Monday, July 7, 2025

INOVASI KAWAL LALAT BUAH - KENA BACA!

LALAT BUAH
(Fruit Fly) atau nama saintifiknya adalah sebagai Bactrocera spp merupakan sejenis serangga perosak kepada banyak jenis tanaman di Malaysia. Terdapat beberapa spesis lalat buah yang tegar menyerang beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran yang menyebabkan kerugian kepada petani jika tidak dikawal. Tinjauan penulis blog di banyak lokasi penanaman tanaman makanan dimana akibat serangan lalat buah juga menyebabkan kualiti hasil tanaman menjadi rosak atau turun kualitinya. Petani perlu memahami akan kitaran hidup lalat buah untuk ia lebih mudah membuat kawalan. Lazimnya lalat buah dewasa akan bertelur pada peringkat awal pembentukan buah yang disukainya. Buah yang berkulit nipis dan sering dijadikan lokasi bertelur seperti buah Belimbing, Mangga, Nangka, Betik, Peria, Petola, Timun, Terung, Cili Brsae, Tomato, Peria dan sebagainya. Dalam masa 1-2 hari sahaja dimana telur lalat buah boleh menetas (bergantung kepada jenis buah dan peringkat kematangan buah) dengan jumlah signifikan. Ia kemudian akan menetas dan menjadi peingkat larva yang tinggal dalam buah dimana kemudian akan makan bahagian isi buah yang menyebabkan kerosakan kepada hasil tanaman tersebut. Peringkat larva untuk lalat buah lazimnya adalah selama 8-10 hari. Seterusnya larva tersebut akan bertukar lagi kepada  peringkat kepompong yang mengambil masa selama 10 hari. Kepompong terbentuk di dalam tanah. Selepas peringkat kepompong maka lalat buah akan menjadi dewasa dengan jangkamasa peringkat dewasa cuma selama 5-7 hari sahaja (Sila lihat foto diatas). Peringkat dewasa lalat buah merupakan peringkat paling aktif dengan ia mempunyai kepak untuk ia memudahkan terbang daripada satu buah kepada buah yang lain untuk bertelur selepas proses mengawan. 
Kawalan untuk serangga perosak lalat buah perlu dilakukan secara berjadual dan berterusan. Ini kerana lalat buah mempynyai banyak perumah (alternate host) yang banyak. Paling asas adalah dengan menjalankan pemantauan kehadiran lalat buah dalam kawasan kebun dengan memasang perangkap lalat buah menggunakan alat perangkap khas (Sila lihat foto sebelah). Bahan kimia Methyl eugenol boleh digunakan dengan meletakannya pada kapas dan ia akan menarik lalat buah jantan kedalamnya. Lazimnya dalam botol tersebut akan dibubuh racun kimia bagi membunuh lalat buah. Sebaiknya perangkap lalat buah diletakkan dibahagian tepi kebun dan perlu diperiksa selalu untuk menggantikan kapas yang mengandungi bahan kimia sekitar sebulan sekali. Umpan protin juga boleh digunakan untuk kawalan lalat buah. Amalan agronomi yang boleh dijalankan untuk kawalan lalat buah dikebun mangga adalah dengan membalut buah mangga yang berumur 8 minggu mengunakan kertas pembalut. Ini akan menghalang lalat buah untuk bertelur pada buah mangga dan mendapatkan warna buah yang menarik. Pastikan kawasan kebun sentiasa bersih dengan membuat sanitasi daripada rumpai, buang buah-buah mangga yang gugur dan pastikan kebersihan ladang secara menyyeluruh. Kajian dilakukan juga menunjukkan penggunaan sejenis kulat Metarhizium juga mampu mengawal populasi lalat buah. Artikel ini saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai beberapa inovasi dan kaedah mengawal lalat buah bagi menambah ilmu pengetahuan dan dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.


Terkini ada di laporkan dalam beberapa tulisan bagaimana satu inovasi mudah membuat alat P
erangkap Lalat Buah buatan sendiri menggunakan bahan mudah iaitu Rendaman Kulit Pisang dalam botol plastik. Penulis baca dalam portal Majalah Agrimag dimana ianya dilaporkan salah satu kaedah yang sangat berkesan, murah dan bebas bahan kimia berbahaya. Apa pun hasilnya kemudian penulis blog buat ujicuba sendiri di kawasan tanaman belimbing di rumah dan ianya berkesan. Apa pun inovasi ini di puji dimana bahan-bahan di perlukan adalah seperti 1 botol plastik kosong ukuran1.5 liter, 0.75 -1.0 cawan gula pasir, 0.75 - 1.0 cawan cuka (apa-apa jenis cuka makan yang murah pun boleh), 1 unit kulit pisang masak (dimakan isinya) dan juga air suam secukupnya. Langkah-langkah membuatnya mudah iaitu dengan memasukkan kulit pisang ke dalam botol. Kemudian di tambahkan gula dan cuka kedalam botol. Seterusnya dituang air suam hingga ke paras didalam gambar disebelah. Seterusnya di tutup botol dan perlu di goncang campuran supaya sebati. Sebaiknya dan di syorkan agar botol ini tidak ditutup atasnya atau buat lubang kecil diatas untuk membolehkan lalat buah masuk kedalamnya dan mati lemas. Sebaiknya botol ini digantungkan di tempat terbuka pada dahan pokok, pagar, atau tiang dengan gunakan dawai agar kukug di tiup angin dan tidak putus (disyorkan agar jagan gunakan tali sebab tupai boleh gigit untuk menikmati aroma didalamnya dan botol jatuh ketanah). Biarkan di gantung di mana laat buah akan memasukki botol dan apabila botol sudah penuh dengan lalat buah (lihat foto kanan) maka ia boleh ditutup dan dibuang ke dalam tong sampah. Seterusnya di gantikan dengan botol baru. Sebenarnya apa yang berlaku adalah dimana lalat buah tertarik dengan bau fermentasi dan manis dari campuran ini dari cuka, kulit pisang dan cuka. Pembaca semua boleh buat sendiri dengan mudah selain daripada kaedah menggunakan perangkap feromon yang sering di syorkan untuk mengawal lalat buah.


Menarik artikel dari akhbar tempatan iaitu sinarharian.com bertajuk '
Inovasi kawal serangan lalat buah' iaitu satu inovasi Probaitbar yang merupakan inovasi Jabatan Pertanian Negeri Sembilan. Dilaporkan bagi petani dan pekebun dimana serangan lalat buah atau nama saintifiknya Bactrocera sp menjadi satu salah satu masalah yang sering dihadapi dalam mengusahakan tanaman. Lalat ini merupakan salah satu perosak utaman tanaman sayur- sayuran dan buah-buahan. Dilaporkan menurut seorang pegawai dari Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Nurhazarull Nadia Baset mendapati dimana serangan lalat buah boleh menyebabkan kuantiti dan kualiti buah menurun. Selalunya kesan serangan boleh dilihat pada buah yang hampir masak dengan adanya bintik atau lubang hitam kecil di kulit buah. Ini merupakan kesan tusukan ovipositori lalat betina ketika bertelur pada permukaan kulit
buah. Larva yang menetas mengorek masuk dan memakan isi buah. Kesannya akan menyebabkan buah itu rosak dan tidak dapat dipasarkan oleh para pekebun. Di Malaysia terdapat enam jenis lalat buah yang sering menjadi masalah buat petani dan pekebun. Jenis lalat buah Bactrocera carambolae dan Bactrocera papaya sering menyerang buah-buahan seperti mangga, belimbing, betik dan pisang, manakala lalat buah Bactrocera cucurbitae atau Bactrocera tau pula menyerang tanaman seperti petola, peria, timun dan tembikai. Dalam pada itu jenis lalat buah Bactrocera latifrons memberi kesan kepada tanaman seperti cili, manakala jenis lalat buah Bactrocera umbrosa pula menyerang cempedak, nangka dan limau bali. Teknologi bagi mengatasi masalah ini ada pelbagai kaedah boleh dilaksanakan dan salah satunya menerusi inovasi Probaitbar yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Sembilan sendiri. Alat ini menggunakan umpan protein yang dihasilkan dalam bentuk pepejal bagi mengawal populasi lalat buah di sesuatu kawasan. Apabila lalat betina memakan protein ini, ia akan mengakibatkan telur yang dihasilkannya tidak menetas dan ini sekali gus dapat mengurangkan jumlah populasi lalat buah. Apabila telur tersebut tidak dapat menetas, jadi tidak akan ada lalat-lalat baharu yang muncul dan menyerang buah- buahan. Dilaporkan inovasi itu juga amat berkesan kerana protein merupakan makanan lalat dan serangga ini akan memilih untuk memakan protein terlebih dahulu berbanding buah. Bahan Probaitbar itu juga boleh dicampur dengan sedikit racun bagi membolehkan lalat-lalat yang memakannya mati.PROBAITBAR boleh dicampurkan dengan sedikit racun bagi membolehkan lalat-lalat buah yang memakannya mati. Probaitbar yang dihasilkan itu juga amat mudah untuk digunakan dan pekebun hanya perlu ianya untuk menggantung alat tersebut di dahan pokok. Kos untuk dapat menggunakannya juga murah dan tidak membebankan petani atau pekebun. Bagi kawasan seluas 1 hektar dimana jumlah minimum Probaitbar yang perlu digunakan adalah sekitar 10 unit sahaja dan alat tersebut juga mampu bertahan sehingga tiga hingga empat bulan untuk sekali kegunaan.


Belajar lanjut mengenai Lalat Buah yang lazimnya akan aktif pada waktu pagi antara 8-10 pagi dan pada waktu petang antara pukul 5-7 petang bergantung kepada keadaan cuaca. Lalat buah menyerang dengan cara lalat dewasa akan menyegat atau menyuntik telur pada buah. Kemudiaan larva yang menetas akan memakan tisu buah dari dalam dimana antara tanda tanda serangan adalah buah kelihatan lebam, lembik dan berair. Saya dapati jika di amati pada fizikal luar buah akan terdapat kesan seperti tusukan jarum pada bahagian luar buah. Jika anda teliti lagi pada bahagian dalam buah pula kita akan jumpa ulat yang di panggil larva. Serangan lalat buah jika tidak di kawal boleh menyebabkan lebih 50% hasil kebun anda akan musnah. Apa yang penting bagi petani adalah tahu bagaimana mereka hendak mengawal populasi lalat buah terutama untuk tanaman tertentu. Antara punca yang menyebabkan lalat buah datang adalah disebabkan oleh buah yang terkena antraknos. Jadi kita kena mengawal kesihatan tanam di kebun supaya jangan terkena fungus antraknos. Antara perkara yang lazim dilakukan adlah dengan menyembur racun kulat secara rutin atau secara berjadual mengikut arahan pada label. Dalam memberi banyak ceramah dan tunjukajar mengenai serangan lalat buah dan kawalannya, saya sering memberikan beberapa kaedah dan pilihan yang sesuai untuk dilakukan. Antara beberapa kaedah yang boleh dilakukan adalah sengan cara kaedah kawalan biologi, kaedah kawalan secara kimia atau dengan cara kawalan lain. Berikut adalah antara kaedah untuk mengatasi lalat buah. Cara kawalan kimia paling mudah dijalankan seperti semburan dengan bahan kikia seperti bahan Lebaycid 550 (Bayer Cropscience) dengan bahan aktif fenthion (paling mujarab). Selain itu bahan racun kimia dengan bahan aktif cypermethrin boleh digunakan. Bahan seterusnya yang boleh digunakan adalah seperti Prevathon yang sesuai dicampur dengan racun Imida untuk mematikan ulat dalam buah. Bahan seperti racun Dimethoate dengan bawang putih (Dimethoate dengan cara kerja sistemik) dimana ia akan meresap pada daun dan buah dan ulat yang makan isi buah sebelum jadi pupa akan mati sebab makanan beracun. Ini akan menyebabkan jumlah populasi lalat buah akan berkurang. Sementara itu dibuktikan bahawa bawang putih menghasilkan aroma yang tidak di sukai serangga lalat buah ini. Akhir sekali bahan racun DIMEXION yang kuat baunya dan juga baunya tidak di sukai serangga boleh digunakan dengan mengikut arahan pada label. Semuga tulisan ini menambah ilmu pengetahuan kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wsallam!!!...
LALAT BUAH... SERANG TANAMAN....
MUDAH MEMBIAK...PERLU KAWALAN...
BANYAK INOVASI.. SUDAH DICIPTAKAN...
MEMBACA  ARTIKEL.. DI FAHAMKAN....

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Balai Panjang Murni,
Bandar Melaka,
Melaka,
Malaysia.
(10 Muharram 1447H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.