Tuesday, November 15, 2022

DURIAN - APA FAKTA PENTING (Part 1)

TANAMAN DURIAN
(Durio zibethinus Murr.) merupakan satu bidangusaha yang sangat popular di Malaysia terutama dengan penanaman varieti durian premium masa kini. Kalau dahulu penanaman durian dilakukan secara tradisional dan pengurusan yang konvensional akan tetapi kini industri ini telah jauh berkembang apabila ia di komersilkan dengan cara baru dan menggunakan pakej amalan teknologi moden. Apa pun saya yang telah menulis dalam blog ini lebih dari 550 buah artikel mengenai durian tetap percaya bahawa industri ini akan terus berkembang dimasa akan datang. Kini keluasan tanaman durian terkini pada tahun 2021 adalah seluas 78,772 hektar dengan jumlah pengeluaran hasil sebanyak 400,636 metrik tan (Sumber: Booklet Keluasan Tanaman Makanan, Jabatan Pertanian Malaysia, 2021). Beberapa varieti durian premium kini menggantikan varieti durian kampong atau varieti tradisional yang semakin kurang penanaman baru. 
Jabatan Pertanian telah mengenal pasti dan mengumpul koleksi klon durian semenjak tahun 1934 dan sehingga sekarang telah mendaftarkan lebih dari 250 varieti yang penulis blog pernag terlibat sama. Antara beberapa varieti durian premium yang kini sangat popular termasuk Durian Musang King (D197), Durian Duri Hitam atau Black Thorn (D200), Durian Udang Merah (D175), Durian Tekka (D160), Durian Bukit Merah (D24), Durian Hajah Asmah (D168)dan beberapa lagi. Walau pun terdapat lebih daripada 250 varieti durian yang telah didaftarkan dalam Jadual Senarai Varieti Tanaman di Jabatan Pertanian Malaysia akan tetapi hanya sebahagian sahaja varieti yang masih ditanam dan dikomersilkan. Pada penulis blog durian merupakan antara spesies buah-buahan yang sangat popular dan masih banyak ditanam di Malaysia. Secara tradisional pula lazimnya pokok durian ditanam daripada baka biji benih di kawasan dusun di kampung dimana lazimnya buah durian dari pokok anak baka biji menghasilkan buah yang tidak seragam, tidak pasti akan kualitinya dan sebahagian besar tidak mendapat pasaran yang baik. Durian merupakan salah satu daripada 11 jenis buah-buahan yang telah dikenalpasti di bawah Dasar Agro Makanan (2011-2020) yang mempunyai potensi untuk dibangunkan bagi menampung permintaan tempatan dan eksport. Kalau dahulu pasaran durian adalah untuk pasaran domestik sahaja tetapi ia kemudian di eksport terutama ke Singapura. Kini durian Malaysia sudah di eksport ke China, Jepun sehingga pernah sampai ke Eropah dan negara lain. Apa pun tetap berlaku persaingan yang hebat  dari negara Thailand yang merupakan pengeksport durian terbesar dunia. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis lagi mengenai beberapa fakta penting penanaman durian di Malaysia untuk dijadikan bahan rujukkan semua pembaca.

Sebagai fakta asas mengenai tanaman durian sebaiknya saya akan kongsikan bagaimana dari segi evolusi dimana dulu p
okok durian yang ditanam adalah berasal daripada baka anak biji boleh mencapai ketinggian 30 - 40 meter dan mempunyai banir setinggi 2 - 3 meter apabila tua. Dalam pada itu pula tahap ketinggian benih baka pokok cantuman pula dikawal agar ia hanya mencapai tahap ketinggian ssekitar 10 - 20 meter sahaja dengan baka pilihan. Biasanya pokok durian yang masih muda mempunyai kanopi yang berbentuk seperti kon dan sebaiknya ada bentuk dahan untuk mampu menghasilkan buah. Bagi pokok durian yang telah matang pula selalu dilihat kanopinya akan berbentuk bulat dan rendang (Sila lihat foto disebelah). Penanaman durian yang terlalu rapat pula menyebabkan bentuk pokok berubah dimana ia boleh mengakibatkan bentuk kanopinya berbentuk bujur. Mengenali fakta bagi Daun Durian dimana ia lazimnya berbentuk lanceolate yang berukuran sekitar 6 - 12 cm panjang dan 2 - 4 cm lebar. Penulis blog yang selalu meneliti marfologi daun mendpati dimana pada permukaan atas daun berwarna hijau hingga hijau tua dan berkilat. Sementara iitu dibahagian bawah daun durian pula dilihat akan berwarna hijau perang serta diselaputi oleh satu lapisan sisik kecil. Diteliti lanjut mengenai urat daun durian biasanya diligat iaitu urat tengah daun jelas kelihatan pada bahagian bawah daun. Tangkai daun durian adalah pendek dan berukuran lebih kurang 1 cm. Bahagian akar pokok durian merupakan sejenis pokok yang memunyai akar tunjang. Dalam pada itu pokok durian juga mempunyai akar rerambut yang terdapat banyak di kawasan yang berdekatan dengan permukaan tanah. Selalu semasa saya membuat khdmat nasehat kepada penanam durian akan mementingkan bagaimana cara membaca yang betul dan elakkan dari menggunakan racun kimia untuk mengawal rumpai dipermukaan tanah. Racun kimia ini boleh merosakkan bahagian akar halus yang ada dipermukaan atas tanah.

Pokok durian matang mempunyai Bunga Durian yang banyak dan berjambak. Biasanya terdapat diantara 30 - 60 kuntum bunga dalam satu jambak bunga (Sila lihat fotoo disebelah). Bunga durian yang belum kembang dipanggil 'kudup' dimana ia lazimnya apa yang penulis blog sering perhatikan dimana kudup bunga durian mempunyai berbagaibagai bentuk (bulat - bujur) mengikut varieti durian. Marfologi pada bunga durian juga merupakan di antara ciri-ciri yang boleh digunakan dalam pengenalan varieti durian dimana lazimnya kudup bunganya berukuran garis pusat di antara 1.0 - 1.2 cm. Tangkai bunga durian biasanya berukuran di antara 3 - 6 cm panjang dimana bunga durian mempunyai epikaliks yang bercantum dan 4 - 6 kaliks yang juga bercantum pada bahagian pangkal. Bunga durian dilihat mempunyai lima kelopak yang berbentuk sudu dengan dilihat epikaliks lazimnya berwarna hijau keperangan, manakala kaliks dan kelopak bunga pula berwarna putih hingga putih kekuningan. Walau bagaimanapun terdapat juga kelopak yang berwarna kemerahan. Setiap kuntum bunga mempunyai 40 atau lebih stamen yang bercantum di bahagian pangkal untuk membentuk 4 - 5 berkas. Bunga durian mempunyai benang sari yang panjang dan kadang-kadang mempunyai bulu halus. Stigmanya berbentuk bulat dan berwarna kuning. Ovarinya pula bersaiz kecil dan mempunyai 4 - 6 lokulus yang akan membentuk pangsa buah. Bunga durian mula berkembang pada waktu petang bergantung kepada klon dan kawasan. Stigma didapati menjadi reseptif sebelum antesis berlaku dan keupayaan ini memuncak menjelang tengah malam dan selepas itu keupayaannya menurun sehingga tengahari keesokan harinya. Debunga hanya subur dan aktif pada masa bunga mula mekar sehingga menjelang tengah malam. Apa pun selepas tengah malam selalunya kesuburan debunga mula menurun dan pada keesokan paginya, debunga tersebut tidak lagi subur dan aktif. Lazimnya selepas sahaja proses pendebungaan maka semua bahagian bunga durian akan gugur kecuali ovari dan stil yang terus membesar dan ia akan membentuk buah sekiranya proses pendebungaan dan juga proses persenyawaan berlaku dengan sempurna. Sebaliknya pula apa yang berlaku dimana ovari akan gugur dalam tempoh 7 - 10 hari selepas bunga mekar jika proses pendebungaan dan persenyawaan tidak berlaku. Walau bagaimanapun apa yang penulis blog teliti dimana memang tidak semua putik yang terbentuk akan kekal sehingga matang. Sebahagian dari putik-putik buah ini masih boleh gugur walaupun saiz buah sudah mencapai sebesar 8 - 10 cm garis pusat dipokok. Putik buah yang masih kekal selepas peringkat ini akan terus untuk membesar sehingga mencapai buah matang. Bunga durian akan gugur pada keesokan harinya iaitu satu hari selepas bunga mekar. Bunga durian apabila mekar selalunya akan ia mengeluarkan bau yang harum. Proses pendebungaan bagi durian ialah pendebungaan berkacuk (cross pollination). Apa pun banyak kajian dilaporkan mendapati kebanyakan varieti durian mempunyai mod pendebungaan yang tidak serasi sendiri (incompatible pollination). Agen-agen pendebungaan utama bagi bunga durian ialah kelawar kecil, Lebah Tualang (Apis dorsata), Kelulut (Trigona spp) dan beberapa jenis semut yang terdapat di pokok. Pokok durian lazimnya mengeluarkan bilangan bunga yang banyak akan tetapi hanya sebilangan kecil sahaja (atau sekitar 0.5%) bunganya akan membentuk atau menjadi buah durian.

Perkara paling penting dalam penanaman durian adah untuk mendapatkan Buah Durian. Buahnya mempunyai buah yang pelbagai saiz dan mencapai ukuran sehingga 18 cm lebar dan 20 - 32 cm panjang. Kulit buah durian biasanya berwarna hijau, hijau keperangan sehingga kepada warna kuning keperangan. Ianya mempunyai duri yang tajam berukuran 1.25 cm panjang dan 1.8 cm lebar pada pangkal duri. Pada permukaan buah pula terdapat 4 - 5 garisan yang dipanggil 'garisan pangsa' di mana ia digunakan sebagai tanda untuk membuka buah durian. Buah durian mempunyai bentuk bulat, bulat bujur dan bujur. Buah durian selalunya memang mempunyai 4 - 6 pangsa yang memuatkan ulas-ulas isi durian. Terdapat 1 - 8 ulas isi dalam satu pangsa. Isi durian berwarna putih kekuningan atau oren dan kadang-kadang ada juga isi durian yang berwarna merah (eksotik). Dalam pada itu isi durian ada yang tebal dan ada yang nipis dimana ia bergantung kepada varieti dan jenis yang ditanam. Rasanya isi buah durian adalah lemak, manis dan ada juga yang berasa pahit sedikit. Buah durian akan gugur sendiri apabila masak dimana selalunya buah durian yang cukup masak mempunyai bau yang kuat. Beberapa hari iaitu selepas buah gugur selalunya bahagian kulit buah akan merekah di sepanjang garisan pangsa bermula daripada hujung buah. Terdapat juga Biji Biji Durian berbentuk bulat bujur. Biji durian disaluti oleh isi walau pun kadangkala ada juga keadaan durian tanpa biji yang lazimnya akan dipanggil 'kesep'. Biji durian dikategorikan sebagai ‘recalcitrant’ iaitu biji benih yang bercambah pada tahap perkembangan yang tertentu. Biji durian akan dipilih dan disemai untuk dijadikan pokok penanti sebelum ia di cantum dengan mata tunas varieti durian premium. 
Banyak penulisan saya yang telah dijadikan bahan rujukkan oleh pensyarah, pelajar, pengusaha serta penyekidik mengenai durian. Sudah berjuta pembaca yang membaca berdasarkan kepada analisis data yang tekah saya buat. Ada sesetengah yang menggunakan maklumat dari blog saya untuk dijadiknan buku, jurnal dan tesis sebagai bahan rujukan. Artikel ini ditulis dalam 5 segmen iaitu Part 1, Part 2, Part 3. Part 4 dan Part 5 untuk dibaca bersama. Semuga artikel ini juga memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..

INDUSTRI DURIAN... HEBAT DI MALAYSIA...
VARIETI PREMIUM... IA JADI BAKA UTAMA...
KUALITI YANG BAGUS... MAHAL HARGA ...
TANAMAN KOMERSIL...MARI BACA FAKTA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Cendana off Jalan Istana,
Persimpangan Bukit Beruang, Bandar Melaka, 
Melaka,
Malaysia.
(18 RabiulAkhir 1444H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.