Saturday, November 19, 2011

SARANG BURUNG TEMPUA

BURUNG TEMPUA (Ploceus spp) merupakan sejenis burung dari keluarga Ploceidae yang terdapat di 12 negara sahaja di dunia termasuk di Malaysia. Terdapat sebanyak 114 spesis burung tempua yang ujud diseluruh dunia dimana sebahagian besar daripadanya berada di negara kita. Taburan burung ini disekitar Asia (Asia Tenggara) dan Afrika iaitu dikawasan Separa Sahara sahaja. Apa yang unik tentang burung ini adalah kehandalannya membuat sarang yang menjadi perhatian manusia iaitu SARANG BURUNG TEMPUA. Saya banyak kali melihat sarang burung tempua di banyak tempat di dalam kebun dan belukar semasa banyak kali membuat lawatan kekawasan kebun-kebun petani. Burung ini bersaiz kecil dan terdiri dari warna terang seperti kuning, merah atau hitam. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu aktiviti unik burung tempua yang menghasilkan sarang burung tempua dengan berdasarkan kepada pemerhatian, pembacaan buku, rujukkan dilamanweb dan pengalaman sendiri.


Burung Tempua di Malaysia terdiri dari berpuluh-puluh jenis daripada Burung Tempua Baya, Rubah, Emas, Kuning , Bengal, Jalur, Jambul Perang, Kuning Putih, Jalur Emas, Tampuk Hitam dan banyak lagi. Pemberian nama spesis bergantung kepada warna pada bulu burung tempua dan ciri-ciri fizikal yang dilihat. Burung ini mempunyai paruh yang tumpul , tidak bergigi dan sering memakan biji-bijian tumbuhan yang ada dikawasan persekitarannya. Sepasang kaki yang kuat mampu menentukan burung ini hinggap diatas dahan dengan kemas. Kepaknya yang kuat juga menyebabkan ia mampu terbang sehingga 25-30 km sejam dalam pelbagai arah. Pemerhatian saya mendapati saiz burung ini sekitar 10-12 cm panjang dan merupakan mamalia yang mempunyai jantung dengan 4 injap seperti juga manusia. 


Burung Tempua membiak dengan cara mengawan dan kemudian ia akan BERTELUR dalam sarang yang indah. Burung Tempua Jantan biasanya mempunyai warna lebih terang berbanding dengan burung tempua betina. Dalam ertikata lain burung tempua jantan lebih 'Handsome' dan perlu membuat sarang yang cantik untuk ditayangkan kepada burung tempua betina. Pemerhatian saya mendapati sarang burung tempua jantan mempunyai lubang dari bahagian bawah dan ada tempat untuk 'Bertenggek' bagi memikat burung tempua betina. Sarang burung tempua betina pula mempunyai pintu masuk agak berbeza dan ada 'kompatment' melekuk untuk burung betina menyimpan telur. Rekabentuk, Saiz, Kemasan dan keunikan sarang burung tempua bergantung kepada spesis burung tempua dan jenis tumbuhan yang terdapat disekitarnya seperti jenis rumput, jenis lalang dan sebagainya.


Burung tempua merupakan sejenis burung yang hidup bersosial dan berkoloni. Kalau ada banyak bilangan yang tinggal dalam satu kawasan maka kita akan dapati banyak sarang yang akan dibina dikawasan tersebut. Saya dapati di Stesyen Pertanian Lekir, Manjung, Perak merupakan kawasan banyak kumpulan burung tempua tinggal dikawasan hutan dibelakang stesyen. Saya kira terdapat lebuh daripada 50 sarang dibina dikawasan tersebut dari yang rendah sehingga yang tinggi. Ada yang buat sarang hampir mencecah tanah pada pokok manggis dikawasan tersebut selain daripada banyak yang buar sarang pada pokok kelapa, pokok leban dan pokok hutan lain (Lihat foto). Gangguan musuh burung semulajadi yang kurang dikawasan tersebut dan ujudnya banyak pokok kelapa dan buah-buahan di stesen tersebut menyebabkan burung ini menyukai kawasan tersebut.


Kerja menganyam Sarang Burung Tempua dimulakan dengan burung mengambil rumput kering yang agak panjang dan kukuh untuk dijadikan asas utama sarang bergantung atau Tangkai Sarang. Bahagian tangkai ini akan di anyam dengan menyusun rumpai kering ini bersilang-silang sehingga terbentuk tali gantung dan akan membesar dibahagian bawahnya dengan menggunakan rumput kering yang lebih halus dan lembut. Antara bahan rumpai yang digunakan adalah seperti Rumput Lalang (Imperata cylindrica), Rumput Kerbau (Paspalum conjugatum), Rumput Padang (Axonopus compresus) dan banyak jenis rumput lagi. Anyaman ini diteruskan sehingga siap dengan membuat pintu masuk dibahagian tepi atau bawah. Kerja menganyam ini saya perhatikan akan mengambil masa selama 7 -15 hari. Daripada pemerhatian saya mendapati burung ini turun naik mengambil rumput dan menganyam dengan terbang beratus kali dalam sehari.


Kerja membuat sarang ini lebih cepat dilakasanakan pada musim kering berbanding jika burung tempua menganyam dalam musim hujan. Ini kerana musim kering banyak kedapatan rumput kering dan cuaca yang mengizinkan berbanding dengan musim hujan. Rumput kering yang telah digigit untuk diputuskan atau telah putus ini akan digigit dengan paruhnya dan dibawa terbang ketapak sarangnya. Kadang-kadang rumput ini di gengam dengan kakinya (Jarang-jarang dibuat) dan dibawa terbang kelokasi sarang walau pun agak jauh juga. Proses menganyam dimulakan dengan meyelitkan daun-daun rumput ini secara bersilang seperti kita menganyam ketupat dan diketatkan. Jika angin bertiup kuat makan ikatan ini boleh terlonggar dan rumput akan jatuh dan burung tempua ini akan kutip semula!...Sungguh rajin burung tempua ini...


Mereka yang memburu burung ini di Malaysia boleh didakwa kerana burung ini dilindungi dibawah Akta Hidupan Liar di negara kita. Mereka boleh memburu jika mendapat kelulusan dengan memohon lesen dari Jabatan Perhilitan sahaja. Sarang burung tempua sering dikutip oleh mereka yang berminat dan dijual ditepi jalan untuk digantung dirumah sebagai Hiasan yang sangat menarik. Sarang ini tahan lama jika dijaga dengan baik dan digantung dikawasan yang terlindung dari angin dan hujan di koridor rumah. Terdapat beberapa hotel dan restoran makan selain daripada pusat membeli belah yang menggantung sarang burung tempua sebagai satu daya tarikan yang menarik. Harganya?....bergantung kepada rekabentuk, saiz, sarang baru atau lama dan siapa membelinya. Adakah anda salah seorang yang ada menyimpan sarang burung tempua di rumah?


BURUNG TEMPUA...MEMBUAT SARANG....
SARANG DIANYAM...BUKAN SEBARANG...
BENTUK CANTIK...ANYAMAN JARANG...
KALAU NAK BELI...HARGA DIKURANG..


Related articles:
1. Burung Pipit (Klik disini)
2. Burung Pungguk (Klik disini)
3. Ternakan Ayam di Malaysia (Klik disini)
4. Itek Muscovy (Klik disini)
5. Akibat Burung Walit (Klik disini).


By,
M Anem
Senior Agronomist
Plaza SOGO
Kuala Lumpur
Malaysia
(23 Zulhijjah 1432H)  
- Kemaskini pada 23 Julai 2013   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.