Friday, January 30, 2015

KANTAN - USAHAWAN BERJAYA

CIKGU HAMDAN adalah pengusha KANTAN (Phaeomeria speciosa) yang berpengalaman semenjak lebih 24 tahun dahulu dan merupakan salah seorang usahawan kantan terbesar di Malaysia. Penulis berpeluang melawat sebuah perusahaan menanam, mengumpul dan memproses serta menjual bunga kantan di Batu Pahat, Johor bertujuan untuk memdapatkan info ekslusif mengenai penanaman kantan. Kantan merupakan sejenis tanaman yang tumbuh dengan baik terutama di kawasan lembab dan digunakan untuk masakan Melayu dan Cina dari keluarga Zingiberaceae. Laporan Jabatan Pertanian mendapati terdapat seluas 120 shektar tanaman kantan di Malaysia yang banyak ditanam di Perak, Johor, Selangor dan Pahang. Sebut sahaja kantan tentu kita teringat akan Laksa Penang, Asam Pedas, Ulam nasi Kerabu dan sebagainya. Selain daripada digunakan sebagai perasa masakan, bahagian batang kantan boleh mengubati masaalah bengkak-bengkak, buahnya membantu meningkatkan selera makan dan bijinya mampu mengubati penyakit telinga. Terdapat dua jenis bunga kantan yang dikenalpasti ada di kawasan tanaman Cikgu Hamdan iaitu Jenis Bunga Pink, Jenis Bunga Hijau dan Jenis Bunga Merah. Kini Cikgu Hamdan mempunyai seramai 15 orang petani yang menanam pokok kantan seluas 10 hektar (25 ekar) dan menghantar kepada pusat pengumpulan dirumahnya. Tanaman kantan tidak tahan dengan kawasan yang mudah ditenggelami air dimana hampir 90% tanaman dikebunnya dan petani dibawahnya musnah pada banjir besar 2006 dan Januari 2007. Cigu Hamdan dan rakan-rakannya mengambik masa hampir 2 tahun untuk memulihan kesan banjir waktu itu. Kini beliau mampu menggumpul dan menjual sekitar 20,000 kuntum bunga kantan sebulan. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai seorang usahawan bunga kantan terbesar di Selatan Semenanjung Malaysia untuk dijadikan satucoretan kejayaan yang boleh dicontohi oleh usahawan lain.

Pada masa ini bunga kantan dijual dengan dua gred iaitu Gred AA dan Gred Biasa dimana ia ditentukan dengan saiz bunga (Sila lihat foto disebelah). Harga belian dipusat pengumpulan adalah RM1.00 bagi gred AA dan RM0.50 bagi gred Biasa. Sebanyak purata 20,000 kuntum bunga dikumpulkan sebelum dihantar kepasar Batu Pahat untuk dihantar ke Pasar Borong Selayang, Pasar Borong Melaka dan Pasar Borong Toa Payoh, Singapura. Menurut Cikgu Hamdam, Pasar Borong Melala merupakan antara lokasi jualan bunga kantan yang terbanyak dikalangan semua outlet sedia ada. Ini bermakna orang Melaka rupanya golongan yang banyak menggunakan bunga kantan kerana mereka masak 'Asam Pedas Melaka' dan jenis makaan yang lain. Permintaan pada musim perayaan Tahun Baru China merupakan masa paling tinggi pada setiap tahun. Oleh itu lazimnya penanam bunga kantan dinasihatkan untuk emmpastikan taian bunga kantan meningkat pada masa tersebut. Penggunaan bunga kantan paling popular dikalangan kaum Cina sebagai 'Sos Nyonya' yang sering digunakan dalam makanan seafood.  Pengeluaran bunga kantan lazimnya memuncak pada bulan Mei setiap tahun dimana pengeluaran bunga berganda pada bulan tersebut. Lebihan pada bulan Mei menyebabkan harga akan jatuh dan Cikgu Handan akan memprosesnya menjadi produk 'Pes Bunga Kantan'.  

Penuaian yang berlebihan pada bulan Mei setiap tahun menyebabkan Cikgu Hamdan memproses bunga kantan menjadi 'pes kantan' yang boleh didimpan lama dalam peti sejuk (Sila lihat foto disebelah). Menurutnya 30 kuntum bunga kantan segar memberikan sebanyak 4 kg pes bunga kantan yang berkualiti tanpa apa-apa bahan campuran tambahan mahupun air. Bunga kantan segar yang telah dibersihkan akan dikisar beberapa kali sehinga menjadi pes yang halis dan dijual dengan harga borong RM9.00 - RM12.00 sekilogram. Pes ini tahan lama dan dua syarikat yang menjadi pembeli tetap produk pes bunga kantan adalah Dewina dan Sos Nyonya berpengkalan di Kuala Lumpur dan Melala. Kini beliau bercadang untuk menghasilkan pes bunga kantan dalam pek kecil-kecil untuk dibekalkan kepada pasar basah dan juga kedai runcit. Saya fikir produk pes bunga kantan ini mempunyai potensi yang sangat besar pada masa akan datang kerana ia merupakan produk yang perlu digunakan oleh ramai surirumah. 

Tanaman pokok kantan memerlukan kawasan yang sebaiknya rata dan banyak bahan organik serta sistem saliran yang baik. Cikgu Hamdan hanya menanam bunga kantan jenis pink sahaja kerana ia dikatakan mempunyai kualiti terbaik dipasaran. Bunag Kantan Merah hanya sedikit ditanam untuk digunakan sebagai bunga hiasan dan sembahyang kaum cina sementara bunga kantan jenis hijau kurang permintaannya. Bagaimana pun pemasangan sistem pengairan mesti diadakan kerana pokok kantan memerlukan pengairan konsistent untuk menghasilkan bunga. Sistem mikro-jet atau pengeiran renjis (sprinkler) sesuai dipasasang dikawasan kebun (Sila lihat foto disebelah). Program kawalan rumpai dan kawalan penyakit sebaiknya diamalkan Amalan MyGAP kerana penggunaan sebarang racun kimia perlu dielakkan. Kenun Cikgu Hamdan dibelakang rumahnya perlu memohon Skim Persijilan MyGAP kerana ia telah memenuhi sebahagian besar syarat-syarat MyGAp seperti yang ada dalam checklist MyGAP. Pegawai Pertanian Batu Pahat akan membantu Cikgu Hamdan untuk mendapatkan sijil MyGAP bagi kebun bunga kantan.

Pokok kantan sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah dan elakkan kawasan yang bertakung air. Di Malaysia belum ada kultivar yang di kenalpasti tetapi kebanyakkannya Kultivar Tempatan jenis Pink. Penanaman pokok kantan Cikgu Hamdan akan menggunakan benih dari Rizom atau boleh juga dari biji benih. Penggunaan benih rizom lebih popular kerana mudah serta menjadi pilihan petani. Kaedah ini lebih cepat berhasil sedangkan biji benih lama untuk berhasil ( 2 tahun). Rizom kantan di cangkul dari perdu pokok induk. Pastikan ada 2-3 mata tunas dan akar serabut untuk pertumbuhan. Jarak penanaman disyorkan ialah 2 m x 1 m dalam lubang penanaman. Letakkan rizom bersusun dan pada peringkat awal tutup dengan sungkupan dari rumput/ daun untuk melindungi tunas baru. Sistem tanaman disesuaikan dengan tanaman selingan atau tanaman tunggal. Bagi kaedah tanaman selingan dengan getah ditanam dalam jarak getah 6m x 3m (555 pokok/ha) dan jarak kantan ( 2m x 1 m sebanyak 333 pokok/ha). Jika selingan di kawasan dusun buah2an sebanyak 3,333 pokok/ha dan jika di tanam secara tunggal sebanyak 4,200 pokok/ ha. Pangkas daun kantan yang tua untuk elakkan penyakit dan glakkan pengeluaran bunga kantan. Daun yang dipangkas diletak selari dalam barisan tanaman untuk kawal rumpai dan sebagai sungkupan. Pembajaan bermula dengan CIRP (50 gm/pk) dan 125 gm/pk semasa menanam dan 4 bulan pertama dengan tahi ayam (1 kg/ pk). selepas 5 bulan guna NPK 15:15:17:2 (30 gm/ pk) dinaikkan kepada 70 gm, 100 gm pada bulan ke 7 dan ke 9. Pembajaan selepas 15 bulan sebanyak 0.5 kg/pk setahun di buat 2 kali. Begitulah kisah kejayaan seorang usahawan berumur 64 tahun yang mengusahakan tanaman kantan dan boleh dihubungi dengan no HP 019-766135 untuk mendapatkan khidmat nasehat atau pun ingin menjadi petani 'kontrak Farming' dengan beliau. Wasallam!


CIKGU HAMDAN... TELAH BERJAYA...
BUNGA KANTAN.... BANYAK GUNA...
10 HEKTAR... JUMLAH TANAMANNYA...
20,000 KG SEBULAN... DIJUALNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 518, Hotel Katerina,
Jalan Zabedah, Batu Pahat,
Johor, Malaysia.
(9 RabiulAkhir 1436H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.