Thursday, August 9, 2012

PENYAKIT SAWI

SAWI (Brassica spp) merupakan sejenis sayuran daun dari keluarga Cruciferae yang ditanam untuk tujuan pasaran domestik dan juga pasaran ekspot. Kajian saya daripada Laporan Tahunan Jabatan Pertanian menunjukkan sayuran sawi ditanam dengan keluasan sekitar 8,300 hektar pada tahun 2012 dengan nilai pengeluaran sawi sebanyak RM 350 juta. Negeri Johor merupakan kawasan paling banyak menanam sawi secara komersil terutama di Daerah Johor Bahru, Kulai, Kluang , Kota Tinggi dan Daerah Ledang. Penanaman sawi di Johor ditanam dikawasan terbuka dan juga ditanam dibawah struktur pelindung hujan (SPH). Struktur SPH membantu menghalang air hujan lebat daripada menimpa daun sawi yang hampir matang daripada rosak. Pengalaman saya mendapati sawi ditanam secara matrik dimana setiap hari akan dijalankan penanaman dan juga aktiviti penuaian. Kemanakah agaknya sayuran sawi sebanyak lebih dari 380,000 metrik tan setahun dipasarkan?. Pada malam ini saya bagaimana pun berminat untuk menulis beberapa jenis penyakit tanaman sawi berdasarkan kepada pengalaman dan membuat beberapa rujukan daripada buku.


Terdapat sebanyak 4 jenis penyakit tanaman sawi yang lazim menyerang di negara kita. Ianya perlu diketahui oleh penanam sawi agar dapat mengawalnya dan seterusnya dapat menghasilkan sayur sawi yang berkualiti dan mendapat harga pasaran lebih baik. Penyakit Sawi yang dimaksudkan adalah REPUT LEMBUT, REPUT DAUN, REPUT AKAR  (Club Root) dan PENYAKIT LAYU ANAK BENIH (Damping Off). Penyakit Reput Lembut disebabkan oleh kulat yang dikenali sebagai Ervinia caratovora yang mana bahagian sawi yang diserang akan reput dan berair serta mengeluarkan bau yang busuk (Foto diatas).  Lendir yang dikeluarkan dari bahagian yang diserang berbau busuk dan akibatnya pokok akan rosak. Kawalan penyakit ini dengan menyediakan kawasan penanaman sawi yang tidak lembab serta musnahkan dan buang pokok yang telah diserang. Walau pun serangan penyakit ini boleh menyebabkan kerugian, saya syorkan agar kawalan dari peringkat awal adalah digalakkan. 


Penyakit Reput Daun pula disebabkan oleh kulat jenis Corticum solani yang menyerang  bahagian daun. Akibatnya daun akan menjadi busuk dan rosak. Serangan penyakit ini menyebabkan kerugian jika tidak dikawal dengan baik dari peringkat awal. Kawalan boleh dijalankan dengan memusnahkan pokok yang telah berpenyakit dan membuangnya jauh dari kawasan penanaman. Kawasan yang lembab menyebabkan potensi berlaku serangan oleh kulat ini lebih mudah berlaku. Kawalan menggunakan racun kimia hanya disyorkan jika tahap serangan mencapai tahap ETL dengan menggunakan racun jenis Benomyl dan Quintozene mengikut kadar semburan yang dinyatakan pada label. 


Penyakit 'Club Root' atau Reput Akar ini disebabkan oleh sejenis Kulat dengan nama Plasmidiophora brassicae yang menyerang bahagian akar sawi. Serangan ini akan  menyebabkan akar menjadi membengkak dan kemudia reput. Serangan kulat ini juga  menyebabkan akar sawi tidak dapat menyerap air dan nutrien dalam tanah dan seterusnya menyebabkan pertumbuhan sawi akan terbantut. Kawalan dijalankan menggunakan kaedah IPM seperti membuang pokok yang telah diserang dan musnahkannya. Kaedah rawatan biji benih sawi sebelum menanam dengan menggunakan racun kulat mampu mengurangkan kemungkinan serangan penyakit ini. Penggunaan racun kulat seperti racun kulat jenis quintozene mampu mengawal serangan. Pastikan kawasan penanaman sawi mempunyai sistem saliran yang baik. 


Penyakit Damping Off disebabkan oleh kulat jenis Phytium sp. yang menyerang anak benih yang baru sahaja bercambah. Kulat ini akan menyebabkan anakbenih sawi yang baru bercambah  akan layu dimana benih akan seterusnya menjadi busuk terutama dipangkal batang. Keadaan serangan yang serius menjadikan anak benih perlu disulam jika mempunyai masa yang mencukupi. Penyakit ini sukar di jangka pada peringkat awal kerana lazimnya kawasan yang pernah kena serang kemungkinan akan berlaku serangan ulangan adalah lebih tinggi. Kaedah kawalan disyorkan dengan membuat rawatan bijibenih sebelum ditanam dengan racun kulat seperti Capstan. Semburan dengan racun benomyl pada anakbenih yang baru bercambah juga boleh dijalankan dengan peraturan seperti pada label. Pastikan anda mengenali penyakit tanaman sawi untuk mendapatkan hasil sawi yang berkualiti, bersih dan selamat untuk dimakan.

PENYAKIT SAWI.. ADA 4 SEMUANYA.....
PENYEBABNYA KULAT... KENA KENALNYA....
KAWALAN DI LAKSANAKAN...ADA KESANNYA...
POKOK SAWI SIHAT..LUMAYAN PULANGANNYA....

By,
M Anem
Pekan Sik, Kedah,
Malaysia.
(18 Ramadan 1433H)    

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.