Tuesday, January 27, 2015

KELAPA - VARIETI 'KELAPA MANIS'

KELAPA MANIS (Cocos nucifera) merupakan sejenis varieti kelapa tempatan yang unik dengan ciri-ciri khususnya. Kelapa jenis tinggi (Tall variety) unik ini dipercayai berasal daripada Malaysia berdasarkan kepada nama yang diberikan dan pencirian yang dibuat. Kenapa ia dinamakan sebagai kelapa manis adalah disebabkan sabutnya dari buah kelapa muda mempunyai rasa 'manis' apabla potongan dikunyah dalam mulut. Bagaimana pun apabila kelapa ini tua dan gugur diatas tanah keistimewaan kelapa manis tidak dapat dibezakan dengan kelapa jenis tinggi yang lain. Ciri ini yang membolehkan orang memanggilnya sebagai 'Kelapa Manis' dan dijadikan sebagai kelapa yang digunakan dalam dunia perubatan tradisional. Mungkin ramai dikalangan kita yang tidak kenal atau tidak berpeluang melihat pokok dan buah kelapa manis. Penulis berpeluang melihat pokok dan buah ini di Pusat Pertanian Teluk Baru, Bagan Datoh, Perak dengan beberapa rakan lain. Buah kelapa dewasa yang gugur bersaiz besar dengan warna kulit yang hampir sama dengan pokok kelapa tinggi lain (Sila lihat foto diatas). Pokok yang berumur dalam 15 tahun ini mempunyai banyak buah. Artikel pada pagi Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis varieti kelapa tempatan iaitu Kelapa Manis yang mana ramai tidak mengenali dan potensi atau beberapa perkara mengenai kelapa tersebut.


Pokok Kelapa Manis yang terdapat di pusat ini dijaga dengan baik dijadikan sebagai koleksi Janaplasma kelapa (Coconnut germplasm). Sebaris pokok kelapa ini terdapat 20 pokok dengan ketinggian sekitar 50 - 60 kaki dijaga dengan baik (Sila lihat foto disebelah). Marfologi kelapa manis adalah sama dengan jenis kelapa tinggi lain dimana ia mempunyai batang tumbuh menegak dengan saiz ukurlilit batang (trunk) sekitar 60 - 85 cm. Kanopi pokok dan bentuk pelepah daun juga tidak menunjukkan banyak perbezaan dengan kelapa tinggi lain yang berhampiran disebelahnya. Pokok ini selalu diberikan baja mengikut jadual iaitu 4 kali setahun dengan jenis baja NPK 12:12:17:2 serta baja organik dan aktiviti pengaporan. Buah kelapa yang gugur akan di kutip dan dijual sebagai kelapa biasa. Menurut ketua stesyen, bilangan hasil buah kelapa manis sama seperti kelapa Malayan Tall sekitar 5,000 - 6,500 sehektar sepokok setahun. Bagimana pun dari segi rupabentuk dan harga ladang ia sama dengan kelapa jenis tinggi yang lain. 


Daripada beberapa biji kelapa yang gugur dikutip telah dibuat pemerhatian oleh penulis. Apabila sabut kelapa manis dipotong, ia menunjukkan ciri mempunyai tekstur sabut yang agak 'spongy' dan banyak rongga berbanding kelapa jenis Malayan Tall atau Tagnanan. Warna sabutnya agak cerah sedikit dan juga ketebalan sabut ini membolehkan ia tidak pecah walau pun jatuh dari ketinggian lebih 50 meter (Sila lihat foto disebelah). Kuantiti sabut yang dihasilkan oleh kelapa tua menyebabkan ia mungkin sesuai diproses untuk pengeluaran produk berasaskan sabut kelapa seperti cocopeat dan sebagainya. Tempurungnya juga sederhana tebal dan memang boleh dikategorikan sebagai jenis kelapa tinggi dalam kumpulan pasaran sebagai gred 'A'. Walau pun kelapa manis belum didaftarkan secara rasmi dalam 'National Variety Listing' sebagai atau varieti kelapa yang terdapat di Malaysia tetapi lazimnya ia mempunyai ciri-ciri khusus DUS dimana ianya boleh didaftarkan. Penulis begaimana pun dapati ia masih jauh lagi untuk disyorkan sebagai tanaman kelapa yang hendak dikomersilkan.


Buah Kelapa Manis tua yang gugur dibawah pokok dikutip dan boleh dibuang sabutnya dengan Alat Penyadap Kelapa atau gunakan parang dengan mudah (Sila lihat foto disebelah). Ia menghasilkan kelapa bulat yang betul-betuk berbentuk 'bulat' dan bukan berbentuk bulat lonjong seperti jenis kelapa lain. Isinya berwarna putih dengan ketebalan sekitar 1.0 -1.4 cm dimana ketebalan adalah sama rata disekeliling tempurung. Isi kelapa mudah dicungkil keluar. Daripada ujian citarasa air, kelapa tua pula ia adalah menyamai dengan kelapa Malayan Tall dengan kemanisan sekitar 4-5% sahaja dan ada sedikit 'rasa minyak' padanya. Sebenarnya menurut orang lama, kelapa manis hanya sesuai dijadikan bahan perubatan jika dipetik sebagai buah kelapa muda. Buah kelapa manis muda yang dipetik akan diambil bahagian kulitnya dan diberikan kepada pesakit dengan mengigit kulit (sabut) yang masih lembut dan rasanya adalah agak manis. Rawatan cara ini dipercayai mampu menghilangkan sakit sawan, sakit gigi, sakit perut dan beberapa lagi. Air kelapa muda yang diminum juga agak manis dan sesuai untuk menurunkan suhu badan dan menghilangkan kesan keracunan dengan berkesan. Apa juga mengenai kelapa manis ini perlu dijalankan kajian saintifik dari segi pembiakbakaan, amalan agronomi, aspek ekonomi dan dimana sumber sebenar pokok kelapa manis ini. Saya harap artikel ini dapat menambah pengetahhuan anda semua. Wasallam!



KELAPA MANIS... VARIETI KELAPA...
BUAH BESAR... COKLAT SABUTNYA...
KULITNYA MANIS ... SEMASA MUDA...
HENDAK TANAM...BENIH DIMANA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 206, Hotel Lux,
Jalan Changkat Jong,
Teluk Intan, Perak,
Malaysia.
(3 RabiukAkhir 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.