Monday, February 13, 2023

LEMPOYANG - APA HEBATNYA?

LEMPOYANG
 (Zingiber zerumbit) adalah tumbuhan jenis herba daripada famili Zingeberaceae. Lempoyang merupakan sejenis tumbuhan yang sering terdapat di kawasan yang bertanah lembap, redup dan berair. Penulis blog dapati tidak ada maklumat atau data keluasan tanaman jenis umbisi Lempoyang ini di Malaysia merujuk kepada laporan tanaman Jabatan Perrtanian Malaysia. Bagaimana pun ia ada ditanam disekeliling rumah terutama di kalangan masyarakat Jawa di Malaysia dan dikawasan tanah gambut. Tumbuhan ini apa yang penulis blog faham memang mempunyai daun yang seakan-akan kunyit atau halia dan terkenal sebagai herba yang banyak mengandungi khasiatnya sejak zaman-berzaman. 
Lempoyang paling popular dijadikan sebagai bahan rebusan untuk mandian wanita lepas bersalin. Rebusan daun lempoyang memang telah terbukti malah diakui ramai dapat memberikan kesegaran dalaman dan luaran kepada golongan wanita.Selain popular sebagai campuran rebusan air mandian, lempoyang juga boleh membantu mengatasi masalah kurang selera makan. Bahagian rizom atau muda dan daun lempoyang sering digunakan dalam perubatan tradisional. Rizom muda lempoyang dimakan sebagai ulam untuk meningkatkan selera makan. Untuk mendapatkan kesan yang baik sekali gus menyelesaikan masalah kurang selera makan, pengambilan rizom muda perlu dilakukan secara berterusan.  Rizom muda yang dimakan mentah baik untuk wanita yang ingin mengekalkan awet muda. Air rebusan rizom muda boleh membantu melegakan atau mengubati sakit peru. Artikel tengahari Ahad ini saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" beberapa testimoni mengenai khasiat dan kegunaan lempoyang dan hasil dari kajian para saintis tempatan dan beberapa media tempatan untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca semua.

Herba Berizom Lempoyang ini memang sejenis umbisi berkhasiat dan kini telah menjadi bualan setelah hasil penyelidikan selama lapan tahun dimana enam orang penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan bahan semula jadi berasaskan tumbuhan herba. Hasil kajian mendapati herba lempoyang mampu merawat dan mencegah kanser pangkal rahim tanpa sebarang kesan sampingan. Tidak seperti ubat sintetik biasa yang diberikan doktor, hasil penyelidikan mereka membuktikan bahan dari lempoyang berkenaan yang dipercayai antara produk terawal seumpamanya di dunia itu hanya membunuh sel kanser secara khusus tanpa mengganggu sel dan tisu normal lain. Ketua penyelidik iaitu Dr Ahmad Bustamam Abdul nyatakan bahan berkenaan yang dijangka dipasarkan dalam bentuk kapsul dan cecair dan boleh digunakan bersama ubat kimoterapi komersial lain dan boleh diambil dalam dos yang tinggi tanpa merosakkan tisu normal. Bagaimana pun sesiapa yang ingin mendapatkan laporan kajian boleh merujuk kepada pihak UPM di Serdang. Berkemungkinan masa ini sudah banyak kajian lanjutan dijalankan mengenai kehebatan herba ini untuk dijadikan kajian dan perusahaan.

Lempoyang ialah daripada jenis halia dan juga dipanggil halia hutan atau liar, tumbuh liar di kawasan semak samun dan pokoknya hampir menyerupai pokok bunga kantan.  Bahan ini berguna secara langsung kepada wanita yang mempunyai masalah berhubung pangkal rahim dan selepas menjalani ujian pap smear, terbukti ada tanda kanser pangkal rahim.  Ia mampu merawat kanser di peringkat awal sebelum sel kanser bertukar kepada abnormal dimana kesannya ia mengurangkan kebergantungan kepada ubat sintetik yang memberi kesan sampingan seperti keguguran rambut dan mengganggu sistem pencernaan.  Ahmad Bustaman berkata, dengan penemuan terbaru itu, kos rawatan pesakit kanser pangkal rahim dijangka jauh lebih murah, selain tidak perlu terlalu bergantung kepada ubat sintetik yang diimport dan lebih mahal.  Bahan itu kini di peringkat pembangunan produk bertaraf komersial untuk pemasaran dan sudah pun dipatenkan serta diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa.  Kita harap syarikat farmaseutikal tempatan mengambil peluang daripada penemuan ini untuk memasarkan bahan semula jadi sebagai produk ubatan herba antikanser di peringkat global.

Bahan ekstrak halia hutan atau lempoyang boleh digunakan sebagai penawar kanser pangkal rahim iaitu penyakit kedua paling ditakuti wanita selepas barah payu dara. Penemuan itu adalah hasil penyelidikan selama 10 tahun Makmal Penyelidikan Kanser Makna, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendapati tumbuhan herba liar tersebut terbukti mampu melawan sel kanser pangkal rahim pada peringkat awal. Penyelidiknya, Dr. Ahmad Bustamam Abdul dakwa dimana kajian makmal menunjukkan penggunaan spesies halia itu dalam dos yang betul boleh menyembuhkan penyakit dalam tempoh tidak sampai 72 jam. Katanya, kajian praklinikal membuktikan sebatian semula jadi herba tempatan itu mampu menghalang perkembangan kanser sehingga fasa tiga. Tahniah kepada saintis tempatan kita yang menjalankan kajian setelah beratus tahun nenek moyang kita mengamalkan minum jus lempoyang dikampong-kampong sebagai salah satu dari cara perubatan tradisional. Kepada pembaca yang rajin google boleh mendapatkan akan produk-produk yang berasaskan herba lemponyang secara on-line sahaja. Semuga artikel ringkas ini memberi info berguna kepada semua para pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
JUS LEMPOYANG...PAHIT RASANYA...
MENJADI UBAT..KHUSUS WANITA...
LELAKI JUGA..,JANGAN KECEWA...
AMALKAN MINUM...AGAR CERIA...

By,
M Anem, 
Senior Agronomist,
Petak Herba UPM,
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(5 RabiulAwal 1435H).
Kemaskini artikel pada 5 JamadilAkhir 1444H.
Dari Precint 11, Putrajaya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.