Thursday, November 24, 2011

KUMBANG PALMA MERAH

Kumbang Merah Palma (Rhynchophorus ferrugineus Olivier) atau lebih dikenali sebagai Red Palm Weevil (RPW) merupakan perosak tanaman jenis kelapa atau keluarga Palmae yang serius dan berbahaya. Serangga ini mula dikenalpasti menyerang disekitar Terengganu dan kini di beberapa negeri di Utara Semenanjung Malaysia telah mula dikesan. Saya difahamkan pihak berkaitan telah membuat pemerhatian kesan serangan kumbang ini dan kaedah mengawal agar tidak merbahayakan kepada industri kelapa serta tanaman potensi Palmae yang boleh diserang. Kemungkinan jika tidak dipantau kumbang ini boleh menyerang Tanaman kelapa (Cocos nucifera) serta berpotensi merebak dan mengancam industri Kelapa sawit (Elaeis guineensis) negara yang merupakan antara komoditi penting dalam sumbangannya kepada KDNK negara. Artikel malam ini saya cuba bincang dan jelaskan akan kumbang ini yang perlu diberi perhatian agar tidak mengancam industri tanaman penting di negara kita.


Sehingga kini dilaporkan bahawa ancaman kumbang merah palma ini perlu dibendung dengan segera kerana industri kelapa sawit telah  menyumbang RM50 bilion setahun kepada ekonomi negara. Kajian dan rujukan yang saya baca telah menunjukkan bahawa Kumbang Merah Palma yang tergolong dalam order Coleoptera dan Keluarga Curculionidae yang dipercayai berasal dari Asia Tropika dimana sering menyerang tanaman kurma. Juga ada di laporkan yang kumbang ini telah menyerang tanaman di beberapa buah negara lain seperti Kawasan Afrika, Eropah, India (1891), Teluk Arab (pertengahan tahun 1980-an), Sepanyol (1994), Perancis (2006) dan kini dianggap perosak paling merbahaya bagi tanaman kurma di Timur Tengah. Kumbang Merah Palma mungkin masuk negara kita melalui anak-anak pokok kelapa pandan atau kelapa untuk tanaman hiasan yang dibawa masuk dari negara jiran seperti dari Thailand. Laporan juga menunjukkan ada kemungkinan kemasukan pokok Kurma (Phoenix dectilyfera) bagi tujuan tanaman landskap yang dibawa masuk secara tidak sah tanpa memperolehi sijil atau permit import membawa bersama serangga ini melalui jalan tikus dan penyeludupan tanpa kawalan kuarantin.


Rujukkan dari buku menunjukkan yang kitaran hayat kumbang ini biasanya bermula daripada kumbang betina yang bertelur pada umbut pokok kelapa atau pangkal pelepah atau pada luka-luka yang terdapat pada pokok. Kumbang betina RPW dipercayai boleh menghasilkan sebanyak 250 telur pada satu-satu masa dalam keadaan yang sesuai terutama pada musim agak panas berpanjangan. Antara tanda serangan atau simpton awal serangan Kumbang Merah Palma diantaranya adalah seperti pucuk pokok menjadi layu kekuningan kemudian ianya jadi kering dan akhirnya akan mati. Larva berwarna putih akan mengorek keseluruhan dalam batang akan menyebabkan pelepah atau batang pokok patah dan akhirnya pokok mati. Petani yang nampak tanda serangan seperti di atas atau menunjukkan tanda- tanda serangan Kumbang Merah Palma perlu membuat tindakan segera dengan melaporkan kepada Pejabat Pertanian berdekatan untuk kawalan dan pemusnahan. Pegawai di Jabatan Pertanian telah dilatih untuk membenteras serangga ini mengikut SOP yang telah dikemaskini.


Kaedah pengawalan Kumbang Merah Palma ini sebaiknya adalah dengan pendekatan secara Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) yang mesra alam. Adalah penting untuk melaksanakan proses pemantauan awal keujudan kumbang ini dengan menggunakan bahan feromon (Chemical Pheromone) merupakan pendekatan kawalan yang baik dan sesuai dipraktikkan di ladang- ladang kelapa atau kelapa sawit. Bahan feromon ini perlu diletakkan dengan jarak sekitar 30 meter antara setiap perangkap. Petani saya dinasihatkan agar sentiasa membersihkan kawasan dengan cara memotong dan seterusnya dibakar. Cara ini dibuat bagi menghapuskannya daripada terus merebak. Kaedah kawalan alternatif yang boleh digunakan adalah dengan menyembur racun serangga seperti Diazinon, Carbaryl atau Nurelle. Caranya adalah dengan menyiram racun tersebut pada pelepah atau pucuk bagi kawasan pokok kelapa yang masih rendah. Jabatan Pertanian menasihatkan para petani tanaman kelapa atau kelapa sawit supaya mengambil langkah-langkah untuk mengenali kumbang ini dan menjalankan pencegahan awal bagi menggelakkan kadar kerugian yang tinggi di kemudian hari. Petani perlu tanya atau dapatkan maklumat mengenai kumbang ini dari sumber yang sah.


Kepada petani yang telah menjumpai kumbang RPW ini di kebun anda sila laporkan kepada pejabat pertanian yang terdekat untuk mengesahkan mengenai kumbang merbahaya ini bagi tujuan pengesahan dan kaedah kawalan selanjutnya. 


KUMBANG CANTIK...PEROSAK KELAPA....
PERLU DIPANTAU...ANCAMAN DIKIRA....
KAEDAH KAWALAN...BERMACAM CARA...
KALAU DAH JUMPA....LAPOR SEGERA!....


By,
M Anem
Melaka
Malaysia
(28 Zulhijjah 1432H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.