Monday, September 26, 2011

ITIK MUSCOVY (Part 3)

ITIK MUSCOVY (Cairina muschota) adalah sejenis haiwan itek dari keluarga ANATIDAE yang sesuai di pelihara di negara kita. Saya mengenali itik Muscovy ketika bertugas di Mersing, Johor yang bertujuan untuk penghasilan daging itik dan sebagai satu program Pengawalan Perosak Bersepadu (IPM - Intergrated Pest Management). Itik ini dikalangan penduduk tempatan dikenali sebagai Itik Nila, Itik Perancis atau Itik Serati. Itik ini berbulu hitam dan putih biasa dipelihara oleh orang kampung untuk menghasilkan telur dan daging. Artikel ini ditulis untuk menerangkan cara operasi dan bagaimana menguruskan ternakan itek muscovy berdasarkan pengalaman. Baca artikel Itek Muscovy Part 1 (Klik disini) dan Itek Muscovy Part 2 (Klik disini).




Operasi dan pengurusan Ternakan Itik Muscovy


Pengurusan itik muscovy terbahagi kepada 3 peringkat:-


•Peringkat perindukan – 1 hingga 2 minggu.
•Peringkat umur – 3 hingga 4 minggu.
•Peringkat membesar – 5 hingga 13 minggu.


Kajian menunjukkan tempoh proses pembesaran anak itik pedaging dari umur seharihingga dua minggu sangat penting dan memerlukan penjagaan yang sempurna. Pada hari ketibaan anak itik mestilah dikira, ditimbang dan terus di masukkan ke dalam kepungan. Air minuman yang bercampur vitamin diberikan dengan segera. Suhu dalam reban ialah 35 darjah celcius diperlukan untuk minggu pertama dan dikurangkan setiap hari sehingga mencapai 27- 30 darjah celcius (suhu normal). Setelah itik mampu minum dan bergerak cergas barulah diberi makanan peringkat awal. Palong minuman sebaiknya dilapik dengan dulang bagi mengurangkan kecah dan kelembapan sarap. Palong minum diletak berselang- seli dengan palong makanan keliling dalam kepungan bagi mengurangkan pergerakan yang jauh.


Aktiviti memasang bidai sekeliling reban dipasang bagi melindungi anak itik dari kesejukkan dan mengawal suhu secara tetap dalam reban. Keadaan suhu dalam reban yang sesuai dan selesa dapat dilihat dengan memerhatikan kelakuan anak itik di dalam kepungan. Jika suhu terlalu sejuk anak itik akan berkumpul dan akan berhimpit- himpit di satu tempat dan ada yang kan mati jika tidak dikawal baik. Jika suhu terlalu panas pula maka anak itik akan kelihatan berselerakkan serta tercungap-cungap serta kepak yang terbuka. Haba perlu dibekalkan pada waktu pagi dan malam atau waktu hujan. Bidai mula diselak secara beransur- ansur selepas 2 minggu. Peringkat 3 hingga 4 minggu maka bidai di gulung sepenuhnya kecuali hari hujan lebat. Kepungan dan alat pemanas di keluarkan. Dulang makanan anak ditukar kepada palong panjang. Makanan untuk peringkat pembesaran adalah berbentuk pelet mula dicampurkan berperingkat dan seterusnya penggunaan sepenuhnya. Palong minuman kecil ditukar pada palong automatik kerana diperingkat ini itik mula minum dengan banyak.


Peringkat membesar 5 hingga 13 minggu, pada peringkat ini makanan dan minuman perlulah sentiasa mencukupi kerana itik mula membesar dengan cepat dan pengambilan makanan meningkat. Untuk menyediakan makanan yang banyak dan sentiasa mencukupi, makanan mula diisi di dalam bekas berbentuk peti. Pada waktu sianghari dan cuaca panas, pintu reban dibuka bagi membolehkan itik keluar ke ruang legar depan reban.Elakkan itik dari gangguan pengurusan dan kesan iklim sehingga sampai waktu dipasarkan. Menternak itik mukan mudah seperti dijangkakan.


Pengurusan yang baik akan menghasilkan pembesaran itik yang baik dimana pengalaman mendapati masa pengeluaran yang terbaik untuk itik muscovy bergantung pada makanan ternakan yang bermutu. Makanan permulaan (starter crumble) perlu mengandungi 19 – 22 % CP dan makanan pembesar (finisher pellet) mengandungi 16- 18 % CP. Makanan permulaan adalah untuk anak itik umur sehari sehingga 3 minggu dan makanan pembesar adalah untuk peringkat 4 minggu hingga jual.Dedak komersial boleh didapati di pasaran.


Kesihatan dan Amalan yang Baik


* Itik yang sihat menentukan keuntungan. Pengurusan yang baik dapat mengawal kadar kematian di paras 3 % setiap kumpulan.
* Program suntikan pelalian perlu diamalkan bagi mengelakkan penyakit berpunca dari virus tertentu. Khidmat nasihat Jabatan Perkhidmatan Haiwan perlu diterap dalam pengurusan harian.
* Memotong paruh juga perlu dilakukan kerana itik muscovy mempunyai paruh yang mencangkuk ( tajam). Dalam keadaan stress selalunya pada umur 2-3 minggu itik akan patuk-mematuk bahagian belakang dan bulu yang baru tumbuh.


* Mengawal kemasukan penyakit dengan mengawal pergerakan pelawat, pekerja, kenderaan. Menyediakan ‘foot-bath’ membasmi kuman di hadapan setiap pintu masuk ladang/reban sangat-sangat diperlukan.
* Hapuskan tikus dan burung yang berkeliaran di dalam reban kerana binatang-binatang ini pembawa penyakit dan bakteria.
* Penternakan itik juga perlu diurus dengan baik dan mesra alam.
* Air cucian dari reban perlu di salurkan ke dalam kolam kumbahan yang disediakan oleh pihak ladang.Itik yang mati tidak wajar di buang merata- rata bagi mengelakkan pencemaran bau dan penaykit.
* Lubang pembuangan itik mati yang bertutup papan tebal sedalam 4 hingga 6 kaki dalam perlu dibuat bagi mengatasi masalah ini.


Banyak ladang perlu mewujudkan dan mengamalkan sistem catitan Rekod Ladang yang baik.Data yang dikutip ini boleh membantu pengusaha menganalisis pengurusan bagi membaiki kelemahan untuk meneruskan usaha, pencapaian yang baik bagi menjamin keuntungan yang lumayan dan berterusan. Kini tidak ramai orang melayu menyambung projek ini di Mersing kerana masaalah Pasaran dan kesukaran mendapatkan anak benh itik.


ITIK MUSCOVY.....BERAT BADANNYA....
DALAM SAWAH...ADA KERJANYA...
KONSEP IPM..KAEDAH KAWALANNYA...
MEMBASMI PEROSAK ....DAPAT DAGINGNYA...


By,
M Anem
Asal Johor
Muuar, Malaysia
(27 Shawal 1432H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.