Wednesday, November 20, 2013

RAMBUTAN - CANTUMAN DEWASA (Part 2)


RAMBUTAN (Nephelium lappaceum L) merupakan sejenis buah-buahan tropika penting dari keluarga Sapindaceae yang ditanam untuk buah segar dinegara kita semenjak dulukala. Pokok rambutan ditanam di keliling rumah dan tidak banyak yang menanam rambutan secara 'monokrop' kerana faktur pulangan yang rendah akibat permintaan buah rambutan serta pengeluaran yang bermusim dengan jumlah yang banyak. Laporan Jabatan Pertanian Malaysia menunjukkan seluas 24,749 hektar tanaman rambutan ditanam pada 2012 dengan anggaran penghasilan buah segar sebanyak hampir 80,000 metrik tan. Kawasan utama tanaman rambutan adalah di Kelantan, Johor, Perak, Kedah, Pahang dan juga Terengganu. Kebanyakan pokok rambutan yang ada dikeliling kita telah berumur lebih daripada 30 tahun dimana penanaman rambutan dikawasan kampong diasaskan oleh Jabatan Pertanian Malaysia melalui bantuan Skim Kepelbagaian Input Bantuan Pertanian (Agriculture Input Diversification Scheme AIDS) sekitar tahun 1980'an dahulu. Artikel pagi Ahad dalam keadaan cuaca serah ini saya minat menulis dalam "Anim Agro Technology' satu tajuk teknologi cantuman dewasa bagi pemulihan tanaman rambutan dengan varieti baru yang mempunyai nilai komersil untuk pengetahuan semua pembaca yang masih berminat untuk menanam rambutan.

Pokok rambutan yang sudah berumur antara 6 - 20 tahun atau tua dan kurang dipelihara lazimnya akan menghasilkan buah rambutan yang agah rendah mutunya. Ini  disebabkan pokok yang tua kurang cekap dari segi proses pengambilan nitrien dan penyebarannya kepada seluruh bahagian pokok. Pokok rambutan yang hendak dibuat cantasan dewasa boleh dipotong batang utama dan dahannya dari ketinggian 2 - 3 meter dari paras tanah (Sila lihat rajah 1 disebelah). Pemotongan boleh dibuat menggunakan gergaji cantasan (pruning saw) dalam keadaan menyerong 45 darjah. Ini bertujuan untuk tudak bertakung air pada empulur batang dan kemudian perlu disapu cat. Cat ini akan mengelakkan serangan kulat pada bahagian batang dan dahan pokok yang telah dilukakan. Laksanakan cantasan atau 'pollarding' ini terhadap pokok rambutan dalam kebun secara berperingkat-peringkat agar hasil rambutan sentiasa ada pada setiap musim.

Semasa membuat cantasan, sebaiknya perlu ditinggalkan 2-3 dahan utama pokok rambutan pada tunggul yang mempunyai daun untuk proses fotosintesis (Sila lihat rajah 2 di sebelah). Peranan dahan ini adalah sangat penting bagi mempastikan tunggul dapat terus hidup selepas dicantas. Pembajaan dan kawalan perosak dan penyakit diteruskan mengikut jadual. Bahagian dahan yang dicantas perlu disapu dengan cat untuk mengelakkan serangan kulat dan perosak. Kumpulkan dan kutip dahan pokok rambutan yang dipotong dan kumpulkan disatu lokasi sehingga kering untuk dijadikan kayu api, baja kompos atau pun bakar sahaja apabila telah cukup kering. Sebaiknya laksanakan proses cantasan pada musim biasa dan elakkan pada musim kemarau atau musim hujan berpanjangan. Buat pemeriksaan sekerap mungkin pokok rambutan yang dicantas. 

Setelah beberapa minggu dibuat cantasan, lazimnya tunas yang tumbuh daripada kesan cantasan akan keluar dibahagian pucuk (Sila lihat rajah 3 disebelah). Pilih beberapa mata tunas yang 'vigorous' dan sihat sebanyak 2 - 3 dahan untuk dijalankan cantuman dewasa diladang. Buang tunas-tunas lain yang tumbuh agar kita boleh mendapatkan taburan yang seimbang disekeliling pokok. Daripada beberapa tunas sebaiknya pilih satu tunas untuk dicanum dengan mata tunas varieti rambutan terpilih selepas berumur 3 bulan dicantas. Pada masa ini pastikan penjagaan pokok induk adalah pada tahap sihat. Ambil mata tunas dari varieti rambutan terpilih seperti Rambutan Anak Sekolah (R193), Rambutan Deli Baling (R191), Rambutan Gading Mas (R156)  yang mampu menghasilkan buah berkualiti untuk pasaran domestik dan ekspot. Setelah cantuman yang dijalankan diladang berjaya, jaga dahan yang telah melekat sehingga ia menjadi pokok. 


Kajian yang dijalankan di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor menunjukkan kadar kejayaan cantuman dewasa bagi varieti R156 (Anak Sekolah atau Rong Rien) adalah melebihi 80% bergantung kepada teknik dan pengurusan tanaman rambutan. Pokok yang telah dibuat cantuman dewasa akan menghasilkan buah rambutan yang bermutu asalkan ia dijaga dengan baik. Terdapat juga beberapa orang petani yang menyatakan dahan tunas yang telah dicantum mudah sekah (Orang Jawa Johor kata -'SEMPAL'). Ini kerana kadar dahan cantuman melekat padang batang asal tidak dijaga baik akan patah. Oleh itu sebaiknya dahan tersebut disokong dengan kayu sehingga cukup kuat (Sila lihat foto sebelah). Cantuman dewasa rambutan sesuai dijalankan oleh pemilik pokok rambutan terutama pokok tua, buah kurang bermutu, pokok yang telah rosak dan tidak produktif dan juga mendapatkan varieti rambutan yang disyorkan sahaja. Wasallam !...


Pokok rambutan setelah dibuat cantuman dewasa.
POKOK SEDIA ADA....RAMBUTAN TUA... 
VARIETI LAMA... KURANG MUTUNYA....
DIBUAT POLLARDING...TERBIT TUNASNYA...
PILIH VARIETI...CANTUMAN DEWASA....  

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Petak Rambutan,
Pusat Pertanian Sungai Udang,
Masjid Tanah, Melaka,
Malaysia.
(27 Muharam 1435H)




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.