Friday, December 3, 2021

PENGELUARAN BENIH PISANG KULTUR TISU

BENIH TANAMAN PISANG (Musa spp) merupakan antara jenis tanaman yang paling banyak dihasilkan melalui teknologi Kultur Tisu (Tissue Culture atau TC). Terdapat jutaan benih pisang yang dihasilkan setiap bulan melalui kaedah ini terutama jenis pisang makan segar seperti Pisang Cavendish diseluruh dunia. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang sedang membangun dimana tanaman pisang mencapai keluasan 26,276 hektar pada tahun 2020 dengan pengeluaran sebanyak 370,060 metrik tan (Sumber: Booklet Statistik Keluasan Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia, 2020). Negera China merupakan paling luas menanam pisang diikuti dengan negara India pada masa kini . Bagaimana pun negara Equador merupakan pengeksport pisang terbesar dunia dengan sebanyak 3.99 juta metrik tan setahun diikuti dengan Filipina sebanyak 3.95 juta metrik tan. Kebanyakan pisang segar ini dieksport kenegara-negara barat dan USA. Malaysia juga tidak terlepas daripada masalah ketidakcukupan bekalan bahan mentah disebabkan faktor populasi yang semakin bertambah dan meningkatnya pandemik covid19. Bagi mengatasi masalah bekalan makanan, pelbagai teknologi telah dicipta dan dikembangkan untuk tujuan meningkatkan produktiviti sektor pertanian. Terkini dimana salah satu teknik yang dimanfaatkan adalah bioteknologi dalam bidang pertanian yang berjaya dibangunkan bagi menggandakan tanaman seterusnya meningkatkan produktiviti atau mutu keluaran. Teknik ini adalah pembiakan tanaman secara kultur tisu. Teknologi kultur tisu merupakan satu kaedah digunakan untuk menghasilkan bahan tanaman atau anakbenih yang lengkap bermula dengan sebahagian kecil tisu tumbuhan dalam eksplan seperti batang, daun atau sel yang dikulturkan dalam media secara steril atau aseptik bagi seterusnya tujuan tumbesaran. Banyak agensi kerajaan dan swasta di Malaysia yang membuat kajian dan pengeluaran berkaitan teknologi kultur tisu terhadap tanaman pisang. Syarikat swasta dan beberapa badan berkanun kini menjadikan pengeluaran benih kultur tisu berkualiti bagi tanaman pisang untuk penanaman secar akomersil pisang di Malaysia. Artikel subuh Isnin ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai beberapa info terkini dari media tempatan pengeluaran benih pisang secara kultur tisu untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca semua.

Media tempatan melaporkan '
FGV sasar hasilkan sejuta pisang klon' menarik untuk dikongsikan dengan pembaca semua.  Pusat Inovasi FGV di Bandar Enstek kini dilaporkan berjaya didalam menghasilkan varieti pisang klon untuk memenuhi permintaan pasaran (Sila lihat foto disebelah). Penerokaan FGV Holdings Bhd (FGV) dalam kajian pisang klon kini dilaporkan telah membuka peluang kepadanya untuk dapat menghasilkan pengeluaran besar-besaran varieti berkualiti tinggi dengan sasaran menghasilkan sejuta pisang klon menjelang 2021. Sasaran itu adalah peningkatan 100 peratus daripada pengeluaran semasa untuk memenuhi permintaan pasaran khususnya pisang segar dan industri makanan berasaskan pisang, yang sekali gus membolehkan FGV memenuhi sekitar 30 peratus permintaan penggunaan negara untuk pisang. CEO FGV menyatakan kualiti tinggi benih pisang klon yang dihasilkan terbukti dengan lebih dari enam juta ramet pisang berangan terjual antara 2007 hingga Julai 2020 dimana ini menjadikan FGV salah satu pengeluar benih pisang klon terbesar di Malaysia. Pusat Inovasi FGV yang terletak di Bandar Enstek, Negeri Sembilan menghasilkan varieti pisang klon untuk memenuhi permintaan industri sawit di dalam tempoh tanam semula dan petani pisang di negara ini. Ramai penyelidik yang berpengalaman dan berdedikasi dalam pengeluaran kultur tisu, nasihat teknikal dan operasi tapak semaian dimana FGV mempunyai kepakaran untuk menyokong usahawan agro pisang dan pekebun kecil dengan benih pisang klon yang terbaik, kontrak pengklonan pisang dan pertanian kontrak. Ini selari dengan langkah strategik FGV untuk meluaskan inisiatif Pertanian Bersepadu dan pada masa yang sama meningkatkan pengeluaran pisang tempatan dengan sasaran penguasaan pasaran sebanyak 50 peratus atau bersamaan 1.7 juta anak benih yang akhirnya akan meningkatkan kehidupan petani pisang di Malaysia. 

Pisang dikenal pasti mempunyai permintaan yang paling tinggi dan tanaman kontan terlaris di Malaysia yang mampu menjana pendapatan tambahan untuk pekebun kelapa sawit semasa fasa belum matang menggunakan sistem tanaman selingan. 
Varieti pisang yang mendapat permintaan paling tinggi dalam kalangan petani tempatan adalah berangan dan FGV kini menghasilkan 850,000 ramet setiap tahun. Pokok pisang induk FGV iaitu klon berangan diperakui oleh Jabatan Pertanian di bawah Skim Pengesahan Bahan Tanaman. Anak benih pisang klon yang dihasilkan oleh FGV bebas dari penyakit, mempunyai pertumbuhan yang seragam dan mampu menghasilkan hasil lebih awal dibandingkan dengan bahan penanaman sulur. Anak pokok pisang klon FGV merangkumi beberapa jenis seperti tanduk, lang, nipah, nangka, rastali, mas dan lemak manis tersedia untuk pembelian pukal di lima tapak semaian yang terletak di Bandar Enstek (Negeri Sembilan), Trolak (Perak), Jerantut (Pahang), Bukit Tongkat (Johor) dan Lahad Datu (Sabah). Anak pokok pisang klon juga dijual secara dalam talian melalui platform Shopee di bawah FGV Agri Services Sdn Bhd. FGV kini mengembangkan bahan penanaman klon untuk tanaman bernilai tinggi seperti nanas, buluh, vanila dan tanaman air untuk memenuhi permintaan pasaran yang tinggi. Dimasa akan datang FGV akan juga menghasilkan benih pisang cavendish untuk penanaman seca meluas di ladang FELDA Chuping dan sekitarnya untuk pasaran domestik dan juga pasaran eksport. Pisang cavendish merupakan spesis pisang makan segar yang paling banyak di pasaran seluruh dunia.

Dalam pada itu aktiviti pengeluaran benih pokok pisang menerusi kaedah in vitro atau tisu kultur bagi pembiakan tanaman itu perlu menerusi beberapa proses bagi mendapatkan hasil yang baik. 
Teknik penghasilan benih pisang daripada tisu tumbuhan menggunakan medium nutrien ini mampu menghasilkan benih yang sama dengan pokok asalnya. Ia termasuk proses pemilihan tanaman, penyediaan bahan induk, penyediaan kultur disteril, penggandaan tunas, proses pengakaran dan pengalihan ke dalam beg semaian sebelum ditanam di ladang. Bahan tanaman iaitu sulur akan diambil daripada ladang dan diproses dalam makmal. Kebiasaannya sulur pedang akan digunakan kerana proses pembiakan dan pertumbuhannya lebih pantas.  Teknologi terkini dengan adanya teknologi tisu kultur lazimnya  setiap sulur pisang mampu mengeluarkan sehingga 2,000 anak benih secara berterusan dan mengambil masa yang lebih singkat untuk mendapatkan hasil tuaian. Di Malaysia dari maklumat dilaporkan ada empat jenis pokok pisang yang menggunakan kaedah tisu kultur iaitu pisang tanduk, pisang berangan, pisang emas dan pisang nangka dan kini sudah dimulakan untuk benih pisang cavendish. Dalam pada itu lazimnya berbeza dengan kaedah konvensional apabila setiap pokok pisang hanya mampu menghasilkan sebanyak lima hingga 10 sulur saja untuk tanaman seterusnya dan ianya mengambil masa hingga sembilan hingga 10 bulan untuk dituai. Proses pembuatan benih tisu kultur pisang melalui sulur akan disteril dengan bahan pembasmi kuman dan juga air suling selama 45 minit. Ia kemudian proses pemotongan eksplan dilakukan dan diletakkan dalam medium pertumbuhan yang mengandungi nutrien serta hormon untuk tujuan pembiakan. Selepas disimpan selama 45 hari dalam bilik tumbesaran pada suhu antara 24 hingga 28 darjah Celsius, ia akan menghasilkan akar dan mengeluarkan tunas. Tunas ini kemudian akan dipindahkan ke dalam medium baru bagi tujuan pembiakan seterusnya sebelum melalui proses pengakaran. Bagi proses pengakaran lazimnya disetiap tunas atau platlet yang mencapai ketinggian yang ditetapkan akan diasingkan dan dipindahkan ke dalam beg semaian yang mengandungi medium campuran. Selepas enam hingga lapan minggu maka anak pokok pisang berkenaan akan mencapai ketinggian dan kriteria yang ditetapkan sebelum dijual atau dipindahkan ke ladang. Diantara perbezaan antara pokok pisang yang dihasilkan secara tisu kultur dengan kaedah konvensional ialah benihnya akan tumbuh seragam atau sekata dan berbuah dalam tempoh yang sama. Perkara ini juga sekali gus dapat memudahkan petani untuk menuai hasil selain kualiti buah yang lebih terjamin dari segi kualiti dan selamat untuk dimakan. Semuga artikel ini member info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
BENIH PISANG... INPUT YANG UTAMA...
SESUAI DITANAM... CARI YANG MANA...
BENIH KUTUR TISU... CEPAT DISEDIA...
POKOK SERAGAM... MUDAH DI JAGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(21 Rabiulakhir 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.