Friday, December 7, 2012

DURIAN - Pengenalan (Part 1)

DURIAN (Durio species) merupakan sejenis buah-buahan tropika yang sangat  popular di Asia khususnya di Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan sebagainya. Buah durian ini hanya dikenali oleh orang-orang barat semenjak zaman kolonial Belanda sekitar tahun 1912 dimana, walau pun ada diantara mereka yang mengatakan bau durian  itu busuk (Skunk of the orchard) tetapi durian mempunyai rasa sangat sedap (Morstesen and Bullard , 1964). Sehingga kini pun, buah durian dihalang untuk dibawa masuk kedalam bilik hotel kerana baunya yang kuat akan menganggu penghuni hotel yang lain akibat edaran udara di dalam sistem berhawa dingin. Saya dapati kebanyakan hotel di Malaysia, Indonesia dan Thailand membuat peraturan dan papantanda menghalang buah durian dan Manggis untuk dibawa masuk kedalam bilik penginapan. Durian akan menyebabkan ada bau durian yang kuat dalam hotel sementara getah manggis boleh sebabkan warna hitam yang merosakan cadar tilam atau langsir dalam hotel. Artikel subuh Jumaat ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai pengenalan, sejarah dan sedikit mengenai genetik durian untuk bacaan anda berdasarkan kepada buku rujukan karangan Suranat Subhadrabandhu dan Saichol Ketsa dalam bukunya berjudul 'Durian - King of the Fruit'.


Durian merupakan tumbuhan natif dari kawasan di Malaysia dan juga Thailand tetapi kini telah disebarkan ke kawasan lain seperti di Sri Lanka, Selatan India, Myanmar, Vietnam, Filipina, New Guinea dan kini telahb banyak di tanam di Australia Utara. Di Malaysia sahaja terdapat seluas 104,655 hektar tanaman durian dilaporkan oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2011 dengan penghasilan sebanyak 300.47 juta metrik tan yang bernilai RM 1.40 billion. Terdapat banyak spesis durian dan jenis yang popular ditanam adalah Durio ziberthinus Murr. . Antara spesis lain yang boleh dijumpai dibeberapa lokaliti seperti di Borneo, Indonesia dan Thailand adalah seperti durian dinamakan sebagai Lai (Durio kutejensis),  Keratongan  Durio oxleyanus (Hairy durian) ,Tabelak Durio graveolens (Red Durian) dan Lahong Durio dulcis (Durian berbau kuat). Spesis tersebut adalah spesis yang jarang kita jumpa. Durian dalam pengkelasan adalah dibawah Order Malvales iaitu dalam Keluarga Bombaceae. Keluarga Bombaceae mempunyai 200 spesis dimana genus Durio mempunyai 28 spesis yang mana 19 spesis daripadanya terdapat di kepulauan Borneo. Banyak tu! . Daripada 19 spesis tersebut, didapati sebanyak 14 spesis terdapat di Sabah dan 16 spesis di Sarawak (Abang Mokhtar, 1991). Adakah spesis-spesis ini telah diambil dan digunakan untuk program pembiakbaka oleh negara lain ?.


Pokok durian sebagaimana yang kita lihat merupakan pokok yang boleh membesar jika tumbuh semulajadi dihutan atau lama ditanam dalam kebun secara komersil. Sebagai pokok didalam kawasan tropika yang lembap dan panas sepanjang tahun, ia amat sesuai ditanam dan subur jika ditanam dikawasan kampong sepanjang tebing sungai. Saya dapati ada laporan yang menyatakan terdapat tanaman durian sejauh di Afrika dan Madagascar yang dibawa oleh orang Melayu pada zaman dulu tetapi kecil jumlahnya. Biji durian juga tidak tahan lama untuk di bawa kelokasi yang sangat jauh.  Bagaimana pun Australia telah membawa masuk benih-benih durian sekitar tahun 1975 dan kini telah menjadi satu komoditi penting durian yang ditanam di Australia mulai tahun 1980. Di Malaysia kebanyakan pokok durian lama (Durian Kampong) ditanam oleh orang-orang Melayu semenjak lama dulu di kawasan keliling rumah dan dusun kawasan kampong iaitu 87% daripada jumlah keluasan tanaman. Penanaman durian secara komersil dengan klon atau varieti terpilih dijalankan oleh kaum Cina dengan anggaran 12% daripada jumlah keluasan. Kawasan konsentrasi penanaman durian adalah di Johor dan Perak serta Pahang.


Buah durian adalah buah bermusim yang lazimnya berbuah setahun sekali. Walau pun sekarang ada buah luar musim, lazimnya ini berlaku akibat perubahan cuaca atau amalan agronomi yang dijalankan oleh petani. Kejadian durian berbuah dua kali setahun banyak dilaporkan terjadi dikawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia tetapi jarang berlaku di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak. Musim utama pengeluaran buah durian di Pantai Barat Semenanjung adalah pada Bulan November - Disember dan Luar Musim pada bulan Mei - Jun. Dikawasan Pantai Timur pula sekitar Ogos - September. Kajian menunjukkan di Selatan Semenanjung pula, bulan Julai merupakan kemuncak penghasilan buah durian yang bermula daripada Pontian dan naik keatas. Musim buah durian di utara Semenanjung adalah agak pendek dimana ia memuncak pada bulan Ogos setiap tahun. Di Sabah dan Sarawak pula musim buah durian lazimnya adalah dari bulan September hingga Oktober walau pun berlaku buah pada luar musim. 


Petik buah durian di Thailand
Durian telah diusahakan di Thailand lebih dari 300 tahun dahulu dimana ianya telah diusahakan semenjak tahun 1787 dimana bermula dari bahagian Selatan Thailand bersempadan dengan Malaysia dan Burma. Terdapat banyak pokok di Selatan Thailand yang telah berumur lebih dari 100 tahun (Punsri, 1972) dimana ianya masih sihat dan produktif.  Sejarah menunjukkan banyak varieti durian yang tersohor dan berkualiti musnah akibat banjir besar pada tahun 1875 dan tahun 1942. dan taufan pada tahun 1954. Kini beberapa varieti seperti Mon Thong, Chanee, Kob dan Chau-ma-fai telah menjadi tanaman  utama terutama dikawasan Thonburi, Chantaburi dan Nonthburi (Saya ada melawat sebahagian kawasan tersebut pada Mei 2012). Pada masa ini seluas lebih dari 115,000 hektar durian ditanam di Thailand dengan pengeluaran melebihi 780,000 metrik tan setahun. Kajian menunjukkan beberapa varieti popular ditanam adalah Mon Thong (40%), Chanee (33%), Kan Yao (6%), Kradum (2.4%) dan lain-lain (18%).  Bagaimana pun dikira dari segi segi hasil, varieti Chanee menghasilkan 36% daripada jumlah pengeluaran durian Thailand diikuti dengan varieti Munthong sebanyak 31%. Industri ekspot durian daripada Thailand merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan dibanding dengan negara penanam durian di kawasan lain. Wasallam!

PENGENALAN DURIAN.... BANYAK KISAHNYA...
SEJARAH DURIAN ... ADA RUJUKANNYA...
DURIAN MALAYSIA .... GUGUR BUAHNYA...
DURIAN THAILAND ...PETIK DI POKOKNYA...
MUSANG KING ... POPULAR NAMANYA...
DITHAILAND PULA ... MON THONG ADANYA...

Related Articles:
1.  Durian (Klik disini)
2. Durian Musang King (Klik disini)
3. Durian Belanda (Klik disini)
4. Durian Bukit Merah (Klik disini)
5. Durian Clones (Click here)
6. Durian Klon D99 (Klik disini)
7. Durian Chanee - D123 (Klik disini)
8. Durian Datuk Nina - D2 (Klik disini)
9. Durian D24 (Klik disini)
10. Alat Pengesan Durian Matang (Klik disini)
11. Petik dan Ekspot Buah Durian (Klik disini)
12. Pasar Thalaat Thai (Klik disini)
13. Durian D168 vs D197 (Klik disini)
14. Early harvest of Durian (Klik disini)
15. Durian - Bunga Durian (Klik disini)
16. Penyakit dan Perosak Durian (Klik disini)
17. Klon Buah-buahan Popular di Malaysia (Klik disini)
18. Kos Pengeluaran Durian (Klik disini)
19. Durian clones in Malaysia (Click here)
20. Durian - Pengenalan Part 2 (Klik disini)

By,
M Anem
Dusun Durian,
Simpang Bekoh, Tangkak,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(23 Muharram 1434H)
  


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.