Saturday, July 5, 2014

KELAPA SAWIT - PEMBAJAAN (Part 4)

PEMBAJAAN KELAPA SAWIT merupakan satu aktiviti yang penting dijalankan demi mempastikan tanaman tersebut mampu hidup subur dan menghasilkan buah berkualiti. Tanaman kelapa sawit (Elaeis guineensis) juga merupakan tanaman utama di Malaysia dan beberapa negara jiran lain untuk menghasilkan minyak masak dan pelbagai produk yang berasaskan kelapa sawit lain. Tanaman kelapa sawit mampu menghasilkan buah sebanyak 2.5 metrik tan sehektar pada waktu puncak atau lebih lagi jika diuruskan dengan baik melalui sistem pembajaan dan kawalan musuh dan penyakit dengan baik. Apalah maknanya jika hasil buah kepala sawit hanya dicapai kurang satu tan sehektar akibat tidak dibuat pembajaan dengan baik. Serangan musuh seperti tikus juga perlu dikawal dengan baik kerana keujudan tikus yang banyak diladang akan memakan dan merosakan buah-buah masak sehingga merugikan. Kadang-kadang berlaku pembaziran semasa membaja apabila baja yang baru ditabur dibawah pokok telah dihanyutkan oleh air hujan sebaik sahaja selesai proses pembajaan. Ini memang amat merugikan dimana kos harga baja kini bukan murah seperti dahulu. Kerugian 'surface run-off' baja yang baru ditabur ini dimana pokok tidak akan dapat bekalan baja sewajarnya. Pokok kelapa sawit adalah responsif terhadap aplikasi baja yang digunakan sama ada ianya baja kimia baik (Fast release fertilizer) atau baja biasa (slow release fertilizer) atau juga aplikasi baja organik yang semakin popular masakini. Pembajaan merupakan komponen kos penanaman yang paling tinggi (50-60%) dalam sesuatu operasi ladang kelapa sawit. Banyak ladang yang telah berjaya meningkatkan hasil melalui kualiti pembajaan yang baik. Artikel subuh ini saya menulis lagi Part 4 daripada 4 siri artikel dalam "Anim Agro Technology" mengenai amalan membaja kelapa sawit untuk bahan bacaan dan rujukan anda..


Diantara 5 faktor yang boleh menyebabkan kehilangan nutrien perlu diberikan perhatian semasa membaja. Persediaan Awal Ladang yang tidak betul menyebabkan kehilangan unsur baja dalam tanah. Lazimnya akan berlaku hakisan di ladang secara meluas kerana tiada penutup bumi dimana ia akan menyebabkan kehilangan banyak tanah atas (topsoil) semasa peringkat penyediaan kawasan sebelum menanam. Bagi tanah bercerus lazimnya akan dipotong menjadi teres yang membuang bahagian topsoil. Pembajaan amat penting bagi tanah yang hilang bahagian topsoil. Faktur kedua adalah akibat proses Pemeruwapan (volatilisation) yang berlaku pada baja yang ditabur. Ini sering berlaku pada baja yang mudah peluhwap iaitu berlaku pada baja berunsur N seperti Urea. Kejadian ini boleh dikurangkan melalui aplikasi baja berunsur N (urea) pada bulan dimana persekitaran adalah dalam keadaan lembap. Adalah disyorkan agar baja N yang ditabur ditutup dengan tanah atau bahan penutup baja yang sesuai diladang selepas menabur (raking in). Ada yang sengaja membubuh baja N dalam lubang yang digali pada permukaan tanah. Seterusnya dengan aplikasi baja N yang dipecahkan kepada beberapa kali penaburan mengikut pusingan.


Kehilangan baja juga berlaku melalui Proses Larut Resap (leaching). Proses ini kerap berlaku pada kawasan tanah berpasir dan menerima hujan tinggi. Unsur N, K dan Mg adalah nutrien utama yang boleh hilang melalui larut resap. Kehilangan baja melalui larut resap boleh dikurangkan secara kita buat aplikasi sesuatu jenis baja dipecahkan kepada beberapa pusingan membaja. Jadualkan masa membaja kepada beberapa kali dengan kadar sedikit dimana ia mengurangkan larutrepap. Sebaiknya menabur rata baja kelapa sawit pada kawasan akar aktif tanaman untuk dapat meningkatkan kadar serapan. Cuba mengelakkan pembajaan pada bulan-bulan yang hujan tinggi iaitu hujan melebihi dari 250 mm per bulan atau bilangan hari hujan melebihi 15 hari per bulan. Penggunaan bahan seperti sungkupan iaitu tandan kosong boleh meningkatkan kandungan organik tanah. Kajian mendapati bagi meninggikan pH tanah berasid kita lakukan dengan melalui pengapuran untuk meningkatkan kadar pertukaran kation (CEC) dalam tanah. Kadar kapor yang digunakan bergantung kepada tahap keasidan dan kapor GML boleh ditabur mengikut jadual sekurang-kurang 6 bulan sekali. Memang kapor amat penting dalam proses meningkatkan tahap kesuburan tanah.


Faktur ke 4 yang menghilangkan nutrien dalam tanah adalah akibat Hakisan Tanah (Soil eroison). Isu ini melibatkan kehilangan tanah atas dan zat nutrien yang terkandung bersamanya. Kehilangan nutrien melalui hakisan dan air larian permukaan boleh dikurangkan secara melakukan aplikasi membaja dengan dibahagikan kepada beberapa pusingan. Sebaiknya kekalkan penutup bumi yang baik dalam ladang daripada peringkat awal penanaman (Sila lihat foto sebelah). Penggunaan tandan kosong ataupun pelepah yang dicantas sebagai sungkupan diantara barisan kelapa sawit juga berkesan untuk kawal hakisan. Pembinaan teres dan tapak tanaman yang baik pada kawasan berbukit juga berfungsi dalam mengurangkan kadar hakisan tanag dan kehilangan baja. Penggunaan ban (soil bund) ataupun 'silt pit' untuk memperlahan dan memerangkap aliran air pada kawasan teres. Apa juga pun semua amalan agronomi ladang dilakukan mengikut amalan pertanian baik. Akhir sekali kehilangan baja dalam ladang kelapa sawit berlaku akibat masaalah Zat Nutrien Diikat Oleh Tanah (Fixation).  Sebagai contoh baja unsur Nitrogen (N) diikat oleh tumbuhan kekacang ataupun mikrob untuk proses pereputan bahan organik. Unsur Posforus (P) diikat oleh tanah yang kaya dengan unsur Fe dan Al. Proses pengikatan ini boleh dan akan dikurangkan apabila bahan organik telah terurai sepenuhnya dan unsur N dibebaskan secara mineralisasi. Aplikasi baja fosforus (P) secara jalur (band application), di atas pelepah ataupun di luar bulatan pokok iaitu kawasan akar aktif untuk mengurangkan sentuhan baja dengan tanah. Sebaiknya jalankan proses pengapuran pada tanah pH rendah. Sungkupan permukaan tanah dengan pelepah yang dicantas ataupun tandan kosong. 


Peningkatan penghasilan Buah Tandan Sawit (BTS) lazimnya sangat bergantung kepada beberapa faktor seperti tanah, pembajaan, cuaca (hujan, suhu, cahaya), amalan agronomi dan tahap pengurusan ladang. Oleh kerana baja merupakan antara komponen kos yang tinggi dalam operasi perladangan sawit maka diosyorkan agar kualiti baja dan keberkesanan pembajaan janganlah dipandang ringan oleh pekebun kecil atau pun pihak pengurusan estet kelapa sawit. Harga baja kelapa sawit terus meningkat saban tahun akibat kenaikan harga bahan asas baja iaitu petrolium semanjak tahun 2008. Baja kimia merupakan pilihan terbaik untuk digunakan disamping baja-baja organik yang ada dijual dipasaran. Pada saya diantara faktor-faktor yang mampu untuk mempengaruhi keberkesanan pembajaan adalah seperti Kaedah membaja, Masa penaburan, Kadar pembajaan, Persaingan rumpai, Bilangan jumlah pokok yang dibaja dan juga kesan daripada serangan perosak dan penyakit. Pengurusan ladang sawit yang baik mampu memberikan pulangan tinggi jika hasil BTS banyak dengan kualiti BTS yang baik serta harga pasaran sawit yang baik. Pembajaan kelapa sawit sering dijadikan isu utama oleh penanam kelapa sawit diseluruh nusantara. Wasallam!.
MEMBAJA SAWIT... ADA JADUALNYA....
WAKTU HUJAN..CUBA ELAKANNYA...
BAJA BAIK... CEPAT KESANNYA...
HASIL TINGGI... BAIK KUALITINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
BAndar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(19 Syaaban 1435H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.