Monday, July 14, 2014

LEBAH MADU - PERALATAN PERLU (Part 3)

MENTERNAK LEBAH MADU (Bee Keeping) memerlukan ilmu pengetahuan dan kemahiran khusus sama seperti kita hendak berkecimpong dalam industri pertanian yang lain. Di negara kita perusahaan menternak lebah madu kurang hebat jika dibandingkan dengan beberapa negara jiran yang mampu mengekspot produk berasaskan lebah madu keluar negara. Antaranya adalah negara Vietnam dan China yang mampu menghasilkan madu lebah dan produk kesihatan berasaskan lebah madu. Pada masa ini aktiviti menternak lebah madu di Malaysia hanya melibatkan sekitar 100-150 orang pengusaha dengan jumlah haif sekitar 2,500 - 3,500 buah sahaja yang masih aktif. Ia amat berbeza dengan industri ternakan burung walit yang tumbuh bagaikan cendawan diseluruh negara. Antara kawasan tradisional penternakan lebah madu adalah di kawasan kebun kelapa, kebun buah-buahan (terutama kebun belimbing), kawasan ladng nenas dan paling ketara dalam kawasan pokok hutan gelam. Selain daripada Leban Keran (Apis cerana) yang sering diternak saya dapati jenis Lebah Impot (Apis melllifera) dan Kelulut (Trigona spp) merupakan jenis yang paling lazim diusahakan. Setiap penternak lebah perlu mendapatkan kelengkapan asas dalam aktiviti menternak lebah. Artikel subuh Isnin 2 Ramadan 1435 ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai peralatan yang perlu ada oleh pengusaha lebah madu untuk bacaan anda semua diluar sana.


5. PENGEMPAR MADU (Honey Comb Extractor)

Alat Pengempar Madu merupakan sejenis alat yang digunakan untuk mengeluarkan madu daripada dalam kom lebah. Alat ini diperbuat daripada metan stainlesss steel agar ia tidak merosakkan kualiti madu yang diekstrak keluar. Ia berupa tong berbentuk selinder dengan diletakkan bingkai (6 kom dimasukkan didalamnya) dan alat pemutar (pemusing) kom (Sila lihat foto disebelah). Alat ini memang tahan lama kalau diguna dan diselenggara dengan baik. Terdapat paip dibahagian bawah tolng selinder ini bertujuan untuk mengeluarkan madu lebah dari dalam tong pengempar ini. Tinjauan harga runcit pemgempar madu ini sekitar RM 1,000 - RM 1,500 bergantung kepada saiz dan kualitinya. Kitaboleh tempah sendiri alat ini daripada pembuat yang mahir. Alat ini memudahkan proses mengeluarkan madu.


6. GELODOG

Gelodog adalah alat yang diperbuat daripada batang kelapa kering yang telah ditebuk dibahagian tengahnya untuk memerangkap lebah madu liat atau ketika perpecahan koloni lebah (Swarming). Ia mempunyai pintu dibahagian atasnya (yang lazimnya akan dibuat kom sementara oleh lebah yang baru masuk) dan boleh dibuka untuk dipindahkan koloni kedalam haif kotak. Gelodong boleh dibuat dengan menebang pokok kelapa dan dipotong sepanjang 1 meter (3-4 kaki) dan dibuat pintu serta lubang. Membuat gelodog dengan batang kelapa kering agak sukar kerana ia sudah keras. Gelodog akan dipasang ditempat strategik dimana apabila berlaku perpecahan koloni, ia akan masuk dalam gelodog. Anggaran kos membeli gelodog sekitar RM 20.00 - RM 25.00 per unit dan memang boleh dibuat sendiri. Gergaji Mesin boleh digunakan untuk menyediakannya walau pun rantainya cepat rosak. Terdapat penternak lebah keran (Apis cerana) tradisional yang menggunakan gelodog kerana ia mudak dijaga tetapi sukar mengeluarkan madunya.

7. HAIF/KOTAK LEBAH (Hives)
KOTAK LEBAH atau Haif lebah merupakan satu teknik moden dalam menternak lebah madu. Kotak lebah ini amat mudah disediakan sendiri oleh penternak asalkan mereka mempunyai kemahiran, bahan papan lapis, paku, gergaji, tukul dan sebagainya. Mengenai rekabentuk, saiz dan 'finishing hive' bergantung kepada kreativiti masing-masing tetapi di Malaysia saiznya sekitar 60 cm x 50 cm x 40 cm untuk haif utama (Sila lihat foto sebelah). 'Haif Super' adalah kotak yang berkukuran kecil sedikit untuk diletakkan diatas kotak utama bagi diisikan frame kecil khusus untuk penyimpanan madu yang banyak. Terdapat satu sahaja pintu setinggi sekitar 0.5 cm untuk membolehkan lebah pekerja keluar masuk. Rongga pintu yang terlalu besar membolehkan pemangsa lebah untuk masuk kedalam haif lebah yang mana ia akan menyebabkan gangguan dan koloni lebah akan lari keluar. Haif yang berbentuk empatsegi bujur ini lazimnya mempunyai sebanyak 10 - 12 bingkai kom (frame). Pada frame inilah akan dibuat kom-kom lebah secara semulajadi. Bagaimana pun kadang-kadang kita sediakan kom tiruan pada frame jika ia sesuai untuk mempercepatkan pembesaran koloni lebah. Haif ini akan diletakkan pada ketinggian sesuai pada tiang kayu dan tiang kayu sebaiknya disapu minyak agar serangga seperti semut tidak naik masuk dalam haif lebah. Saya dapati anggaran harga satu biji haif sekitar RM 50.00 - RM 80.00 bergantung kepada kuantiti dibeli, jenis kayu digunakan, jarak penghantaran dan sebagainya.
TERNAK LEBAH..ALAT DISEDIA...
BUAT SENDIRI... BELI SAHAJA...
HAIF LEBAH... BANYAK UNITNYA...
KURSUS LEBAH...TAHU CARA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Projek Apiari Nasional
Zon Timur, Pusat Pertanian Sekayu,
Terengganu, 
Malaysia.
(24 Ramadan 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.