Friday, January 20, 2023

BAWANG MERAH - AMALAN AGRONOMI

BAWANG MERAH (Allium cepa) merupakan sejenis tanaman umbisi yang ditanam dibeberapa negara Asia Tenggara tetapi tidak popular ditanam di Malaysia. Negara China dan India adalah negara yang memang luas menanam bawang merah yang mana Malaysia ada banyak dilapor mengimport daripadanya. Dalam luang saya membuat tinjauan ke Indonesia dimana sempat lawat kebun bawang dilokasi penanaman bawang di Wonosobo, Jogjakarta dapatlah saya belajar sedikit sebanyak amalan agronomi dan beberapa teknik penanaman bawang merah. Tanaman bawang merah harus di tanam pada keadaan tanah atau kawasan sesuai iaitu kawasan yang beriklim kering, suhu udara yang agak panas, tempat terbuka atau cukup mendapat sinar matahari dan tidak berkabus. Kawasan yang berkabus kurang sesuai terhadap pertumbuhan tanaman bawang merah kerana ianya dapat menimbulkan penyakit. Lazimnya kawasan yang terlindung naungan akan menyebabkan pembentukan umbi bawang merah tidak maksima dan kurang ekonomik.  Tanaman bawang merah dapat di tanam di kawasan tanah rendah atau pun dikawasan dataran tinggi dengan ketinggian antara 0 -1,000 meter di atas permukaan laut. Namun begitu apa yang penulis blog rujuk dimana tanaman bawang merah lebih sesuai ditanam dikawasan dataran tanah rendah dengan ketinggian 0 - 400 meter di atas permukaan laut. Pertumbuhan paling optima adalah pada paras ketinggian 0 - 30 meter di atas permukaan laut. Pada pada ketinggian ini lazimnya tanaman bawang merah mampu untuk menghasilkan umbisi yang paling baik. Pada ketinggian 800 - 900 meter di atas permukaan laut pula dilaporkan yang tanaman bawang merah dapat tumbuh meskipun didapati tahap pertumbuhannya kurang baik dan pembentukan untuk umbisinya juga kurang memuaskan. Suhu yang paling sesuai untuk pernanaman bawang merah ialah antara 25-32 °C. Jika tanaman bawang merah di tanam pada suhu 22 °C pula lazimnya tanaman akan sukar menghasilkan umbisi atau  tidak dapat membentuk umbisi pun pada keadaan suhu rendah ini. Malaysia sehingga kini masih merupakan negara pemgimport bersih bawang merah kerana tanaman ini merujuk kepada Jabatan Pertanian Malaysia memang tidak diusahakan secara komersil. Rekod menunjukkan tanaman bawang yang ada adalah untuk tujuan penghasilan daun bawang sahaja. Artikel subuh sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa asas amalan agronomi penanaman bawang merah daripada pengalaman sendiri dan lawatan ke kebun bawang merah di negara jiran Indonesia untuk bacaan anda semua.

Penjagaan tanaman bawang merah bermula sejak ia mula ditanam. Bagi tujuan menghasilkan bawang merah seperti yang diharapkan perlu dilakukan penjagaan pada tanaman tersebut. Penjagaan yang harus dilakukan pada tanaman bawang merah diantaranya seperti aktiviti penyiraman, penjarangan, penggemburan tanah, pembajaan serta mangawal serangga perosak dan juga penyakit. Lazimnya penyiraman dilakukan mengikut jadual walau pun diketahui tanaman bawang merah tidak menyukai tanah yang lembap namun tanaman ini sangat memerlukan banyak air terutama pada masa pembentukan umbisi. Di Indonesia apa yang penulis blog lihat dimana lazimnya masa untuk mula menanam bawang merah ialah ketika mula musim kemarau. Dengan demikian pengairan sangat perlu untuk dilakukan. Tanah yang berada di sekitar tanaman tidak mengalami kelembapan maka penyiraman bisa menggunakan sprinkler atau dengan menggenangi saluran air atau parit dikiri kanan batas. Kekerapan menyiram perlu diatur agar tanaman bawang tidak kekurangan air dan tidak juga sampai terlalu lembap. Peringkat awal penanaman tanah diusahakan terus basah selama 2-3 hari. Jika tanaman telah tumbuh dengan baik maka pemberian air perlu dikurangkan dengan kaedah jangkamasa seminggu sekali. Apabila umbisi telah terbentuk maka pengairan dapat dilakukan sepuluh hari sekali. Namun demikian penting diperhatikan dalam sistem pengairan ialah penyesuaian dengan keperluan air secara memperhatikan keadaan cuaca semasa. Jika ada hujan maka penyiraman kepada tanaman bawang dihentikan kerana air yang terlalu banyak boleh menyebabkan tanaman bawang merah akan terganggu.

Aktiviti merumput dan menggemburkan tanah dijalankan setelah daun bawang tumbuh secara manual. Merumput ialah mencabut atau membuang rumpai yang tumbuh dengan gunakan tangan kerana rumpai akan mengganggu pertumbuhan bawang merah. Rumput yang tumbuh diatas batas tanaman akan menggambil makanan atau nutrien dalam tanah yang sepatutnya diberikan pada tanaman bawang. Memang penting untuk itu rumpai yang tumbuh disekitar tanaman harus segera dibuang (Sila lihat foto sebelah). Bagaimana pun cara merumput yang dilakukan diatas batas tanaman bawang atau pun ditepi batas perlu berhati-hati agar umbisi bawang yang ditanam tidak diganggu akarnya kerana aktiviti mrmbuang rumput. Selain merumput amalan agronomi yang penting dijalankan juga adalah ia perlu dijalankn akiviti penggemburan tanah. Biasanya tanah yang terlalu basah kerana curahan air hujan mahu pun air siraman menyebabkan tanah akan cepat padat dimana perkara ini menghalang proses pengedaran udara dalam tanah dan boleh menyebabkan umbisi bawang menjadi reput atau diserang penyakit. Pemadatan tanah ini secara semulajadi tentunya akan menyebabkan gangguan pembentukkan  umbisi bawang merah kelak. Sebaiknya tanah yang berada dikiri dan kanak barisan tanaman bawang digemburkan secara berhati-hati menggunakan alat seperti cangkul kecil atau alatan lain dengan cekap. Lazimnya petani akan menjalankan kerja-kerja merumput yang dilakukan sekali dengan aktiviti atau kerja  penggemburan tanah cuma yang harus diperhatikan jangan sampai akar dari tanaman bawang merah akan terganggu. Kerja merumput perlu dilakukan dua kali semasa sahaja. Agak memerlukan kesabaran dan tahan panas ketika menjalankan kerja merumput dan mengemburkan tanah. Di negara China mereka menggunakan jentera khas didalam mereka melakukan kerja ini bagi ladang bawang merah komersial.

Pembajaan Bawang Merah perlu dibuat untuk menjaga hasil bawang yang optima. Unsur baja dalam tanah sedia ada tidak mencukupi bagi pertumbuhan bawang merah dimana ini akan menjejaskan penghasilan. Unsur yang ditambahkan ialah Nitrogen (N), Kalium (K) dan Fosfat (P yang mana pemberian NPK diberikan pada dua peringkat. Peringkat pertama diberikan sebelum penanaman dan peringkat kedua diberikan selepas kerja penanaman. Jenis baja yang diberikan boleh dari jenis baja organik seperti kompos, najis haiwan atau baja kimia atau keduanya. Namun untuk pemberian baja organik biasanya dilakukan pada awal penanaman. Kawalan perosak dan penyakit dilakukan mengikut jadual atau kadar serangan. Perosak dan penyakit menyerang bahagian akar, umbisi, batang dan daun bawang. Diantara perosak yang ada seperti jenis kutu paling sering menyerang tanaman ini. Untuk mengawal buat semburan racun kimia seperti Racun Tamaron dan Folidol. Penyakit yang sering menyerang tanaman bawang putih ialah Bintik Daun, Bisa Air Em dan serangan cendawan. Pemberian racun Diathene M-45 0,2-0,3% dapat mengatasi penyakit ini. Apa pun lazimnya tanaman bawang lazimnya akan matang dan boleh dituai selepas 75 - 90 hari ditanam iaitu apabila daun bawang telah mulai kering dan rebah bergantung kepada varieti. Rumpun bawang yang dituai diikat dan dikeringkan dibawah sistem pengudaraan yang baik. Bawang merah agak tahan disimpan sehingga 6 bulan (bergantung kepada varieti) dan boleh digunakan semula untuk dijadikan benih tanaman dan sebahagian boleh dijual. Kajian di Malaysia mendapati sebiji bawang akan membiak sebanyak antara 15 - 25 biji bebawang serumpun walaupun kajian mendapati di India mencapai 40 -60 biji/rumpun. Beberapa varieti di Indonesia (Mentes, Pakitan) contohnya cuma mempunyai sekitar 8-12 pokok serumpun sahaja. Pada tahun 1998 berlaku krisis bekalan bawang merah seluruh dunia yang telah pun menyebabkan harga bawang merah yang biasanya dijual runcit pada purata harga RM 1.20/ kg telah meningkat sehingga RM 5.40/ kg. Krisis ini disebabkan oleh beberapa negara pengekspot utama bawang ke Malaysia seperti India, China, Thailand, Indonesia dan sebagainya mengalami bencana kemarau akibat El nino. Harga yang mahal terpaksa ditanggung pengguna di Malaysia. Disapati pengimpot amat sukar untuk mendapatkan bekalan bawang merah ketika itu. Kementerian Pertanian melalui Jabatan Pertanian telah pun melancarkan beberapa program pemerhatian untuk menanam bawang merah termasuk yang saya jalankan di Mersing, Johor selama 2 tahun. Kertas keputusan pemerhatian telah saya bentangkan dalam Seminar Teknikal pada tahun 2000 dimana berikut adalah diantara keputusan kajian (Sila baca artikel - Sila klik disini). Penamanan bawang merah di Mersing dan amnya di Malaysia adalah kurang ekonomik. Kos benih (bawang segar) yang mahal dan belum ada bahan tanaman murah yang sesuai (biji benih masih belum ada. Kejadian serangan penyakit pucuk putih mudah berlaku pada setiap umur penanaman dan sukar dikawal. Kos buruh agak tinggi untuk kerja-kerja kawalan rumpai sebab racun rumpai tidak boleh digunakan kerana bawang amat sensitif terhadap racun rumpai. Harga jualan ladang juga tidak menguntungkan. Penanaman bawang merah di Malaysia perlukan kajian lebih lanjut dan memerlukan teknologi baru. Teknologi di Indonesia dan Thailand boleh diguna pakai jika betul penanaman bawang hendak ditanam secara komersil di Malaysia. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wallahualam!...
MENANAM BAWANG...ADA CARANYA...

KAWAL RUMPAI..GEMBURKAN JUGA...
MEMBERI BAJA... IKUT KADARNYA...
BAWANG SUBUR...BAIK TUMBUHNYA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 304, Hotel Adya Nalendra,
Jogjakarta, 
Indonesia.
(1 Rabiulakhir 1435H)
Kemaskini pada 16 Jamadilakhir 1444H.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.