Thursday, December 13, 2012

DURIAN - KULTIVAR DI THAILAND

DURIAN (Durio zibethinus Murr) merupakan sejenis buah-buahan yang sangat popular di Thailand dan digelar sebagai 'Raja Segala Buah'. Tahukah anda apa dia 'Ratu Segala Buah?', tunggu jawapannya di akhir artikel ini. Terdapat lebih dari 200 kultivar durian yang ujud di negara Gajah Putih ini dimana sebanyak antara 60 - 80 kultivar telah pun ditanam secara komersil (Bhusiri, 1987). Kebanyakan pembiakbakaan durian adalah hasil kacukan bunga secara terbuka (Open pollinated seeds) kemudian baru di buat pencirian daripada buah yang dihasilkan dari segi bentuk buah, bau, rasa, tempat dijumpai, nama pemilik pokok dan sebagainya. Pada peringkat awal, kaedah pengkelasan kultivar di Thailand ini mengikut kaedah 'masa keluar buah' dalam semusim iaitu Peringkat Awal (Early cultivars), Peringkat Pertengahan (Medium Cultivars) dan Peringkat Hujung (Late or Heavy Cultivars). Artikel kali ini saya membuat sedikit 'kejutan' mengenai satu tajuk iaitu kultivar durian di Thailand selepas membuat beberapa pembacaan dari beberapa buah buku dalam 'Anim Agro Technology' untuk tatapan anda.


Pengkelasan durian di Thailand di perbaiki lagi pada tahun 1987 (Bhusiri ,1987) dengan kaedah (1) mengikut rupabentuk buah itu sendiri (fruits appearance) dan (2) Mengikut warna dan tekstur isi (colour and Texture of the pulp/ flesh) dan (3) Mengikut Pemilik atau Agensi yang menjumpainya (Person or agency who selected the cultivar). Kaedah ini telah menyenaraikan sebanyak 8 kategori durian telah dikenalpasti dan digunakan di Thailand iaitu (1) Kumpulan Chanee (2) Kumpulan Kob  (3) Kumpulan Kan You   (4) Kumpulan Mon Thong  (5) Kumpulan Thong Lai   (6) Kumpulan Kam Pan   (7) Kumpulan Luang dan   (8) Kumpulan Lain2.  Bagaimana pun cara terkini pengelasan durian di Thailand pada tahun 1992 diubah lagi. Pengkelasan kultivar durian di Thailand telah diubahsuai selaras dengan sistem oleh International Board on Plant Genetic Resources (IBPGR) iaitu hanya dibahagikan kepada 6 kumpulan sahaja iaitu Kumpulan (1) Kob  (2) Luang  (3) kan You   (4) Kam Pan   (5)  Thong Yoi dan (6)  Miscellanous. Pengkelasan ini digunakan hingga sekarang.


Progeni durian saya tahun adalah jenis Heterozygous. Kebanyakan bunga durian kurang mampu menjalankan pendebungaan sesama  sendiri dan mesti menjalankan pendebungaan bersilang (Cross pollination) untuk mempastikan pembentukkan buah (Valmour et al.,1965; Malo and Martin ,1979). Proses pendebungaan silang yang berlaku antara beberapa varieti akan membentuk diversiti genetik secara semulajadi atau di susunkan mengikut pemilihan kultivar tertentu dalam satu ladang durian. Ini menyebabkan ujudnya banyak jenis varieti durian yang telah didaftarkan dan diperkenalkan di Thailand. Perkara ini juga berlaku di Malaysia dimana terdapat lebih dari 220 varieti durian telah didaftarkan kepada Jabatan Pertanian. Kajian oleh Vangnai,1996 mendapati, terdapat 5 varieti durian induk (Original Variety) di Thailand iaitu Luang, Karaket, Tong Sook, Thong Yoi dan Kam Pan. Kesemua durian ini dijadikan panduan oleh pembiakbaka untuk menjalankan kajian mengenai kultivar durian.


Varieti Luang mempunyai buah yang bersaiz sederhana, bentul oval, panjang sekitar 20 - 25 cm dan lebarnya 16 - 20 cm. kulit berwarna kuning kehijauan apabila masak serta mempunyai 4-5 pangsa yang agak ketara. Isinya berwarna kuning yang tebal dengan tektur agak kasar yang manis. Tangkainya pendek dan mempunyai duri yang kecil dan tirus tajam.  Setiap pangsa buah mengandungi antara satu hingga 6 ulas (Yang satu ulas tu dipanggil 'kucing tidur'). Varieti Kraket pula mempunyai buah berbentuk Ovoid, dengan saiz sederhana berukuran 25 cm panjang dan 21 cm lebar. Kulitnya berwarna hijau kecoklatan dengan durinya yang agak tajam berukuran 2 cm panjang. Isinya tebal berwarna kuning gelap dan mempunyai tekstur yang halus. Rasa varieti ini sangat manis dan lemak (nutty) serta mempunyai bau sangat kuat.  Setiap pangsa mempunyai antara 2 - 3 ulas dimana ulasnya agak besar juga.  


Varieti Tong Sok pula buahnya berbentuk bulat dan berukuran 19 cm lebar dan 20 cm panjang. Kulitnya tebal berwarna hijau dan duri berwarna coklat sepanjang 1.5 - 2.0 cm.  Setiap pangsa mempunyai 3 - 5 ulas dengan warna isi yang sederhana tebal, manis, berbau sangat kuat dan terkstur yang halus.  Varieti Thong Yoi berbentuk Oblong dengan ukuran panjang 27 cm dan lebar 21 cm (Buah bersaiz agak besar), Kulitnya berwarna kuning kemerahan apabila matang dengan duri yang berwarna coklat kehijauan. Isinya berwarna kuning gelap, tebal, manis, lemak serta mempunyai bau yang kuat. Varieti Kam Pan berbentuk bulat, besar dengan ukuran panjang 20 cm dan lebar 18 cm. Bahagian bahunya membesar dan ketara membentuk seakan bulat. Warna kulitnya hijau kecoklatan atau kemerahan apabila cukup masak. Durinya pendek dan besar serta lurus dan berlekuk pada hujung duri.  Setiap pangsa hanya ada 1 - 2 ulas sahaja dengan warna isi kuning pucat , tekstur halus, sangat manis dan bau sangat kuat. 
Oh ya... menjawab soalan dari para pertama iaitu apakah ratu segala buah... jawapannya adalah Garcinia mangostana iaitu...




DURIAN THAILAND ... BANYAK VARIETINYA...
ADA 5 INDUK .... BACA KETERANGANNYA ...
MUNTHONG, CHANEE.... POPULAR NAMANYA...
DI JUAL DI MALAYSIA... JUGA SERATA DUNIA...

By,
M Anem
Chantaburi Durian Farm,
Pattaya Province,
Thailand (Lawat pada Mei 2012).
(Uploaded on 9 Decmber 2012) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.