Monday, February 7, 2011

Mengira Nilai Sayuran


Tanaman Sayuran merupakan aktiviti yang terus penting dalam sektor pertanian selaras dengan keperluan sayuran segar untuk dimakan penduduk setiap hari. Kepentingan penanaman sayur-sayuran terus terserlah dengan penambahan keluasan penanaman setiap tahun dan peningkatan penghasilan sayuran dari kemajuan teknologi itu sendiri. Luas kawasan sayuran di Malaysia telah meningkat dari 35,956 hektar pada tahun 2007 kepada seluas 43,758 hektar pada tahun 2011 (actual estimate). Pengeluaran sayuran juga telah meningkat dari sebanyak 456,993 metrik tan kepada 581,747 pada tahun 2011. Terdapat seramai 46,040 petani yang terlibat dengan pengeluaran sayuran pada 2011 dengan bilangan paling ramai di Kelantan tetapi petani Negeri Johor merupakan pengeluar utama sayur-sayuran di Malaysia. Artikel ini membincangkan kepentingan tanaman sayuran dalam sumbanganya kepada ekonomi negara.

Penanaman sayuran membekalkan bahan makan segar dan berkhasiat kepada penduduk bandar dan luar bandar dan meningkatkan pendapatan petani yang mengusahakan sayur-sayuran. Penanam sayur merupakan golongan petani yang mampu mendapatkan hasil pendapatan paling tinggi jika dibandingkan dengan penanam buah-buahan, penanam tanaman kontan atau pun pesawah padi. Cara penanaman sayur juga mempunyai pelbagai kategori dari cara tradisional, tanaman suka-suka, tanaman separa komersial dan kaedah tanaman komersial. Petani yang mengusahakan sayuran daun merupakan petani komersial yang sangat agresif kerana kebanyakan sayuran daun hanya perlukan masa 1 bulan untuk dituai berbanding dengan petani yang menanam sayur buah dan sayuran umbisi. Kajian saya di Johor selama 14 tahun mendapati petani komersial yang menanam sayur daun di sekitar Daerah Kota Tinggi dan Johor Bahru mempunyai kepakaran dan kemahiran tahap tinggi dalam aktiviti menanam sayuran daun seperti sawi, kangkung, bayam, daun bawang, kailan dan lain-lain lagi. Mereka menggunakan struktur kalis hujan untuk mempastikan pengeluaran dapat dijalankan sepanjang tahun.

Petani di Johor telah pandai mengira jenis sayuran APA yang hendak ditanam dan BILA hendak ditanam dan di JUAL. Kajian saya mendapati pasaran bagi sayuran daun adalah terhad kerana sayur daun mudah rosak dan perlu dijual; dengan kadar segera. Mereka akan mengaturkan penanam sayur daun dengan kaedah "Pengeluaran Matrik" dimana penanaman dijalankan selang seminggu secara berterusan. Kombinasi jenis sayuran yang di tanam mesti mampu memberikan pulangan maksima. Pemborong sayuran sangat mementingkan "Kesinambungan atau Continuity' dalam pembekalan bukannya kuantiti bekalan yang tidak menentu dan terputus-putus.


Penanam sayur komersial telah mengamalkan sistem penanaman sayuran buah dengan kombinasi dan giliran tanaman dengan betul. Bagi En Hassan yang telah 15 tahun menanam cili besar telah mahir waktu paling sesuai menghasilkan cili dengan harga paling maksima. Bulan November hingga Januari setiap tahun beliau dah tahu akan menerima harga cili terbaik setiap tahun dan paling rendah pada April hingga Jun. Nilai satu pokok cili dia dah kira memberikan 3-5 kg cili (MC10) dan dia perlu tanam 5,000 pokok untuk dapatkan 15 - 25 mt cili dengan anggaran kasar pendapatan sebanyak RM 60,000 - RM 125,000 satu pusingan tanaman pada RM 5.00 sekilogram. Kita akan tanya kenapa En Hasan tidak tanam peria, petola, timun tetapi hanya tumpukan cili?.... Ini kerana kepakaran, kemahiran dan yang paling penting pekerja ladang telah mahir dengan teknologi penanaman cili.


Bagi sayuran daun , Sawi (Brassica spp) merupakan sayuran yang paling luas ditanam di Malaysia pada tahhun 2010 dengan 8,230 hektar dengan hasil sebanyak 120,160 mt dan bernilai RM 240.3 juta. Tanaman Kangkung (Impomea aquatica) merupakan sayuran kedua terpopular ditanam iaitu seluas 4,720 hektar dengan penghasilan sebanyak 42,010 metrik tan. Bayam (Amaranthus spp) ketiga terluas ditanam dengan 4,260 hektar yang menghasilkan 46,860 metrik tan. Penanam sayur daun nampaknya tahu bahawa sawi memberikan pendapatan lumayan dan permintaan yang tinggi dari pengguna. Kemana dan bagaimana sawi sebanyak itu digunakan ?
Bagi petani sayuran jenis buah kajian saya mendapati tanaman Timun adalah terpopular di Malaysia dengan keluasan 3,130 hektar pada tahun 2010 yang mengeluarkan 59,470 juta kg. Tanaman Kacang Panjang mendapat tempat kedua terluas dengan 3,020 hektar yang menghasilkan 41,680 mt diikuti dengan tanaman cili seluas 2,850 hektar dengan hasil sebanyak 32,780 mt. Penanam sayuran buah menggunakan masa 3-5 bulan satu musim tanaman dan lebih panjang daripada penanam sayur daun. Kajian menunjukkan petani sayur buah akan menanam secara bergilir-gilir timun, petola, kacang panjang, cili, bendi dan sebagainya mengikut pasaran, cuaca dan pusingan tanaman. Baca cashflow tanaman sayuran untuk meneliti kos pengeluaran dan anggaran pendapatan bagi beberapa sayurn terpilih di Malaysia. Cashflow ini akan membantu penanam sayur berkaitan modal tetap, modal pusingan dan program jadual penanaman. Semuga artikel ini menambahkan pengetahuan kepada para pembaca. Wasallam!.

TANAM SAYUR....DI ATAS BATAS....
SAYUR DAUN....BERHASIL PANTAS....
SAYUR BUAH...GUNA SISTEM TRELLIS ....
PETANI KOMERSIAL....PASARAN BEBAS....

By
M Anem
Senior Agronomist,
Kg Kanchong Darat,
Banting, Kuala Langat,
Selangor, DE,
Malaysia.
(Kemaskini dan dilihat semula pada 17 April 2016)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.