Saturday, October 26, 2013

DURIAN BELANDA - PENDEBUGAAN BERBANTU

DURIAN BELANDA (Annona muricata) merupakan sejenis buah-buahan dari keluarga Annonaceae sama seperti buah Nona Seri Kaya, Nona Kapri, Atemoya, Cherimoya dan beberapa jenis lagi. Tanaman ini dipercayai natif dari kawasan di Amerika Tengah dan tidak banyak yang ditanam secara komersil di Malaysia seperti buah-buahan lain (Sila klik disini - untuk artikel berkaitan durian belanda). Durian belanda memerlukan kawasan tanah yang subur dengan kadar kecerunan antara 0 - 15 darjah, mempunyai sistem saliran baik (ia tidak tahan air banyak) dan pH tanah diantara pH5.0 - 5.5 dengan kedalaman tanah melebihi 1 meter. Dari segi hujan pula saya dapati tahap keperluannya adalah SEDERHANA sepanjang tahun dan hujan berlebihan akan menganggu proses pendebungaan. Pokok durian belanda juga akan terjejas hasilnya jika kurang air atau kemarau agak panjang. Di Malaysia terdapat 3 varieti durian belanda yang telah lama didaftarkan iaitu DB1, DB2 dan DB3. Kesemua varieti ini akan mengeluarkan hasil selepas 3 tahun penanaman pada pokok yang dijaga dengan baik dikebun. Antara isu penting dalam tanaman durian belanda adalah masaalah pendebungaan yang sering menjadi masaalah kepada ramai petani tempatan. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu teknologi pendebungaan berbantu (assisted pollination) tanaman buah durian belanda berasaskan kepada beberapa pemerhatian yaang dibuat dikebun durian belanda untuk bahan bacaan dan rujukkan.


Bunga durian belanda mempunyai masaalah pendebungaan yang agak serius terutama jika ditanam dikawasan yang sentiasa lembab, kurang tiupan angin, pokok kurang subur, jumlah pokok sedikit, jarak tanaman berjauhan atau pun kekurangan serangga agen pendebunga. Bunga durian belanda (Lihat foto sebelah) merupakan bunga yang mempunyai kelopak berwarna hijau muda dengan stigma dan anthers berada didalamnya. Dalam beberapa rujukkan yang saya buat, terdapat beberapa fasa kematangan bunga durian belanda yang berbeza-beza antara Bunga Betina (stigma) dan Bunga Jantan (menghasilkan debunga). Masa matang atau kesediaan stigma durian belanda beberapa varieti tempatan didapati terbuka untuk menerima debunga lazimnya pada waktu petang sekitar jam 3.00 - 5.00 petang (waktu paling reseptif). Waktu awal pagi atau lewat petang juga ada beberapa kuntuk bunga dalam pokok yang sama atau varieti lain terbuka dan sesuai menerima debunga. Bagaimana pun masa kematangan debunga (pollen) pada anthers didapati banyak berlaku pada lewat petang atau malam hari (sekitar jam 8.00 - 9.00 malam) dimana ianya boleh gugur dan jatuh kepada stigma. Umumnya semut, kerengga, rama-rama dan agen pendebunga lain adalah kurang aktif pada malam hari. 


Keratan rentas bunga.
Beberapa hipotesis kajian dijalankan bagaimana hendak meningkatkan kadar kejayaan pendebungaan durian belanda. Antara kemungkinan yang sesuai atau boleh dijalankan adalah dengan membuat aktiviti pendebungaan berbantu (assisted pollination). Melihat kepada foto sebelah yang dikerat dua, kita boleh lihat dengan jelas bagaimana kedudukan stigma dan anthers dalam bunga durian belanda. Stigma berada ditengah atas daripada anthers yang terletak dibawah dan pendek sahaja. Dengan kelopak bunga menutupi stigma dan anthers, agak tidak banyak agen pendebunga yang hadir untuk membantu didalam proses pendebungaan. Saya fikir ada kemungkinan untuk kita membuat pendebungaan berbantu kepada tanaman durian belanda untuk meningkatkan hasilnya. Pastikan tanaman berada dalam keadan subur dan tidak diserang penyakit.


Kutip debunga yang telah masak atau matang pada masa yang sesuai iaitu lazimnya pada waktu malam seperti dinyatakan diatas. Gunakan penyepit kecil atau 'scoop' yang sesuai untuk mengutip semua karung debunga dan kumpulkan dalam bekas berwarna hitam seperti bekas plastik. Bekas plastik hitam ini akan memudahkan kita melihat debunga yang berwarna kekuningan yang amat halus (Lihat foto sebelah). Simpan debunga tersebut didalam tempat sejuk seperti dalam peti ais tetapi elakkan daripada ianya kering (kalau telah kering tidak sesuai). Debunga ini perlu diperiksa dan digunakan secepat mungkin esok harinya mengikut kemampuan kita. Dalam kaeadaan penyimpanan yang baik, jangkahayat kesuburan debunga dapat dipanjangkan. Asingkan debunga mengikut varieti jika kita mempunyai beberapa varieti durian belanda di kawasan kebun.  


Pendebungaan berbantu untuk durian belanda sesuai dijalankan pada waktu petang hari dengan memeriksa setiap kuntum bunga yang sesuai. Ambil berus mewarna lukisan yang mempunyai bulu lembut dan letakkan pada bekas debunga yang diambil sebelumnya. Pastikan ada debunga melekat pada hujung berus (Lihat foto sebelah). Lalu disapukan berus yang ada debunga pada stigma bunga durian belanda yang sedang aktif dan reseptif. Semasa menyapu, pastikan disapu rata disekeliling stigma sehingga menyeluruh. Kegagalan kita untuk meletakkan debunga pada semua keliling stigma akan menyebabkan bentuk buah yang tidak seragam. Jika pokok agak tinggi, kita boleh menggunakan tangga aluminium yang sesuai untuk menjalankan proses pendebungaan. Tetapi berapa ramai yang ada kemahiran utnuk melakukannya?. Tidak mengapa kerana ia adalah satu teknologi yang boleh dijalankan untuk peningkatan hasil.


Pendebungaan yang berjaya akan dapat dilihat apabila PUTIK buah durian belanda terbentuk selepas beberapa minggu. Bagaimana pun jika pendebungaan gagal ia akan menjadi warna hitam dan akhirnya gugur selepas 2 -3 minggu. Sebaiknya ditandakan bunga yang telah disapu dengan debunga dengan menggunakan 'marker, cat atau mematahkan kelopak pada bunga sebagai tanda (Sila lihat foto dibawah). Apabila kita mencari bunga untuk didebungakan tidaklah akan berlaku proses berulang yang akan merosakkan bunga tersebut. Daripada pemerhatian penulis, teknologi ini memang memerlukan kemahiran khas dan boleh dipelajari daripada mereka yang berpengalaman. Oleh itu pokok durian belanda sebaiknya dikawal ketinggiannya untuk memudahkan proses pendebungaan dan pengurusan tanaman keseluruhannya. Putik buah yang dihasilkan perlu dijaga dengan baik dengan memberikan baja, air dan kawalan daripada serangan musuh dan penyakit. Buah durian belanda yang berkualiti dan berjaya dalam pendebungaan berbantu sepatutnya mempunyai bentuk buah seperti 'JANTUNG' dan bukannya mempunyai bentuk yang tidak sekata atau membengkok.  Kepada anda yang ingin mencuba teknologi ini dipersilakan. Wasallam!
Patahkan kelopak tanda telah didebungakan.
PENDEBUNGAAN BERBANTU.. CARANYA...
PERLU MAHIR... BAGAIMANA LAKUKANNYA...
DEBUNGA DIKUTIP..SIMPAN SEMPURNA...
KEMUDIAN ... IA DISAPU PADA STIGMA...  

By,
M Anem,
Senior Agrologist,
Room 513, D Hotel,
Bandar Seri Iskandar,
Perak, Malaysia.
(20 Zulkaedah 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.