Friday, December 14, 2012

LEBAH MADU - HAIF LEBAH

PENTERNAKAN LEBAH MADU (Apis spp) merupakan satu aktiviti menternak lebah madu yang telah di jinakkan dan mesra alam sekitar (Domesticated bees). Lebah Madu (Honey bees) merupakan serangga dari jenis keluarga Apidae yang diternak untuk mendapatkan madu (Honey), meningkatkan kadar pendebungaan tanaman (Pollination process) dan produk sampingan lain seperti Lilin Lebah (Bee wax), Propolis, Royal Jelly dan juga debunga. Aktiviti menternak lebah madu telah dimulakan semenjak beribu tahun dulu sehingga kini dan hanya teknologinya sahaja yang berubah. Penternak lebah madu kini menggunakan pelbagai peralatan dan kelengkapan khusus untuk menternak lebah madu secara komersil iaitu termasuk kepakaran untuk memindahkan koloni lebah dari satu lokasi ke lokasi yang lain bagi tujuan penternakan lebah madu mengikut sumber keujudan makanan lebah (food for bees availability). Artikel subuh ini saya menulis mengenai peralatan HAIF LEBAH yang merupakan kelengkapan asas dalam aktiviti penternakan lebah madu dalam 'Anim Agro Technology' untuk bacaan dan pengetahuan bersama.


Beberapa peralatan asas dalam menternak lebah adalah seperti  HAIF LEBAH (Bee hive), PENGASAP (Smoker), SUT PAKAIAN KHAS (Bee Suit), SARUNG MUKA (Veil), SARUNG TANGAN (Gloves), PEMOTONG (Scraper), PENGEMPAR MADU (Honey Extractor), GELODOG (Bee trap) dan peralatan kecil lain seperti Berus (Brush), Bekas Madu (Container) dan sebagainya. Kesemua kelengkapan ini perlu disediakan untuk digunakan didalam penternakan lebahmadu mengikut skala penternakan. Keperluan paling banyak dalam penternakan Lebah Madu adalah Kotak Lebah (Hives) dimana ianya merupakan keperluan paling utama. Kos penyediaan peralatan dan kelengkapan perlu disediakan dan semua bekalan perlu di perolehi daripada pembekal yang berwibawa. Di Malaysia tidak ramai syarikat yang mampu untuk membekalkan kelengkapan menternak lebah secara khusus. Kebanyakan penternak menyediakan haif sendiri atau membeli haif lebah serta kelengkapan tersebut daripada mereka yang dikenali.


Haif Lebah lazimnya disediakan daripada bahan kayu (wooden hive) yang dibuat bertingkat-tingkat berbentuk kotak yang mengandungi 'frame' untuk dijadikan kom lebah. Kotak haif lebah mempunyai ukuran 1 kaki lebar x 2 kaki panjang x 1 kaki tinggi dan jika ada 'haif super' diatasnya untuk penyimpanan madu. Lazimnya haif lebah mempunyai satu pintu untuk lebah keluar dan masuk serta ditutup rapat dibahagian atasnya dengan papan kayu. Kayu yang digunakan sebaiknya dari kayu keras yang tidak ada bau dan sesuai disembur dengan cat warna putih dibahagian luar. Terdapat 8 - 14 frame dalam haif utama yang mana setiap frame akan dipasang dawai dan 'kom lilin tiruan'. Lebah pekerja akan membina kom untuk menyimpan pollen, nektar/madu, telur, royal jelly didalam  kom yang bentuknya 6 segi (Hexagonal). Haif lebah ini sesuai untuk penternakan lebah madu dan boleh dibawa kekawasan lain (diangkat atau dipindahkan) dengan menutup pintu utama dan memberi makan didalamnya untuk jarak perjalanan yang jauh. 


Haif lebah perlu disusun dikawasan lapang yang sesuai dimana mudah bagi lebah untuk keluar masuk dari lokasi mencari makan. Haif lebah di letakkan diatas tiang kayu (2 - 3 kaki) dan tiangnya disapu dengan 'minyak grease' atau lain-lain bahan yang sesuai untuk mengelakan semut naik kedalam haif terutama apabila ada madu. Kemasukan semut dalam haif akan menyebabkan koloni lebah lari keluar. Sebaiknya pintu utama haif menghala kawasan lapang kearah sumber makanan dan terlindung dari panas matagari (Cuaca di Malaysia adalah panas dan lembab) untuk suhu selesa dalam haif waktu tengahari. Atur dalam satu barisan panjang dan elakkan dari susunan tidak teratur kerana ini membantu lebah mengenali haif sendiri. Pemberian tanda khusus pada pintu depan haif atau menggunakan warna garang berbeza juga membantu lebah mengenali sarangnya.


Pemeriksaan koloni dalam haif lebah perlu dijalankan secara berjadual (Regular checking). Kadang-kadang koloni lebah pecah (swarming) atau lari atau mengecil koloninya disebabkan oleh pelbagai faktor. Selepas hujan lebat dan ribut petir juga perlu membuat pemeriksaan kerana kadang-kadang ada haif yang jatuh ketanah atau tiang kayu patah dan perlu dibentulkan dengan segera. Pengalaman saya mendapati, penternakan lebah madu memang memerlukan ilmu dan minat yang mendalam untuk memahami amalan agronomi penternakan lebah madu. Mereka yang berminat boleh memohon untuk berkursus mengenai Teknologi Lebah Madu daripada Jabatan Pertanian Malaysia. Pelaburan dalam menternak lebah madu di Malaysia mempunyai potensi amat baik dimasa akan datang kerana keujudan sumber makanan, teknologi dan sokongan prasarana untuk dilaksanakan. 
BERSAMBUNG!


HAIF LEBAH .... KOTAK KAYU BENTUKNYA..
DISUSUN RAPI ... SESUAI LOKASINYA...
DICAT PUTIH .... MUDAH LEBAH CARINYA...
PERLU DI PERIKSA.... IKUT JADUALNYA...

By,
M Anem
Cameroon Highland
Pahang, Malaysia.
(28 Muharram 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.