Monday, August 6, 2012

TEMBAKAU

TEMBAKAU (Nicotiana tabacum) merupakan sejenis tanaman dari keluarga Solanaceae dan Genus Nicotinae dimana ianya dipercayai berasal daripada Amerika Utara dan Amerika Selatan. Daun Tembakau yang telah dikeringkan merupakan bahan utama untuk membuat ROKOK, CERUT dan produk lain berasaskan tembakau. Di Malaysia, tanaman ini di kawalselia oleh Lembaga Tembakau dan Kenaf Negara (LTKN) yang di letakkan dibawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).  LTKN telah ditubuhkan dengan berkuatkuasanya Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 pada 1 April 2010 bagi menggantikan Lembaga Tembakau Negara (LTN) yang ditubuhkan pada tahun 1973. LKTN diberi tanggungjawab untuk membangunkan tanaman kenaf sebagai tanaman komoditi baru dan juga sebagai tanaman alternatif kepada penanam tembakau selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan tanaman kenaf sebagai tanaman 'Sumber Pertumbuhan Baru' di Malaysia.Tanaman tembakau adalah tanaman jangka pendek yang memberi pulangan pendapatan yang besar kepada petani-petani. Pasaran terhadap hasil pengeluaran adalah terjamin di mana sistem gred dan harga adalah ditetapkan dan dikawal oleh LKTN. Semua penanam, pengawet dan pengilang dimestikan mematuhi gred-gred dan harga yang telah ditetapkan. Subuh 17 Ramadan ini saya menulis mengenai tembakau dalam 'Anim Agro Technology' untuk dikongsi bersama dengan pembaca semua.

Terdapat dua jenis tembakau yang dikomersilkan ditanam di kebanyakan dunia iaitu Nicotianae tabacum dan Nicotianae rustica. Perbezaan di antara kedua-dua spesis tersebut adalah kandungan nicotin yang tinggi sebanyak 16% dalam N. rustica dimana digunakan untuk diekstrak bagi pembuatan alkoloid untuk ubat-ubatan atau racun serangga. Kandungan nikotin  adalah agak rendah (0.6% sahaja) dalam N. tabacum yang banyak digunakan untuk perusahaan membuat rokok dan cerut. Jenis N. tabacum mempunyai bunga yang berwarna merah muda kemerahan, bunganya berbentuk trompet yang memanjang, daun berbentuk lonjong dengan hujong yang tirus dengan panjang sekurang-kurangnya 30 cm, terbit dari batang menegak dengan ketinggian pokok sekitar 120 cm dari paras tanah (Foto sebelah) . Jenis N. rustica pula mempunyai bunga berwarna kekuningan, bunga berbentuk trompet yang pendek dan bergelombang, bentuk daunnya bulat dan tumpul dihujungnya, daun yang terbit dai bantang tetapi agak terkulai dan purata ketinggian jenis ini cuma 90 cm sahaja.

Terdapat 3 varieti tembakau jenis N. tabacum yang popular ditanam diseluruh dunia iaitu Varieti Virginia, Varieti Oriental dan Varieti Burley. Ciri bagi varieti Virginia yang saya buat rujukkan dari buku 'Tobacco Industry and Agronomy' menyatakan ianya mempunyai bentuk pokok yang ramping, ketinggian sederhana sehingga tinggi, daunnya berbentuk lonjong dimana hujungnya meruncing dan daun yang berwarna hijau kekuningan serta tangkai daun yang pendek. Varieti ini juga mempunyai kedudukan daun pada batang yang menegak (erected shape) dan jarak antara daun adalah jarang sehingga kelihatan pokok jenis ini yang kelihatan kurang rimbun. Daun tembakau keringnya berwarna kuning keemasan sehingga kuning jingga dengan aroma berbeza dengan varieti lain dimana kandungan gulanya amat tinggi. Varieti ini sesuai di buat rokok yang memberikan rasa manis dan rasa ringan. Tembakau Varieti Oriental menghasilkan aroma yang khusus dan harum. Produk dari varieti ini sering digunakan sebagai bahan campuran dengan tembakau lain sebagai memberikan kesan bau harum. Tembakau ini digelar juga sebagai 'Aromatic tobacco' yang banyak ditanam (Lihat foto sebelah atas). Tembakau Burley adalah jenis yang rendah dan sering digunakan untuk ubat-ubatan.  

Tembakau mampu hidup dalam berbagai jenis tanah asalkan mempunyai sistem saliran yang baik dan boleh di uruskan dengan sempurna. Penanaman tembakau di Malaysia kebanyakan di tanam di Kelantan dimana mempunyai tanah jenis liat berpasir yang ditanam sebagai tanaman selingan selepas penanaman padi atau tanaman lain. Penanaman tembakau di Malaysia dikawal oleh LTKN untuk mendapatkan kuota penanaman bagi mempastikan semua daun kering tembakau yang dihasilkan berkualiti dan ada jaminan pasaran. Penanam tembakau perlu menanam dalam bilangan pokok yang ditetapkan oleh kuota kerana hasil tembakau akan di jual kepada pihak tertentu sahaja. Kalau ramai petani menanam tembakau akan berlaku lambakkan daun tembakau yang tidak boleh di makan atau digunakan untuk tujuan lain kecuali pengilang produk rokok. Keperluan benih sekitar 8-10 gram/hektar  dan perlu disemai dahulu dalam kerek sebelum diubah diladang. Lazimnya semaian berumur 30 - 45 hari sudah boleh diubah diladang. Proses penyediaan batas penting dalam penanaman tembakau kerana ini akan menyediakan zon pengakaran tembakau agar tidak terendam air ketika hujan lebat. Teknologi penanaman tembakau akan disambung. Wasallam.  

   ASAL TEMBAKAU... ROKOK DIHASILKAN....
TANAMAN RUMIT... KUOTA DIPERLUKAN....
SINGKAT MASA...DITANAM SELINGAN...
KURANG POPULAR...DIKAWALSELIA LTKN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Holiday Holliday Villa,
Alor Setar, Kedah,
Malaysia.
(18 Ramadan 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.