Tuesday, January 24, 2012

Kompatibiliti Belimbing

BELIMBING (Averrhoa carambola Linn) adalah sejenis buah-buahan tropika dari keluarga Oxalidaceae yang menpuynyai banyak varieti. Tanaman belimbing di Malaysia adalah satu industri yang terkenal dikalangan negara Eropah dan China serta Hong Kong yang mengimpot belimbing segar semenjak lama dahulu. Pengeluaran Belimbing ditingkatkan lagi pada masa akan datang dibawah Program Transformasi Kerajaan iaitu Projek Peningkatan Makanan (EPP7) yang diumumkan oleh Perdana Menteri tahun lepas. Antara beberapa puloh varieti belimbing yang ujud di Malaysia, terdapat beberapa jenis yang perlu ditanam secara bercampur bagi meningkatkan pengeluaran hasilnya. Artikel sempena cuti Tahun Baru Cina 2012 ini saya menulis mengenai Teknologi Belimbing berkaitan Kompatibiliti (Campatibility) beberapa jenis varieti belimbing untuk pengetahuan anda semua.


Kajian saya mengenai varieti atau Klon Belimbing daripada Jabatan Pertanian mendapati ada sebanyak 18 varieti belimbing yang telah didaftarkan semenjak tahun 1866 seperti artikel saya bertajuk Klon Belimbing di Malaysia (Klik disini). Varieti ini telah dikenalpasti mempunyai ciri-ciri pokok, buah, bunga dan sebagainya yang berbeza-beza. Antara varieti yang paling popular di komersilkan di Malaysia untuk pasaran Domestik dan Ekspot adalah Varieti B10, B2 dan B17. Klon-klon sebanyak 15 lagi ditanam untuk dijadikan pengeluaran secara kecil-kecilan atau untuk tujuan biak baka. Bunga belimbing dikeluarkan dalam satu jambak bunga yang mana ada banyak unit melekat setiap jambak. Saiznya kecil iaitu 8 mm -10 mm sahaja yang berwarna putih dihujung kelopak dan ungu kemerahan dibahagian tengah (Lihat foto diatas).


Ada 2 jenis bentuk bunga belimbing secara marfologinya iaitu Bunga Stigma Pendek (Short style) dan Bunga Stigma Panjang (Long style). Kedudukan stigma bunga ini mempengaruhi proses pendebungaan yang dipanggil sebagai 'Tak-sama Serasi' diantara klon dalam proses  pendebungaan (Lihat foto). Lazimnya bunga belimbing melalui proses pendebungaan secara semulajadi atau oleh agen pendebungaan seperti lebah, semut, lalat, kelulut atau serangga lain . Antara jenis Bunga Pendek adalah Varieti B3, B4, B8, B9, B30 dan B17 sementara jenis Bunga Pendek adalah varieti B1, B2, B5, B6, B7, B11, B12, B14, B15 dan B16. Kadar kejayaan pendebungaan bagi bunga pendek adalah tahap sederhana dan boleh ditingkatkan keupayaannya lagi dengan mendekatan kehadiran debunga lain dari varieti bunga belimbing panjang dengan mencamporkn pelbagai klon dalam kawasan kebun yang sama. Ini dapat meningkatkan kualiti buah belimbing dari segi bentuk, aroma, kemanisan, rupabentuk , kadar kejayaan buah melekat dan sebagainya.


Pokok belimbing perlu ditanam dengan jarak 6m x 6m untuk memberikan kepadatan sebanyak 276 pokok sehektar. Cara menanam pula boleh dibuat dalam susunan Segi Empat Sama, Segi Empat Tepat atau Susunan Tigasegi Sama. Teknologi menanam pokok belimbing perlu dirancang bagi menentukan proses pendebungaan yang akan menentukan hasil dan kualliti buah belimbing kelak. Caranya adalah dengan menanam pokok belimbing dari pokok klon yang berasingan atau pun mencantum sebahagian dahan setiap pokok dengan jenis klon lain yang dikehendakki. Teknologi ini didapati berjaya diamalkan oleh penanam belimbing komersil di Malaysia  semenjak lama dahulu.


Penanaman Belimbing sebaiknya ditanam secara tanaman TUNGGAL (Monocrop) untuk memudahkan kerja pengurusan didalam ladang. Elakan menanam secara dusun bercampur kerana kurang ekonomik kecuali untuk hobi keliling rumah sahaja. Pengalaman saya mendapati adalah disyorkan menanam klon belimbing komersil (B10 atau B17) bersama dengan Klon Pendebunga (B2) pada kadar 5:1 (5 pokok klon komersil bersama 1 klon pokok klon belimbing pendebunga). Cara menyusun benyak kaedah sama ada diselang setiap beberapa baris atau diletakan ditengah setiap klon komersil (Lihat rajah ditas). Bagaimana pun teknologi terbaik adalah dengan mencantum setiap pokok klon komersil pada dahannya satu klon belimbing pendebunga. Galakkan agen pendebunga seperti lebah, kelulur, lalat untuk dipelihara dikawasan kebun bagi meningkatkan proses pendebungaan.


Bagi mengatasi masaalah serangan Lalat Buah (Daucus dorsalis) yang merupakan musuh utama dalam industri penanaman belimbing kini telah dibuat kajian penanaman belimbing dalam struktur kalis serangga seperti yang saya lawat di TKPM Lanchang, Pahang (Lihat foto sebelah). Struktur ini didapati mampu mengelakan kerosakan akibat lalat buah dan tidak perlu kerja membalut buah. Hasilnya buah belimbing adalah lebih cantik kulitnya dan mendapat jaminan untuk pasaran ekspot lebih baik. Pastikan untuk masukkan koloni Lebah keran atau Kelulut dalam struktur ini untuk membantu dalam proses pendebungaan. Walau kos pembinaan struktur ini mahal tetapi ianya berkesan untuk jangkamasa panjang dan boleh di kaji lagi teknologi lain yang lebih murah. Semuga artikel ini memberikan ilmu berguna kepada pembaca semua. Wasallam...


VARIETI BELIMBING...ADA 18 SEMUANYA....
BELIMBING B10, B17...KOMERSIL BUAHNYA....
VARIETI B2 PULA...KELUAR DEBUNGANYA...
CARA MENANAM...PERLU TEKNOLOGINYA...


Related artikel:
1. Indek kematangan Belimbing (Klik disini)
2. Star Fruit (Klik disini)
3. Klon Belimbing di Malaysia (Klik disini)
4. Cashflow Buah-buahan (Klik disini)
5. Belimbing Buloh (Klik disini)


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Persint 11, Putrajaya,
Malaysia
(29 Safar 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.