Monday, January 28, 2013

DURIAN - CANTASAN DEWASA

DURIAN (Durio zibethinus Murr) merupakan sejenis buah-buahan tropika dari keluarga Malvaceae yang luas ditanam di Malaysia. Terdapat lebih daripada 110,000 hektar tanaman durian dilaporkan pada tahun 2011 oleh Jabatan Pertanian di seluruh negara dimana sebahagian besar daripadanya adalah terdiri daripada Durian Kampung (Tradisional) yang ditanam secara dusun bercampur sementara sebahagian lagi adalah durian varieti klonal yang ditanam secara monokrop. Bagi kebanyakan durian lama yang ditanam dikawasan kampong tradisional, pokoknya adalah tinggi, berumur lebih dari 20 - 70 tahun dan ditanam bercampur dengan buah-buahan lain dikaawasn dusun campuran. Pokok durian kampong ini ada yang berkualiti sangat baik, ada yang sederhana dan banyak juga yang mempunyai kualiti buah yang rendah. Ketika berlakunya 'Lambakkan Buah Durian', lazimnya durian kamponglah yang paling teraniaya kerana boleh dikatakan hingga tidak ada harga langsung. Orang tengah atau peraih tempatan yang selalunya datang untuk membuat pajakkan dan menjenguk durian kampong dulu pun tidak mahu membelinya dari petani ketika berlaku lambakkan. Perkara ini memang berlaku beberapa tahun sekali apabila banyak buah durian dihasilkan dan ianya gugur serentak pada jangkamasa yang pendek. Banyak program telah pun dikenalpasti untuk mengatasi masaalah lambakkan buah durian ini diantaranya seperti program jualan terus, aktiviti pemprosesan, durian sejuk beku, durian 'minimal process', promosi pelancongan 'makan durian' dan sebagainya. Merujuk kepada blog mengenai tanaman durian iaitu http://durianinfo.blogspot.com, saya tertarik dengan teknik untuk membuat cantasan pokok durian sebagai satu teknologi yang boleh diamalkan. Semasa saya sedang menulis artikel ini (Cuti rehat hari Jumaat), rakan saya En Hashim Hassan telah pun telefon bertanya sama ada atau tidak teknologi cantuman durian dewasa boleh di ketengahkan. Ini kerana kaatanya ada program khas Jabatan Pertanian terhadap program pemulihan kluster durian terutama terhadap durian kampong dengan menggantikan pokok lama dengan varieti bermutu. Saya menulis maklumat mengenai potensi cantasan dewasa durian dalam "Anim Agro Technology" untuk difikirkan bersama kesesuaian teknologi tersebut.


Cantasan merupakan perkara asas yang perlu diamalkan oleh penanam pokok durian. Tanaman durian secara semulajadinya adalah pokok saka yang mampu tumbuh setinggi lebih 100 kaki (30 meter) dan boleh hidup sampai beratus tahun. Semasa saya melawat Pulau Aur di Mersing, saya sempat melihat beberapa pokok durian dipulau tersebut yang cukup besar dan menurut Imam Harun, pokok-pokok telah berumur lebih daripada 100 tahun (Lihat indahnya Pulau Aur di foto sebelah). Menjawab kepada soalan bagaimana hendak menjalankan cantasan dewasa pokok tersebut, rasanya tidak ada jawapan saya boleh berikan kerana pokok tersebut setiap musim menghasilkan beratus-ratus biji buah durian berkualiti. Saya fikir lebih baik pokok saka tersebut di uruskan secara tradisional dimana buah boleh di jual dengan label 'Durian Organik'. Ini kerana memang tidak ada sebarang bahan kimia yang digunakan langsung di puncak pulau tersebut.


Teknologi membuat cantasan dewasa hanya sesuai untuk varieti atau klon durian baru yang mudah diuruskan. Durian dari 12 varieti terpilih yang di syorkan oleh Jabatan Pertanian boleh dijalankan program cantasan awal serta cantasan dewasa untuk mendapatkan kualiti pokok dan buah yang baik. Sila baca artikel mengenai beberapa varieti durian popular di Malaysia (Klik disini). Cantasan pembentukkan durian perlu dijalankan dari peringkat awal pertumbuhan iaitu dari tahun pertama ditanam. Dahan paling bawah adalah sekitar 75 - 80 cm dari tanah dan biarkan 5 - 6 dahan berikutnya untuk membesar (Lihat rajah sebelah). Bagi mendapatkan bentuk pokok durian yang baik, potong batang utama pada cabang selepas cabang yang ke 5 - 6 pokok tersebut. Aktiviti cantasan ini akan menyebabkan dahan yang ditinggalkan akan membesar. Dahan yang ditinggalkan ini akan menjadi dahan utama yang akan menghasilkan buah durian kelak. Bagaimana pun kita perlu sentiasa membuang tunas baru di bahagian pucuk yang akan tumbuh setelah pucuk dibuang. Jika tidak dibuang tunas tersebut, ia akan membesar dan menjadi pucuk baru yang terus tumbuh tinggi.


Semasa bertugas di Daerah Muar, Johor dulu saya sempat membuat pemerhatian terhadap seorang petani Cina yang menjalankan 'Cantasan Dewasa' atau 'Topping' terhadap pokok durian yang telah berumur lebih 15 tahun di Kg Paya Redan, Jorak. Sebanyak 22 pokok durian sedang berhasil telah pun dipotong 25 - 30% dari atas pucuknya dengan gergaji (mengikut kesesuaian dahan pokok sedia ada). Apabila banyak dahan bahagian atas dibuang, kanopi kawasan kebun menerima sinaran matahari yang lebih banyak. Seterusnya petani tersebut menanam 2 baris limau jenis Lemon (Citrus lemon), Limau Kasturi, Jagung, Keledek di antara barisan durian. Pada tahun pertama dan kedua selepas pucuk dibuang, hasil durian yang keluar dari dahan amat sedikit (30 - 40%) daripada jumlah yang lazimnya gugur. Kehilangan hasil durian bagaimana pun ditampong dengan hasil dari tanaman jagung dan keledek. 


Beberapa minggu lepas, saya ke Muar dan mengunjungi ladang tersebut dimana sempat berjumpa pemilik kebun. Katanya tidak ramai yang sanggup membuat 'topping' pokok durian kerana banyak kerja peringkat awal yang perlu dijalankan terutama membuang tunas baru di pucuk yang di potong. Katanya varieti durian yang beliau tanam dari varieti D24 dan D168 boleh dijalankan 'topping'. Keberanian beliau bermula selepas beliau melawat negara Thailand yang mendapati banyak pokok durian disana adalah rendah dan boleh dipetik sebelum buah gugur. Percubaan membuat cantasan dewasa yang dia jalankan belum ramai petani yang ingin mencubanya. Sekarang beliau rasa puas hati kerana aktiviti yang dibuat 5 tahun dulu menghasilkan kejayaan dimana kini buah durian lebih banyak dan tidak ada tanda atau masaalah serangan penyakit berbahaya. Buah durian beliau boleh dipetik dengan menggunakan tangga dari pokok yang rendah dan mudah untuk diuruskan berbanding dengan pokok yang biasa. Pemerhatian ini bagaimana pun perlukan kajian lebih saintifik oleh para penyelidik dengan menggunakan varieti atau klon khusus dan masa sesuai. Semuga tulisan ini menambah ilmu kepada kita semua.

BUANG PUCUK...CANTASAN DEWASA...
POKOK DURIAN... TINGGI ASALNYA...
BELUM RAMAI...BERANI MENCUBA...
POKOK RENDAH... HASIL BERGANDA...

By,
M Anem
Pagoh, Muar,
Johor, 
Malaysia.
(15 RabiulAwal 1434H)


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.