Wednesday, September 14, 2011

POKOK PALAS

POKOK PALAS (Licuala grandis) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga ARECACEAE (palm tree) yang terdapat di Malaysia yang tumbuh secara semualajadi. Ramai orang Malaysia mengaitkan pokok daun palas dengan 'KETUPAT DAUN PALAS' yang popular semasa sambutan Hari Raya AidilFitri atau Hari Raya Aidiladha. Bagaimana pun ketupas palas goreng sering dijual di pasar basah atau pasar malam sebagai satu hidangan istimewa. Negeri-negeri di pantai Timur seperti di Kelantan, Terengganu dan Pahang telah menjadikan kuih ketupat daun palas sebagai juadah yang mudah dijumpai. Bagaimanakah pencirian tumbuhan ini yang sebenarnya dan bolehkah tumbuhan ini di tanam secara komersial untuk pelbagai tujuan?. Tumbuhan ini dipanggil sebagai Fan Palm, Vanuatu Palm Palm dan di kawasan kita dipanggil sebagai Pokok Daun Palas. Pokok ini juga popular ditanam untuk tujuan landskap di kawasan rumah dan juga dikawasan taman-taman riadah oleh pihak berkuasa tempatan. Taman Saujana Percint 11, Putrajaya banyak menanam pokok daun palas ini dijadikan sebagai landskap sepanjang 3 km laluan penjalan kaki. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok palas sebagai satu jenis tumbuhan yang perlu diketahui oleh masyarakat di Malaysia dan pembaca blog diseluruh dunia.


Pokok Palas merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Palma dengan mempunyai daun yang berwarna hijau berbentuk kipas yang cantik. Pokok ini adalah 'special' dan jarang-jarang dia dijumpai seperti tumbuhan lain didalam hutan ditempat kita. Hasil pembacaan dari beberapa sumber mendapati terdapat 5 jenis palas yang sering terdapat di Malaysia iaitu jenis Palas Kipas (Licula grandis), Palas Duri (Licual sapinosa Roxb), Palas Bintulu (Licola bintuluensis), Palas Borneo (Licula cordata) dan Palas Sarawak (Licula orbicularis). Jenis pokok palas yang digunakan untuk tanaman hiasan dikeliling rumah sebagai pokok hiasan atau 'ornamental plants' adalah dari jenis palas kipas yang tumbuh dari satu batang dan mempunyai daun yang terbit dari pangkal pokok. Bagi penulis masih belum banyak maklumat mengenai tabiat dan agronomi tumbuhan palas ini dikaji di Malaysia dan belum ada laporan rasmi keluasan penanaman pokok palas secara komersial di negara kita. Bagaimana pun penulis menganggarkan keluasan CHE (Crop hecterage equivalent) berdasarkan kepada ststtistik Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pertanian adalah dalam sekitar 60 hektar.


Pemerhatian penulis mendapati antara kawasan yang sesuai untuk pokok palas tumbuh adalah dari kawasan tanah yang mempuynyai saliran baik, lereng bukit dan pokok ini lazimnya memerlukan naungan (Shaded area). Pokok yang mempunyai batang tunggal ini mengeluarkan pelepah daun dibahagian atas pokok yang mana hanya satu daun terbit dari satu tangkai. Ketinggian pokok palas mampu mencecah 6-7 kaki dan lazimnya pokok dewasa akan menghasilkan buah berwarna merah berbentuk seperti 'cherry' yang akan terdapat dalam berangkai (Sila lihat foto sebelah). Buah yang masak ini menarik haiwan untuk memakannya. Buahnya mempunyai warna menareik dan rasanya masam manis. Pokok palas mempunyai akar serabut seperti pokok palma yang lain dan memerlukan kawasan yang sederhana lembab untuk kesuburannya. Terdapat juga beberapa maklumat yang mendapati pokok palas mampu hidup lama di kawasan yang sama pada perdu yang berubah-ubah sehingga 30-40 tahun dalam keadaan semulajadi dan tidak diganggu akan alam persekitarannya. Belum ada maklumat rasmi mengenai kaedah pembiakan pokok palas tetapi saya percaya ianya melalui biji benih yang matang (Lazim bagi keluarga palma). Biji palas yang masak akan dimakan haiwan dan dikeluarkan melalui najis dan membolehkan ia tumbuh dikawasan lain. Dalam nurseri pokok palas landskap boleh dibiakkan dengan biji benih atau pecahan pada pokok.


Penanaman pokok palas yang dilakukan secara komersial untuk pengeluaran daun palas untuk ketupat amat jarang dilaporkan dimana kebanyakan mereka mencari daun palas dikawasan hutan atau belukar. Banyak nurseri swasta menyemai, menjual dan membiakan pokok palas kipas (Fan Shape) untuk tujuan pokok hiasan dimana kegunaannya adalah untuk ditanam di kawasan taman dan pusat riadah. Kajian saya di sekitar Bandar Muar pada 2010 (Survei semula pada 2014) mendapati satu pokok palas untuk tujuan hiasan dikawasan rumah dalam polibeg sekitar RM 7.00 - RM 8.00 sepokok sementara pokok palas dalam pasu berharga RM 10.00 - RM 25.00 bergantung kepada saiz pokok. Walau pun ada yang kata pucuk bagi palas jenis ini tidak sesuai untuk digunakan sebagai daun untuk membuat ketupat palas tetapi anda boleh mencubanya jika mahu. Pokok palas ini amat cantik diletak dikawasan rumah sebagai tanaman hiasan dan ia jarang diserang perosak dan penyakit. Penjagaan pokok palas adalah mudah kerana ianya jenis pokok palma yang kurang diserang penyakit dan perosak merbahaya tetapi jika ada naungan baik ia tumbuh subur.


Kegunaan utama pokok palas adalah untuk diambil daun muda yang terdapat pada pucuknya yang berwarna hijau coklat dalam tangkai tertutup yang panjangnya kira-kita 2-4 kaki. Apabila dipotong dan dibuka setiap helai warna daun palas muda adalah kuning dengan jalur hijau dibahagian tepinya serta tengahnya lebar kira-kira 15-20 cm bergantung kepada saiz pokok (Lihat foto sebelah).  Bahagian tengah yang lebar ini akan diisi dengan beras pulut dan danyam serta diikat kemas. Aroma daun palas menambah kennakkan lagi juadah kuih berasaskan daun palas. Harga jualan satu ikat daun palas dipasar Melaka dan Pasar Borong Selangor pada Ogos 2011 dijual sekitar RM 3.00 - RM 4.00 yang mengandungi sekitar 50-60 helai daun. Daun ini tahan agak lama kerana daunnya lebih keras, tebal dan tidak mudah layu seperti daun kelapa muda. Cara menggunakan daun palas ialah dengan membuka sehelai daun palas secara lebar dan diisikan pulut kemudian dilipat dalam bentuk segitiga dan pangkal tangkai digunakan sebagai pengikat. Sama ada ia dikukus, direbua atau digoreng daun palas akan tetap kukuh dan kuat. 


Ketupat Palas yang telah disi dengan beras pulut (Pulut mentah atau pulut separuh masak) akan direbus dalam air bersih sehingga masak atau ada yang lebih suka untuk mengukusnya (jika pulut dimasak dulu). Di kampong saya beras pulut mentah atau separuh masak akan dicampur dengan kelapa parut dan sedikit garam serta santan sebelum dibungkus dan kemudian direbus dengan cara sama seperti masak ketupat daun kelapa. Jika ia direbus lama makan hasilnya akan tahan disimpan lama sampai dua minggu tanpa busuk. Ketupat Palas yang masak sedap untuk dimakan dengan rendang daging (atau rendang tok) dan juga serunding kelapa atau serunding daging. Terdapat kueh daun palas goreng yang dijual di pasar malam atau di mana-mana pasartani dengan harga RM 0.40 - RM 0.50 sebiji di Melaka dan RM0.60 - RM0.80 di Pasartani Putrajaya. Kueh tersebut tahan beberapa hari kalau disimpan atau dimakan untuk perjalanan yang agak jauh. Teknologi penanaman, amalan agronomi dan penanaman pokok palas secara komersil perlu diujudkan untuk mempastikan tumbuhan berguna ini terus utuh dalam pesekitara kita dan untuk generasi akan datang. Semuga artikel ini memberikan sedikit sebanyak ilmu mengenai pokok palas dan kegunaannya kepada para pembaca. Walasallam.

POKOKNYA CANTIK...ITU POKOK PALAS.....
DIBUAT KETUPAT...JANGAN TERKERAS....
DIDALAM HUTAN....DICARI DAN DITEBAS.....
MAKAN BANYAK....HATI TIDAK FRUST...


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Taman Saujana,
Putrajaya
Malaysia
(6.15 petang ; 16 Shawal 1432H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.