Tuesday, February 28, 2023

DAUN KADUK DAN KISAH MENARIK

POKOK DAUN KADUK
(Piper sarmentosum) mungkin kurang dikenali ramai merupakan adalah sejenis tumbuhan herba dari keluarga Piperaceae yang terdapat di Malaysia dan natif dari negara kita. Tumbuhan ini juga terdapat di Brunei dan juga Indonesia. Penulis mempunyai satu pasu pokok kadok yang ditanam dikawasan rumah di Johor Bahru. Pokok kaduk ini ditanam didalam pasu dengan tanaman herba lain seperti serai wangi, tenggek burung, limau purut, serai biasa, pokok potong kolesterol, snake grass dan beberapa lagi. Daun Kaduk telah lama dikenali sebagai ulam yang dimakan segar bersama-sama nasi putih dan juga boleh dimasak dengan pelbagai cara mengikut kehendak pengguna. Pokok Kadok adalah tumbuhan herba renek yang tumbuh dengan adanya naungan. Tumbuhan ini ditanam untuk tujuan kegunaan sendiri dikeliling rumah atau dikawasan keliling kebun. Tidak ada maklumat rasmi mengenai keluasan tanaman kaduk di Malaysia tetapi penulis mengganggarkan sekitar 15-20 hektar CHE. Pokok kadok mempunyai bentuk daun seperti daun sireh (Heart Shape) atau lonjong yang berwarna hijau gelap dan urat daun yang jelas dan berketak-ketak. Bahagian daun merupakan komponen yang digunakan sebagai ulam dimana daun ini akan mengeluarkan aroma atau bau apabila diramas atau di koyakkan. Daunnya mempunyai rasa seperti berlada (Pedas) dan sedikit pahit sesuai untuk dijadikan ulam yang segar. Kalau di masak daunnya menyebabkan rasa masakan kita akan menjadi lebih sedap terutama untuk masakan ikan, daging, udang kering, telur dan juga kerang-kerangan. Batangnya adalah jenis yang agak lembut berwarna hijau. Tumbuhan ini mempunyai akar serabut atau 'lateral roots' yang aktif. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa kisah dan fakta tentang daun kaduk dalam media tempatan untuk dijadikan bahan rujukkan dan juga bacaan semua.

Kisan bagaimana 'Kerepek Daun Kaduk Rangup' dilaporkan dalam beberapa portal media tempatan. Dalam portal bharian.com dimana 
kerepek sebagai makanan ringan berasaskan herba iaitu daun kaduk siap digoreng menjadi produk menarik. Kisah dari Kuala Kangsar, Perak laporkan dimana setiap kali sebut herba, ramai memikirkan rasanya yang pahit, kelat dan mungkin menolak untuk mengambilnya, namun hasil inovasi Kudapan Herba Enterprise persepsi itu berjaya ditepis. Dengan menggunakan slogan ‘nampak biasa yang luar biasa', syarikat yang terletak di Kampung Kubang Udang Bekor, Manong itu mereka mengambil langkah mengusahakan makanan ringan berasaskan herba termasuk daun kaduk di bawah jenama ‘Kerepek Herba Yongtie'. Menurut salah satu pengusahanya, Noorhayati Zakaria (49) yang membuat inovasi terhadap daun kaduk iaitu sejenis herba yang berbentuk seperti daun sirih dengan menjadikannya kerepek menggunakan ramuan yang cukup mudah dan ternyata usahanya itu berhasil apabila ia menjadi snek kegemaran ramai. Idea menghasilkan kerepek daun kaduk yang penuh khasiat antaranya membuang angin dalam badan, membantu proses penghadaman serta melawaskan pembuangan air kecil itu timbul selepas berpindah semula ke Perak pada awal 2017 setelah berhenti kerja di sebuah syarikat Jepun di Pulau Pinang. Bekalan daun kaduk akan memetik daun kaduk untuk dibuat kerepek makanan ringan berasaskan herba. Cara membuat kerepek daun kaduk untuk dinikmati bersama keluarga, namun tidak menyangka ia mendapat permintaan termasuk daripada rakan-rakan yang kebanyakannya memberikan komen positif. Dia ada menghadiri kursus tetapi turut membawa kerepek herba ke mana sahaja untuk tenaga pengajar, rakan-rakan serta peserta kursus merasainya bagi tujuan penambahbaikan.


Kisah bagaimana '
Tauke miang kham' iaitu sejenis makanan tang berasaskan daun kaduk menarik dikongsikan. Miang Kham adlah sejenis makanan berasal daripada Thailand yang diusahakan oleh Siti Ruby Mahyah bagaimana rahsia sebagai seorang penjual miang kham secara dalam talian. Hidangan dari negara jiran ini biasanya disajikan sebagai menu pembuka selera terutama di restoran masakan Thailand. Selain daun kaduk sebagai bahan utama makanan miang kham disajikan juga bersama sos, bawang, kacang tanah, kelapa parut yang digoreng, udang kering, cili padi dan limau nipis. Rasa manis, masam, rangup dan pedas secukup rasa menambah keenakannya. Apa pun idea menghasilkan miang kham bermula selepas dia mendapati banyak pokok kaduk hidup subur di hadapan dan di belakang rumahnya. Pada mulanya dia hanya menjadikan tanaman ini sebagai penghias halaman dan ‘penyedap’ dekorasi sahaja. Bagaimanan pun pada suatu hari seorang rakannya datang ke rumah dan meminta daun kaduk untuk dibuat miang kham. Selepas merasa dia mula menggemarinya dan tidak sangka ramai yang ingin membuat tempahan selepas memuatnaik gambar menerusi Facebook,” katanya yang menetap di Taman Medan, Telok Panglima Garang, Selangor. Walaupun nampak mudah tetapi dengan kesabaran dan ketelitian amat diperlukan bagi menghasilkan menu istimewa Thailand ini. Dia sendiri mengambil masa beberapa hari mempelajari kaedah memotong bahan utama. Mujur sos miang kham diperoleh dari rakan justeru ia tidak menimbulkan kesukaran memasaknya. Paling rumit adalah mendapatkan kelapa kisar, kerana isinya perlu disangai berjam-jam untuk mendapatkan aromanya. Menyedari bahan utama miang kham adalah daun kaduk, Ruby memberikan lebih perhatian kepada tanaman ini. Sebab itu di hadapan rumah kelihatan pokok kaduk hidup subur bersama tanaman lain seperti sayur-sayuran herba. Daun kaduk banyak khasiatnya, antaranya merawat sembelit, sakit gigi dan lenguh. Air rebusannya juga elok untuk selesema dan sakit pinggang manakala daunnya yang menghijau seakan-akan sireh sesuai dijadikan ulam. Pokok kaduk mudah dijaga asalkan cukup air dan baja. Bagi mengelak serangga, saya hanya menggunakan baja dan racun serangga organik. Caranya dengan menggunakan pencuci cecair pinggan, kemudian dicampur bawang putih dan cili padi. Agar sebati campuran ini dibiarkan seketika sebelum ditambah sedikit air dan disembur ke semua bahagian pokok. Memang ia berkesan kerana semut dan serangga tidak lagi datang menyerang,” katanya yang sangat berhati-hati dalam pemilihan racun perosak kerana mahu mengelak daripada bahan kimia berbahaya. Tambah pula daun-daun herba dimakan mentah dan perlu dijaga daripada tercemar. Dia yang ada menanam pokok kaduk bersama tumbuhan herba yang lain dimana minat berkebun sejak 20 tahun lalu. Herba lain ditanamnya adalah tenggek burung, selasih, salam, origano, daun sup, kucai, peria dan tomato. Selain diberikan air dan baja, saya ambil masa seketika untuk meneliti keadaan tanah dan daun agar tiada haiwan lain merosakkannya. Sayur-sayuran yang ditanam sendiri mempunyai khasiat yang tinggi. Pucuk tenggek burung dikatakan mengandungi pelbagai khasiat kesihatan contohnya mencegah serangan darah tinggi dan melancarkan peredaran darah. Jika dimakan selalu dapat menyegarkan badan dan menghilangkan rasa lenguh selepas penat bekerja. Sejak menanam pelbagai jenis sayuran herba dia dapat mengurangkan perbelanjaan dapur. Jika ingin memasukkan ke dalam masakan hanya petik sahaja di belakang rumah. Berkongsi rezeki dengan jiran dan ada sayuran diberikan kepada rakan terdekat.


Kisah dari universiti tempatan bertajuk '
Daun Kadok: Harapan Baru Untuk Rawatan Osteoporosis' adalah menarik dikongsikan dengan pembaca semua. 
Dilaporkan dimana sejenis daun tumbuhan yang biasa digunakan dalam masakan Melayu mengandungi anti-oksidan yang mungkin boleh membantu melindungi tulang dari dilanda penyakit osteoporosis. Dilaporkan seorang penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Dr Elvy Suhana Mohd Ramli dan pasukan penyelidiknya mendapati bahawa daun kadok atau piper sarmentosum mengandungi bahan penawar untuk mencegah retak tulang dan mampu mempercepatkan penyembuhan retakan tulang. Dr Elvy Suhana pernah memberitahu Portal Berita UKM di Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI) bahawa herba daun kadok berupaya menghalang ungkapan gen dalam tisu adipos dan tulang yang membuat struktur tulang menjadi rapuh. Kajian yang dijalankan oleh beliau dan pasukannya ke atas tikus menunjukkan bahawa ciri-ciri anti-oksida melalui sebatian flavonoids iaitu naringenin bertindak membantu sistem pertahanan antioksidan endogen untuk melindungi tulang daripada osteoporosis. Pasukannya itu terdiri dari Prof Dr Ima Nirwana Soelaiman, Prof Dr Farihah Suhaimi, Prof Dr Srijit Das, Prof Dr Ahmad Nazrun Shuid dan Dr Siti Fadziyah Mohd Asri. Mereka telah memberi tumpuan kepada kesan penawar pati daun kadok terhadap penyembuhan tulang retak pada tikus yang ovari mereka dikeluarkan dan kesan perlindungan terhadap tikus yang menghidapi osteoporosis akibat bahan glukokortikoid. Daun Kadok digunakan sebagai bahan dalam makanan tradisional di Asia Tenggara dan secara tradisi digunakan untuk merawat pelbagai penyakit seperti simptom keradangan, dermatitis dan sakit sendi. Dr Elvy Suhana berkata bahawa osteoporosis adalah satu masalah kesihatan yang meluas. Osteoporosis adalah suatu penyakit kehilangan jisim dan kekuatan tulang yang membawa kepada kesan peningkatan risiko patah, biasanya terhadap wanita yang putus haid. Rawatan glukokortikoid adalah punca utama osteoporosis sekunder. Tindakan glukokortikoid dalam tulang bergantung kepada ungkapan jenis 1 enzim 11beta-hydroxysteroid dehydrogenase (11β - HSD1). Keadaan kekurangan estrogen menyebabkan osteoporosis kerana peningkatan osteoclastogenesis oleh tekanan oksidatif yang membawa kepada penyerapan kalsium dan mineral lain dari tulang ke darah. Kajian terbaru mendapati bahawa pati daun kadok mempunyai keupayaan untuk menghalang ungkapan dan aktiviti 11β – HSD1 dalam tisu adipos dan tulang dan dapat memulihkan struktur tulang. Ia juga mempercepatkan penyembuhan patah apabila estrogen berkurangan melalui sifat antioksidannya. Kos rawatan konvensional adalah tinggi dan terdapat kesan sampingan yang tidak menggalakkan sesetengah doktor dan pesakit daripada menggunakan ubatan yang terdapat di pasaran. Dr Elvy Suhana berkata rawatan menggunakan herba mempunyai potensi dan perlu diterokai kerana ia bukan sahaja murah bahkan tidak mempunyai kesan sampingan yang boleh memudaratkan. Dr Elvy Suhana adalah seorang pensyarah Anatomi di Fakulti Perubatan di samping memberi khidmat kepada Jabatan Farmakologi, di Pusat Perubatan UKM di Kuala Lumpur. Beliau juga adalah ahli kumpulan penyelidikan Metabolisme Tulang di bawah Nic Kesihatan dan Teknologi Perubatan UKM. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini.  Wasallam!!!...
DAUN KADUK... SEJENIS HERBA...
DIBUAT KEREPEK... ENAK RASA...
MIANG KHAM... THAILAND ASALNYA...
KAJIAN DI UKM... BOLEH DIBACA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(4 Syaaban 1444H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.