Wednesday, August 8, 2012

JENIS SAWI

SAWI (Brassica sp) merupakan sejenis sayur daun yang sangat popular ditanam di Malaysia dari keluarga CRUCIFERAE.  Keluasan penanaman sawi dilaporkan sehingga 8,310 hektar pada tahun 2011 dimana ianya menghasilkan sebanyak 120,160 mt dengan nilai pengeluaran sebanyak RM 350 juta. Sawi merupakan tanaman sayuran jenis daun yang paling luas ditanam di Malaysia dan paling tinggi nilai pengeluarannya diikuti dengan Sayur Bayam (RM 89.1 juta), Kangkong (RM 75.6 juta), Salad (RM 38.3) juta, Kailan (RM 36.5 juta) dan Kobis Bulat (RM 21.8 juta). Penamanan sawi banyak di Negeri Johor, Selangor dan Pahang dimana sebahagian besar adalah untuk pasaran domestik dan sebahagian lagi untuk pasaran ekspot terutama ke Singapura. Ramai diantara kita hanya kenal akan perkataan 'SAWI' sahaja apabila di minta membeli sayuran tersebut. Sebenarnya sawi boleh juga saya  kategorikan kepada 4 jenis utama untuk di kenali dan di buat pencirian.  Dari segi pertanian, sawi boleh dibahagikan kepada 4 jenis yang utama iaitu SAWI HIJAU ATAU SAWI BUNGA, SAWI PUTIH, SAWI JEPUN dan SAWI PAHIT. Artikel kali ini sambil menunggu waktu berbuka saya menulis beberapa jenis sawi untuk pengetahuan anda dalam 'Anim Agro Technology'.


Sawi merupakan tanaman singkatmasa yang mengambil masa kurang dari 30 hari (bagi sesetengah varieti) untuk dituai. Penanaman sawi lazimnya dijalankan secara komersil menggunakan sistem terbuka atau di bawah Struktur Pelindung Hujan (SPH) serta mempunyai sistem pengairan serta saliran yang sempurna. Penanaman sawi lazimnya dibuat diatas batas sama ada di kawasan tanah mineral atau tanah gambut. Keperluan benih sawi sebanyak 1.5 kg sehektar. Kajian saya dapati bahawa kesemua benih sawi adalah diimpot sama ada daripada negara China, Taiwan, India atau Thailand. Kajian saya di makmal mendapati purata saiz biji benih sawi adalah setiap 1,000 biji untuk 2 gram (atau 1 gram sebanyak 500 biji). Cara penanaman ke semua jenis sawi hampir serupa kecuali beberapa kaedah amalan agronomi yang membezakkanya seperti saiz pokok, jangkamasa matang varieti dan sebagainya. Potensi hasil tanaman sawi lingkungan 12,000 - 16,000 kg sehektar bergantung kepada varieti, pengurusan amalan agronomi dan sebagainya.


Jenis Sayur Sawi pertama adalah jenis yang paling popular di tanam iaitu SAWI HIJAU atau di panggil juga sebagai SAWI BUNGA. Sawi ini mempunyai nama botani Brassica compestris sp parachinensis yang digemari oleh kebanyakan petani. Faktur permintaan pasaran yang tinggi dan penjagaan yang mudah menyebabkan sawi jenis ini luas ditanam semenjak dulu lagi. Sawi Hijau mempunyai warna daun hijau gelap dengan pokok yang tumbuh menegak sekitar 20 - 25 cm dari paras tanah. Ianya adalah tanaman singkat masa kurang 30 hari diladang (27 - 28 hari) dan merupakan tanaman yang boleh ditanam sepanjang tahun dibawah struktur SPH.  Pengalaman saya berbincang bersama Mr Tan Soo Tiok dan Mr Khow You Jin yang telah menanam sawi ini lebih 28 tahun di Kelompok Sayuran Kg Bt 19 , Sengkang, Ledang, Johor mendapati sayuran ini mendapat permintaan yang baik dan mudah diterima pengguna. Bentuk batang dan saiz petiole berbentuk kurus dan berwarna hijau dengan bunga yang berwarna kuning. Sawi ini agak tahan dengan curahan air hujan berbanding jenis sawi lain yang ditanam. Penanaman dibawah SPH membantu mengurangan kerosakan daun sawi melecuh akibat kena hujan kuat. Potensi hasil sawi hijau sekitar 14 - 16 metrik tan sehektar.


Jenis SAWI PUTIH (Brassica campestris sp chinensis var juliennius) atau dalam panggilan biasa sebagai PAK CHOY merupakan jenis sawi yang saya lihat mempunyai daun hijau gelap dan urat daun serta batang berwarna putih krim (Foto sebelah). Bentuk daun adalah bulat yang berukuran 15 - 20 cm panjang. Daunnya adalah lebih tebal dan rangup berbanding dengan sawi hijau. Bentuk pertumbuhan pokok agak terbuka diatas dengan warna batang atau petiole yang putih, besar, kompek dan mudah patah. Sawi ini perlukan penjagaan khas ketika diangkut kerana mudah patah jika ditindih dengan kuantiti yang banyak. Sawi ini sesuai dimasak tumis atau masak lemak 'bobor'. Potensi hasil sawi putih sekitar 14-16 metrik tan sehektar.


Sawi jenis SAWI JEPUN (Brassica campestris sp chinensis) juga dikenali sebagai Siow Pak Choi yang mempunyai saiz agak kecil sekitar 12 - 15 cm sahaja. Batang dan daunnya berwarna hijau muda (Lihat foto sebelah). Pemerhatian saya mendapati sawi jepun mempunyai batang yang 'compact' dibahagian pangkal dan agak tirus dibahagian hujungnya. Bentuk dan susunan urat daun sawi jepun tidak prominent dan meruncing dibahagian hujung daun. Sawi ini sering dimasak dengan masakan 'black pepper' berkuah dan dihidangkan dihotel-hotel sebagai hidangan biasa. Potensi hasil sawi jepun 12 - 14 metrik tan sehektar.


Jenis SAWI PAHIT (Brassica juncea var rugosa) merupakan sejenis sawi yang rasanya pahit dan tumbuh dengan ketinggian sekitar 30 cm. Jenis sawi ini cepat tumbuh dan mempunyai saiz daun yang agak besar dan berwarna hijau muda. Walau pun rasa daunnya pahit, kebanyakannya akan dijeruk untuk dijadikan sayuran jeruk. Penanaman memakan masa selama 35 hari untuk dituai dan mampu menghasilkan hasil potensi sehingga 22 - 30 metrik tan sehektar. Sayur ini jarang dimakan sebagai sayur segar kerana rasanya yang agak pahit.

Beberapa jenis sawi lain yang yang mungkin anda dengar adalah seperti Sawi Kerinting dan Sawi Kailan yang ditanam untuk tujuan tertentu. Diharap artikel ini dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan anda mengenai tanaman sawi. Pastikan anda kenal mana hendak beli nanti untuk tujuan apa. Wasallam!

SAWI HIJAU.... SAMA SAWI BUNGA NAMANYA...
SAWI JEPUN... KECIL SAHAJA SAIZNYA....
SAWI PUTIH.... RANGUP DAN PUTIH BATANGNYA...
SAWI PAHIT... TENTULAH PAHIT RASANYA....

By,
M Anem
Room 105, 1st Floor,
Langkawi Baron Hotel,
Langkawi, Kedah,
Malaysia.
(18 Ramadan 1433)
     

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.