Saturday, July 24, 2010

BAWANG PUTIH (Garlic)



Bawang Putih (Allium sativum) atau Garlic (English) merupakan sejenis tumbuhan dari Keluarga Alliaceae sama seperti lain-lain jenis bawang iaitu Bawang Besar, Bawang Kecil, Leek, Chive dan Rakkyo. Bawang putih telah ditanam dan digunakan manusia semenjak beribu tahun dulu dalam perubatan dan masakan. Penulis telah berpeluang belajar mengenai tanaman bawang putih ketika berkursus di Korea Selatan pada tahun 1990 dan tahun 1996 iaitu semasa menjalani kursus pendek Semaul Undong di Semaul Undong Training Center (SUTC) dan Kursus Pengurusan Esekutif di Central Officer Training Institute (COTI), Seoul. Saya melihat bagaimana bawang putih ditanam secara komersil dan juga sebagai tanaman disekeliling rumah. Menghairankan kerana saya lihat terdapat ramai para petani tua yang menanam bawang putih akan makan bawang putih yang masih segar dikebun..wow baunya memeng kuat!.


Saya dengan peserta India dan Indonesia di kebun bawang putih En Park di Chosun, Korea.


Tumbuhan Bawang Putih seperti juga bawang merah dan bawang besar mempunyai daun dan umbisi (bulb) yang berada dalam tanah yang cetek sahaja. Berbeza dengan bawang besar yang mempunyai satu bulb, bawang putih dibentuk dari pelbagai biji buah yang menjadi satu rumpun umbisi. Bawang putih dipercayai berasal dari Asia Barat dan dari tumbuhan liar yang kemudian dibuat pebiakbakaan genetik (Plant breeding) sejak dulu kala. Tanaman ini merupakan tanaman yang mendapat penekanan di negara tadisi seperti di China dan India kerana didakwa memberikan nilai kesihatan dan perubatan. 

Belum ada maklumat mengenai tanaman bawang putih dibuat di Malaysia, ini kerana tanaman ini kurang sesuai di Malaysia yang mempunyai iklim lembab dan banyak hujan memudahkan serangan penyakit bawang putih. Negara pengeluar utama bawang putih didunia ialah Negara China dengan 10.5 juta metrik tan setahun atau kira-kira 77% penghasilan dunia. Ini diikuti dengan India (4%), Korea Selatan (2%), Rusia (1.6%) dan USA (1.4%). Malaysia merupakan negara pengimpot bersih utama bawang putih untuk kegunaan domestik yang kebanyaknnya di impot dari China. Harga runcit bawang putih di Malaysia antara RM 4.00 - RM 5.00 sekilogram dan ianya berubah-ubah.

Bawang Putih digunakan dalam bentuk segar (Untuk masakan dan perubaatan), dikeringkan dan juga diproses dalam bentuk serbuk . Penyimpanan yang sempurna membolehkan bawang putih tahan lama sehinga beberapa bulan. Di Malaysia semua bangsa menggunakan bawang putih dalam masakan harian terutamanya masyarakat cina dan menjadi satu kemestian. Banyak produk perubatan bawang putih dijual di kedai farmasi dan oleh syarikat jualan multilevel (MLM). Antaranya seperti Garlic Capsule, Garlic Health Pawder, Garlic Juice, Mixed Garlic with Fruits dan sebagainya. Harga produk makanan kesihatan bawang putih juga agak tinggi.


Semasa di Korea saya perhatikan cara menanam bawang putih juga agak mudah. Ianya ditanam sepanjang tahun sama ada musim bunga, musim panas , musim luruh dan juga musim sejuk. Benih tanaman dari bulb yang telah dipilih dan dimasukkan 2-3 inci didalam tanah atas batas dengan jarak tanaman 0.30 meter x 0.40 meter. Tidak banyak serangan serangga perosak dan penyakit tanaman bawang putih kecuali serangan cacing nematod dan penyakit akar putih (White root disease). Serangga lain ialah Kutu Thrip dan hamana. Kawalan menggunakan white oil. Tanaman bawang gputih memerlukan baja organik yang tinggi dan jarang-jarang digunakan racun kimia di Korea.Boleh kata tanaman bawang putih macam tanaman organik juga.

Mengikut En Park Hee Joon petani di Chosun yang saya temui, terdapat 2 jenis bawang putih yang popular di Korea iaitu Jenis Bawang Putih Keras Tangkai dan Jenis Bawang Putih Lembut Tangkai. Jenis tangkai keras sesuai ditanam pada musim yang sejuk sementara jenis yang lembut tangkai sesuai pada musim cuaca agak panas dan kawasan yang berhampiran dengan khatulistiwa. Bawang putih mengeluarkan bau yang kuat ketika dimasak dan ini memberikan rasa yang sedap pada masakan. Beliau menanam bawang atas batas berukuran 4 kaki lebar dan panjang ikut teres dekat rumah. Benih tanaman bawang putih ini didapati dari sumber simpanan sendiri sejak turun temurun. Sebahagian besar hasil dijual borong kepada peraih yang ada secara 'Contract Farming'. Tanah pasir gembur dengan baja organik diamalkan dan boleh katakan beliau tidak menggunakan sebarang racun kimia dan hasilnya dijual sebagai bawang putih organik.


Penuaian dijalankan apabila bawang putih telah cukup umur atau telah matang dimana daun bawang telah mulai kering. Cara menuai oleh En Park amat mudah iaitu dia mencabut rumpun bawang putih menggunakan tangan. Tanah yang tertinggal pada akar akan dibuang dengan tangan dan kemudian setiap rumpun diikat untuk dijemur (Foto sebelah) . Bawang putih akan dibuat kerja menggred dengan cara mengukat iaitu 10 kg satu ikat ikut saiz kecil, sederhana dan besar. Anggaran hasil bawang putih yang di capai oleh En Park di antara 6 – 8 metrik tan satu hektar. Pemerhatian saya mendapati tanaman bawang putih sangat mudah kerana tidak banyak masaalah serangan penyakit dan perosak. Penanaman cara organik di kebun yang saya lawati ini juga menunjukkan satu indek kualiti.

Penyimpanan bawang putih seperti saya katakan sangat kritikal untuk pastikan bawang dalam keadaan rehat (dormant) beberapa lama dengan pada suhu panas (lebih 18°C atau 64°F) dalam kawasan yang agak kering. Pada masa biasa (musim panas), bawang putih digantung di tepi atap atau rumah petani di Korea secara tradisional. Bawang putih juga tidak sesuai untuk disimpan dalam peti sejuk untuk menentukan kualiti. Bawang putih yang dikupas kulit ada yang menyimpan dalam cuka atau wine. Makan bawang putih yang segar yang dicabut terus dari batas tanaman didapati sangat 'juicy' dan memberikan kesan kesihatan yang baik kerana kandungan anti-oksidan yang banyak. Ramai petani di Korea Selatan makan bawang putih mentah dan  memang kelihatan sihat walau pun umur mencecah lebih 70 tahun.

Khasiat bawang putih memang diketahui sangat berguna untuk kesihatan manusia kerana membantu dalam membunuh parasit, membantu dalam sistem pernafasan, perbaiki sistem penghadaman dan kandungan tenaga yang rendah. Ia telah digunakan semenjak 510 sebelum masihi di China sebagai tumbuhan sihat untuk kesihatan manusia. Kajian saintis menunjukkan setiap 100 gram bawang putih mengandungi 623 kJ kalori, Kabohiderat (33 gm), Gula 1 gm), serat (2.1 gm), Lemak (0.5 gm), Protin (6.39 gm), Beta Karotin ( 5 microgram), Thiamine (Vitamin B1 – 0.2 microgram), Riboflavin (Vitamin B2 – 0.11 micrograms), Niacin (Vit B2 – 0.7 mucrogram), Asid Panthitenik (0.59 microgram), Vitamin B6 (1.2535 micragram), Folate 3 microgram), Vitamin C (31.2 mg), Kalsium (181 mg), Besi (1.7 mg), maagnesium (25 mg), Posforan (153 mg), kalium (401 mg), Sodium (17 mg) dan Zink (1.16 mg). kandungan zat lain ialah seperti manganese (1.672 mg) dan Salenium (14 micrograms).kandungan nutrien ini memberikan bawang putih sebagai sumber mineral utama untuk kesihatan manusia.


Selain berfungsi sebagai anti bakteria, bawang putih di dapati sangat baik untuk mengelakkan penyakit serangan jantung dan mengurangkan tekanan darah tinggi dan penyakit kanser. Saya dapati menjadi budaya di Korea dimana orang-orang berumur makan bawang putih mentah di kebun dan kuil. Kajian saintis juga mendapati bawang putih mampu mengurangkan penyempitan kolesterol pada saluran darah dalam kardiovaskular manusia. Kajian lain nyatakan ianya dapat kurangkan kandungan gula dalam badan dan mngurangkan batuk-batuk. Inilah maklumat yang saya dapat kumpul dari pembacaan dan pengalaman semasa di Korea dulu..Wallahualam....

BAWANG PUTIH....TUMBUHAN BERGUNA...
MALAYSIA IMPOT....DARI NEGARA CINA....
PERGI KOREA....PENGALAMAN DI TERIMA....
DAH BACA ARTIKEL...DIBERI PERCUMA....


Artikel berkaitan bawang:
1. Bawang Merah (Klik disini)
2. Bawang Besar (Klik disini)
3. Daun Bawang (Klik disini)
4. Benih Sayuran (Klik disini)

By
M Anem
Presint 11,Putrajaya
(2 kali ke Korea pada 1990 - 1996)
Updated 28 Ogos 2012

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.