Sunday, July 6, 2014

BETIK - VARIETI SEKAKI

BETIK SEKAKI (Carica papaya) merupakan sejenis varieti betik yang paling popular di Malaysia. Terdapat beberapa varieti lain tanaman betik di negara kita seperti Betik Eksotika, Betik Subang, Betik Solo, Betik Piola dan beberapa lagi. Buah Betik juga dipanggil sebagai Papaya, Gandul dan pelbagai nama lain diseluruh dunia. Pada tahun 2013 dianggarkan seluas 3,125 hektar tanaman betik di usahakan di Malaysia dengan anggaran pengeluaran sebanyak 49,500 mt (Laporan statistik Jabatan Pertanian 2013). Antara kawasan utama tanaman betik sekaki ini adalah di Negeri Pahang (Daerah Rompin seluas 688 ha), Negeri Kedah (Daerah Padang Terap - 395 ha) dan Daerah Muar, Johor (182 ha) pada tahun 2013. Dengan jarak penanaman betik disyorkan pada 1.8 meter x 2.7 meter (Eksotika dan Subang memberikan sebanyak 2,000 pokok sehektar. Anggaran hasil betik sekaki adalah antara paling tinggi yang melebihi 8 mt/ha (Tahun ke 2 dan Ke 3) dan 32 mt/ha (pada tahun ke 4-5). Betik Sekaki (dikenali juga sebagai Betik Hong Kong) merupakan sejenis betik yang sangat popular ditanam oleh petani komersial. Nama Betik Sekaki diberi atas alasan panjang betik sehingga mencapai 1 kaki dan pasaran utamanya adalah Negara Hong Kong. Ada yang mengatakan disebut sekaki kerana pokok yang rendah dan mampu berbuah sekaki dari aras tanah. Penanaman betik sekaki bermula tahun 1990-1991 di Batang Padang Perak dan terus merebak keseluroh negara. Artikel subuh ini saya menulis sekali lagi "Anim Agro Technology" mengenai tanaman betik sekaki untuk bacaan dan rujukan anda semua.


Pokok Betik Sekaki mempunyai ciri-ciri tumbesaran yang cergas serta mampu mengeluarkan hasil yang konsisten dan tinggi hasilnya. Ruas pokok adalah pendek dan buah akan mula terbentuk pada ketinggian 45 - 60 cm. Pokok betik sekaki ini tegap dan mampu untuk memberikan hasil lumayan jika amalan agronomi dan GAP (Good Agriculture Practices) diikuti terutaman mempunyai sistem pengairan dan pembajaan sempurna. Bunga betik sekaki keluar seawal 3-4 bulan selepas ditanam di ladang. Peratusan bunga yang mandul (Steril) adalah sederhana (Kajian mendapati lingkungan 21% sahaja pada tahun pertama. Biasanya terdapat 3 jenis bunga pada pokok betik sekaki iaitu Bunga Jantan, Bunga Betina dan Bunga Hemaprodit dengan nisbah 4:1 (4 hemaprodit:1 betina). Pokok Hemaprodit mengeluarkan kedua2 bunga jantan dan bunga Hemaprodit dari jenis Tangkai Pendek dan Jenis Tangkai Panjang. Buah Betik Sekaki berbeza antara Buah Betina dan Buah Hemaprodit berpandukan kepada bentuk buah. Buah Betina di kenali kerana bentuk bulat dan gemuk serta mempunyai isi yang agak nipis sementara Buah Hemaprodit berbentuk panjang daripada pangkal buah ke hujungnya. Betik sekaki juga mengeluarkan tiga jenis bunga, hanya pokok yang mengeluarkan bunga dua jantina akan dikekalkan dan manakala pokok yang lain akan dibuang. Bagi memperolehi seratus peratus pokok yang mengeluarkan bunga dua jantina, setiap lubang akan ditanam dengan tiga pokok betik dan kerja-kerja membuang pokok-pokok bukan dua jantina akan dibuat setelah pokok mengeluarkan bunga. Pokok betik sekaki akan mengeluarkan bunga pada bulan ke empat, berbuah dan boleh dipetik pada bulan ke lapan. Proses pengeluaran buah adalah secara berterusan tanpa mengikut musim.Pokok perlu ditanam semula setelah pokok menjadi terlalu tinggi dan kerja-kerja memetik menjadi sukar.Pada kebiasaannya pokok akan ditebang pada tahun ketiga untuk proses penanaman semula.


Kulit Buah Betik Sekaki adlah licin dan bebas dari bintik-bintik atau lebam jika dijaga dengan baik. Buah muda berwarna hijau dan akan kekuningan apabila masak (Indek kematangan 5). isi buah berwarna oren kemerahan dan agak pudar sedikit berhampiran dengan lapisan kulit buah. Petani di pagoh mendapati purata berat buah lingkungan 1.5 - 2.4 kg sebiji. Paling sesuai dimakan buah betik sekaki ini bila telah cukup manis adalah pada index 6 iaitu masak ranum. Kajian mendapati kandungan gula pada tahap 11-12 % Brix (Sangat manis). potensi penghasilan betik sekaki antara 100-150 mt/ha. Betik Sekaki memerlukan tanah yang subur dan mengadungi saliran yang baik. Jenis tanah yang sesuai ialah tanah gembur yang kaya dengan bahan organan. Betik sesuai ditanam diatas tanah yang rata hingga beralun. Ia tidak tahan keadaan air bergenang, walaupun dalam jangkamasa yang pendek. Dianggarkan seekar tanah boleh ditanam sehingga 500 pokok betik. Pembentukan buah betik sekaki adalah sangat sensitif dengan faktor alam sekitar seperti hujan , kemarau dan status kesuburan pokok. Buah betik ini lazimnnya mengambil masa 20 minggu daripada kecil untuk masak. Betik ini juga pada keseluruhannya kurang 10% buku buah berbuah menyangga lebih dari satu biji buah. Biasanya ladang betik sentiasa dijaga bersih daripada rumpai bagi mengelakkan pembesaran pokok terbantut. Ketika pokok masih kecil, kawalan rumpai dibuat dengan mencabut atau mencangkul disekeliling pangkal pokok. Setelah pokok mencapai ketinggian 5 kaki, kawalan rumpai boleh dibuat dengan cara menyembur racun.


Pokok betik memerlukan air semasa pokok masih muda dan juga semasa kemarau yang berpanjangan . Ketiadaan air untuk satu jangkamasa yang panjang boleh menyebabkan pokok terbantut, bunya gugur dan akibatnya hasil akan menjadi susut. Pokok-pokok muda perlu disiram 2-3 kali seminggu dan pokok-pokok yang telah matang disiram seminggu sekali. Pengairan secara titis dan semburan adalah yang paling sesuai untuk tanaman betik. Kajian penulis di Pagoh, Muar, Johor mendapati pengeluaran hasil tahun kedua mencecah 12 mt/ha dimana keadaan buah mudah untuk dipasarkan. Buah yang matang di petik pada indek 3 atau 4 bergantung kepada lokasi pasaran sama ada Export ke Hong Kong atau negara lain. Buah yang di kutip perlu di masukkan kedalam bakul sebelum di buat grading di pusat-pusat pengumpulan kepunyaan syarikat-syarikat pengekspot. Dalam lawatan saya ke Ladang Ming Plantation di Bekoh Segamat yang menanam seluas 220 hektar betik sekaki mendapati penjadualan mengutip hasil dijalankan dengan terancang. Penggunaan baja organik (tahi ayam proses) selaind daripada pembajaan buah (NPK 12:12:17:2 TE) dan sistem pengairan memberikan hasil yang lumayan. kajian juga mendapati kadar serangan PSRV dan Papaya Dieback di Kebun agak terkawal kerana pengusaha menjalankan Amalan ladang baik Malaysia (GAP). Wasallam!.

Mencuba kasut Belanda di Keukenhoff... Amsterdam
BETIK SEKAKI... POPULARNYA...
MUDAH DITANAM...DIMANA-MANA...
JUALAN TEMPATAN...EKSPOT JUGA...
SEDAP DIMAKAN...AMAT MANISNYA...
 

By
M Anem

Senior Agronomist,
Ladang Betik Mr Tan,
Batu 26, Liang Batu, 
Lenga, Muar,
Johor, 
Malaysia.
(4 Ramadan 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.