Wednesday, January 30, 2013

STRAWBERRIES

STRAWBERRIES atau kita panggil STRAWBERI atau nama saintifiknya (Fragaria x ananassa) merupakan sejenis buah dari keluarga Rosaceae yang rasanya ramai rakyat Malaysia kenal. Ini kerana tanaman ini telah popular di negara kita dimana ianya ditanam d Cameroon Highland untuk kunjungan pelancong dikawasan tanah tinggi tersebut. Kalau kita pergi masuk kekawasan penanaman strawberi di Cameroon Highland, ia memang amat menyeronokan kerana kita dapat tengok, pegang, ambil gambar, petik malahan merasa buah yang kita beli dari ladang tersebut. Dulu kala tanaman ini kurang berjaya diusahakan dinegara kita tetapi dengan teknologi baru kita mampu menanam dan melihat pokok tersebut subur. Bagaimana pun saya bukan hendak cerita pengalaman tersebut sebaliknya berkongsi maklumat teknologi tanaman strawberi yang dijalankan di negara temperate bersandarkan buku yang saya baca dan juga pengalaman penulis sendiri. Pengeluaran buah strawberi dunia mencecah sebanyak 4.5 juta metrik tan setahun dengan USA mengeluarkan hampir 30% daripada jumlah pengeluaran dunia. Negara lain yang banyak menanam strawberi adalah seperti Turki, Sepanyol, Mesir, Korea Selatan, Jepun, Mexico dan Jerman. Saya berpeluang membuat lawatan teknikal tanaman strawberi di Mesir, China, Vietnam Utara, Korea Selatan dan Indonesia. Artikel pagi Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" informasi mengenai tanaman strawberi untuk menambahkan ilmu pengetahuan pembaca blog ini.


Pokok strawberi merupakan pokok renek (herbaceous plant) yang hanya mencapai ketinggian 15 - 20 cm dan kanopi pokok cuma 20 - 40 cm lebar (Lihat foto sebelah). Pokok ini merupakan jenis Hermaprodite dimana terdapat bunga jantan dan bunga betina yang akan melakukan pendebungaan sendiri. Bagaimana pun bantuan serangga seperti lebah madu akan membantu dalam proses pendebungaan. Tanaman strawberi boleh tumbuh dalam pelbagai jenis iklim tetapi perlukan suhu sejuk untuk memecahkan peringkat 'dormancy'. Suhu tinggi yang lelebihi 30 celsius boleh merosakan kualiti buah strawberi. Pokok ini juga tahan didalam keadaan salji (frost) dibawah -15 hingga -20 celcius dimana ianya jadi dormant.  Penanaman didalam struktur pelindung kini menjadi satu alternatif tanaman strawberi. Kaedah penanaman boleh dijalankan secara terbuka di kebun atau didalam rumah greenhouse. Kaedah sistem fertigasi tanaman strawberi semakin popolar di negara tropika seperti Malaysia.


Penanaman strawberi menggunakan bahan dari 'Stolon' anakbenih dengan 'node' dari rumpun pokok induk kultivar yang sesuai (Lihat foto  sebelah). Stolon untuk  dipilih jadi anakbenih akan diasingkan ini boleh disemai dalam polibeg dahulu atau terus ditanam didalam sistem fertigasi. Jarak penanaman bergantung kepada sistem digunakan. Terdapat 3 sistem penanaman strawberi yang saya dapati sesuai untuk diamalkan iaitu Kaedah Batas (Matted System), Kaedah Singkat (Hill system) dan Kaedah Kultur Dalam Beg (Beg System). Kaedah Batas selalunya dijalankan untuk tanaman yang agak lama (antara 2 - 4 tahun) dikawasan atas tanah yanag ada suhu sangat sejuk dengan kepadatan tanaman 25,000 - 50,000 pokok sehektar. Strawberi ditanam diatas batas dengan sulur batang menjalar diatas tanah dan mengeluarkan akar pada ruasnya. Kaedah penanaman singkat pula adalah dimana ia ditanam dengan kepadatan sehingga 120,000 pokok sehektar untuk satu pusingan tanaman sahaja. Ia ditanam diatas tanah terbuka dengan disediakan batas atau didalam struktur rumah pelindung (tunnel) yang kini lebih popular. Kaedah ketiga adalah menanam strawberi didalam polibeg terutama di kawasan Eropah Utara dimana penggunaan bahan kimia amat kurang.  Ia ditanam didalam rumah hijau (greenhouse) dengan bahan media tanaman khusus (80% cocopeat dengan 20% perlite) atau teknologi NTF (Nutrient Thin Film) sercara Fertigasi. Kepadatan tanaman cara ini sekitar 12 - 16 pokok satu meter persegi. Cara ini membolehkan menanam lebih satu pusingan setahun iaitu pusingan 3-5 bulan sekali.  Kalau kita melawat ladang strawberi di Cameroon Highland pun, kemungkinan ada kesemua kaedah ini ada dijalankan.


Tanaman strawberi memerlukan amalan cantasan dan latihan menjalar. Amalan membuat cantasan ini dibuat dengan tangan iaitu bagi memudahkan petani untuk menyembur racun rumpai, mengurangkan daun semasa 'winter' dan kawalan penyakit. Diantara masaalah serosak tanaman adalah seperti Penyakit Reput Akar disebabkan oleh Phythopthora spp atau Verticukulum spp yang merugikan petani. Serangan pada bahagian buah dan daun strawberi juga berlaku disebabkan oleh Kulat Botrytis spp serta kulat Collectotricum spp yang mana ia boleh dikawal menggunakan racun kimia dan baka yang tahan serangan. Serangan oleh virus juga mengancam tanaman stawberri dimana pembawa atau vektornya adalah Aphid (Aphids spp.). Penggunaan anakbenih strawberri daripada teknologi kultur tisu (tissue culture) atau juga dipanggil sebagai 'Micro-propogation technique' memang dapat mengurangkan kadar serangan ini. Pastikan menggunakan sumber anak benih atau stolon yang tidak pernah terkena serangan virus yang merugikan petani.


Tanaman komersil strawberi lazimnya boleh menghasilkan buah 3-6 bulan selepas ditanam bergantung kepada keadaan iklim.  Dikawasan negara beriklim sejuk, penghasilan paling optima selalunya adalah pada tahun kedua penanaman strawberi. Kadar pengeluaran hasil pada keadaan pengurusan biasa mencapai 30 mt sehektar tetapi penanaman secara komersil memberikan hasil sebanyak 50 mt sehektar. Bergantung kepada keadaan cuaca dan cara pengurusan, jangkahayat tanaman strawberi boleh hidup skala ekonomik selama 1 - 4 tahun ( Dikawasan panas selama 1 tahun  dan juga di kawasan sejuk selama 4 tahun). Kaedah memetik hasil buah strawberi adalah menggunakan tangan untuk memilih buah yang telah masak. Bagaimana pun di USA telah ada mesin menuai strawberi untuk ladang komersil dan tujuan diproses bagi pelbagai produk berasaskan buah strawberi.  Buah strawberi boleh disimpan selama  7 - 10 hari dalam keadaan suhu sejuk  sekitar 1 - 2 celsius (cold room) untuk dipasarkan dalam bentuk strawberi segar. Kita di Malaysia memang suka melawat tanaman strawberi di Cameroon Highland. Buah yang dijual pun bukan semua dihasilkan disana, katanya banyak juga yang diimpot dari luar negara untuk keperluan pelancong tempatan.
Wasallam!

BUAH STRAWBERI...MERAH WARNANYA....
DICAMEROON HIGHLAND...DITANAMNYA...
DIMAKAN SEGAR... JEM PULA DIBUATNYA...
RASANYA MASAM... YANG MANIS PUN ADA...

By,
M Anem
Banyak kali lawat ladang Strawberi,
Cameroon Highland
Pahang,
Malaysia

(17 RabiulAwal 1434)

   

  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.