Thursday, October 20, 2011

BARLI

BARLI (Hordeum vulgare) adalah sejenis tumbuhan bijirin dari keluarga POACEAE yang penting dalam kategori bijirin sebagai makanan untuk manusia dan binatang ternakan. Kita di Malaysia tidak biasa dengan tanaman barli kerana kebanyakan barli ditanam dikawasan beriklim sederhana dan iklim 'temperate' yang mempunyai 4 musim. Barli bijirin yang dijual di Malaysia lazimnya dalam bentuk biji tersedia untuk dimakan iaitu bijirin berwarna coklat putih yang telah di bersihkan atau dalam bentuk serbuk. Barli ditanam dalam dua keadaan iaitu penanaman barli musim luruh dan penanaman barli musim bunga (Fall and spring barley). Walau pun masa dan musim penanaman berbeza tetapi kualiti barli yang dihasilkan adalah sama. Malaysia mengimpot bijirin barli yang mana kebanyakannya untuk di buat makanan seperti 'Bubur Barli' atau perasa minuman seperti air barli, campuran dalam 'Lee Chee Kang' atau dibuat jus/kordial minuman perasa barli dan juga makanan kesihatan. Artikel petang ini saya menulis mengenai tanaman barli berdasarkan pembacaan dan rujukan beberapa sumber seperti buku dan laman sesawang untuk bacaan semua.


Barli di tanam secara komersil  oleh beberapa negara yang beriklim 'temperate' seperti di Eropah walau pun dari segi sejarah tumbuhan ini 'native' dari kawasan Asia Barat dan Asia Tengah. Penanaman barli di Asia Tenggara hanya kecil-kecilan sahaja. Kajian menunjukkan pengeluaran barli di dunia adalah sekitar 150 -155 juta metrik tan setahun. Pengeluar terbanyak hasil barli didunia adalah negara Rusia dengan sebanyak 18 juta mt/tahun diikuti dengan Perancis (13 juta mt/tahun) dan Jerman (12.5 mt/tahun). Negara-negara lain yang banyak menghasilkan barli adalah seperti Ukraine (11.8 juta mt/tahun) , Kanada (9.5 juta mt/tahun), Australia (8.1 juta mt/tahun), Turki (7.3 juta mt/tahun) , UK (6.8 juta mt/tahun), USA (4.9 juta mt/tahun) dan Poland (4.0 juta mt/tahun). Rekod dari FAO menunjukkan barli telah ditanam dilebih 100 negara diseluruh dunia dengan banyak dari negara yang beriklim temperate dan sebahagian dikawasan tropika. Keluasan penanaman barli pada 2009 adalah 54.095 juta hektar dengan kadar hasil sebanyak 28,140 Hg/ha.  Jumlah pengeluaran direkodkan oleh FAO pada 2009 adalah sebanyak 152.125 juta metrik tan. Keperluan biji benih barli pada tahun 2009 adalah sebanyak 8.225 juta kg untuk penanaman. 


Barli mengandungi banyak khasiat yang berguna untuk manusia dan binatang ternakan. Kajian makmal menunjukkan setiap 100 gram barli mengandungi sebanyak 1,474 Kilojoule Tenaga atau 352 kcal dan sebanyak 77 gram karbohiderat dan 0.8 gram gula. Kandungan lain dalam barli seperti Serat (15.6 gram), Lemak (1.2 gram) dan Protin sebanyak 9.9 gram. Barli juga kaya dengan Vitamin B2 -Thiamine (0.2 mg - 17%), Vitamin B2-Riboflavin (0.8 mg - 8%), Vitamin B3 - Niacin (4.6 mg - 36%) , Vitamin B5 - Asid Pantothenik (0.3 mg - 6%), Vitamin B6 (0.3 mg - 23%) dan juga Vitamin B9 - Folate (23 microgram - 6%).  Kandungan garam galian dan mineral dalam barli adalah tinggi seperti Kaliam (280 mg ) , Posforan (221 mg), Magnesium (79 mg), Fe (2.5 mg), Kalsium (29 mg) dan Zink (2.1 mg).  Kajian makmal juga menunjukkan barli mengandungi 8 jenis Asid Amino baik yang sesuai untuk kesihatan manusia.


Tumbuhan barli mempunyai banyak varieti dan cara pengkelasan barli bergantung kepada dua, empat atau enam barisan bijirinnya. Jenis barli 6-baris mampu menghasilkan 25-60 bijirin setiap tangkai. Barli Jenis 2-baris mampu menghasilkan sebanyak 25-30 bijirin dalam satu tangkai sementara Barli 4-baris pula sebenarnya adalah dari jenis Barli 6-baris yang kurang bilangan atau jumlah bijirinnya. Lazimnya petani lebih mudah memanggil sebagai Barli 6-BARIS dan Barli 2-BARIS sahaja. Barli boleh dibahagikan kepada jumlah baris kernal yang ujud pada kepala. Tiga spesies telah ditanam iaitu Barli dua baris (Hordeum distichum), Barli empat baris (Hordeum tetrastichum Lin) dan Barli enam baris(Hordeum vulgare) pembahagian menurut istilah traditional. Barli 6-baris adalah jenis yang paling luas ditanam dan dihasilkan diseluruh dunia. Barli dua baris merupakan bentuk jenis barli terawal untuk tujuan dibiakbaka iaitu dari barli liar turut mempunyai dua baris. Barli dua baris mempunyai kandungan protin lebih rendah berbanding barli enam baris tetapi mempunyai kandungan enzim lebih tinggi. Barli yang berprotin tinggi paling sesuai bagi makanan haiwan atau menghasilkan malt yang mempunyai kandungan 'adjunct' yang  tinggi. Barli dua baris pula adalah terbaik bagi penghasilan 'malt' tulin. Barli empat baris tidak sesuai bagi penapaian untuk dijadikan minuman arak.Terdapat juga barli tanpa sekam dan juga barli bersekam (hulled). Barli yang bersekam adalah bentuk spesis yang lebih awal dikenali dan ditanam sejak zaman dahulu. Tumbuhan  barli sesuai dengan pelbagai keadaan tanah, cuaca dan pada masa kini merupakan tanaman komersil di kawasan negara beriklim serdahana dan tropika.


Di Eropah barli biasanya ditanam selepas penanaman kontan seperti bawang, kekacang atau selepas kacang pea tetapi jarang sekali petani akan menanam selepas tanaman bijirin seperti jenis gandum dan oat. Kerja-kerja menyemai selepas tanaman bawang biasanya dilakukan dengan sekali membajak yang dilakukan selepas hasil bawang dituai. Ini bagi mempastikan tanah mendapat kebaikan daripada kesan sejuk (frost) musim bunga. Pembajakan tanah sebanyak dua kali atau lebih dijalankan bagi ladang yang telah selesai dituai hasil bagi mengelakan tanah keras akibat kemarau. Kerja-kerja seperti membajak, menyisir dan memadatkan tanah adalah lebih kerap dibuat daripada biasa jika tanah terlalu keras. Kuantiti biji benih yang perlu disemai berbeza-beza bergantung kepada mutu tanah dan faktor yang lain. Lazimnya bagi tanah yang subur sebanyak 8 pek bagi setiap ekar (110 kg/ha) adalah mencukupi bagaimana pun kadar sebanya 12 pek seekar (160 kg/ha) adalah lebih sesuai dengan kaedah penanaman secara mekanisasi ladang. Bagi jenis tanah tanah yang tidak subur kadar benih banyak diperlukan. 


Penanaman barli memang memerlukan pengurusan yang sesuai bagi tujuan mendapatkan hasil terbaik. Sistem pembajaan, pengawalan rumpai dan penyakit perlu di laksanakan dengan baik untuk mendapatkan hasil opitima. Kadar pengeluaran hasil barli mengikut laporan FAO adalah sebanyak 28,140 Hg sehektar pada tahun 2009. Serangan parasit, virus, patogen dan nematod serta bakteria menjejaskan pengeluaran hasil tanaman barli. Ramai rakyat Malaysia yang menggemari air barli untuk diminum tidak dikira pada waktu pagi, tengahari, petang atau malam. Ada laporan yang mengatakan bijirin barli berasal dari Ethiopia dan Asia Tenggara yang ditanam lebih dari 10,000 tahun yang lalu serta sesuai dijadikan bahan perubatan untuk pelbagai jenis penyakit. Bijirin barli memang diperakui mengandungi banyak khasiat.  Khasiat barli dipercayai seperti dapat menyejukkan badan , baik untuk melawaskan kencing dan meningkatkan kesihatan untuk buah pinggang. Selain itu barli juga dikesan boleh membantu merendahkan kolesterol, meredakan sembelit dan mencegah penyakit kanser. Air barli adalah minuman yang digemari ramai dalam bentuk asli, jus, kordial dan sebagainya.  Amalan meminum air barli selalu dapat mengurangkan risiko seperti kencing manis, menyejukkan badan, memelihara buah pinggang, dapat melawaskan kencing serta membantu untuk sistem penghadaman.  Bijirin Barli yang kaya dengan khasiat pemakanan seperti fiber, vitamin dan mineral penting (Vitamin B3), Thiamine ( Vitamin B1), Selenium, Iron, Magnesium, Zinc, Phosphorus, Copper dan Niacin serta sedikit lemak dan tidak mengandungi kolesterol seperti lain-lain bijirin memang baik untuk kesihatan kita. Minumlah barli selalu untuk kesihatan anda...!


TUMBUHAN BARLI...KHASIAT TERBUKTI....
DIKAWASAN EROPAH...DITANAM LAGI...
DIBUAT MINUMAN...AIR PERASA BARLI...
BUBUR BARLI...SEDAPNYA TAK TERPERI...


Related articles:
1. Oat (Klik disini)
2. Gandum (Klik disini)
3. Baby Corn (Klik disini)
4. Jagung (Klik disini)
5. Penduduk Dunia (Klik disini)
6. Penduduk vs Hasil Pertanian (Klik disini)


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Air Keroh, Melaka,
Malaysia
(21 Zulkaedah  1432H)
Kemaskini 4 November 2015

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.