Sunday, April 15, 2012

KHASIAT JAMBU BATU

JAMBU BATU (Psidium guava) merupakan sejenis buah-buahan tropika dari keluarga Myrtaceae dan popular ditanam untuk dimakan segar dan juga diproses. Terdapat seluas 1,520 hektar tanaman jambu batu pada 2011 dengan pengeluaran sebanyak 20,100 metrik tan bernilai sekitar RM 18.76 juta (Laporan Ststistik Jabatan Pertanian).  Kawasan tumpuan tanaman jambu batu di Malaysia adalah di Daerah Muar, Johor diikuti dengan Daerah Batang Padang, Perak dan Daerah Segamat , Johor.  Beberapa varieti Jambu Batu yang popular di Malaysia adalah GU 8, GU 9 dan GU 10 serta Jambu Batu Lohan (Giant Guava). Selain daripada bahagian buah yang merupakan komponen utama untuk di makan, bahagian lain tumbuhan juga mempunyai khasiat tertentu untuk digunakan dalam rawatan perubatan dan lain-lain tujuan. Artikel petang Sabtu ini saya menyentuh mengenai teknologi berkaitan tanaman jambu batu dan khasiat daripada tumbuhan tersebut.


Pokok Jambu Batu adalah sederhana besar dengan ketinggian  mampu mencapai 10 meter jika tidak dibuat cantasan. Lazimnya pokok jambu batu diladang komersil dikawal ketinggiannya sekitar 1.5 - 2.5 meter sahaja untuk pengurusan secara komersil. Kulit batang berwarna merah perang dengan mempunyai kulit tua yang ada ciri melekang atau mengelupas. Kulit kayu dahan muda berwarna kehijauan.  Daun tumbuhan ini ringkas dengan susunan bertentangan yang panjangnya sekitar 5-15 cm dan lebarnya 3-6 cm. Daun berwarna hijau lembut ini banyak gunanya dalam alam perubatan.  Bunga jambu batu berwarna putih yang mempunyai banyak stamen dalam 1-2 jambak dan keluar daripada ketiak daun.  Lazimnya bunga akan keluar selepas dilakukan cantasan pada dahan. Buah Jambu Batu berbentuk bulat berry , bentuk bebola, berbentuk buah pear dengan warna kulit hijau lembut dan bertukar kekuningan apabila masak ranum.  Ada banyak jenis jambu batu berbiji dan terdapat juga jenis jambu batu tanpa biji. Pengalaman saya di TKPM Sekijang di Segamat banyak mendedahkan pengurusan tanaman jambu batu sehingga pernah digelar sebagai menjadi separa-pakar.


Buah Jambu Batu yang dibuat analisa makmal menunjukkan setiap 100 gram mengandungi sebanyak 83.3 gram air, 6.8 gram karbohiderat, 1 gram protin, 0.4 gram lemak, 3.8 gram serabut, 337 mg vitamin C, Vitamin B dan  0.1-1.8 % kandungan pektin. Dalam daun juga mengandungi banyak unsur Tanin (iaitu 9 - 10%) yang bertindak sebagai bahan antibiotik. Dalam bunga dan bahagian Akar Pokok Jambu Batu juga banyak mengandungi bahan Tanin.  Cara buah jambu dimakan adalah dengan memakan segar atau dimakan dengan serbuk asam boi, garam dan sebagainya. Buah jambu juga boleh di proses dengan konsep 'minumum proses' untu dijadikan 'ready to eat product'. Pasaran utama buah jambu bantu adalah di kantin-kantin sekolah diseluruh negara.  Isi buah jambu yang matang berbau wangi dan manis. Ianya juga boleh diproses menjadi Jem, Halwa, Jeli, Jus, Kordial, Jambu Kering, Kek, Pai malahan ada yang kata boleh buat sup.  Daun jambu batu juga sesuai diproses untuk dijadikan daun teh bagi diminum.


Khasiat dari buah jambu masak dimakan mampu menghilangkan masaalah sesak nafas. Air rebusan buah juga mampu mengawal masaalah kencing manis (Diabetis). Ada yang mengamalkan dengan menjemur buah jambu sehingga kering dan kemudian direbus dan airnya diminum untuk rawatan disenteri, penyakit paru-paru dan penyakit dada sebagai tonik.  Air rebusan bunga jambu batu juga sesuai untuk direbus dan diminum airnya bagi rawatan cirit birit dan menghentikan pendarahan. Paling senang ialah ambil daun muda jambu batu dan kunyah kemudian telan , ia memang berkesan untuk kawalan cirit birit.  Selain itu air rebusan kudup bunga, dicampur dengan daun, kulit batang, buah muda  dan akar diminum merawat masaalah disenteri dan juga cirit birit.  Pastikan semua bahan-bahan tersebut tidak terkena racun atau mengandungi logam berat.  


 Air rebusan daun yang direbus dan dimimum apabila sejuk mampu merawat bengkak dalam perut dan usus, selsema, disenteri dan menghilangkan bengkak kaki jika direndam. Sementara itu air rebusan daun dan kulit yang diminum juga merawat masaalah rahim berdarah, saluran kencing bengkak dan banyak mucus, penyakit keputihan pada faraj, merangsang haid dan baik untuk ibu lepas bersalin,.Air rebusan ini juga dipercayai baik dijadikan air mandian untuk merawat bisul, ulser dan pelbagai masaalah penyakit kulit lain seperti parasit kulit. Daun jambu batu yang dikeringkan dan dikisar menjadi serbuk dan diletakan dikawasan kurap dan ulser dapat menyembuhkannya. Saya ada dengar yang daun jambu batu di gunakan dalam masakan tertentu untuk menghilangkan rasa pahit atau rasa tertentu beberapa jenis sayur berdaun. Sesetengah orang menggunakan daun jambu batu untuk proses menyamak dan juga sebagai pewarna.  Maklumat yang di baca dari buku karangan O.H. Chooi ini pastinya memberikan banyak manafaat kepada kita semua. Sesiapa yang hendak cuba pastikan tidak ada komplikasi lain. Wasalam...


KHASIAT JAMBU BATU...BANYAKNYA....
BUAH DIMAKAN...KENYANG PASTINYA.....
DAUN DIREBUS...DIMINUM AIRNYA....
BANYAK MASAALAH...AKAN DIRAWATNYA....

By,

M Anem
Ladang LeePineapple Plantation,
Simpang Renggam, Kluang,
Johor, Malaysia.
(21 JamadilAwal 1433H).     

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.