaran bunga kantan. Daun yang dipangkas diletak selari dalam barisan tanaman untuk kawal rumpai dan sebagai sungkupan. Pembajaan bermula dengan CIRP (50 gm/pk) dan 125 gm/pk semasa menanam dan 4 bulan pertama dengan tahi ayam (1 kg/ pk). selepas 5 bulan guna NPK 15:15:17:2 (30 gm/ pk) dinaikkan kepada 70 gm, 100 gm pada bulan ke 7 dan ke 9. Pembajaan selepas 15 bulan sebanyak 0.5 kg/pk setahun di buat 2 kali. Begitulah kisah kejayaan seorang usahawan berumur 64 tahun yang mengusahakan tanaman kantan dan boleh dihubungi dengan no HP 019-766135 untuk mendapatkan khidmat nasehat atau pun ingin menjadi petani 'kontrak Farming' dengan beliau. Wasallam!


CIKGU HAMDAN... TELAH BERJAYA...
BUNGA KANTAN.... BANYAK GUNA...
10 HEKTAR... JUMLAH TANAMANNYA...
20,000 KG SEBULAN... DIJUALNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 518, Hotel Katerina,
Jalan Zabedah, Batu Pahat,
Johor, Malaysia.
(9 RabiulAkhir 1436H)  

Thursday, January 29, 2015

PENCURI KELULUT

KELULUT (Heterotrigona spp) merupakan serangga kecil dari kumpulan lebah yang tidak menyengat seperti lebah madu. Penternakan kelulut di Malaysia mula aktif semenjak 4-5 tahun lalu dimana ia dikategorikan sebagai satu lagi bidangusaha yang mempunyai daya tarikan ramai usahawan baru. Penternakan kelulut popular setelah mendapat liputan meluas dalam media dan jadi tajuk perbualan dikalangan pemain industri ini pada alam maya dan kedai kopi. Kalau dahulu seranga kelulut liar ini dibiarkan sahaja hidup sendiri dikawasan belukar, pada pokok kayu, dalam tiang rumah, dalam batu, longggokan timbunan kayu dan sebagainya, kini ia menjadi buruan dari penternak kelulut. Kajian penulis mendapati ada seramai sekitar 200-250 orang usahawan kelulut yang berskala besar, skala sederhana dan skala kecil. Mereka yang mempunyai lebih 100 koloni dikira sudah komersil, antara 50 - 100 koloni dalam kategori sederhana dan kurang 50 koloni dikira berskala kecil. Tinjauan penulis dari laporan Jabatan Pertanian menyatakan terdapat lebih kurang 12 pengusaha kelulut di Malaysia yang mempunyai lebih daripada 500 koloni  kelulut. Kementerian Pertanian dan Industri asas tani Malaysia melalui Jabatan Pertanian juga telah menganjurkan banyak siri kursus ternakan kelulut kepada bakal usahawan baru secara berjadual. Walau pun permintaan untuk menghadiri kursus ini tinggi, keutamaan kerajaan adalah terhadap bakal penternak dibawah Program Agropreneur Muda. Mereka yang telah berkursus keulut ini dan cukup syarat boleh mendapat pembiayaan daripada AgroBank atau TEKUN untuk membesarkan projek atau memulakan projek baru. Antara kesukaran terkini penternak kelulut semasa artikel ini ditulis adalah kesukaran untuk menambah koloni sedia ada atau membeli koloni kelulut bagi perserta baru. Kini harga satu koloni kelulut lengkap dengan batang kayu, koloni aktif, kotak madu dan kos penghantaran bagi jenis kelulut Heterotrigona thoracica  sekitar RM 800 - RM1,000 satu koloni. Kos untuk jenis kelulut Heterotrigona itama pula adalah sekitar RM600 - RM800 satu koloni. Ini bermakna kos asas membeli 10 koloni kelulut untuk mereka memulakan projek kelulut sebanyak RM 8,000 - RM10,000. Bagaimana pula kos jika kita hendak memulakan ternakan kelulut untuk 100 koloni sebegai permulaan? Pastinya ia mencecah sebanyak RM80,000 - RM100,000. Ini merupakan kos pelaburan yang amat tinggi dan kita tahu bahawa kelulut adalah serangga hidup yang bernilai tinggi. Kini beberapa kaedah untuk membiakkan kelulut masih cara tradisional yang lama iaitu menggunakan beberapa teknologi daripada yang konvensional kepada menggunakan teknik moden. Penternak kelulut kini terdedah kepada kes-kes kehilangan koloni kelulut akibat kes kecurian, kehilangan dan termasuk kerosakkan oleh musuh atau perosak. Ada laporan daripada beberapa lokasi di Terengganu, Pahang dan Kelantan dimana koloni kelulut yang baru diletakkan dimusnahkan oleh Beruang. Adakah ini akan melemahkan usahawan kelulut di Malaysia?. Artikel dalam "Anim Agro Technology" kali ini saya paparkan satu laporan dalam internet Facebook mengenai laporan kecurian koloni kelulut di Kelantan sebagai satu INGATAN kepada bakal-bakal usahawan baru. 

Sekarang ini permintaan untuk mendapatkan koloni kelulut yang berkualiti dan mampu menghasilkan madu yang banyak adalah sangat tinggi. Satu cara mendapatkan koloni kelulut baru adalah dengan merayau dalam semak belukar atau dusun untuk mencari koloni kelulut liar semulajadi. Koloni yang dalam batang kayu yang berlubang ditengah-tengahnya boleh dikeluarkan dengan memotong dan juga membelah batang kayu tersebut dengan berhati-hati dan mengalihkan seluruh koloni kepada ternakan sistem baru. Ramai pengusaha masih berminat menggunakan batang kayu sebagai rumah kelulut dan meletakkan kotak haif madu dibahagian atasnya. Kotak haif madi ini selalunya memudahkan urusan penyelenggaraan koloni kelulut terutamanya aktiviti mengutip madu kelulut. Satu set lengkap bekalan koloni kelulut adalah semakin sukar untuk kita mendapatkan bekalan ini dan ia menyebabkan ia semakin mahal dan berharga. Pemburu kelulut liar aktif mencari koloni kelulut liar baru untuk menambah koleksi koloni kelulut baru. Ada dikalangan pengusaha yang meletakkan batang kayu berlubang kosong untuk menggalakkan proses pemecahan koloni kelulut pada musim-musim tertentu. Proses yang berlaku secara semulajadi ini adalah lambat dan tidak dapat dijadualkan. Kini satu kerisauan dilakangan pengusaha berlaku apabila berlaku kemungkinan kes-kes KECURIAN koloni kelulut. Berikut dilaporkan kes kecurian koloni kelulut di Kelantan yang boleh dijadikan bukti bahawa kes ini benar berlaku sepertimana yang kita jangka. 

Satu laporan pada 10 Disember 2014 bertajuk "  KERUGIAN LEBIH RM30,000 GARA GARA PENCURI KELULUT" adalah satu fenomena baru masa kini. Penulis baca laporan ini dari facebook pengasas dan juga aktivis ternakan Kelulut iaitu En Hishamuddin dari Kubang Krian, Kota Bharu, Kelantan. Dalam laporannya beliau menyatakan dan juga meminta tolong rakan media untuk siarkan isu ini untuk kebaikan bersama bagi mencegah kecurian berleluasa seperti yang berlaku sekarang. Dalam laporan tersebut dinyatakan antara kes kecurian berlaku kepada koloni dan kotak kelulut milik En Mohd Hisyamuddin Ghazali iaitu Penternak Lebah Kelulut dan Setiausaha Persatuan Apitherapi Malaysia dengan kerugian sebanyak RM3,200 dan Pn Wan Noriah Wan Ramli iaitu Pemilik Taman Lebah Kelulut Min House Camp, Kubang Kerian, Kota Bahru dengan jumlah kerugian berjumlah RM16,300. Peserta lain adalah Ustaz Mohd Lokman Mohd Salleh dari Tawang, Bachok Penternak Lebah Kelulut yang kecurian bernilai RM8,350 dan akhir sekali oleh Syed Zainal juga dari Kubang Kerian iaitu seorang Penternak Lebah Kelulut dengan nilai kerugian sebanyak RM3,200. Ini telah menjadikan jumlah keseluruhan kerugian sekitar RM30,000. Sebanyak 4 laporan polis dibuat serentak di Balai Polis Kubang Kerian pada jam 9.30 pagi 10 Disember 2014 selepas banyak kali kecurian berlulang di lokasi yang sama. Sehingga kini masih belum ada tangkapan dibuat. Siasatan pihak berkaitan sedang berjalan dan ianya melibatkan pihak berkuasa agar ini tidak melemahkan penternak kelulut sedia ada dan juga bakal penternak yang baru. Kecurian berlaku pada waktu malam hari untuk tidak dapat dikesan oleh orangramai. 


Empat  pengusaha kelulut buat laporan polis.
Kecurian koloni lebah kelulut disebabkan permintaan tinggi masyarakat untuk ternak lebah kelulut disebabkan oleh nilai khasiat perubatannya yang baik untuk kesihatan. Permintaan batang kayu yang ada spesis kelulut yang tinggi disebabkan ramai penternak-penternak baru yang lahir daripada program pendidikan pengguna yang dijalankan oleh My Agro Vet Trading, Min House Camp, Jabatan Pertanian Kelantan, Mardi, USM Kubang Kerian, Persatuan Apiterapi Malaysia dan Kelantan Bioteh Corp dan lain lain bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk desa. Kecurian koloni kelulut paling banyak berlaku di 3 Daerah "Hot Spot" kecurian paling ramai penternak di Kelantan iaitu di daerah Kota Bharu iaitu di Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa, daerah Tumpat dan daerah Pasir Mas. Di daerah-daerah lain juga berlaku seperti di Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Jeli juga berlaku kecurian. Jika dikumpulkan semua penternak yang pernah mengalami kes kecurian, sudah lebih RM100,000 nilai koloni yang telah dicuri di Kelantan. Jelas kecurian akan menjejaskan sumber rezeki penternak lebah kelulut pada masa depan dan merencatkan industri ini jika kadar kecurian masih berleluasa tanpa ianya dikawal. Koloni lebah kelulut yang dicuri, kebanyakannya dijual kepada pemborong atau "peraih" yang menjual koloni secara aktif di media sosial seperti Facebook yang biasanya lebih Mudah dan Blog dan menghantarnya ke luar Negeri Kelantan menyebabkan koloni yang dicuri sukar dikesan. Kepupusan sumber biodiversiti penting seperti lebah kelulut yang banyak menjadi agen pendebungaan kepada tanaman buahan akan menyebabkan kekurangan hasil. Seterusnya akan memberi kesan kepada sektor pertanian dan ekosistem negeri Kelantan serta Negara. Kerajaan Malaysia dan juga Kelantan, pihak Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Hutan Negeri Kelantan dan Malaysia serta agensi berkaitan berkaitan perlu mengambil langkah drastik bagi mengawal kejadian ini daripada berleluasa berlaku. Semua perkara ini dapat dicegah dan membolehkan industri kelulut di Malaysia akan bertambah maju. Kenapa di Kelantan?... Pencuri pun mungkin orang Kelantan. Wasallam!.

CURI KELULUT.... KERJA SIAPA...
DICEGAH...DARI BERLELUASA...
PENGUSAHA RUGI...IA MERANA...
PENCURI...INGATLAH NERHAKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 614, Hotel Grand Continental,
Kuah, Langkawi, Kedah,
Malaysia.
(19 Safar 1436H)




Wednesday, January 28, 2015

KELAPA -MENANAM MATAG DAN PANDAN

KELAPA (Cocos nucifera) merupakan tanaman ke empat terpenting di Malaysia setelah kelapa Sawit, Getah dan Padi. Terdapat seluas 98,500 hektar tanaman kelapa dilaporkan oleh Jabatan Pertanian malaysia dengan menghasilkan sebanyak 611,000 biji kelapa setahun pada tahun 2013. Malaysia kini masih mengimpot sebanyak 72 juta biji kelapa tua setahun daripada Indonesia terutama untuk kegunaan kilang memproses kelapa tempatan. Penulis membuat rujukkan mendapati penggunaan perkapita kelapa di Malaysia adalah 17 biji seorang setahun dimana dengan pertambahan penduduk dijangka pada tahun 2020 keperluan buah kelapa di Malaysia adalah sebanyak 1.2 billion biji setahun termasuk untuk kegunaan  kilang. kelala varieti Malayan Tall telah mendominasi tanaman kelapa sedia ada dalam negara (40,000 hektar masih produktif) dan seluas 10,000 hektar merupakan kelapa dari varieti Matag dan Kelapa Pandan. Bakinya adalah beberapa varieti lain seperti MAWA, WAT, MRD, MGD, MYD dan sebagainya. Teknologi tanaman kelapa Matag yang telah disyorkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia semanjak 2000 menunjukkan produktiviti kelapa negara meningkat. Permintaan terhadap benih kelapa hibrid Matag semakin tinggi setiap tahun daripada penanam kelapakerana ia boleh memberikan hasil yang tinggi. Kelapa pandan pula lebih dilihat ditanam untuk menghasilkan kelapa bagi air kelapa yang berbau pandan. Penanaman kedua-dua jenis kelapa ini kini menarik minat ramai usahawan muda dalam sektor pembangunan industri kelapa negara. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai panduan menanam kelapa matag dan kelapa pandan untuk dijadikan bahan rujukan dan sumber bacaan anda semua.

Kelapa Matag (Didaftarkan sebagai CN13, CN14 dan CN 15) adalah sejenis kelapa hibrid yang dihasilkan secara kacukan melalui pendebungaan silang diantara Pokok Induk Kelapa Rendah Malaya (MRD/MYD/MGD) dengan bunga jantan daripada pokok kelapa Tinggi Tagnanan. Pokok kelapa matag mempunyai batang seperti tapak gajah dan ketinggian sederhana, buah yang lebih banyak dan cepat mengeluarkan hasil. Setiap pokok kelapa Matag mampu menghasilkan hasil sehingga 12 tandan setahun dengan purata buah dikeluarkan sebanyak 12 biji setandan. Potensi hasilnya didakwa mampu mencapai sebanyak 25,000 biji sehektar setahun atau sebanyak 120 - 140 biji sepokok setahun. Ini jauh lebih tinggi daripada hasil daripada pokok kelapa Malaysn Tall sedia ada sekitar 6,000 - 7,000 biji sehektar setahun sahaja. Kelapa Matag adalah sesuai untuk ditanam bagi menghasilkan bekalan kelapa tua untuk menghasilkan santan serta produk lain berasaskan kelapa dan juga sesuai untuk ditanam bagi memenuhi kelapa muda untuk minuman. Kajian penulis juga mendapati buah kela matag adalah besar dan mendapat gred lebih baik jika dibandingkan dengan kelapa MAWA dan Kelapa Renek Malaya (Malayan dwarf). Kajian penulis di Perak dan Selangor pada November 2014 mendapati pendapatan seekar (0.4 hektar) dari tanaman kelapa Matag dewasa mampu menjana RM500.00 sehektar berbanding dengan kelapa sawit hanya sekitar RM180 - RM250 seekar. Permintaan benih hibrid Matag masa kini sangat tinggi dimana sepokok anakbenih tulin dijual dengan harga RM30.00 sepokok. Jabatan Pertaninan memang ada mengeluarkan poster mengingatkan penjualan benih kelapa Matag oleh pihak tertentu yang diambil dari pokok F1. Pembeli peru merujuk kepada Jabatan Pertanian dahulu untuk mengetahui benih yang dibekalkan adalah benih tulin atau tidak. Ini kerana kekurangan benih kelapa hibrid Matag tulin menyebabkan ada pihak tidak bertanggungjawab menjual benih tersebut.

Kelapa Pandan (Didaftarkan sebagai CN6) merupakan kelapa jenis rendah yang mampu menghasilkan banyak buah kelapa di mana airnya berbau pandan (Aromatic coconut). Kelapa ini juga dikenali sebagai kelapa wangi kerana mempunyai isi dan air yang beraroma pandan. Walau pun kelapa ini dipercayai berasal daripada negara Thailand tetapi sebenarnya ia telah ditanam di negara kita sejak berpuloh tahun dahulu dengan pemilihan varieti yang lebih baik (Domesticated variety). Kelebihan kelapa pandan lagi kerana ia jenis kelapa rendah dengan ketinggian sekitar 6 meter sahaja dengan tandan dan buahnya berwarna hijau. Buahnya kecil berbentuk bulat berbiku tiga. Setiap pokok dewasa yang dijaga baik mampu menghasilkan sebanyak 12 tandan setahun dengan purata buah setandan diantara 1- - 12 biji. Kajian dan pemantauan penulis di Pusat Pertanian jabatan Pertanian dan kebun-kebun petani diseluruh negara mendapati kelapa pandan mempu menghasilkan sebanyak 28,000 biji buah sehektar setahun atau purata sebanyak 130 biji sepokok setahun. Kelapa pandan disyorkan ditanam untuk memenuhi bekalan kelapa muda dalam negara dan sebahagian diekspot kenegara jiran (Singapura, Thailand dan Brunei). Harga ladang kelapa pandan sekitar RM 1.00 - RM 1.50 sebiji tetapi apabila dihidangkan direstoran dan Hotel harganya mencecah RM5.00 sebiji dan keatas. Anak poko kelapa pandan tulin boleh dikenali dengan melalui beberapa pemeriksaan bau pada benih yang dikeluarkan. Jabatan Pertanian mampu mengeluarkan lebih 50,000 benih kelapa pandan tulin setahun.

Penanaman kelapa matag dan kelapa pandan dimulakan dengan penyediaan kawasan. Sisa-sia tanaman kelapa lama perlu dibersihkan dengan cara seperti membakar atau dibawa keluar dari kawasan untuk mengelakan pembiakan kumbang tanduk. Terdapat dua sistem penanaman kelapa ini iaitu Sistem Tiga Segi dan Sistem Empat Segi. Jarak tanaman yang diamalkan kan memberikan kepadatan pokok berbeza-beza mengikut jenis kelapa. Bagi kelapa matag dengan jarak tanaman 8.1m x 8.1m memberikan kepadatan 178 pokok sehektar (sistem tiga segi) dan 152 pokok sehektar (Sistem empat segi). Tanaman kelapa pandan pula dengan jarak tanaman 6.5m x 6.5 meter memberikan kepadatan 272 poko sehektar (sistem tiga segi) dan 236 pokok sehektar (Sistem empat segi). Bagi kawasan tanah yang rendah dan mudah dinaiki air kaedah penanaman secara 'Camber' adalah disyorkan. Penanaman cara ini dibuat dengan setiap dua baris kelapa akan diselang dengan parit ladang berukuran 122 cm x 91 cm. Ianya akan memudahkan kerja pengurusan ladang seperti mebaja, mengawal rumpai dan menuai hasil kelapa. Parit ini juga bertindak sebagai penebat banjir sekiranya berlaku hujan lebat dan ianya memberi ruang kepada petani untuk menanam tanaman selingan sesuai bagi mendapatkan pendapatan lebih cepat seperti pisang, jagung, herba dan sebagainya. 

Penanaman kelapa perlu dilakukan dengan betul dimana lubang penanaman berukuran 0.45mx 0.45m x 0.45m digali dan dimasukkan 200 gram baja fosfat bersama-sama tanah. Selepas 2 minggu anak benih pokok kelapa matag atau kelapa pandan boleh ditanam dalam lubang tersebut. Siram anak pokok kelapa terlebih dahulu sebelum ditanam. Letakkan anak pokok secara menegak atau membaring bergantung kepada pertumbuhan tunas kelapa. Kemudian timbus dengan tanah bagi menutupi buah kelapa dan PASTIKAN bahagian pangkal tunas berada diatas permukaan tanah bagi mengelakkan serangan kulat. Pembajaan dengan baja NPK 15:15:15 pada tahun 1,2 dan ke 3 diberikan disekeliling  pokok dengan kadar 0.5 kg/pk/tahun (1st), 1.0 kg/pk/tahun (2nd) dan 1.5 kg/pokok/ tahun (3rd) dipecahkan kepada 3 kali aplikasi setahun. Pada tahun ke 4 dan seterusnya diberikan baja NPK 12:12:17:2 dengan kadar 2.0 kg/ pk/ tahun pada tahun ke 4 dan sebanyak 3.0 kg /pk/ tahun pada tahun ke- 5 keatas dengan aplikasi juga 3 kali setahun. Kawasan serangan perosak dan penyakit dilakukan dengan Pengurusan Perosak Bersepadu (PPB) secara biologi, kimia, kultura dan mekanikal.  Saya dapati serangan oleh Kumbang Tanduk merupakan perosak utama penanaman kelapa Matag dan Kelapa pandan yang boleh dikawal dengan cara menyembur anakbenih dibahagian pucuk dengan racun cypermethrin setiap dua minggu selepas ditanam. Kawalan dengan memasang perangkap feromon, perangkap lampu dan perangkap batang kelapa organik juga berkesan. 

Kelapa Matag dan kelapa Pandan akan mengeluaran hasil yang seragam selapas 8 tahun ditanam dan boleh mencapai umur ekonomik sehingga 20 - 25 tahun  bergantung kepada amalan agronomi dan pengurusan tanaman.  Bagi kelapa Matag penulis buat pemerhatian dimana ia akan mula berbunga sekitar 30 - 36 bulan selapas ditanam. Masa menuai kelapa dari putik buah terbentuk lazimnya mengambil masa selama 12 bulan (setahun) iaitu sekitar sebulan satu tandan. Ini memudahkan kita membuat pengurusan kerana penghasilan tandan kelapa boleh dijangka. Potensi hasil kelapa Matag adalah sekitar 20,000 - 25,000 biji sepokok setahun bagi pokok matang. Bagi kesemua buah kelapa buah matang terbentuk dalam masa 14 bulan selapas seludang pecah. Buah yang matang boleh dikenali dengan perubahan warna kulit daripada warna hijau kepada warna keperangan dan terdebgar bunyi kocakan air aoabila buah digoncang. Hanya tuai kelapa matang untuk mendapatkan hasil kering (copra) atau minyak atau santan maksimum. Bagi kelapa pandan, masa berbunga adalah 30 bulan selepas ditanam dan masa menuai selepas pembentukan putik adalah selama 7 bulan sahaja. Potensi hasil kelapa pandan adalah sekitar 28,000 - 30,000 biji sehektar setahun jika cukup matang. Kelapa Pandan perlu dituai dengan tahap kelapa muda (Sila klik disini) dengan memanjat atau menggunakan tangga. Buah yang jatuh akan pecah dan merosakan kualiti biji kelapa jika tidak dijaga dengan baik. Semua coretan kali ini memberikan ilmu berguna kepada pembac blog "Anim Agro Technology" artikel ke 3,035 ini untuk menambah imlu. Wasallam!.


KELAPA MATAG... PANDAN JUGA...
JADI REBUTAN... DIMANA-MANA...
BENIH MATAG...CARI KETULINANNYA...
BENIH PANDAN ... MUDAH DIBELINYA.. 

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
United Plantation Estates,
Teluk Intan, Perak
Malaysia.
(2 RabiulAkhir 1436H)

Tuesday, January 27, 2015

KELAPA - VARIETI 'KELAPA MANIS'

KELAPA MANIS (Cocos nucifera) merupakan sejenis varieti kelapa tempatan yang unik dengan ciri-ciri khususnya. Kelapa jenis tinggi (Tall variety) unik ini dipercayai berasal daripada Malaysia berdasarkan kepada nama yang diberikan dan pencirian yang dibuat. Kenapa ia dinamakan sebagai kelapa manis adalah disebabkan sabutnya dari buah kelapa muda mempunyai rasa 'manis' apabla potongan dikunyah dalam mulut. Bagaimana pun apabila kelapa ini tua dan gugur diatas tanah keistimewaan kelapa manis tidak dapat dibezakan dengan kelapa jenis tinggi yang lain. Ciri ini yang membolehkan orang memanggilnya sebagai 'Kelapa Manis' dan dijadikan sebagai kelapa yang digunakan dalam dunia perubatan tradisional. Mungkin ramai dikalangan kita yang tidak kenal atau tidak berpeluang melihat pokok dan buah kelapa manis. Penulis berpeluang melihat pokok dan buah ini di Pusat Pertanian Teluk Baru, Bagan Datoh, Perak dengan beberapa rakan lain. Buah kelapa dewasa yang gugur bersaiz besar dengan warna kulit yang hampir sama dengan pokok kelapa tinggi lain (Sila lihat foto diatas). Pokok yang berumur dalam 15 tahun ini mempunyai banyak buah. Artikel pada pagi Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis varieti kelapa tempatan iaitu Kelapa Manis yang mana ramai tidak mengenali dan potensi atau beberapa perkara mengenai kelapa tersebut.


Pokok Kelapa Manis yang terdapat di pusat ini dijaga dengan baik dijadikan sebagai koleksi Janaplasma kelapa (Coconnut germplasm). Sebaris pokok kelapa ini terdapat 20 pokok dengan ketinggian sekitar 50 - 60 kaki dijaga dengan baik (Sila lihat foto disebelah). Marfologi kelapa manis adalah sama dengan jenis kelapa tinggi lain dimana ia mempunyai batang tumbuh menegak dengan saiz ukurlilit batang (trunk) sekitar 60 - 85 cm. Kanopi pokok dan bentuk pelepah daun juga tidak menunjukkan banyak perbezaan dengan kelapa tinggi lain yang berhampiran disebelahnya. Pokok ini selalu diberikan baja mengikut jadual iaitu 4 kali setahun dengan jenis baja NPK 12:12:17:2 serta baja organik dan aktiviti pengaporan. Buah kelapa yang gugur akan di kutip dan dijual sebagai kelapa biasa. Menurut ketua stesyen, bilangan hasil buah kelapa manis sama seperti kelapa Malayan Tall sekitar 5,000 - 6,500 sehektar sepokok setahun. Bagimana pun dari segi rupabentuk dan harga ladang ia sama dengan kelapa jenis tinggi yang lain. 


Daripada beberapa biji kelapa yang gugur dikutip telah dibuat pemerhatian oleh penulis. Apabila sabut kelapa manis dipotong, ia menunjukkan ciri mempunyai tekstur sabut yang agak 'spongy' dan banyak rongga berbanding kelapa jenis Malayan Tall atau Tagnanan. Warna sabutnya agak cerah sedikit dan juga ketebalan sabut ini membolehkan ia tidak pecah walau pun jatuh dari ketinggian lebih 50 meter (Sila lihat foto disebelah). Kuantiti sabut yang dihasilkan oleh kelapa tua menyebabkan ia mungkin sesuai diproses untuk pengeluaran produk berasaskan sabut kelapa seperti cocopeat dan sebagainya. Tempurungnya juga sederhana tebal dan memang boleh dikategorikan sebagai jenis kelapa tinggi dalam kumpulan pasaran sebagai gred 'A'. Walau pun kelapa manis belum didaftarkan secara rasmi dalam 'National Variety Listing' sebagai atau varieti kelapa yang terdapat di Malaysia tetapi lazimnya ia mempunyai ciri-ciri khusus DUS dimana ianya boleh didaftarkan. Penulis begaimana pun dapati ia masih jauh lagi untuk disyorkan sebagai tanaman kelapa yang hendak dikomersilkan.


Buah Kelapa Manis tua yang gugur dibawah pokok dikutip dan boleh dibuang sabutnya dengan Alat Penyadap Kelapa atau gunakan parang dengan mudah (Sila lihat foto disebelah). Ia menghasilkan kelapa bulat yang betul-betuk berbentuk 'bulat' dan bukan berbentuk bulat lonjong seperti jenis kelapa lain. Isinya berwarna putih dengan ketebalan sekitar 1.0 -1.4 cm dimana ketebalan adalah sama rata disekeliling tempurung. Isi kelapa mudah dicungkil keluar. Daripada ujian citarasa air, kelapa tua pula ia adalah menyamai dengan kelapa Malayan Tall dengan kemanisan sekitar 4-5% sahaja dan ada sedikit 'rasa minyak' padanya. Sebenarnya menurut orang lama, kelapa manis hanya sesuai dijadikan bahan perubatan jika dipetik sebagai buah kelapa muda. Buah kelapa manis muda yang dipetik akan diambil bahagian kulitnya dan diberikan kepada pesakit dengan mengigit kulit (sabut) yang masih lembut dan rasanya adalah agak manis. Rawatan cara ini dipercayai mampu menghilangkan sakit sawan, sakit gigi, sakit perut dan beberapa lagi. Air kelapa muda yang diminum juga agak manis dan sesuai untuk menurunkan suhu badan dan menghilangkan kesan keracunan dengan berkesan. Apa juga mengenai kelapa manis ini perlu dijalankan kajian saintifik dari segi pembiakbakaan, amalan agronomi, aspek ekonomi dan dimana sumber sebenar pokok kelapa manis ini. Saya harap artikel ini dapat menambah pengetahhuan anda semua. Wasallam!



KELAPA MANIS... VARIETI KELAPA...
BUAH BESAR... COKLAT SABUTNYA...
KULITNYA MANIS ... SEMASA MUDA...
HENDAK TANAM...BENIH DIMANA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 206, Hotel Lux,
Jalan Changkat Jong,
Teluk Intan, Perak,
Malaysia.
(3 RabiukAkhir 1436H)

Monday, January 26, 2015

KELAPA - JENIS 'TAMPUK MERAH'


KELAPA TAMPUK MERAH (reddish coconut) merupakan sejenis kelapa unik yang amat jarang kita jumpa dan sering dicari  oleh pengamal perubatan tradisional. Kelapa ini memang dari kumpulan kelapa merah atau jingga (Cocos nucifera var rubescens) dipercayai mempunyai khasiat khusus dan didakwa mampu mengubati pelbagai penyakit seperti sakit paru-paru, membuang sihir dan menghalau jin yang sering menganggu. Penulis dalam membuat rujukkan mengenai tanaman kelapa sebenarnya mendapati secara akademiknya Kelapa memang boleh dibahagikan kepada 3 kategori iaitu jenis Kelapa Tinggi (Tall variety) dan jenis Kelapa Renek (Dwarf Variety). Kelapa juga boleh kita dibahagikan mengikut warna iaitu secara kasarnya boleh dikelaskan dalam kategori Kelapa Hijau (C. veridis), Kelapa Merah (C. rubescens) dan juga jenis Kelapa Kuning (C. eburens). Bagi kita di Malaysia yang mana jumlah keluasan tanaman kelapa hanya tinggal 97,500 hektar sahaja pada 2014 memang agak sukar untuk dapat melihat kelapa merah ini berbanding dengan negara Filipina dan Indonesia. Buah Kelapa hijau mudah dijumpai dimana lazimnya ia mempunyai pokok yang tinggi dan buah yang kulitnya berwarna hijau semuanya. Buah kelapa hijau bersaiz besar dimana ia sering digunakan dalam masakkan. Airnya juga berkhasiat dan digunakan sebagai bahan untuk perubatan tradisional seperti sebagai penawar racun, mengubati muntah-muntah dan juga kepala pening dan pelbagai kegunaan lagi. Kelapa Kuning pula kebanyakannya adalah dari jenis kelapa renek yang cepat berbuat dalam masa 3 tahun sahaja dimana ketinggian pokok sekitar 1.0 - 1.5 meter sahaja. Buah kelapa kuning lazimnya berbentuk bulat dan bersaiz kecil serta berwarna kuning dan digunakan sebagai kopra atau kegunaan lain. Artikel pada pagi Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kelapa merah sebagai satu bahan untuk dijadikan rujukkan anda semua. 


Pertama sekali saya jumpa kelapa merah adalah Januari 2015 semasa membuat pemeriksaan hasil tuaian kelapa di Pusat Pertanian Teluk Bharu, Bagan Datoh, Perak (Sila lihat foto disebelah). Buah tersebut ada sebanyak satu tandan dengan jumlah bijinya cuma terdapat 6 biji sahaja. Buah kelapa merah ini dapat dikenali kerana dibahagian atas buah tersebut terdapat warna merah (saya lebih suka ia sebenarnya adalah Pink atau Jingga) dan terserlah (Sila lihat foto paling atas). Kelapa ini berbeza dengan kelapa renek merah (Malayan Red Dwarf - MRD) yang mana lazimnya ia digunakan untuk pembiakan benih kelapa hibrid bagi menghasilkan anakbenih kelapa Matag atau MAWA atau kelapa hibrid yang lain. Kelapa ini unik kerana bukan ciri warna kulit kemerahan seperti MRD tetapi hanya dibahagian tompok dan sabutnya yang berwarna jingga dengan jelas. Kalau anda google diinternet pun ada ditujukkan foto kelapa merah yang saya jumpa ini. Ada beberapa kalangan rakan yang mencari kelapa ini untuk dijadikan bahan perubatan ahli keluarga mereka. Memang agak sukar mencari kelapa ini dikawasan kebun kelapa biasa kerana ia adalah jarang dijumpai.


Kelapa ini jika dipetik muda untuk diambil airnya mempunyai kulit berwarna hijau dan apabila dipotong dibahagian tampuk atas akan terserlah warna jingga (Sila lihat foto disebelah). Dalam saya membuat rujukkan mendapati kelapa jenis ini nampak warna ungu atau dalam bahasa jawa disebut 'wulung' dimana diIndonesia kelapa ini diberi nama 'kelapa wulung'. Kelapa jingga ini dipercayai mampu menyembuhkan berbagai penyakit seperti penawar racun dan juga  melancarkan sistem saluran air kencing. pembuangan air kencing dan dijadikan makanan. Pakar-pakar kelapa juga menyatakan bahawa pokok kelapa sebegini memang amat jarang dijumpai atau dikatakan sebagai 'seribu dalam satu' atau pun susah hendak jumpa. Pokok ini juga amat digemari oleh serangga perosak seperti kumbang tanduk dan serangga lain menyebabkan ia juga amat sukar untuk tumbuh normal seperti kelapa lain. Kalau ada pemilik kelapa ini yang tahu nilainya maka mereka akan beroleh keuntungan besar kerana sebiji kelapa merah muda ini mencecah lebih RM50.00 sebiji jika ada orang sanggu membelinya. Ada orang yang inginkan kelapa tersebut mampu membayar lebih jika ada kelapa merah yang tulin dipokoknya. 

Kajian makmal mendapati kandungan analisa nutrisi adalah sama dengan kelapa lain. Maklumat mendapati air kelapa merah ini mempunyai kandungan seperti glukosa, sakarosa, fruktosa, sukrosa mineral dan juga Asid Amino. Dalam beberapa kajian menunjukkan air kelapa ini mempunyai banyak manfaat dan khasiatnya tetapi tidak dinyatakan secara saintifik. Diantara khasiatnya adalah dapat membantu mengubati masaalah keracunan dan berbagai macam penyakit lainnya seperti demam akibat Virus Flu. Walaupun agak susah untuk membezakan rasa air kelapa hijau dengan jenis air kelapa yang lain, namun lazimnya rasa air kelapa hijau sangat berbeza kepada mereka yang arif mengenai kelapa. Jika biji kelapa merah ini dibelah kita akan dapat melihat bahawa isi atau daging kelapa berwarna merah muda (Sila lihat foto disebelah). Airnya agak pahit sedikit dan tidak sesegar air kelapa jenis lain. Kelainan ini disebabkan oleh kandungan tannin (zat anti racun) dalam air kelapa merah yang dikatakan lebih tinggi. Tannin adalah suatu sunsur yang dipercayai mampu menawar racun dalam badan manusia. Dari segi kepercayaan orang dulu-dulu kegunaan kelapa masih tidak dapat diasingkan dalam masyarakat. Artikel ini diharap sedikit sebanyak memberikan info mengenai kelapa merah yang amat jarang kita jumpa. Penulis rasa amat bertuah kerana berpeluang jumpa kelapa ini pada 23 Januari 2015 lepas dan dapat menulis artikrl sehari kemudian. Wasallam!.

KELAPA MERAH... MACAM JINGGA...
JARANG UJUD...SUSAH JUMPANYA...
ADA SEPOKOK...TAPI POKOK MANA...
IA BERKHASIAT... RAMAI MENCARINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 206, Hotel Lux,
Jalan Changkat Jong, Teluk Intan,
Perak, Malaysia.
(3 RabiulAwal 1436H)

Sunday, January 25, 2015

KELAPA - VARIETI MACAPUNO


KELAPA VARIETI MACAPUNO merupakan sejenis varieti kelapa yang unik berasal daripada kawasan dari Filipina. Kelapa ini (Cocos nucifera) memang unik kerana ia adalah jenis kelapa yang mempunyai isi daging lembik seperti agar-agar. Kelapa ini tidak popular di Malaysia dan saya cuma dapat lihat pokok dan buah di Stesyen Pertanian Kelapa di Perak baru-baru ini dan dapat menikmati rasanya. Di negara jiran Indonesia kelapa jenis ini dipanggil sebagai 'Kelapa Kop-yor' dimana ia merupakan kategori kelapa unik yang mempunyai genetik berlainan dengan kelapa biasa. Penulis dapati kelapa ini mempunyai 'daging isi kelapa' berwarna putih yang empuk atau terlepas daripada tempurungnya dan jumlah kandungan air yang sedikit (Sila lihat foto diatas). Kelapa ini mempunyai rasa tawar (kalau yang sudah tua agak berminyak sedikit) dan boleh di ambil dengan mudah dengan sudu untuk dimakan. Walau pun rasanya tawar tetapi kalau dibubuh sedikit perasa (gula) maka ia amat enak untuk dimakan. Kali pertama saya dapat rasa isi kelapa Macapuno ini pada 23 Januari 2015 semasa saya melawat sebuah pusat pertanian tersebut dan amat 'exited' kerana beberapa biji (2 biji) dari 3 tandan sahaja yang betul-betul jadi kelapa macapuno sebenarnya. Daripada 13 biji buah dari 3 pokok kelapa macapuno tersebut hanya 2 yang menjadi. Sifat kelapa ini unik dimana aroma khas dan kelembutannya berlaku akibat hasil mutasi (mutation process) spontan dibahagian mayang kelapa yang dinamakan sebagai Chimera. Perubahan sifat ini boleh berlaku semasa proses pembentukkan buah atau sebelum itu lagi. Saya diberitahu semasa hendak memilih buah tulin macapuno kita perlu mengoncang buah tersebut sekuat hati. Jika tidak ada bunyi kocakan air atau ada sedikit lopong maknanya ia adalah jenis kelapa macapuno. Bagaimana pun jika ada bunyi kocakan air dalam buah yang dipetik maknanya ia bukan dari jenis biji kelapa macapuno dan ianya sama seperti kelapa biasa. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis varieti kelapa yang unggul didunia iaitu kelapa Macapuno yang sangat dikagumi oleh mereka yang tahu dengan dunia tanaman kelapa. 


Buah kelapa macapuno yang terdapat dinegara kita mungkin hanya boleh didapati dalam beberapa stesyen di Jabatan Pertanian dan kemungkinan di Stesyen MARDI. Hanya pakar sahaja dapat mengenali kelapa ini yang diambil dari pokok asal dengan cara menggoyang-goyangkan buah ke kiri dan ke kanan. Lazimnya akan terdengar bunyi seolah buah kelapa tersebut bukan terisi air tetapi terisi pasir. Saya telah mengoyangkan beberapa biji dan jumpa dua biji yang ada sifat tersebut sebelum membelahnya (Sila lihat foto disebelah). kelapa Macapuno ini sangat disukai kerana ciri rasanya yang menyegarkan bila disajikan sebagai makanan. Kegunaan lainnya dinegara jiran adalah sebagai bahan membuat kueh sama ada untuk membuat kueh jenis kering mahu pun kueh jenis basah. Kita di Malaysia amat jarang dapat jumpa kelapa jenis ini dimana ada laporan ia akan jadi buah Macapuno tulin jika tidak ada pendebungaan silang berlaku atau dengan ertikata lain pokok kelapa jenis ini perlu ditanam sesama mereka sahaja. Di negara Filipina dan Indonesia kelapa ini telah pun dikomersilkan dibeberapa lokasi untuk dijadikan banyak produk berasaskan kelapa macapuno. Kajian mendapati nilai ekonominya juga sangat tinggi berbanding dengan kelapa biasa yang lain. Direkodkan dinegara jiran bahawa petani yang berjaya menanam kelapa ini mendapat pendapatan 4-5 kali ganda lebih tinggi daripada menanam kelapa biasa. Persoalannya adalah dimana hendak mendapatkan benih yang tulin?. Ini kerana peratus pokok tulis berjaya menjadii anakbenih sangat sedikit.


Pembacaan dan rujukan penulis mendapati bahawa kelapa Macapuno ini sebenarnya adalah sejeneis pokok kelapa yang 'mutant'. Ia kelihatan sama seperti pokok kelapa biasa dari segi marfologi pokok dan juga buahnya (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun lazimnya bilangan biji pada setiap pandan di Pusat Pertanian Jabatan Pertanian agak edikit sekitar 2 - 8 biji ahaja sedang dikawasan asalnya mampu menghasilkan sehingga sebanyak 10 - 18 biji satu tandan. Semasa melawat Filipina dahulu, saya pernah juga dihidangkan dengan produk hasilan dari kelapa macapuno ini tetapi tidak ambil kisah kerana masa itu masih belum menulis blog (Tahun 1992 dan 2005). Masa itu saya lihat Kelapa jenis Macapuno Filipina mempunyai isi lembut yang seperti agar-agar (jelly-like) dan air kelapanya yang sedikit. Kata mereka amat sukar untuk mendapatkan anakbenih kelapa Macapuno kerana kadar percambahan kelapa jenis ini amat rendah iaitu dibawah 5% sahaja (itu pun jika ada biji kelapa macapuno tulin). Kadang-kadang semua biji kelapa macapuno yang matang tidak satu pun yang tumbuh jadi anakbenih. Ia tidak boleh bercambah atau bertunas kerana kandungan isinya yang lembut seperti agar-agar sukar untuk pembentukkan embrio dalam buah kelapa untuk bertunas tidak seperti kelapa lain. Kaedah yang boleh digunakan untuk dapatkan benih kelapa macapuno adalah dengan mempastikan kelapa macapuno yang gugur dan bercambah dari pokok induk diladang benih terasing sahaja boleh ditanam. Itu boleh menyebabkan kelapa ini amat sukar dikomersilkan kerana ketiadaan benih.


Pokok Macapuno dewasa akan menjalani proses pendebungaan dan seterusnya menghasilkan biji kelapa. Petani akan mengoncang buah dari tandan dan memilih kelapa macapuno sebenar seperti diceritakan diatas.  The Philippine Coconut Authority(PCA) telah pun cuba membangunkan kawasan kelapa ini dikawasan Albay di Luzon dimana mereka menanam 80% dikawasan tersebut dari jenis kelapa macapuno sahaja. Kelapa ini selalunya diproses menjadi makanan berkhasiat (Sila lihat produk kelapa macapuno disebelah). Ia dianggap sebagai makanan eksotik dan 'delicacy' di Filipina. Ia juga dijadikan ramuan dalam membuat kek, ais kerim, gelatin kelapa dan juga dalam pembuatan roti. Produk dibotolkan dan boleh terus dimakan dengan beberapa perisa yang ditambah. Kini banyak produk jenama kelapa macapuno  dihasilkan daripada Filipina dan dijual diseluruh dunia dimana ada yang mendakwa ia adalah jenis makanan untuk kesihatan. Diharap artikel ini mampu meningkatkan ilmu pengetahuan semua pembaca blog ini. Wasallam!...



KELAPA MACAPUNO... UNIKNYA...
ASAL FILIPINA... ADA DI INDONESIA...
SUKAR DIJUMPA.....DI MALAYSIA...
NASIB BAIK... PENULIS TERJUMPA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 206, Lux's Hitel,
Jalan Changkat Jong,
Teluk Intan, Perak,
Malaysia.
(4 RabiulAkhir 1436H)