Friday, September 7, 2012

MENGENALI RUSA

RUSA (Cervus spp) merupakan sejenis haiwan mamalia yang liar dan kini telah mampu diternak secara komersil. Rusa adalah haiwan dari Order Artiodactyla dan Sub-order Ruminoatia yang tergolong dalam Keluarga Cervidae serta dari kumpulan Genus Cervus. Daging rusa merupakan jenis daging yang dikategorikan sebagai 'exotic meat' di Malaysia kerana kesukaran untuk mendapatkannya. Kini ia ada dijual dibeberapa penjual daging dengan harga pasaran lebih tinggi daripada daging lembu atau daging kambing. Saya beberapa kali dapat makan daging rusa liar yang diburu semasa zaman remaja dahulu (sekiltar tahun 1960'an) dan membeli daging rusa semasa bertugas di daerah Segamat sahaja. Di Segamat dahulu terdapat sebuah ladang rusa swasta yang memelihara beribu ekor rusa tetapi projek tersebut gagal dan telah ditutup. Menternak rusa memerlukan kos permulaan yang tinggi untuk menyediakan rumput ragutan, sistem pagar yang mahal serta pembelian baka. Bagaimana pun beberapa tahun lepas saya ada melawat penternakan rusa di Kg Tengah, Muar, Johor yang berjaya. Ternakan rusa secara hobi dan komersil memerlukan kemahiran. Daripada sumber pembacaan beberapa buah buku, saya mendapati memang terdapat beberapa jenis rusa dan sub spesisnya yang hidup dalam pelbagai region yang berbeza. Antaranya seperti Rusa Sika (Cervus nippon), Rusa Sambar (Cervus unicolor), Rusa Merah - Red deer (Cervus elapus), Wapiti atau Elk, Fallow deer (Dama-Dama), Chital (Axis-Axis) dan juga Rusa Timor atau exotic (Cervus timorensis). Artikel malam ini saya berminat menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa jenis rusa yang sesuai untuk diternak di Malaysia yang ditulis berdasarkan kepada pembacaan dan pengalaman penulis dalam bidang pertanian. Terdapat tiga jenis rusa utama yang sesuai diternak khususnya di Malaysia. 
Antaranya ialah : -

a) RUSA TIMORENSIS (Exotic)
Rusa Timorensis
 (Cervus timorensis) merupakan jenis rusa yang kerap dan banyak dipilih untuk diternak di Malaysia. Rusa ini sering menjadi pilihan kerana sifatnya yang mudah untuk menyesuaikan diri pada keadaan persekitaran. Pengalaman saya melawat beberapa kawasan ternakan rusa mendapati rusa jenis ini sangat sesuai untuk kawasan yang mempunyai iklim khatulistiwa seperti negara kita. Selain daripada hasil daring daging rusa, rusa jenis ini diternak untuk menghasilkan tanduknya (velvet) yang berguna dalam perubatan masyarakat cina sering mendapat permintaan yang tinggi dari kalangan pengamal perubatan. Kadang-kadang berlaku kes khusus iaitu akibat kurangnya penternakan rusa yang akan mengakibatkan kurangnya bekalan velvet kepada aktiviti perubatan. Kejadian ini menyebabkan negara kita terpaksa mengimpot atau membawa tanduk rusa dan ini menyebabkan masaalah kepada kenaikan harga velvet dalam pasaran tempatan. Kadar kelahiran yang tinggi turut menjadikan rusa jenis Cervus temorensis ini sering menjadi pilihan utama penternak untuk diternak. Rakan saya Kepten (B) Ahmad dari Jorak, Muar , Johor yang menternak 60 ekor rusa jenis ini mendakwa kadar kematiannya juga rendah jika dibandingkan dengan jenis rusa lain seperti axis. Beliau menternak semanjak 7 tahun lalu rusa jenis ini dan akat berpuashati dengan projek yang dijalankan ini. 

b) RUSA SAMBAR
Rusa Sambar
 (Cervus unicolor) merupakan jenis rusa yang lebih besar badannya jika dibandingkan dengan temorensis dan mempunyai tanduk yang lebih menarik. Namun, sambar ialah rusa yang mendapat perlindungan dari pihak kerajaan Malaysia. Untuk menternak rusa jenis ini, lesen diperlukan dari pihak perhilitan negara kerana jenis ini jarang didapati dan kini masalah kepupusan menghantui rusa jenis sambar.


c) RUSA AXIS-AXIS
Rusa Axis-Axis merupakan rusa yang sukar untuk didapati kerana harganya yang terlalu tinggi. Badan rusa jenis  ini dan bahagian bulunya yang berbintik merupakan antara tarikan utama rusa jenis ini dimana faktor ini mempengaruhi harga pasaran rusa jenis axis-axis. Saya menganggarkan purata harga seekor anak rusa jenis axis-axis mampu mencecah sehingga RM3,000.00 seekor keatas dan harganya yang tinggi ini akan mempengaruhi pergembangan industri penternakan rusa jenis axis-axis dalam negara. Saya dapati selain itu didapati rusa jenis axis-axis ialah rusa yang lebih gemarkan iklim sejuk dan ini akan menyebabkan rusa jenis ini kurang bersesuaian untuk diternak dalam negara beriklim khatulistiwa seperti Malaysia. Kadar kematian anak yang tinggi jika dibandingkan dengan jenis Cervus timorensis juga membawa kepada masalah kurangnya penerokaan aktiviti penternakan rusa jenis ini. Kajian saya mendapati rusa jenis ini ada terdapat didalam zoo atau haiwan peliharaan dikawasan hotel-hotel terkemuka sebagai satu tarikan. Memang saya dapati seperti Hotel Sibu Island Resort di Johor kerap menternak rusa jenis axis-axis sebagai daya tarikan kepada pengunjung dan ini jelas mengambarkan bahawa rusa jenis axis-axis lebih sesuai untuk diternak dengan tujuan membangunkan aktiviti pelancongan negara dari aktiviti pengeluaran produk rusa secara komersial.

Semuga anda kenal secara ringkas akan beberapa jenis rusa yang sesuai untuk diternak di Malaysia. Beberapa jenis rusa terutamanya yang berasal dari kawasan beriklim sedernana (temperate deer) kurang di ternak kecuali melalui program biakbaka dengan rusa tempatan. Belum ramai lagi penternak di Malaysia yang berani menceburi bidang ternakan rusa secara besar-besaran kerana faktur risiko yang tinggi. Pernah sebuah syarikat besar di Segamat , Johor menternak rusa secara estet sekitar awal tahun 1980'an tetapii gagal walau pun mempunyai kawasan ragutan rumput seluas 1,400 ekar di Sekijang. Antara faktur kegagalan projek ini kerana kos pembangunan asal yang tinggi, kadar kematian rusa, kadar kehilangan rusa yang berisiko tinggi, serangan binatang buas, kos perubatan dan makanan asasi serta masaalah pemasaran daging rusa. Wasallam!


MENTERNAK RUSA.... PERLU DI CUBA...
SKALA KECIL-KECILAN...RISIKO TIADA....
PILIH YANG BAGUS...RUSA SAMBAR SAHAJA....
PERMINTAAN TINGGI... BEKALAN TIDAK ADA....

By,
M Anem
Kota Tinggi,
Johor, 

Malaysia.
(18 Shawal 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.