Wednesday, January 1, 2014

BAWANG MERAH - TEKNOLOGI

BAWANG MERAH (Allium spp) merupakan tanaman kontan yang ditanam daripada keluarga Alliaceae dalam order Asparagales. Bawang merah (Shallots) lebih kecil serta lebih manis rasanya berbanding daripada bawang besar (Onion). Bawang merah merupakan tanaman semusim yang ditanam secara komersil untuk umbisi dan juga daun bawang dinegara jiran tetapi bukan di Malaysia. Ia memiliki umbisi yang berlapis (bulb), berakar jenis serabut dan daun berbentuk silinder berongga. Umbisinya terbentuk daripada pangkal daun yang bersatu dan akan membentuk batang yang kemudian berubah bentuk dan fungsinya yang seakan-akan umbi berlapis. Apa yang saya perhatikan umbisi bawang merah bukanlan ubi sebenarnya seperti ubi kentang ataupun ubi keledek. Ia terbentuk dari lapisan-lapisan daun yang membesar dan kemudiannya bersatu. Rasa bawang merah adalah sedikit pedas dan berangin. Tumbuhan herba ini adalah kecil setinggi 30-45 cm mempunyai jenis akar serabut dubahagian bawah umbisi. Marfologi daunnya adah jenis daun tunggal yang mempunyai susunan berpilin, ia adalah panjang dengan hujung meruncing dan dibahagian tengah daun selalunya berlubang. Daun bawang berwarna hijau muda dengan permukaan berkulat dan mempunyai aroma yang kuat. Terdapat spesis yang memang khusus ditanam untuk penghasilan daun bawang. Bunga bawang merah jenis majmuk berwarna putih dan terdapat dalam jambak bunga di atas tangkai bunga yang panjang. Bunga bawang lazimnya akan keluar atau tumbuh di hujung daun. Buah atau biji-biji bawang bersaiz kecil berwarna kehitaman. Bebawang adalah daun (daun terubah suai) berisi yang berlapis-lapis diameter kurang dari 3 cm. Artikel malam 1 Januari 2013 ini sementara menunggu 'countdown' jam detik 12.00 malam 1 Januari 2014, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi tanaman bawang merah.


Bawang merah adalah jenis tumbuhan yang boleh ditanam pada tempat beriklim panas seperti iklim tropika dan subtropika. Tanah yang sesuai untuk bawang merah adalah tanah yang tidak menakung air atau pun mempunyai saliran baik. Bawang boleh ditanam dari bahan tanaman biji benih dan juga bebawang (Umbisi). Bawang merah yang baru ditanam perlukan penyiraman air dua kali sehari lazimnya pada waktu pagi sekali dan petang sekali lagi bergantung kepada cuaca. Pengalaman saya mendapati penggunaan kompos pada peringkat awal penanaman adalah amat baik dan digalakkan. Pembajaan bawang merah boleh dilakukan dengan menggunakan baja NPK Hijau (15:15:15) dengan kadar disyorkan. Pengalaman saya mendapatti terdapat 3 jenis bawang yang sesuai ditanam di Malaysia iaitu varieti dari Siam, Indonesia dan India. Bawang jenis dari China kurang sesuai ditanam di Malaysia kerana iklim yang berbeza dan harganya pun memang mahal untuk dibuat benih. Tanah yang sesuai untuk bawang merah mestilah mempunyai saliran yang baik dengan pH 6.0 - 7.0 dan tidak boleh di tenggelami air. Penanaman bawang mesti dibuat di atas batas berukuran 4-10 inci (12-30 cm) tinggi dan lebar 36-48 inci (1.1-1.4 m) lebar serta panjang ikut kesesuaian. Batas tersebut kemudian dibubuh baja asas organik dan sebaiknya diberi sungkupan seperti jerami padi kering atau rumput atau lalang kering. Kalau tiada sungkupan akibatnya benih yang baru ditanam akan rosak akibat hujan dan hakisan terutama jika ditanam diatas tanah bris seperti di Mersing. Saya pernah menanam bawang merah di Mersing diatas tanah bris pada tahun 1998 - 2000 sebagai petak pemerhatian jabatan untuk kajian potensi penanaman bawang merah secara komersil di Teluk Sari dan Sri Pantai.  Kajian ini melibatkan pegawai dan petani projek kelompok terpilih.


Benih bebawang segar di pasaran digunakan (jenis India dan Indonesia) dengan bungkusan dalam sebakul buluh (lingkungan 8-10 kg). Proses pertama adalah mengasingkan umbisi bawang dari rumpun dan potong bahagian atas sedikit untuk mempercepatkaan proses pertumbuhan semasa penanaman. Kalau kita tidak mepotong bahagian atas umbisi akan menyebabkan kelewatan pertumbuhan tunas antara 3-5 hari. Keperluan benih antara 1,200 -1,500 kg/ ha dikawasan tanah bris yang ditanam diatas batas. Biji bawang sebaiknya perlulah di celup dalam racun cendawan dan racun kulat sebelum ditanam (Thiram). Lazimnya syor jarak tanaman adalah antara 13 cm x 13 cm (5 inci x 5 inci) dengan kedalaman umbisi dimasukkan 2/3 bahagian kedalam tanah. Penyiraman perlu dijalankan dua kali sehari dan jangan biarkan terlalu basah atau terendam sebab bawang akan reput. Proses penuaian hasil boleh dilakukan apabila semua daun bawang telah kering atau bertukar kepada warna merah telah rebah iaitu sekitar 6 hingga 8 minggu selepas penanaman. Tuaian hendaklah dilakukan ketika cuaca kering agar bawang boleh disimpan lama. Elakkan menuai selepas hujan kerana bawang akan mudah diserang fungus jika basah ketika dituai. Cara menuai bawang adalah dengan mencabut terus dari tanah dan kemudian dijemur sehingga semua daun atas kering.


Tanaman bawang lazimnya akan matang dan boleh dituai selepas 75 - 90 hari ditanam iaitu apabila daun bawang telah mulai kering dan rebah bergantung kepada varieti. Rumpun bawang yang dituai diikat dan dikeringkan dibawah sistem pengudaraan yang baik (Lihat foto sebelah). Bawang merah agak tahan disimpan sehingga 6 bulan (bergantung kepada varieti) dan boleh digunakan semula untuk dijadikan benih tanaman dan sebahagian boleh dijual. Kajian di Malaysia mendapati sebiji bawang akan membiak sebanyak antara 15 - 25 biji bebawang serumpun walaupun kajian mendapati di India mencapai 40 -60 biji/rumpun. Beberapa varieti di Indonesia (Mentes, Pakitan) contohnya cuma mempunyai sekitar 8-12 pokok serumpun sahaja. Pada tahun 1998 berlaku krisis bekalan bawang merah seluruh dunia yang telah pun menyebabkan harga bawang merah yang biasanya dijual runcit pada purata harga RM 1.20/ kg telah meningkat sehingga RM 5.40/ kg. Krisis ini disebabkan oleh beberapa negara pengekspot utama bawang ke Malaysia seperti IndiaChinaThailand, Indonesia dan sebagainya mengalami bencana kemarau akibat El nino. Harga yang mahal terpaksa ditanggung pengguna di Malaysia. Disapati pengimpot amat sukar untuk mendapatkan bekalan bawang merah ketika itu. Kementerian Pertanian melalui Jabatan Pertanian telah pun melancarkan beberapa program pemerhatian untuk menanam bawang merah termasuk yang saya jalankan di Mersing, Johor selama 2 tahun. Kertas keputusan pemerhatian telah saya bentangkan dalam Seminar Teknikal pada tahun 2000 dimana berikut adalah diantara keputusan kajian (Sila baca artikel - Sila klik disini)Penamanan bawang merah di Mersing dan amnya di Malaysia adalah kurang ekonomik. Kos benih (bawang segar) yang mahal dan belum ada bahan tanaman murah yang sesuai (biji benih masih belum ada. Kejadian serangan penyakit pucuk putih mudah berlaku pada setiap umur penanaman dan sukar dikawal. Kos buruh agak tinggi untuk kerja-kerja kawalan rumpai sebab racun rumpai tidak boleh digunakan kerana bawang amat sensitif terhadap racun rumpai. Harga jualan ladang juga tidak menguntungkan. Penanaman bawang merah di Malaysia perlukan kajian lebih lanjut dan memerlukan teknologi baru. Teknologi di Indonesia dan Thailand boleh diguna pakai jika betul penanaman bawang hendak ditanam secara komersil di Malaysia. Wallahualam!.
BAWANG MERAH...TANAM DIMANA...
TANAM DIMERSING...LAPORAN ADA...
KURANG SESUAI....DIMALAYSIA...
TIDAK CUKUP... IMPOT SAHAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Sri Pantai, Mersing,
Johor, Malaysia.
(30 Safar 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.