Sunday, October 27, 2013

DURIAN BELANDA - ISU PENDEBUNGAAN

DURIAN BELANDA (Annona muricata) merupakan sejenis buah-buahan dari keluarga Annonaceae sama seperti buah Nona SSeri Kaya, Nona Kapri, Atemoya, Cherimoya dan beberapa lagi. Tanaman ini dipercayai natif dari kawasan di Amerika Tengah dan tidak banyak yang ditanam secara komersil di Malaysia seperti buah-buahan lain (Sila klik disini - untuk artikel berkaitan durian belanda). Durian belanda memerlukan kawasan tanah yang subur dengan kecruna antara 0-15 darjah, mempunyai saliran baik (ia tidak tahan air banyak) dan pH antara 5.0 - 5.5 dengan kedalaman tanah melebihi 1 meter. Dari segi hujan pula saya dapati tahap keperluannya adalah SEDERHANA sepanjang tahun dan hujan berlebihan menganggu proses pendebungaan. Pokok durian belanda juga akan terjejas hasilnya jika kurang air atau kemarau agak panjang. Di Malaysia terdapat 3 varieti durian belanda yang telah didaftarkan iaitu DB1, DB2 dan DB3. Kesemua varieti ini akan mengeluarkan hasil selepas  3 tahun penanaman yang dijaga dengan baik dikebun. Antara isu penting dalam tanaman durian belanda adalah masaalah pendebungaan yang sering menjadi masaalah kepada ramai petani tempatan. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai isu berkaitan teknologi pendebungaan bunga durian belanda berasaskan kepada kertas teknikal dalam Sminar Hortikultur baru-baru ini.

Proses pendebungaan (fertilization process) merupakan satu isu didalam penanaman pokok durian belanda selain daripada masaalah serangan penyakit seperti serangan Erwinia spp, Mati Pucuk, Masaalah buah tidak seragam dan sebagainya. Pemerhatian saya dibeberapa kebun tanaman durian belanda di tanah gambut yang mempunyai masaalah sistem saliran mendapati pokok mudah diserang Erwinia terutama pada musim hujan (Lihat foto sebelah). Pokok akan kelihatan tinggal ranting dimana daunnya telah gugur dan kalau tidak dikawal dengan baik ianya akan mati. Pada masa ini belum banyak laporan di Malaysia mengenai teknologi penanaman durian belanda ditulis oleh saintis pertanian. Bagaimana pun kali ini saya akan menumpukan mengenai isu pendebungaan dalam tanaman durian belanda untuk dijadikan bahan perbincangan dan rujukkan.


Laporan beberapa penyelidik menyatakan tidak ada serangga semulajadi yang efektif didalam proses pendebungaan bunga durian belanda. Bagaimana pun pemerhatian penulis mendapati terdapat sejenis semut hitam yang ada (Lihat foto sebelah) yang mungkin membantu proses pendebungaan. Marfologi dan bentuk bunga durian belanda agak unik juga dimana lazimnya saya lihat terdapat 3 fasa bunga iaitu Bunga Hermaprodit, Bunga Betina dan Bunga Jantan. Dalam pemerhatian yang dijalankan oleh Unit Hortikultur Johor, mereka juga ada mendapati bunga hermaprodit mempunyai bunga jantan dan betina pada bunga yang sama dimana bunga akan menjalani dua fasa berlainan. Kajian mendapati bunga betina dan bunga jantan akan matang dalam waktu sesuai yang berlainan dimana ini menjadikan proses pendebungaan agak terjejas kejayaannya.  Fasa matang bunga betina berlaku lazimnya pada jam 4 - 5 petang dimana kelopak akan terbuka dan stigma telah bersedia menerima debunga dimana permukaan stigma adalah lembab dan melekit. Selepas waktu tersebut iaitu petang dan malam didapati ia kurang reseptif menerima debunga lagi sehingga hari berikutnya. Ini dapat dilihat apabila permukaan stigma tersebut kering dan tidak mampu menerima debunga. Bergantung kepada varieti, masih ada stigma bunga betina yang masih menerima debunga pada masa lewat kerana faktur suhu, kelembapan dan kesuburan tanaman.

Bunga jantan pula akan matang pada jam 8 - 9 malam dimana debunga akan masak pada hujung anthers (Lihat foto sebelah). Debunga (Pollen) yang bersaiz kecil dengan warna kekuningan ini agak melekit apabila disentuh. Selepas beberapa jam didapati tahap kesuburan debunga ini akan berkurangan jika ia kering dengan sendiri dan gugur. Oleh kerana ia aktif pada malam hari dan amat kurang serangga pendebunga yang ada pada malam hari untuk mengambil debunga, maka hanya beberapa faktur semulajadi seperti angin yang akan menerbangkan debunga tersebut. Bagaimana pun apabila jatuh pada stigma, peluang pendebungaan akan menjadi rendah kerana stigma sudah kurang reseptif lagi. Hanya peratusan kecil proses pendebungaan yang berjaya dan manjadi putik buah (Lihat foto putik buah dibawah). Pemerhatian juga mendapati pengaruh kesuburan pokok, cuaca, suhu, varieti serta cantasan menentukan kejayaan dalam pendebungaan bunga durian belanda. Kajian lebih saintifik perlu dijalankan untuk mendapatkan teknologi yang lebih cekap. Saya fikir teknik pendebungaan berbantu atau penggunaan Lebah Tukang (Carpenter bees) mungkin antara jalan penyelesaian untuk meningkatkan produktiviti hasil durian belanda. Tunggu artikel lain yang akan ditulis. Wasallam!

Putik buah durian belanda yang dihasilkan.
BENTUK UNIK... ITU BUNGANYA...
ADA MASAALAH...MASA DEBUNGA....
PERATUS RENDAH...KAJI KENAPA...
ISU PENTING...DURIAN BELANDA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 3097, Blok Lotus,
Mahkota Hotel,
Melaka, Malaysia.
(19 Zulhijjah 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.