Thursday, January 26, 2012

PENGGALAK BUNGA HARUMANIS

MANGGA VARIETI HARUMANIS (Mangifera indica L) dari keluarga Anacardiaceae merupakan sejenis buah-buahan tropika yang dipopularkan di negara kita terutama di Negeri Perlis. Mangga merupakan salah satu daripada jenis buah tropika yang utama ditanam dan dikeluarkan untuk pasaran domestik dan ekspot oleh beberapa negara didunia daripada 9 jenis buah-buahan tropika yang disenaraikan. Sebanyak 26 juta metrik tan mangga dikeluarkan setiap tahun diseluruh dunia dan jumlah ini merupakan 40% daripada pengeluaran buah-buahan tropika. India merupakan pengeluaran mangga terunggul didunia dengan pengeluaran sebanyak 12 juta metrik tan setahun atau kira-kira 35% daripada pengeluaran dunia.  Terdapat seluas 9,500 hektar tanaman mangga ditanam Malaysia pada tahun 2011 dengan pengeluaran sebanyak lebih 25,000 metrik tan dari bebagai jenis dan varieti. Antara jenis yang popular adalah Mangga Chok Anan, Harumanis, Sala, Golek/Foofat dan Nam Dok Mai. Ada juga jenis mempelam pauh termasuk kategori buah nadir seperti bacang dan kuini yang ditanam tetapi tidak komersil. Teknologi tanaman mangga telah dibangunkan dengan mengaplikasikan kaedah pengurusan cantasan, aplikasi pembajaaan, aplikasi agen pendebungaan dan juga yang terkini penggunan bahan pengalak bunga khususnya untuk varieti Harumanis. Artikel malam ini saya menulis teknologi aplikasi penggunaan bahan kimia penggalak bunga harumanis untuk pengetahuan pembaca semua.


Harumanis merupakan salah satu mangga yang perlukan amalan teknologi pertanian khusus untuk mendapatkan hasil yang banyak dengan mempunyai kualiti yang baik. Penanaman mangga jenis Harumanis ini di tumpukan di kawasan negeri utara di Semenanjung Malaysia seperti di Kedah dan Perlis khususnya kerana kesesuaian cuaca panas yang agak panjang yang diperukan oleh verieti ini. Kajian oleh beberapa pakar mangga Jabatan Pertanian Perlis mendapati salah satu teknologi yang boleh diamalkan untuk pengurusan pengeluaran bunga adalah penggunaan bahan kimia penggalak bunga yang dipanggil sebagai PACLOBUTRAZOL (PBZ). 


Bahan kimia ini digunakan bagi mempastikan pengeluaran bunga yang lebat dan seragam serta membantu menghasilkan buah yang banyak terutama pengeluaran untuk luar musim bagi mendapatkan harga lebih tinggi.  Selain itu tujuan kaedah aruhan bunga dapat mempercepatkan pengeluaran bunga, jumlah atau bilangan bunga banyak serta masa keluar serentak dan mempunyai tangkai jambak bunga lebih panjang dan bilangan bunga lebat. Penggunaan Paclobutrazol merupakan satu kaedah yang telah diterima oleh ramaip petani terutama mereka yng telah menanam Mangga  Harumanis melebihi 20 tahun. Bahan ini praktikal, murah, senang digunakan dan tidak memberikan kesan negatif kepada tanaman.


Masa yang paling sesuai untuk menggunakan PBZ bergantung sama ada Kaedah SIRAMAN ATAS TANAH   atau kaedah SEMBURAN DAUN. Jika guna kaedah siraman atas tanah makan kerja ini perlu dibuat 2-3 bulan sebelum berbunga tetapi jika gunakan kaedah semburan daun pada 1 bulan sebelum pengeluaran Tunas Bunga. Pokok mangga harumanis yang telah dicantas sebanyak dua kali dan mempunyai tahap daun yang matang (berwarna hijau muda) serta pokok yang sihat dengan bilangan ranting melebihi 30 batang sesuai dijalankan aktiviti aruhan bunga. Kadar PBZ yang perlu digunakan adalah sebanyak 1.0 - 3.0 gram sepokok bahan aktif PBZ (mengikut umur pokok) atau kalau dimudahkan sekitar 1.0 -1.5 ml PBZ (atau 25% bahan aktif) bagi setial 1 meter persegi kawasan dibawah kanopi pokok harumanis. Bahan PBZ yang masih pekat perlu dicampur dengan 1.0 - 2.0 liter  air bersih  dan disiram secara lencunan disekeliling pangkal pokok (Lihat foto). Sebagai contoh jika lebar kanopi pokok mangga harumanis dengan ketinggian 3 meter perlukan sebanyak 9 - 10 ml PBZ untuk setiap pokok mangga. Pastikan penyiraman dijalankan dengan rata dan tidak berlaku pembaziran.


Pemerhatian diladang mendapati tunas bunga akan keluar (Flushing) selepas 60 - 70 hari selepas aruhan bahan PBZ yang diaplikasikan bergantung kepada keadaan kesuburan pokok, pengurusan tanaman dan cuaca. Amalan agronomi perlu dijalankan dengan menjalankan kawalan rumpai, musuh serangga perosak dan penyakit kulat untuk mempastikan bunga yang di keluarkan akan mengeluarkan putik buah yang banyak dan sihat. Apabila bunga telah keluar makan digalakan proses pendebungaan dengan mengalakan agen pendebungaan seperti lebah keran, kelulut atau lalat (Langau) dikawasan kebun. Letakan beberapa bekas yang mengandungi ikan baja didalam kawasan kebun untuk menarik lalat berada dikawasan kebun bagi membantu proses pendebungaan mangga harumanis. Amalan agronomi yang ada dalam Pakej teknologi Penanaman Mangga Harumanis seterusnya dijalankan bagi menghasilkan buah sehinggi melebihi 8 metrik tan sehektar (hasil potensi harumanis).  Semuga penggunaan bahan penggalak bunga PBZ akan meningkatkan kapasiti pengeluaran bunga dan seterusnya pengeluaran buah mangga harumanis di negara kita!


BAHAN KIMIA...PACLOBUTRAZOL NAMANYA....
DISIRAM DIPANGKAL...IKUT SUKATANNYA...
LEPAS 2 BULAN...BANYAKLAH BUNGANYA...
AMALKAN PENJAGAAN...BANYAK HASILNYA....


By,
M Anem
Room 216, Putra Brasmana Hotel,
Kuala Perlis, Perlis, Malaysia.
(2 Rabiul Awal 1433H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.