Friday, July 13, 2012

RIZOM LALANG

RIZOM LALANG (Imperata cylindrica) merupakan bahagian akar yang tumbuh dibahagian dalam tanah. Lalang dari keluarga Poaceae (Graminae) merupakan sejenis rumpai yang menjadi masaalah kepada pekebun dan petani yang cepat membiak dan sukar untuk di musnahkan. Daripada foto diatas menunjukkan bahagian rizom lalang yang mempunyai sulur yang mana hujungnya tajam dan mampu  menembusi celah-celah tanah keras atau batuan untuk terus membiak dalam tanah. Cara pembiakan lalang juga berlaku dengan biji benih ringan berwarna putih yang boleh di terbangkan oleh angin sehingga amat jauh sekali dan akan membiak apabila sesuai keadaanya. Pengalaman saya kaedah membakar kawasan lalang yang kering dimusim kemarau atau selepas di racun dengan racun rumpai jenis sentuh tidak mampu membunuhnya. Ini kerana rizom lalang yang ada dalam tanah akan keluar dan tumbuh semula dengan lebih subur setelah mendapat baja Potash dari hasil lalang yang terbakar tersebut. Pendek kata lalang memang menimbulkan masaalah kepada petani dan pekebun dan memang ada rasa ' terbakar hati' dibuatnnya. Petang ini sambil melihat rumpun lalang depan rumah (jiran sebelah tidak musnahkannya dan membiak di rumah saya) kita kongsi maklumat dalam "Anim Agro Technology" mengenai rizom lalang untuk saja kongsi maklumat sebagai bahan rujukkan.


Rizom Lalang ini mempunyai pucuk yang tajam (Lihat foto) yang memanjang dalam tanah dan ada yang terus naik di permukaan tanah. Saya masih ingat ketika berjalan di kawasan kebun getah yang ada lalang dengan kaki ayam atau pakai selipar jepun, aduh sakitnya terkena cucuk rizom lalang yang tajam. Rizom ini akan memanjang dalam tanah dan amat sukar untuk dimusnahkan. Hanya racun lalang jenis sistemik (Seperti Round-up) yang mampu membunuh rizom lalang jika aplikasi dibuat dengan betul mengikut kadar. Tanah yang ada lalang jika dibajak dan diterbalikkan permukaan tanah dengan cepat rizom yang ada akar ini akan tumbuh. Saya pernah ambil rizom ini (yang berwarna putih krim) kemudian digigit mempunyai rasa agak manis. Kepada mereka yang belum pernah rasa jus rizom lalang boleh mencubanya.


Rizom lalang merupakan bahagian tumbuhan lalang yang dijadikan bahan untuk perubatan tradisional dengan merebusnya dan air rebusannya di minum untuk merawat batuk, batuk berdarah, masaalah cirit, demam kuning, demam panas, busung, gonorea, kencing berdarah, pendarahan dalaman, masaalah ginjal, radang paru-paru, selsema, mencuci darah, melawaskan buang air kecil serta untuk tonik berkhasiat. Air rebusan rizom lalang juga didakwa boleh dijadikan air mandian atau disapukan kepada buasir, kulit yang gatal-gatal atau permukaan kulit yang kasar. Air rizom lalang yang dicampur dengan air mendidih boleh dijadikan tangas bagi mereka yang mengidap buasir. Macam-macam kegunaan rizom lalang jika kita buat rujukkan.
RIZOM LALANG .... MUDAH DAPATNYA...
MENJALAR DITANAH...AMAT PANTASNYA...
BOLEH DIPROSES ... APA KHASIATNYA...
KALAU BERMINAT ...PERLU MENCUBANYA... 

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Chalet Tanjung Piai ,
Penghujung Benua Asia,
Pontian, Johor, 
Malaysia.
(23 Syaaban 1433H)
Kemaskini pada 18 April 2016 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.