Tuesday, August 23, 2011

GETAH BEKU

Getah Beku merupakan satu produk dari torehan pada pokok getah (Hevea brasilliensis) yang kini merupakan satu hasil selain daripada susu getah (Latex). Getah Beku merupakan susu getah berwarna putih yang asalnya cair setelah proses torehan dan mengalir dari kulit pokok getah terus kedalam bekas atau cawan getah. Susu ini akan dibiarkan selama 24 jam dimana ianya akan membeku. Getah merupakan polimer hidrokarban yang kenyal yang terhasil dari koloid dari hasil torehan. Di kampong saya di Muar , Johor getah beku ini juga dipanggil ‘Beku’ atau ‘Lantun’. Hampir 95% pemilik dan penoreh getah dikampong kini tidak lagi menoreh untuk mengutip getah susu tetapi kini mereka hanya memilih untuk menoreh bagi mendapatkan getah beku. Zaman saya kanak-kanak dulu sekitar tahun 1960’an hingga 1970’an semua penoreh mengutip susu getah lagi. Artikel subuh 23 Ramadan 2011 ini saya menulis mengenai getah beku berdasarkan pengalaman sendiri dan kajian teknikal yang dijalankan.


Lazimnya penoreh getah akan bangun awal pagi dan sebelum jam 7.00 sudah memulakan aktiviti menoreh getah menggunakan pisau toreh yang telah di asah untuk mempastikan ketajamannya. Pisau toreh yang tumpul menyebabkan hasil susu getah akan berkurangan. Penoreh akan membawa bekas untuk memungut getah beku dari setiap pokok seperti baldi atau tin. Jika bekas ini kecil akan diikat dengan tali pada pinggang dan getah beku dalam cawan akan di korek dan dimasukkan dalam bekas tadi. Bekas yang diikat dipinggang di panggil ‘TOLOK’ dikalangan penoreh dikampong saya. Apabila tolok hampir penoh getah beku ini akan di pindahkan kedalam bekas atau tin lebih besar. Semua getah beku akan dimasukkan dalam guni plastik atau lain-lain bekas untuk dikumpul dan dijual kepada pembeli yang menunggu disekitar kampong.


Getah Beku terjadi hasil dari tindakbalas koloid dalam susu getah selepas proses torehan. Susu Getah mengandungi banyak air dan apabila susu getah membeku akan menghasilkan getah beku yang kenyal dan air asid yang berbau ammonia dan busuk. Air ini jika terkena tangan atau baju penoreh akan menyebabkan bau yang kuat dan agak kekal lama. Ketika saya menoreh masa dulu (masa cuti semester dari university) saya mesti akan menolong orang tua menoreh. Saya menggunakan kayu atau ranting getah yang ditajamkan untuk mencungkil getah beku dari cawan. Ini dapat mengelakkan bau air getah dari melekat pada tangan. Tidak apalah lambat sedikit mencungkil getah beku dalam cawan dengan kayu dan yang penting tangan tidak berbau…. Ramai penduduk kampong sering gunakan limau nipis yang ada ditanam tepi rumah mereka untuk mencuci tangan yang terkena air getah beku dan memang berkesan sekali menghilangkan bau tersebut.


Masaalah utama dalam teknologi menghasilkan getah beku adalah apabila turun hujan. Jika hujan turun semasa menoreh atau 1-2 jam selepas menoreh maka air hujan akan mengalir melalui kulit dan aliran torehan masuk kedalam cawan yang mengandungi susu getah. Hujan yang lebat akan menyebabkan susu getah bercampur dengan air dan jatuh keatas tanah. Akibatnya tidak akan ada getah beku terbentuk dan penoreh akan ‘TOTAL LOST’. Jika hujan yang turun tidak lebat atau gerimis sahaja atau hujan yang turun sebelah malam atau lewat maka penoreh akan dapat sebahagian dari getah beku yang terhasil. Peratusan getah buku bergantung kepada masa hujan turun, lebat atau tidak dan sama ada penoreh menggunakan asid atau cuka getah pembeku.


Kualiti getah beku bergantung kepada beberapa faktor. Dikalangan penoreh dikampong ramai penoreh yang memasukkan kulit sekerap kedalam cawan dimana ini dapat membantu menyegerakan proses pembekuan susu getah dan menambahkan berat susu getah. Ada penoreh yang tidak masukan kulit sekerap kedalam cawan dan kualiti getah beku ini terbaik. Kandungan air dalam getah beku juga mempengaruhi kualiti dimana jika air banyak maka akan berlaku pengurangan berat getah beku yang dikeringkan. Harga getah buku semasa tahun 1980-1990’an sekitar RM 0.50 – 0.80 sen sekilogram sahaja. Pada tahun 2009-2010 harga getah beku pada paras tertinggi dalam sejarah dimana mencecah lebih RM 8.00 sekilogram!... Semasa bertugas di Muar dulu Ketua Polis Daerah pernah beritau secara lisan kepada saya dimana kes kecurian dan kehilangan getah beku merupakan kes jenayah tertinggi waktu itu dan agak memeningkan untuk menyelesaikan masaalah tersebut. Pencuri getah beku beroperasi pada waktu kritikal mengutip getah beku dan dijual diluar kawasan. Tidak banyak tangkapan dibuat…Tinggi nilai wahai getah beku.


Kini penoreh getah mendapat harga pasaran yang masih kekal diparas tinggi. Kerja menoreh getah bermula jam 7.00 pagi sehingga 11.00 pagi (3-4 jam sahaja) sudah mampu menjana pendapatan RM 40.00 - RM 80.00 pada masa ini. Petang hari ada banyak 'free time' untuk buat kerja-kerja lain. Penggunaan cairan penggalak susu getah seperti Ethrel membantu meningkatkan susu getah. Program pembajaan sempurna pokok getah perlu dijalankan bagi mempastikan kulit pokok getah tidak 'mati kulit'. Penggunaan asid seperti HISKA dapat membantu mengurangkan kerugian akibat hujan.


GETAH BEKU....BUSUK BAUNYA....
SUSU GETAH...PUTIH WARNANYA...
DIKAMPONG ...'LANTUN' GELARANYA...
MUDAH DI KUTIP...SENANG PASARANNYA...


By,
M Anem
Muar, Johor,
Malaysia
(Subuh 4.45 pagi ; 23 Ramadan)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.