Tuesday, November 19, 2013

RAMBUTAN - CANTUMAN DEWASA (Part 1)

RAMBUTAN (Nephelium lappaceum L) merupakan sejenis buah-buahan tropika penting dari keluarga Sapindaceae yang ditanam untuk menghasilkan buah segar dinegara kita semenjak lama dulu. Pokok rambutan ditanam di kawasan keliling rumah dan kini tidak banyak yang menanam rambutan secara 'monokrop' kerana faktur pulangan yang rendah akibat permintaan buah rambutan serta pengeluaran yang bermusim yang hampir serentak dengan jumlah yang banyak. Laporan Jabatan Pertanian Malaysia menunjukkan seluas 24,749 hektar tanaman rambutan ditanam pada 2012 dengan anggaran penghasilan buah segar sebanyak hampir 80,000 metrik tan. Saya fikir hanya sekitar 60% sahaja pokok rambutan yang berhasil dan dijaga dengan baik dimana bakinya dibiarkan begitu sahaja. Kawasan utama tanaman rambutan adalah di Kelantan, Johor, Perak, Kedah, Pahang dan juga Terengganu. Kebanyakan pokok rambutan yang ada dikeliling kita telah berumur lebih daripada 30 tahun dimana penanaman rambutan dikawasan kampong dengan varieti terpilih dahulu adalah diasaskan oleh Jabatan Pertanian Malaysia melalui bantuan Skim Kepelbagaian Input Bantuan Pertanian (Agriculture Input Diversification Scheme AIDS) sekitar tahun 1980'an dahulu. Program ini kemudian digantikan dengan SGBB atau Skim Galakkan Buah-buahan yang mana banyak anak benih buah-buahan terpilih termasuk rambutan diedarkan kepada petani dengan harga RM1.00 sepokok. Kedua-dua program ini disamping Program Pemulihan Dusun Buah-buahan dan Pembangunan Dusun Nukleus merupakan bagaimana pengembangan keluasan tanaman buah-buahan khususnya rambutan di Malaysia. Artikel pagi Ahad dalam keadaan cuaca cerah ini saya minat menulis dalam "Anim Agro Technology' satu tajuk teknologi cantuman dewasa bagi pemulihan tanaman rambutan dengan varieti baru yang mempunyai nilai komersil untuk pengetahuan semua pembaca yang masih berminat untuk menanam rambutan dinegara kita.


Pokok rambutan merupakan pokok saka yang boleh tumbuh dengan ketinggian mencecah sehingga 20 meter dengan kanopi yang merimbun serta bentuk cabang rendang. Terdapat sebanyak 64 varieti rambutan yang telah didaftarkan dalam senarai Varieti Tanaman Kebangsaan di Jabatan Pertanian tetapi hanya sekitar 8 varieti sahaja yang disyorkan untuk ditanam secara komersil. Pokok rambutan varieti R156 (Gading Muar) yang ada didusun dekat rumah keluarga di kampong saya di Muar pun hidup lebih dari 40 tahun tetapi masih berhasil (Lihat foto diatas). Pokok rambutan daripada baka cantuman lazimnya mempunyai batang utama yang sederhana besar dan pendek dengan ada dahan utama yang terbuka bentuknya. Lazimnya daripada apa yang saya perhatikan, pembentukkan buah rambutan akan berlaku selepas proses pendebungaan (Anthesis) yang mana ia dibantu oleh agen pendebungaan seperti serangga, angin dan sebagainya. Kajian menunjukkan Julat tempoh masak buah rambutan di Malaysia sekitar 100 - 130 hari bergantung kepada varieti, cuaca dan pengurusan tanaman. Kebanyakan rambutan yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian mempunyai isi yang berjus dengan rasa manis berbanding dengan buah rambutan bukan klon yang disyorkan yang mungkin masam rasanya serta tidak berapa lekang. Saiz buah Deli Baling (R193) dan Anak sekolah (R191) adalah sekitar 2.5 panjang dan 1.5 m lebar. Panjang bulu atau rambut pada buah rambutan adalah signifikan untuk pemanjangan tempoh penyimpanan selepas dituai yang ada pada beberapa varieti seperti Anak sekolah.


Pokok rambutan sedia ada yang tua kini sudah tidak produktif lagi atau tidak ekonomik untuk djadikan produk buah rambutan segar berkualiti. Pokok rambutan ini mungkin sudah terlalu tinggi dengan sistem percabangan yang tidak elok dan hasil yang rendah kualitinya. Lazimnya saya lihat yang pokok rambutan tua akan mengeluarkan saiz buah yang kecil, kurang manis serta kualiti buah kurang baik. Oleh itu beberapa kaedah untuk meningkatkan lagi potensi pokok rambutan kita boleh menjalankan aktiviti iaitu POLLARDING dan juga CANTUMAN DEWASA. Teknologi ini sering juga dibahaskan yang mana lebih ekonomik untuk 'menanam baru' anak pokok rambutan dengan menjalankan cantuman dewasa rambutan. Pada saya jawapannya adalah bergantung kepada situasi semasa dan keperluan setempat yang mana hendak dilaksanakan. Apa yang penting adalah kita mampu menggantikan varieti pokok rambutan yang kurang baik kepada varieti yang lebih baik. Tujuan aktiviti cantuman dewasa ini dijalankan adalah untuk memulihan pokok rambutan daripada baka kurang baik (jenis rambutan masam, tidak lekang, buah kecil, warna tidak menarik dsb) dengan varieti rambutan yang disyorkan terutama untuk pokok yang berumur. Aktiviti ini akan memberikan pertumbuhan pokok baru dan akan mendapat kualiti buah baik yang disyorkan. Pokok dari hasil cantuman dewasa juga akan tumbuh dengan lebih sihat disebabkan oleh sistem pengakaran pokok yang lebih ekstensif. Lazimnya pokok cantuman dewasa akan menghasilkan buah lebih cepat berbanding dengan membuat penanaman semula tanaman baru atau tanaman semula pokok rambutan. Pemerhatian saya dibeberapa lokasi aktiviti cantuman dewasa rambutan mampu mengeluarkan hasil buah selepas tahun kedua penanaman. Kajian mengenai aktiviti camtuman dewasa rambutan ini dijalankan dibeberapa negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Johor menunjukkan ramai petani masih berminat dengan pokok rambutan mereka sebagai sumber pendapatan.


Bunyinya agak asing pada kali pertama kita berjumpa dengan petani atau pemilik pokok rambutan tradisional di kampong untuk membuat cantuman dewasa. Kebanyakan petani akan berkata tidak perlu lagi buat apa-apa perubahan pada pokok rambutannya. Ini kerana pokok yang nesar ini akan menghasilkan banyak buah rambutan setiap musim dan kalau anak atau cucu balik kampong boleh makan rambutan. Tetapi apabila diterangkan kaedah cantuman dewasa dengan varieti baik seperti R191 atau R193 meraka terbuka hari untuk bersama melaksanakannya. Kaedah cantuman dewasa rambutan ini perlu dijalankan secara agressif jika kita hendak mempastikan penghasilan buah rambutan dari varieti yang diterima untuk pasaran domestik dan boleh diekspot keluar negara. Sebaiknya cara perlaksanaan melalui pendekatan projek berkelompok atau secara  individu bagi pemilik pokok rambutan dikawasan keliling rumah.  Bagaimanakah kita hendak menjalankan 'cantuman dewasa' dan juga aktiviti 'Pollarding'?. Baca artikel berikutnya dalam Part 2 dan Part 3. Wasallam.

CANTUMAN DEWASA ... POKOK RAMBUTAN...
POKOK TUA... DARI BANTUAN JABATAN...
DULU HASIL BANYAK... HINGGA BERTAN...     
KINI BUAH KECIL... SUKAR DIPASARKAN...

By,
M Anem
Senior Agronomist

Projek Kelompok Tanaman Rambutan,
Alor Setar, Kedah,
Malaysia.
(7 Ramadan 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.