Friday, May 10, 2013

PENANAMAN SUNFLOWER (Part 1)

SUNFLOWER (Helianthus annuus) merupakan sejenis tumbuhan popular dari keluarga Asteraceae yang merupakan tanaman industri penting. Penanaman pokok sunflower atau kita panggil sebagai 'Bunga Matahri' ini dibeberapa negara merupakan satu tanaman penting seperti dikebanyakan negara Eropah untuk menghasilkan minyak sayuran dan pelbagai produk lain. Pengeluaran minyak dari biji bunga matahari menyumbangkan sebanyak 8% daripada jumlah pengeluaran minyak sayuran dunia dan ia merupakan kedudukan ke 4 terpenting didalam peggunaan minyak sayur selepas minyak dari kacang soya, minyak kelapa sawit dan minyak jagung. Terdapat 45 varieti atau kultivar tanaman sunflower diseluruh dunia yang didaftarkan dengan 'Royal Horticulture' yang sesuai dikomersilkan. Antara beberapa varieti popular seperti Autumn beauty, Mammoth Russian, Kong hybrid, Large grey stripe dan sebagainya. Penanaman sunflower di Malaysia adalah untuk tanaman hiasan terutama di kawasan taman bunga atau didalam pot dikeliling rumah. Artikel kali ini saya menulis di dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penanaman sunflower berdasarkan daripada rujukkan beberapa buku dan lamanweb untuk pengetahuan pembaca. 


Kesesuaian kawasan untuk Sunflower adalah dari kawasan separuh kering sehingga kepada  kawasan beriklim panas dan sejuk. Cuaca sejuk bagaimana pun amat diperlukan untuk percambahan benih sunflower iaitu pada suhu 4 celsius (39 Fahrenheit). Bagaimana pun jika suhu turun kepada paras beku, ia akan mencederakan peroses pertumbuhan pokok. Lazimnya tahap suhu antara 21 - 26 Celcius adalah paling sesuai untuk penanaman sunflower dibeberapa negara seluruh dunia. Sunflower perlukan tempat terbuka dengan cahaya matahari banyak dan ia merupakan tumbuhan yang tidak sensitif kepada 'daylength' serta 'photoperiod'. Tumbuhan ini boleh ditanam dalam pelbagai jenis tanah daripada tanah jenis liat sehingga kepada jenis berpasir. Bagaimana pun keperluan zat mikro tidak kritikal seperti tanaman jagung, kentang atau gandum akan tetapi baja N perlu pada peringkat awal untuk mempastikan tahap kesuburan tanaman. Sistem saliran baik perlu disediakan dan tanah dibajak sebelum dibina batas (Lihat foto sebelah). Pastikan buang semua benih tumbuhan lain sebelum menyemai biji benih sunflower diladang.

Penanaman sunflower dijalankan pada musim 'spring' iaitu sekitar bulan Mei hingga Jun dikebanyakan negara diutara hemispear. Biji benih berkualiti ditanam sedalam 30 - 35 cm dalam tanah untuk mempastikan ia mendapat kelembapan mencukupi dan kedalaman akar sesuai bagi mencengkam tanah agar pokok tidak mudah tumbang. Jarak penanaman disyorkan adalah sekitar 30 cm x 30 cm dan beberapa kepadatan yang lain bergantung kepada varieti serta kesuburan tanah. Kepadatan tanaman diantara 75,000 - 80,000 pokok sehektar dengan keperluan benih bergantung kepda saiz biji benih. Rumpai merupakan musuh utama tanaman sunflower jika tidak dikawal dari peringkat awal penanaman. Kaedah kawalan rumpai dijalankan dengan cara amalan kultura dan juga bahan kimia. Kebanyakan petani akan membajak tanah dan menyikat tanah beberapa kali dan menyembur racun rumpai khusus untuk kawalan terutama diperingakt penyediaan tanah dan juga awal pertumbuhan.


Kajian menunjukkan bahawa tambuhan sunflower adalah responsif terhadap baja Nitrojan, Posforan dan Kalium. Pembajaan N terutamanya sangat mempengaruhi dalan hasil yang akan dikeluarkan. Kadar syor pembajaan N adalah sebanyak 175 paun/ekar dengan pemberian berperingkat dan kadar P2O5 diberikan sebanyak 40-70 paun/ha serta Bahan K2O sebanyak 140 paun/ha. Kadar baja yang diberikan akan meningkat jika keadaan tanah kurang subur dan kurang baja organik. Tambahan baja organik akan meningkatkan kesuburan tanah seterusnya meningkatkan hasil sehingga lebih 7%. Tumbuhan ini juga sensitif dengan keasidan tanah dan perlu dibuat pengaporan untuk kita mendapatkan pH tanah diantara pH 6.0 - pH7.2. 


Penyakit tanaman sunflower lazimnya ada 7 jenis iaitu Powdery Mildew, Downy Mildew, Bintik Daun (Leaf Spot), Layu Verticilium (Vertilicilium wilt), Reput Bunga dan Batang, Karat (Rust) dan Batang Hitam Phoma. Penyakit Downy Mildew yang menyerang sunflower disebabkan kulat jenis Plasmopara halstedi yang menyebabkan kulat seperti berkapas menyerang bahagian bawah daun (Lihat foto sebelah). Ia menyebabkan pokok terbantut dan kehilangan warna hijau daun sehinga menjadi kehitaman. Serangan lebih serius apabila berlaku hujan banyak dan selepas hujan dimana ia perlu dikawal. Keujudan lebah pada kawasan tanaman sunflower yang mengunjungi bunga sangat memberi faedah kepada bunga matahari kerana ia membantu dalam proses pendebungaan. Bergantung kepada varieti, sesetengah varieti didapati sangat bergantung kepada lebah untuk bantuan proses pendebungaan. Bagaimana pun beberapa larva kepada kupu-kupu sering merosakkan bunga matahari kerana larva tersebut makan bunga sehingga memberi kesan kepada kerosakannya dan mengurangkan hasil.


Penuaian bunga matahari lazimnya dijalankan pada bulan Oktober setelah ditanam sekitar 4 bulan lebih. Tanda bunga matahari telah cukup matang untuk dituai adalah apabila dibahagian belakang bunga matahari itu akan berwarna kehitaman dan kelopak telah layu. Cara menuai bunga matahari adalah dengan menggunakan 'combine harvester' yang akan mengutip bunga yang mengandungi biji dan mengutip biji bunga matahari pada kadar kelembapan dibawah 15%. Jika kandungan 'moisture content' mencecah 10%, ianya adalah ideal untuk penyimpanan dengan lebih lama sebelum diproses dikilang.  Kebanyakan biji bunga matahari akan dikisar dan diperah untuk menghasilkan minyak bunga matahari yang merupakan salah satu daripada minyak sayuran yang bernilai dipasaran global. Minyak ini merupakan satu saingan kepada minyak kelapa sawit keluaran dari negara kita dipasaran antarabangsa. Wasallam!


Menuai sunflower dengan jentuai.
NAMA 'SUNFLOWER'....BUNGA MATAHARI...
DITANAM LUAS... SEBAGAI SATU INDUSTRI...
BUNGANYA CANTIK... TIDAK TERPERI...
MENGHASILKAN MINYAK... MAHAL SEKALI...

By,
M Anem
Room S1-05-01,
Bukit Gambang Resort,
Kuantan, Pahang,
Malaysia
(12 Rabiulakhir 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.