Monday, April 16, 2012

'CAP' NENAS

CAP NENAS (Tudung Nenas) merupakan satu bahan yang digunakan untuk tanaman Nenas (Ananas cosmosus) diatas buah untuk menghalang berlakunya masaalah kerosakan buah akibat sinaran matahari (Pineapple fruit scorching). Tanaman nenas diatas tanah gambut dikawasan ladang yang terbuka menghadapi masaalah rosak buah kerana suhu panas yang sering berlaku pada musim paas sekitar bulan April, Mei dan Jun setiap tahun. Daripada pemantauan saya kebeberapa buah ladang Nenas, seperti di Peninsular Pineapple Plantation (Simpang Renggam) Sdn Bhd (dulu dikenali Lee Pineapple Plantation) dan Goh Pineapple Plantation mendapati perkara ini perlu diatasi dengan menutup buah nenas menggunakan Tudung Plastik. Menurut pengurus Ladang Lee iaitu En KS Koh, semasa musim panas suhu dikawasan antara tanaman nenas mencecah kepanasan sekitar 43 - 45 darjah Celsius iaitu amat panas pada waktu tengahari dan awal petang. Artikel kali ini saya menulis teknologi menutup buah nenas (Cap Nenas) untuk mendapatkan kualiti buah yang baik.


Bahan yang digunakan untuk dijadikan tudung nenas bagi melindungi buah nenas daripada kerosakan kepanasan matahari adalah tudung plastik, kain, helaian plastik atau bahan lain yang sesuai. Di ladang nenas komersil, bahan tudung plastik yang leper dan bulat ini digunakan selama 2 - 3 kali (3 tahun). Plastik ini yang berukuran 20 cm dengan mempunyai lubang ditengahnya dan jejari tirus ditengahnya (Lihat foto). Cara memasangnya juga amat mudah dengan menyarungkan dari bahagian atas buah melalui jambul (crown) dan diletakkan di pangkal jambul buah. Kebanyakan warna plastik adalah hijau (mungkin disesuaikan dengan tali para yang juga berwarna hijau - elakan serangan serangga).  Penggunaan tudung plastik ini mempu memberikan perlindungan bahagian atas buah nenas dari sinaran matahari yang merosakkan buah nenas pada musim cuaca panas terik yang agak panjang.


Buah yang mencapai umur hampir matang perlu dipasang tudung plastik ini bergantung kepada varieti nenas yang ditanam sama ada MD2, N36, Josapine, Gandul atau Nenas Moris (Moris jarang ditudung). Menurut En. Koh, kadar kerosakan buah akibat kepanasan matahari ini (scroching) mencapai 75 -85% jika tidak dibuat perlindungan buah dengan sempurna terutama musim panas. Akibatnya buah yang rosak ini tidak boleh dihantar kekilang nenas untuk di proses penkalengan (canning) atau pun untuk dijual segar.  Apabila buah dikupas akan terdapat tanda hitam atau lubang hitam daripada bahagian luar hingga masuk kedalam. Buah ini kadang2 terpaksa dibuang kerana tidak boleh dipasarkan. Bayangkan dengan satu pokok satu biji buah, dan kos benih nenas yang tinggi, jika banyak buah rosak maka petani akan mengalami kerugian besar.


Kos untuk setiap tudung sekitar RM0.50 - RM 0.70 sen sekeping dan tahan sehingga 2-3 musim penanaman. Dikalangan petani kecil mudah untuk membuat tudung buah jika penanaman sekadar 1-2 hektar sahaja. Risiko kerosakan agak rendah jika cuaca diladang tidak terlalu panas kerana ada hujan dan panas silih berganti. Pemerhatian untuk kawasan tanaman nenas diatas tanah mineral didapati kadar kerosakan buah akibat sinaran matahari agak rendah. Di ladang Goh pula mereka menggunakan tudung plastik dan kain buruk untuk melindungi buah varieti Josapine. Mungkin teknologi ini boleh dikembangkan kepada petani yang mempunyai modal mencukupi bagi mendapatkan kualiti buah nenas yang baik.


Nenas MD2 merupakan varieti nenas yang mendapat pasaran dan harga baik di seluroh dunia. Semasa membuat penilaian ujirasa antara nenas MD2, Josapine, Gandul, N36 dan Moris diladang , saya dapati memang tiada tandingan kualiti nenas varieti MD2 (Lihat foto). Pasaran nenas MD2 terus meningkat masa kini cuma masaalah utama untuk menanam nenas ini adalah untuk mendapatkan bekalan benih. JTP Plantation Sdn Bhd ada membekalkan benih nenas MD2 berkualiti dengan harga sekitar RM2.00 satu sulur untuk ditanam. Nenas MD2 akan mengeluarkan hasil selapas 12-14 bulan selepas ditanam. Selamat makan nenas segar!


TUDUNG NENAS...PLASTIK BAHANNYA....
BENTUK LEPER...BERLUBANG TENGAHNYA...
DIPASANG ATAS BUAH...BAWAH JAMBULNYA...
BUAH TAK ROSAK...BAIK KUALITINYA....


Artikel berkaitan Nenas:
1. Nenas (Klik disini)
2. Nenas MD2 (Klik disini)
3. Nenas Moris Kedah (Klik disini)
4. Nenas Organik (Klik disini)
5. Nenas Pada Sarawak (Klik disini)
6. Bengkel Teknologi Nenas (Klik disini)
7. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)


By,
M Anem
Simpang Renggam, Kluang,
Johor, Malaysia.
(23 JamadilAwal 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.