Monday, August 6, 2012

KANTAN - Amalan Agronomi

KANTAN (Phaeomeria speciosa) merupakan sejenis tanaman yang tumbuh di kawasan lembab dan digunakan untuk masakan melayu dari keluarga Zingiberaceae. Kajian saya dari laporan Jabatan Pertanian mendapati terdapat seluas 45-50 hektar tanaman kantan di Malaysia yang banyak ditanam di Perak, Johor, Selangor dan Pahang. Sebut sahaja kantan tentu kita teringat akan Laksa Penang, Asam Pedas, Ulam nasi Kerabu dan sebagainya. Selain daripada digunakan sebagai perasa masakan, bahagian batang kantan boleh mengubati bengkak-bengkak, buahnya membantu meningkatkan selera makan dan bijinya mampou mengubati penyakit telinga. Saya kenal akan tanaman kantan ini kerana memang ada menanam pokok ini ketika bertugas di Muar dahulu. Pada masa ini bunga kantan dijual dengan harga RM 1.50 satu kuntum di Pasar Borong Selangor. Harga ladang pula sekitar RM0.30 - RM0.60 sekuntuk bergantung kepada saiz dan kualiti. Penjagaan tanaman pokok kantan adalah mudah dan menguntungkan jika diuruskan dengan baik. Artikel Malam Jumaat 14 Ramadan ini sementara menunggu waktu berbuka saya sempat menulis Amalan Agronomi dan Gerakerja penanaman Kantan untuk dijadikan rujukkan berdasarkan kepada Pakej Teknologi Tanaman Kantan Jabatan Pertanian dan pengalaman penulis sendiri.


Kawasan penanaman kantan perlu dibersihkan, dibajak dan di sediakan sistem perparitan serta sistem pengairan beberapa hari sebelum penanaman. Bagi kawasan yang kritikal sebaiknya di pasang dengan pagar keliling kebun untuk menghalang sebarang gangguan dari haiwan atau kecurian. Keperluan anakbenih kantan adalah sebanyak 4,200 pokok sehektar dan jika anggaran harga benih RM 0.50 sepokok maka kos pembelian anak benih sekitar RM 2,100 sehektar. Semasa atau sebelum menanam anakbenih kantan perlu diberikan baja asas iaitu CIRP sebanyak 20 gm/pokok (210 kg/hektar) dan Kapor sebanyak 2.5 - 4.0 mt sehektar bergantung kepada kadar pH tanah. Penanaman kantan dalam barisan dengan jarak penanaman 2m x 1m secara tunggal (4,200 pokok/ha). Pokok Kantan juga sesuai ditanam sebagai tanaman selingan dengan pokok getah (2m x 2m - 3,300 pk/ha), selingan dengan pokok buah-buahan (2m x 2 m - 3,300 pokok/ha). Kantan sesuai ditanam dibawah naungan seperti pokok getah dan buah-buahan asalkan dijaga dengan sempurna.


Pada minggu ke 16 perlu diberikan baja organik seperti baja tahi ayam sebanyak 4.2 metrik tan sehektar atau pada kadar 1 kg sepokok. Pastikan menabur tahi ayam dengan betul agar pokok tidak terkena terus baja tersebut. Jalankan kawalan rumpai dengan cara manual (menajak) atau menyembur racun rumpai seperti glyposate (Jika perlu). Program pembajaan dengan baja NPK 12:12:17:2 dengan kadar sebanyak 30 gm satu lubang/ pokok dibuat pada hari ke 20 penanaman. Aplikasi pemberikan baja tersebut diulangi pada minggu ke 20 dengan kadar baja sebanyak 70 gram/ lubang (295 kg/ha). Pada masa ini juga perlu dibuat kawalan rumpai untuk mempastikan pertumbuhan rumpai tidak mengganggu pertumbuhan pokok kantan. Kantan merupakan tanamann yang tidak banyak menghadapi masaalah serangan serangga dan penyakit bagaimana pun jika terdapat tanda-tanda serangan perlu dibuat kawalan. Pembajaan NPK 12:12:17:2 yang ke 3 dijalankan pada minggu ke 36 sebanyak 100 gram satu rumpun. Pada masa ini juga disyorkan untuk diberikan kapor sebanyak 200 gm/rumpun dan baja organik sebanyak 500 gm/ rumpun. 


Kajian dan pemerhatian saya di kebun kantan sekitar Muar dan Batu Pahat, Johor mendapati pokok kantan akan mula berhasil dengan mengeluarkan bunga sekitar 38 - 42 minggu selepas ditanam. Kalau dikira ianya boleh dikatakan mengeluarkan hasil 9 bulan selepas ditanam. Cara memetik bunga kantann adalah dengan memotong tangkai bunga kantan yang belum kembang sepanjang 30 cm dan perlu dijalankan setiap hari. Keupayaan seorang pekerja untuk memetik bunga kantan yang saya kira di Muar sekitar 700 kuntum bunga dalam sehari. Bunga kantan yang dipetik dimasukkan kedalam bakul plastik dengan jumlah sebanyak 100 bunga satu kuntum dan ditutup dengan kertas suratkhabar untuk elakan terkena sinaran  matahari. Bersihkan dari kekotoran dan buat grading mengikut saiz dan buang bunga kantan yang cacat dan rosak. Selalunya petani akan membungkus sebanyak 20 kuntuk bunga kantan dalam kertas sebelum dihantar untuk jualan. Sebaiknya kertas pembalut dibasahkan dengan air untuk perjalanan yang jauh agar menjaga kesegarannya.   


Penjagaan tanaman diteruskan dengan program pembajaan pada minggu ke 48 dengan baja NPK 12:12:17:2 sebanyak 125 gm/ rumpun atau 525 kg/hektar dan perlu di ulang program pembajaan ini setiap 12 minggu. Pemberian kapor dan baja organik juga perlu dijalankan mengikut program pembejaan sebelum ini dengan kekerapan setiap 12 minggu. Sebaiknya kawalan rumpai terutama diantara barisan tanaman dikawal menggunakan kaedah manual atau racun kimia jenis sentuh. Rumpun-rumpun kantan yang tumbuh perlu di buang dahan-dahan tua yang berpenyakit menggunakan parang panjang dan pastikan rumpun tidak terlalu rimbun dengan dahan yang telah tua atau mati. Kerja-kerja membersihkan rumpun kantan perlu dijalankan setiap 4 minggu. Ramai diantara kita mampu mananam dan menghasilkan bunga kantan, isunya apabila telah tanam banyak dimana kita hendak menjual produk bunga kantan. Kalau setiap rumah dikampong menanam kantan, tentu bunga kantan tidak perlu dibeli lagi. Kenalpasti pasaran bunga kantan sebelum menceburkan aktiviti penanaman pokok kantan secara komersil. Wallahualam.


AGRONOMI TANAMAN... KANTAN NAMANYA...
KEPADATAN POKOK... 4,200 POKOK PADATNYA....
LEPAS 40 MINGGU...MENUAILAH JAWABNYA...
BERANI CUBA...MARI MULA TANAMNYA....


By,
M Anem
34, Galaxy Inn, Lumut,
Perak, Malaysia.
(15 Ramadan 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.