Monday, May 15, 2023

BIJI GETAH - APA FAKTA MENARIK?

BIJI GETAH (Rubber seeds)
merupakan biji yang dihasilkan dari pokok getah matang (Hevea brazilliensis) yang keluar pada musim tertentu. Biji getah ini berbentuk bulat dan selalu berada didalam kapsul dan meletup apabila cukup masak. Tanaman getah di Malaysia diperkenalkan semenjak zaman kolonial lagi sebelum merdeka dan kini ia masih mendudukki tempat kedua terluas dari segi penanamannya selapas kelapa sawit. Warna biji getah bergantung kepada baka pokok getah itu ada yang berwarna coklat, hitam, merah-kemerahan, berjalur hitam dan putih serta mempunyai corak tertentu yang menarik. Pada penulis blog yang lama mengenali biji getah iaitu semenjak kanak-kanak lagi kerana disekeliling rumah di kampong Muar sana memang luas ditanam dengan pokok getah (klon lama) dan memang bertabur biji getah jatuh dari pokok tua selalunya pada Januari sehingga April setiap tahun. Kalau mendengar letupan cengkerang buah getah dari atas pokok dan kemudian bijinya akan jatuh ketanah biasa didengar terutama pada waktu tengahari atau petani dimusim cuaca panas. Saiz biji getah ini juga mengikut baka pokok tersebut ada yang kecil dan ada yang besar dan kebiasaanya dalam saiz atau ukuran sekitar 2.0 cm hingga 3.5 cm sahaja. Kulit di bahagian permukaannya adalah keras, licin dan nipis dan mempunyai tertulang di bahagian belakang biji getah ini. Isinya bewarna putih dan ia lembut serta kenyal. Biji getah ini akan gugur sendiri ke bumi jika sudah cukup matang dan biji getah yang gugur ke tanah dimana ia boleh mengeluarkan tunas dan boleh menjadi baka anak pokok getah yang baru. Pada pemullis blog dan rakan-rakan sekampong memang sering kumpulkan biji getah ini untuk dijadikan pelbagai jenis permainan. Antara jenis permainan kanak-kanak semasa dahulu yang popular untuk bermain laga buah getah dan permainan congkak. Dalam pada itu antara kgunaan lain adalah dijadikan prodduk makanan yang berasaskan biji getah. Dizaman pendudukan Jepun di Malaysia dilaporkan biji getah dijadikan makanan utama bersama ubi-ubian dan dijadikan tempe. Selain itu biji getah juga digunakan sebagai makanan dengan diperam atau dikenali sebagai 'Asam Rong' yang popular di Pahang seperti di Jerantut, Raub, Kuala Lipis sehingga sekarang. Apa pun dilaporkan biji getah juga kini mempunyai harga dipasaran terutama untuk industri dipusat-pusat semaian untuk dibiak dan dicantumkan dengan mata tunas daripada baka klon-klon yang bermutu tinggi sebelum dijual kepada para pekebun. Penyelidikan biakbaka klon getah selalunya menggunakan biji getah sehingga berjaya untuk memberikan klon hetag terbaik. Biji getah juga kini berpotensi digunakan bagi menghasilkan minyak diesel untuk kenderaan. Artikel malam Isnin ini dalam blog pertanian "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai beberapa fakta menaarik berkaitan dengan biji getah yang boleh dimakan untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca semua.


Merujuk kepada laporan kajian pelajar dari UiTM yang bertajuk '
Biji getah boleh makan? - Gulai asam rong biji getah sedap ' agak sesuai dikongsikan faktanya. Bagi pelajar yang masih mengkaji Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan laporannya sesuai diteliti dan ditulis semula kisahnya. Dinyatakan dimana biji dari buah getah selalunya digunakan untuk bermain congkak yang murah. Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa biji buah getah itu pula boleh menghasilkan makanan yang enak. Tetapi perlu pelajari terlebih dahulu bagaimana caranya biji getah itu menjadi bahan ramuan dalam masakan sehingga menjadi juadah digemari ramai. Hidangan dengan campuran asam rong biji getah ini cukup popular dan menjadi resipi turun temurun penduduk Jerantut, Pahang. Memang asam rong dibuat dari Biji Perah dan Biji Getah yang memerlukan kaedah khusus dalam membuatnya. Kalau artikel ini tidak dibaca sehingga habis maka mungkin masih ramai fakta kebenarannya apabila seorang penduduk Kuala Tahan, Jerantut, Roslan Abu Kassim dalam Facebook miliknya memuat naik status berkenaan keenakan sajian yang digabungkan asam rong biji getah yang cukup popular sebagai kuliner tradisional di kampungnya di Jerantut, Pahang. Salah satu kata-kata popular penduduk kampung seperti "Asam rong nama di beri, di perbuat dari bijik getah, di jemur di tumbuk, di masak jadi la sambal, kalau makan nasi panas, dan ia di tabur di atas nya, pejam mata dan rasa ke nikmatannya, ada 2 cara untuk menyediakannya, Kalau nak tau sila datang ke taman negara di Pahang." Pada penulis blog memang amat menarik ungkapan ini dimana asam rong biji getah menjadi antara pelengkap masakan dan merupakan resipi tradisi turun temurun penduduk Jerantut terutama di kawasan pedalaman. Asam rong biji getah ini apabila dicampurkan dalam pelbagai jenis masakan mampu menghasilkan rasa dan aroma yang boleh mengecurkan air liur. Bagi warga Jerantut yang dilahir dan dibesarkan di daerah itu cukup maklum dengan asam rong biji getah. Mereka membesar bersama dengan asam rong faktanyadimana ia adalah bahan makanan yang enak dan unik. Jika ada pembaca yang pertama kali datang ke Jerantut adalah disyorkann ke kedai makanan yang menyediakan hidangan yang ada terisi asam rong dan ujirasa faktanya.


Fakta bagaimana isi biji getah dijadikan produk 
asam rong dibuat dan bagaimana ia mendapat namanya akan dibincangkan.  Asam rong adalah sejenis makanan tradisional yang menggunakan biji getah dijadikan sebagai penambah rasa dalam masakan.
Perkataan 'asam' adalah dimana ia disebabkan cara menyimpannya iaitu diperam dalam tempoh waktu tertentu, manakala perkataan 'rong' pula merujuk bahagian isi dalam buah getah yang mana ia juga dipanggil rong (Sila lihat foto disebelah). Faktanya adalah ia menjadi perkataan digabung sebagai 'asam rong' dalam bahasa tempatan. Bukannya mudah untuk datok nenek kita dahulu menamakan makanan yang berjaya mereka hasilkan dan kekal sehingga sekarang. Sebelum biji getah digunakan sebagai bahan perencah masakan dimana dilaporkan dulu asam rong terlebih dahulu dibuat daripada buah perah iaitu sejenis buah yang didapati dari pokok perah yang tumbuh di dalam hutan tebal. Kesukaran mendapatkan buah perah ini menyebabkan penduduk mula mencari alternatif dan mereka menemukan biji getah sebagai ganti buah perah. Sekarang semuanya gunakan bahan asas biji getah sebab senang dapat dengan mengutip sajhana dibawah pokok getah dewasa pada musim buah getah gugur. Cara untuk membuat asam rong ini faktanya adalah tidak sudah sangat bagi yang berpengalaman. Buah atau biji getah dikutip perlu dibuang kilut luar yang keras. Isi biji getah ini yang jadi bahan asam rong ini rasanya sedikit pahit kerana diperam untuk satu tempoh yang agak lama. Berbulan-bulan juga disimpan untuk mendapatkan rasa asam sebenar. Bagi mempercepatkan proses mengeluarkan isi rong, lesung batu akan digunakan untuk mengetuk kulit buah getah yang keras dan licin itu. Isinya yang berwarna putih, lembut dan kenyal akan dijemur selama beberapa hari sehingga kering untuk menanggalkan selaput kulit daripada rong dan menjadi kecut sepenuhnya. Setelah kering biji getah tadi ditumbuk tetapi tidak terlalu hancur dan diperam di dalam bekas tertutup seperti tempayan atau balang dan disimpan di tempat kering bagi mengelakkannya berkulat dan rosak. Kebiasaanya asam rong ini boleh bertahan dalam tempoh beberapa bulan untuk menghasilkan rasa kelat-kelat lemak yang enak. Selepas disimpan lama dan cukup tempoh, barulah asam rong digunakan sebagai penambah rasa dalam resepi masakan. Teksturnya yang kering berderai menjadikan ia bahan perencah serba guna yang boleh diubah suai mengikut pelbagai jenis masakan. Ia boleh dicampurkan ke dalam sayuran goreng, gulai, asam atau sambal bergantung kepada selera si pembuat.


Faktanya adalah dimana masak gulai asam rong menggunakan resipi turun temurun. Jika dijadikan bahan perencah dalam masakan menggunakan ikan ia dikenali sebagai Gulai Asam Rong. Antara ikan air tawar yang sesuai ialah ikan patin, kenerek, baung, toman dan keli. Cara memasak gulai ini sama seperti cara memasak gulai lain cuma perlu untuk dicampurkan sedikit asam rong ini (tiga hingga lima sudu teh) dalam masakan tersebut. Jika dicampurkan dalam sayur seperti kangkung ianya kelihatan seperti kangkung masak taucu. Asam rong itu akan kelihatan seperti kacang yang ditumbuk halus. Selain itu asam rong ini juga boleh dibuat sambal dengan campuran ikan bilis dan garam. Bagi yang baru pertama kali merasainya mungkin ada yang terus jatuh hati dengan keunikan rasanya yang berbeza dengan masakan yang lain dan mungkin juga ada yang tidak menyukai dengan masakan ini. Bagi penggemar gulai asam rong ini aromanya sahaja sudah cukup memberikan selera makan yang cukup luar biasa. Fakta penting adalah asam rong dijadikan perencah dalam pelbagai jenis masakan dan digemari kalangan penduduk Jerantut di Pahang. Bagi seorang penduduk Kuala Tahan, Jerantut iaitu Roslan Abu Kassim (54 tahun) mendakwa yang asam rong biji getah memang popular di Jerantut sejak turun temurun. Kebanyakan kedai makan atau restoran ada menyediakan menu yang mengandungi asam rum biji getah. Kalau pada kebiasaannya asam rong dijadikan sambal dan dimakan dengan pelbagai ulaman yang agak pahit seperti pucuk dan pelepah betik muda serta buah ara untuk mengurangkan rasa kelatnya. Asam rong (biji getah atau buah perah) merupakan makanan tradisional yang cukup popular bagi penduduk Pahang Barat iaitu Lipis, Raub dan Jerantut dan kini asam rong turut kenali di Bandar Maran dan Kuantan.


Fakta menarik dari hmetro.com bertajuk 'Gulai biji getah' sesuai dikongsikan. Kalau faktanya masih ramai tidak tahu bahawa pokok getah (Hevea brasiliensis) sama juga dengan pokok kelapa kerana pelbagai kegunaan boleh dimanfaatkan. Memang selain susu getah yang menjadi sumber ekonomi penduduk, batang getah juga turut digunakan dalam industri perabot dan sering ianya dijadikan kayu api. Daunnya pula digunakan untuk membalut tapai selain menjadi kraf tangan unik. Namun ramai yang tidak tahu bahawa, biji getah juga boleh menjadi menu masakan istimewa jika tahu caranya. Namun ia boleh memabukkan jika dimakan begitu sahaja tanpa melalui proses tertentu. Bagi penduduk di Pahang khusus di daerah Jerantut, masakan berasaskan biji getah begitu popular dan menyelerakan apatah lagi dicampur dengan ikan sungai. Gulai asam rong mungkin nama asing bagi anda yang berada dari luar Pahang, tetapi bagi penduduk di Pahang barat, ia antara satu menu wajib dinikmati jika berkunjung ke Jerantut. Keunikan gulai asam rong kerana bahan masakannya berasaskan biji getah yang sudah ditumbuk halus lalu diperam hingga bertukar warna dari putih kepada coklat kehitaman. Lebih enak ia dimasak bersama ikan kenerak iaitu spesies ikan sungai yang berkulit tebal dan badan bertompok selain turut dikenali sebagai ikan komando. Pada masa dahulu asam rong diperbuat dari buah perah berbentuk sama dengan biji getah tetapi lebih lonjong yang banyak terdapat dalam hutan. Apa pun disebabkan kesukaran untuk mendapatkan buah perah, biji getah menjadi pilihan. Asam rong sama ada dari buah perah atau biji getah boleh disimpan berbulan-bulan hingga bertahun lamanya dalam bekas kedap udara. Ramai yang tertanya, dari mana asal nama asam rong kerana biji getah tidaklah masam seperti belimbing atau gelugor. Asam 'rong' ini berasal daripada perkataan isirong iaitu merujuk kepada bahagian isi dalam buah dan perkataan asam itu digunakan kerana kaedah penyimpanan serta pembuatan asam rong yang sama dengan asam lain. Asam rong ini dikatakan berasal dari penduduk dari sekitar perkampungan mukim Ulu Tembeling hingga ke Kuala Tembeling. Gulai asam rong ini jika dimasak dengan ikan lain tidak berapa sedap, kerana mudah hancur berbanding ikan kenerak yang isinya lebih pejal. Cara penyediaan gulai asam rong pula sedikit rumit dan memakan masa kerana jika ia tidak dimasak dengan betul maka ia boleh menyebabkan sakit perut. Keunikan gulai asam rong ini ialah bahan tambahannya terdiri daripada campuran cili padi dan pelbagai jenis sayur-sayuran seperti pucuk paku, terung manggur, terung telunjuk, keladi, bunga kantan, daun kesum, kacang botor, jering, petai, dan keledek. Paling istimewa ialah kepedasannya. Bukan pedas yang biasa biasa tetapi pedas menyengat dimana 'Tidak pedas tak sedap, Lagi pedas, lagi orang suka'. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
BIJI GETAH... MENARIK FAKTANYA....
DIBUAT ASAM RONG... ADA CARA....
GULAI ASAM RONG...PEDAS ENAKNYA....
SUDAH TAHU.... TERUS INGIN UJIRASA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Medah Indah, Raub,
Pahang,
Malaysia.
(21 Syawal 1444H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.